fbpx

RapidKL perjelas isu gerabak LRT lama Ampang dan Sri Petaling terbiar di Ulu Yam

lrt sri petaling – soya cincau

PERNAH terfikir apa terjadi pