fbpx

Proton Satria Cabriolet berpotensi tetapi kurang bernasib baik

Proton Satria Cabriolet 01

SEJAK penubuhannya pada 1983, Proton telah menghasilkan banyak kereta konsep dan prototaip menerusi kerjasama dengan rakan-rakan kongsi dari luar negara.

Dalam banyak-banyak prototaip yang terhasil, penulis rasa Satria Cabriolet paling menonjol dan menarik perhatian. Jika tidak silap, inilah satu-satunya kereta jenis cabriolet atau convertible yang pernah direalisasikan oleh Proton (walaupun tidak berjaya dipasarkan).

Gambar oleh: AllCarIndex

Satria Cabriolet dibangunkan sekitar tahun 1997 dan pada tahun yang sama, ia membuat kemunculan sulung bukan di tanah air tetapi di Frankfurt International Motor Show. Ya, percaya atau tidak, pengeluar kereta nasional itu pernah menyertai pameran permotoran bertaraf antarabangsa.

Namun ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana seperti yang anda mungkin sedia maklum, kereta Proton mula menembusi pasaran-pasaran Eropah termasuk Ireland dan United Kingdom sejak 1989 lagi.

Berbalik kepada Satria Cabriolet, kehadirannya di Frankfurt Motor Show secara amnya boleh dilihat sebagai langkah untuk menaikkan lagi nama Proton di Jerman. Ketika itu, Satria dijual di pasaran Jerman, Perancis dan Turki sebagai Proton 300 Series namun dalam jumlah yang kecil.

Gambar oleh: Zulfa Kamaruzaman

Prototaip Satria Cabriolet yang dipamerkan di Frankfurt itu merupakan salah satu daripada hanya dua unit yang dihasilkan. Ia dicat warna ungu, mempunyai rekaan bampar depan yang berbeza, rim lima jejari berbentuk bintang (yang kemudiannya ditukar dengan rim Satria GTI) dan paip ekzos berkembar.

Sudah tentu, tarikan utama kereta ini adalah bumbung convertible jenis fabriknya. Tidak banyak yang diketahui mengenai bumbung ini namun ia dikatakan dibangunkan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat.

Ruang dalamannya juga agak unik, dengan kemasan kulit berwarna beige dan fabrik kelabu. Selain daripada itu, rekaan papan pemuka, konsol tengah, stereng dan tombol gear dikekalkan.

Gambar oleh: Zulfa Kamaruzaman

Anda mungkin masih ingat kereta ini juga pernah digunakan untuk membawa Tun Mahathir mengelilingi Stadium Nasional Bukit Jalil ketika acara pembukaan Sukan Komanwel 1998.

Hari ini, kereta ini dimiliki oleh seorang individu bernama Muhammad Jeya Raj yang telah berjaya membaik pulihnya ke tahap yang memuaskan.

Sementara itu, unit kedua pula berwarna emas dan mempunyai ciri-ciri rekaan yang sama dengan unit berwarna ungu ini. Bagaimanapun, kelibatnya begitu jarang dilihat kerana menurut desas-desus, ia masih lagi dalam simpanan Proton.

@engear.tv 5 Fakta Cool Kereta Proton Satria Cabriolet #engeartv #proton #satria #cabriolet #rare #unique #fakta #fyp #malaysia #reels @retrohavoc ♬ original sound – ENGEAR SHOP – Engear TV

Sayangnya, Satria Cabriolet tidak pernah dipasarkan akibat krisis kewangan yang melanda Asia pada 1997. Bagi penulis, kereta ini berpotensi besar untuk laku di pasaran-pasaran yang menghargai kereta dengan bumbung yang boleh dibuka namun nasibnya agak kurang baik kerana ‘dilahirkan’ pada zaman di mana ekonominya tidak menentu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved