PEMBUKAAN semula sempadan Malaysia – Singapura dijangka menyebabkan berlaku penambahan kenderaan pada hujung minggu ini.
Menteri Pengangkutan berkata, keadaan itu juga ditambah dengan pengecualian caj jalan dan tol selama seminggu.
Datuk Seri Wee Ka Siong menambah, kedatangan bulan Ramadan dan Hari Qing Ming juga menyebabkan rakyat kedua negara melakukan perjalanan rentas sempadan.
“Pengecualian ini menggalakkan mereka yang lama tidak balik ke Malaysia ataupun orang Singapura hendak masuk ke Malaysia.
“Seperti mana saya telah huraikan dua sambutan besar iaitu Awal Ramadan dan Hari Qing Ming.
“Secara tradisi mereka balik maklumlah dua tahun tidak boleh balik, mungkin ada yang ambil kesempatan untuk balik menziarahi kubur orang tua atau ahli keluarga,” katanya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail
Sementara itu, Wee turut melihat pembukaan pintu sempadan akan meningkatkan aktiviti ekonomi Negeri Johor.
“Kemasukan kenderaan akan kita lihat dari Singapura ke Johor dan ini memberi kesan yang sangat positif kepada ekonomi negeri Johor,” katanya lagi.
Bermula esok, pintu sempadan Malaysia – Singapura akan dibuka selepas kedua-dua kerajaan bersetuju untuk berbuat demikian.
Semua pintu sempadan antarabangsa melalui laluan darat, udara dan laut juga akan dibuka sepenuhnya.
TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) bercadang menambah aset helikopter mempunyai keupayaan peperangan anti kapal selam dan berteknologi baharu.
Panglima Udara TLDM berkata, helikopter baharu itu penting bagi menggantikan helikopter AS555SN Fennec, lapor Bernama.
Jelas Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar, helikopter AS555SN Fennec tidak lagi dikeluarkan ketika ini dan TLDM akan melihat kepada aset helikopter bersesuaian pada masa akan datang.
Panglima Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar (kanan) berkata, pihaknya sedang meneliti mendapatkan helikopter baharu. – Foto ihsan Facebook/TLDM
Ahmad Shafirudin memberitahu pemberita selepas majlis penyampaian anugerah meraikan rekod pencapaian 20,000 jam penerbangan helikopter AS555SN Fennec, semalam.
Helikopter AS555SN Fennec dikendalikan Skuadron 502 TLDM semenjak tahun 2004 lagi.
Ia berfungsi sebagai helikopter latihan serta menyokong operasi penerbangan selain mempertingkat kawalan keselamatan negara.
Antara operasi menggunakan helikopter AS555SN Fennec TLDM termasuk Op Fajar di perairan Somalia dan pelbagai latihan ketenteraan lain.
PELUMBA negara Jazeman Jaafar berharap tidak berdepan sebarang masalah terutama kemalangan dalam saingan European Le Mans Series (ELMS).
Jelas Jazeman, dia akan cuba melakukan segala yang terbaik bagi mengelak kemalangan sekaligus, membuka peluang menaiki podium.
Foto ihsan Facebook/Jazeman Jaafar Live Page
“Pasukan berada dalam keadaan cukup bersedia dan saya akan cuba meraih kedudukan podium daripada perlumbaan awal lagi.
“Apa yang penting, strategi serta persiapan untuk menang itu di landasan yang betul.
“Ini perlumbaan sangat kompetitif dan jika sebarang kesilapan boleh dapat dielakkan saya rasa tidak mustahil untuk meraih podium,” katanya kepada pemberita.
Foto ihsan Facebook/Jazeman Jaafar Live Page
Perlumbaan ELMS akan bermula pada 17 April depan di Le Castellet, Perancis.
Selain Perancis, ELMS turut dijadual berlangsung di Itali, Sepanyol, Belgium dan Portugal.
Jazeman akan beraksi secara penuh dalam kategori Le Mans Prototype 2 (LMP2) dan bergandingan bersama pelumba Perancis Gabriel Audry dan pelumba Amerika Syarikat Rob Hodes.
DALAM siri penambahbaikan model-model Mazda, model CX-30 seterusnya menerima beberapa pembaharuan serta edisi Ignite Edition.
Sama seperti Mazda3, CX-30 Ignite Edition juga diberikan kemasa hitam pada perumah cermin sisi dan rim aloi 18-inci, serta tempat duduk balutan kulit Burgundy dan trim papan pemuka hitam.
Pembaharuan lain pada Mazda CX-30 2022 adalah soket USB pada konsol tengah dan perehat tangan, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto untuk paparan infotainmen 8.8-inci.
Mazda CX-30 mengekalkan kelengkapan keselamatan i-Activsense untuk varian High dan ke atas. Pakej ini merangkumi Front Cross Traffic Alert (FCTA), Driver Attention Alert (DAA) dengan Driver Monitoring and Cruising & Traffic Support (CTS).
Crossover ini boleh didapati dengan tujuh warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Jet Black, Deep Crystal Blue, Polymetal Gray, dan Platinum Quartz.
Harga jualan Mazda CX-30 bermula pada RM145,759 termasuk pengurangan cukai SST 50 peratus yang sah sehingga 30 Jun ini.
Kesemua kenderaan Mazda juga hadir dengan jaminan serta pakej penyelenggaraan percuma lima tahun atau 100,000km, yang mana dahulu.
SETIAP kali melihat insiden yang dapat balasan setimpal di depan mata, pasti memberikan satu kepuasan lain macam. “Instant karma”, orang putih kata.
Begitulah yang terjadi dalam insiden antara seorang pemandu lori dengan pemandu Perodua Axia.
Pemandu lori itu terus ditahan polis di sekatan jalan raya tidak lama selepas cuba berlagak samseng dengan pemandu Axia.
Dalam kejadian yang dirakam oleh kereta di belakang itu, pemandu lori dilihat telah turun dari kenderaannya dan berdiri di depan Perodua Axia, memarahi pemandu kereta tersebut.
Tidak dapat dipastikan siapa yang bersalah, tetapi video bermula dengan keadaan itu. Perakam yang berada di belakang juga sempat menegur, “Hoi jangan gaduh-gaduh…”.
Selepas Perodua Axia yang dipercayai dipandu oleh seorang wanita itu berlalu, pemandu lori seperti tidak puas hati dan masih mengekori rapat Axia itu walaupun dalam kesesakan trafik.
Apabila sampai di sekatan jalan raya, polis menyuruh pemandu Perodua Axia meneruskan perjalanan. Tetapi pemandu Axia dilihat seperti memberitahu sesuatu kepada anggota yang bertugas.
Mereka terus mengarahkan lori di belakang untuk ke tepi jalan. Pemandu lori pada mulanya cuba melarikan diri sebelum ditahan oleh beberapa lagi anggota polis.
Dia akhirnya berhenti di tepi jalan dan kelihatan dimarahi oleh anggota-anggota kerana tidak patuh kepada arahan.
Tahniah dan syabas kepada anggota polis kerana bertindak segera, perakam di kenderaan belakang juga begitu berpuas hati dan ketawa melihat insiden itu.
Pengajarannya di sini, bertimbang rasalah semasa memandu dan jika berlaku perselisihan faham, selesaikan dengan cara baik agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Jika kita bersalah, jangan segan juga untuk meminta maaf. Tidak dinafikan kadang-kala kita boleh melakukan kesilapan seperti terlupa menyalakan lampu signal atau tidak perasan kenderaan di sebelah sebelum kita menukar lorong.
Gunakan kuasa tangan rakyat Malaysia untuk menunjukkan tanda “maaf”, pasti semua pihak dapat meneruskan perjalanan dengan gembira.
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd berbangga selepas syarikat itu berjaya menyelesaikan lebih 90 peratus bayaran semula kepada pelanggannya.
Tan Sri Tony Fernandes berkata, walaupun syarikat mengalami masalah kewangan namun, lebih banyak bayaran balik dijangka dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.
Pada masa sama, Fernandes menganggap segala yang dilalui syarikat itu sebagai luar biasa kerana tidak menerima sebarang sokongan kewangan daripada kerajaan.
“AirAsia telah mengendalikan lebih 90 peratus bayaran balik dan ia tidak menjadi isu kerana kami telah bertindak secara telus.
“Pelanggan kami memahami bahawa kami telah memberi sokongan walaupun wujud rungutan dan pihak media juga menimbulkan isu tersebut,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes percaya pihaknya kini bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang dengan memastikan tahap keselamatan berada di paras tertinggi. – Foto ihsan Malay Mail
Bayaran balik akan terus dilakukan apabila penerbangan disambung semula di Malaysia dan Filipina dalam tempoh enam bulan akan datang.
Pelanggan AirAsia X juga akan mendapat baucar apabila syarikat penerbangan itu memulakan operasi semula.
Sektor penerbangan seluruh dunia mengalami impak sangat besar susulan pandemik Covid-19.
Ia susulan kebanyakan negara menutup pintu sempadan serta lapangan terbang sekaligus merugikan pelbagai sektor lain termasuk pelancongan dan perniagaan.
PERKHIDMATAN kenderaan pengangkutan awam rentas sempadan Malaysia dan Singapura dibenarkan beroperasi mulai 1 April depan.
Langkah itu dibuat selaras dengan pembukaan sempadan darat antara kedua-dua negara.
Susulan itu, semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam berkaitan boleh membuat persiapan awal dengan memperbaharui permit atau lesen berkaitan.
Jelas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, operator pengangkutan awam bagaimanapun berhak menentukan masa permulaan operasi mereka.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail
“Penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar adalah tertakluk kepada kesediaan operator yang terlibat untuk memulakan operasi mereka semula,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak operator berkenaan mengenai status pengoperasian perkhidmatan rentas sempadan yang bakal disediakan.
Operator kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan juga diingatkan mematuhi semua garis panduan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan sedia ada.
Antara SOP yang perlu dipatuhi termasuk menyediakan kod QR di dalam kenderaan perkhidmatan awam yang beroperasi.
Pandemik Covid-19 membadai negara turut menjejaskan industri pengangkutan. – Foto ihsan Malay Mail
Dalam perkembangan sama, operator atau pemandu kenderaan boleh menolak menyediakan perkhidmatan kepadapengembara tidak mematuhi SOP kesihatan.
Pengembara menggunakan kenderaan motokar persendirian ke Malaysia pula diingatkan mendaftar dan mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing (VEP).
NAZA Italia hari ini telah mendedahkan kehadiran Ferrari 296 GTB serba baharu untuk pasaran Malaysia.
Ferrari 296 GTB merupakan model enjin tengah (mid-engined) terkini yang dikira menggantikan F8 Tributo. Tetapi walaupun F8 Tributo menggunakan nadi V8, 296 GTB ini dikuasakan oleh enjin V6 baharu.
Enjin ini berkapasiti 2,992cc tetapi Ferrari memanggilnya 2.9-liter supaya boleh menggunakan nama 296, dan angka enam di hujung merujuk kepada jumlah silinder enjin.
Unit V6 ini dibina dengan barisan silinder bersudut 120-darjah untuk mendapatkan bentuk enjin yang lebih kompak dan rendah. Pengecaj turbo juga diletakkan di tengah-tengah bukaan silinder.
Berapa kuasa enjin ini? Ia menghasilkan 654hp tetapi disebabkan 296 GTB ini merupakan sebuah model plug-in hybrid (PHEV), enjin V6 padanya dipasang dengan motor elektrik yang memberikan output keseluruhan setinggi 818hp pada 8,000rpm dan 740Nm tork pada 6,250rpm.
Kuasa disalurkan ke roda belakang menggunakan kotak gear automatik dwi-klac seperti yang didapati pada model-model terkini lain seperti SF90 Stradale (dan Spyder), Roma dan Portofino M.
Prestasi pula adalah 2.9 saat untuk pecutan 0-100km/j dan lebih mengagumkan, 7.3 saat untuk 0 ke 200km/j. Kelajuan maksima ialah melebihi 330km/j.
Di belakang tempat duduk pemandu ialah unit MGU-K (Motor Generator Unit, Kinetic) yang membekalkan kuasa untuk motor elektrik.
Dalam mod pemanduan elektrik sepenuhnya (EV), Ferrari 296 GTB ini boleh dipandu sehingga 25km dengan kelajuan sehingga 135km/j.
Terdapat empat mod pemanduan yang boleh dikawal dari butang eManettino pada stereng. Mod-mod ini adalah eDrive, Hybrid, Performance dan Qualify.
Ferrari 296 GTB juga dilengkapi beberapa teknologi seperti eSSC (electronic Side Slip Control), eTC (electronic Traction Control), eDiff, dan 6w-CDS iaitu Chassis Dynamic Sensor 6-arah.
Sistem brek juga ditambah baik dengan brake-by-wire dan fungsi baharu ABS evo yang memastikan pedal brek tidak perlu ditekan banyak sama ada dalam pemanduan harian biasa atau semasa di litar.
Dari segi dimensi, Ferrari 296 GTB mempunyai jarak roda 50mm lebih pendek dari F8 Tributo untuk memberikan saiz yang kompak serta pengendalian lincah.
Rekaan dan rupa luaran Ferrari 296 GTB banyak mengambil inspirasi dari model-model retro seperti Dino, 250 LM 1963 dan P80/C.
Ferrari 296 GTB dijual pada harga permulaan RM1,228,000 sebelum cukai, pilihan kustom, cukai dan insurans. Untuk servis, Ferrari 296 GTB diselenggara setiap 20,000km atau setahun sekali.
Terdapat juga pakej Assetto Fiorano untuk lebih prestasi. Pakej ini memberikan beberapa komponen perlumbaan seperti penyerap hentak Multimac boleh-laras, komponen gentian karbon dengan lebih downforce, bahan-bahan lebih ringan, dan tayar Michelin Sport Cup 2 R.
BERMAZ Motor telah mengumumkan Mazda3 2022 yang dikemaskini luar dan dalam, dengan harga seperti berikut:
Mazda3 1.5 Liftback: RM138,660
Mazda3 1.5 Sedan: RM138,660
Mazda3 2.0 Sedan High: RM146,119
Mazda3 2.0 Liftback High Plus: RM155,679
Mazda3 2.0 Sedan High Plus: RM155,679
Terdapat juga edisi baharu iaitu Ignite Edition untuk Mazda3 2.0 Liftback High Plus yang berharga RM164,697.
Kesemua harga di atas adalah atas jalan, tanpa insurans.
Pembaharuan utama untuk Mazda3 facelift 2022 ini ialah dari sudut teknologi, dimana kesemua varian mendapat dua slot USB di konsol tengah dan perehat tangan.
Unit infotainmen dengan skrin sesentuh 8.8-inci pula kini menyokong sambungan Android Auto dan Apple Carplay.
Untuk Mazda3 Ignite Edition, ia didatangkan dengan ciri keselamatan i-Activsense terkini yang merangkumi Front Cross Traffic Alert (FCTA), Driver Attention Alert (DAA) with Driver Monitoring and Cruising & Traffic Support (CTS).
Mazda3 2022 boleh didapati dengan warna seperti Soul Red Crystal, Machine Gray, Jet Black, Snowflake White Pearl, Polymetal Gray, Deep Crystal Blue (Liftback sahaja) dan warna baharu Platinum Quartz.
Mazda3 2022 merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan bergantung kepada varian, mempunyai pilihan enjin Skyactiv-G 1.5 dan 2.0-liter.
Tiada perubahan mekanikal pada enjin-enjin ini, dimana unit 1.5-liter menjana 118hp pada 6,000rpm dan 153Nm tork pada 4,000rpm.
Sementara itu, enjin 2.0-liter pula menghasilkan 162hp pada 6,000rpm dan 213Nm tork pada 4,000rpm.
Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive 6-kelajuan.
Kesemua Mazda3 juga dilindungi dengan jaminan serta pakej penyelenggaraan percuma 5-tahun atau 100,000km, yang mana dahulu.
KINI terdapat skuter 250cc terbaharu di pasaran Malaysia, iaitu WMoto ES250i. Dibawakan dan diedar oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd, ES250i ini dijual pada harga RM13,888 (tanpa cukai jalan dan pendaftaran).
WMoto ES250i dikuasakan enjin 244.3cc 4-lejang silinder tunggal SOHC yang mampu menjana 21hp pada 8,500rpm dan 21Nm tork pada 6,500rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi CVT.
Enjin ini juga menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik dengan penghidup elektrik dan menepati piawaian Euro 4.
ES250i dilengkapi dengan suspensi teleskopik KYB di depan dan dwi-penyerap di belakang. Sementara itu, sistem brek pula adalah 240mm untuk depan dan belakang serta hadir dengan ABS dwi-saluran.
WMoto ES250i didatangkan dengan rim 13-inci dibaluti tayar 110/70 di depan dan 130/70 di belakang.
Dari segi dimensi pula, skuter ini mempunyai panjang 1,955mm, lebar 740mm dan tinggi keseluruhan 1,115mm. Tinggi tempat duduk pula ialah 770mm manakala kelegaan tanah ialah 135mm.
ES250i mempunyai berat 147kg serta tangki bahan api 12 liter.
WMoto ES250i ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Fiery Red, Midnight Blue dan Slate Grey. Anda boleh mula melihat skuter ini dengan lebih dekat di semua cawangan MForce seluruh negara bermula esok.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan laporan BebasNews berkenaan sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut automotif.
Menurut sumber, kesemua mereka termasuk seorang wanita dipercayai ditahan merupakan empat pemilik syarikat dan masing-masing seorang penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif dan ketua pegawai operasi. Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Perintah reman antara tiga hingga enam hari bermula semalam dikeluarkan oleh Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 34 hingga 58 tahun di Mahkamah Majistret, Putrajaya.
Sumber berkata, dua suspek lelaki yang direman selama enam hari itu dipercayai telah meminta dan menerima suapan lebih RM14.9 juta daripada tiga lagi suspek sebagai balasan bagi membantu syarikat milik mereka mendapat geran menerusi tiga syarikat lain antara tahun 2018 hingga 2020.
BebasNews hari ini memetik sumber melaporkan ‘orang kuat’ Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), Datuk Madani Sahari dan beberapa pegawai lain bakal ditahan reman selepas SPRM melakukan sebuah ke atas institut itu semalam.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Dato’ Tan Kang Sai yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
MEKANISME pemberian subsidi produk petroleum akan dikaji semula oleh kerajaan bagi memastikan setiap rakyat menerima manfaat secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Kewangan I berkata, sebarang kaedah pemberian subsidi bagaimanapun akan diperhalusi serta diteliti terlebih dahulu.
Jelas Datuk Mohd Shahar Abdullah, kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak untuk memperincikan kaedah pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol.
“Kita berjumpa dengan semua syarikat petroleum untuk kita berbincang dahulu dan lihat kaedah yang terbaik untuk subsidi bersasar ini,” katanya.
Ketika ini, setiap US$1 setong kenaikan harga minyak mentah memberikan hasil RM300 juta kepada kerajaan dan jumlah subsidi ditanggung untuk RON95 adalah RM1.65.
“Tetapi masalahnya setiap kenaikan US$1 setong akan memberi implikasi sebanyak RM600 juta.
“Jadi dia tak breakeven (pulang modal) kerana kita melaksanakan harga siling.
“Kita tetapkan harga siling sebanyak RM2.05 seliter untuk RON95 tetapi harga sebenar adalah RM3.70 seliter dan kerajaan tanggung sebanyak RM1.65,” katanya lagi.
Harga petroleum sering mendapat perhatian ramai memandangkan ia memberi kesan besar kepada banyak perkara khusus sektor ekonomi.
Namun, kerajaan sentiasa memberi jaminan akan terus menjaga kepentingan rakyat agar tidak terlalu terkesan dengan peningkatan harga bahan api.
MALAYSIA dan Singapura mengorak langkah melakukan persiapan segera bagi menyambung semula kebenaran perjalanan darat dan udara sepenuhnya kepada rakyat kedua-dua negara yang telah lengkap divaksin berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang semakin stabil.
Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Ong Ye Kung mengadakan perbincangan mengenai keadaan pandemik di kedua-dua negara di pejabatnya di sini semalam.
“Kami bersetuju keadaan sudah stail dan kami boleh mengorak langkah ke arah penyambungan semula perjalanan darat dan udara sepenuhnya untuk mereka yang telah lengkap divaksin,” kata beliau dalam hantaran di Twitternya.
“Malaysia dan Singapura berhubung semula dan #ReopeningSafely,” katanya dalam satu lagi hantaran.
Ong sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke Malaysia bermula semalam.
Pada masa ini Malaysia melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara dengan Singapura, sebuah program permudah cara perjalanan dua hala bagi individu yang mendapat dos lengkap suntikan vaksin Covid-19.
Di bawah VTL, individu yang lengkap divaksin dari sebuah negara boleh memasuki negara lain tanpa kuarantin bergantung kepada saringan Covid-19 dan keperluan selanjutnya ditentukan oleh negara penerima.
Pada 8 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan membuka semula sempadan bermula 1 April ini bagi menggiatkan semula ekonomi negara, terutamanya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik ini.
BMW Group mendapati lapan daripada sepuluh pemandu negara ini ingin melihat lebih banyak kenderaan elektrik (EV) menyusuri jalan raya.
Kaji selidik dijalankan mendapati rata-rata berharap EV dapat mencorak sebuah dunia yang lebih cakna terhadap alam sekitar.
Tinjauan dalam talian itu melibatkan lebih 4,000 pemandu bukan sahaja di Malaysia malah, negara lain turut terlibat seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.
Fokus kaji selidik adalah untuk memahami lebih mendalam mengenai pemahaman dan kecenderungan terhadap EV dalam kalangan pemandu Asia Tenggara.
Penggunaan kereta elektrik (EV) diyakini mampu menjaga alam sekitar. – Foto ihsan BMW
Selain itu, kaji selidik juga mendapatkan reaksi terhadap impak EV ke atas alam sekitar serta faktor mendorong pengguna memilikinya.
Jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, kesedaran dan keterujaan ditunjukkan terhadap mobiliti lestari adalah amat menggalakkan.
Pada masa sama, pemandu Malaysia juga melihat EV sebagai gerbang pengalaman pemanduan premium.
“Sebagai perintis dalam mobiliti elektrik di Malaysia dan setelah menjejakkan kaki di pentas ini sejak tahun 2015, kami dapat melihat sambutan dan keterujaan.
“Bagaimanapun, masih wujud kesangsian kerana isu-isu yang menyelubunginya…kesemuanya kami sedang menanganinya,” kata Hans de Visser.
Sudah tiba masa lebih banyak pengeluar kenderaan menghasilkan kereta cekap tenaga dan mampu milik. – Foto ihsan Malay Mail
Dalam perkembangan sama, tinjauan mendapati 72 peratus rakyat Malaysia memilih pengurangan pelepasan karbon.
Sementara itu, 49 peratus memilih penjimatan kos menerusi penggunaan elektrik dan bukannya petrol serta 40 peratus untuk pengalaman premium.
Bagaimanapun, wujud beberapa kebimbangan mengenai EV termasuk jarak perjalanan yang dapat dicapai, kos penyenggaraan dan kesukaran mengecas.
LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) kekal dalam kalendar Kejohanan Dunia FIM MotoGP sehingga tahun 2024.
Perkara itu disahkan Dorna Sports yang pada masa tidak menolak kemungkinan perjanjian akan dilanjutkan sehingga 2026.
Dorna Sports turut mengesahkan Petronas sebagai penaja utama Grand Prix (GP) Malaysia bagi tiga musim berturut-turut.
Justeru, perlumbaan musim ini di Sepang bakal dinamakan Petronas Grand Prix Malaysia sekaligus memastikan jenama itu terus signifikan dalam sukan permotoran.
Perlumbaan MotoGP mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. – Foto ihsan Facebook / MotoGP
Kehadiran Petronas dalam bidang sukan permotoran bukan suatu yang asing malah, merupakan pembekal bahan api bagi kelas Moto2 dan Moto3.
Dalam perkembangan sama, SIC berharap para peminat MotoGP kembali memberi sokongan dengan kembali ke litar bagi menyaksikan perlumbaan secara langsung.
Sebelum ini, Malaysia terkeluar daripada kalendar MotoGP selama dua tahun susulan penularan virus Covid-19 yang mengancam seluruh dunia.
Susulan itu, tema GP Malaysia pada tahun ini adalah #WelcomeHome yang menjadi simbolik kepada kebangkitan semula sukan permotoran antarabangsa.
Jadi, kepada semua peminat MotoGP ayuh kita sama-sama memberi sokongan untuk GP Malaysia tahun ini!
TEMPOH percubaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) adalah penting bagi memastikan kelancaran sistem berkenaan.
Menteri Kanan Kerja Raya berkata, sesi percubaan dilaksanakan bagi mengelak sebarang masalah seperti dihadapi kebanyakan pengguna sebelum ini.
Jelas Datuk Seri Fadillah Yusof, pihaknya memandang serius isu dihadapi pengguna dan berharap penyelesaian dapat dilakukan segera.
“Kita mengenal pasti daripada segi teknologi, pentadbiran, perundangan serta kelancaran ataupun efisiensi sistem yang ada itu dan tidak akan membebankan rakyat.
“Itulah yang sedang kita lihat dan perincikan di peringkat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya,” katanya.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail
Fadillah menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris yang ingin tahu sama ada Kementerian Kerja Raya bercadang untuk sistem SmartTag dan RFID disatukan dalam lorong sama.
Tambahnya, pembekal perkhidmatan bagi kedua-dua sistem pembayaran tol itu adalah berbeza dan teknologi serta ‘reader’ (pengesan tekonologi) juga tidak sama.
“Sekiranya diletakkan dalam satu lorong, ia akan menyebabkan kecelaruan untuk mengenal pasti sistem tag yang digunakan,” katanya lagi.
Mengenai harga RFID, Fadillah berkata nilai RM35 itu merangkumi kos tag, pemasangan tag, sistem dan pengoperasian.
Namun, kerajaan telah mengarahkan pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd mengkaji semula kos itu bagi tujuan mengurangkan harga jualan.
Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (Hino) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang bertujuan meningkatkan pembangunan dari segi keusahawanan, pendidikan dan pelaburan dalam industri automotif.
Perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusan Hino, Atsushi Uchiyama dan Ketua Pengarah MARA, Dato Azhar Abdul Manaf.
Perkongsian strategik antara Hino dan MARA ini bertujuan untuk membangunkan program tenaga kerja mahir terutamanya dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) kenderaan komersial.
Selain itu, kerjasama ini dapat meningkatkan pertumbuhan industri automotif dan menggalakkan perkongsian pengetahuan serta teknologi.
Menurut Datuk Seri Panglima Hajah Azizah, kolaborasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada MARA dan HINO, malah ianya akan meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam industri automotif terutamanya bidang MRO di samping menghasilkan tenaga kerja berkemahiran untuk masa hadapan.
Atsushi Uchiyama pula berkata, “MARA merupakan pelanggan setia kami sejak tertubuhnya HINO di Malaysia pada tahun 1977 lagi.
“Di HINO, kami mengalu-alukan kolaborasi sebegini dalam membuka peluang serta potensi baru industri automotif di Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman,” tambahnya lagi.
Hadir sama untuk menyaksikan majlis tandatangan MoU ialah Pengerusi MARA Datuk Seri Panglima Hajah Azizah dan Pengarah HINO, Ahmad Yasmin Yahya.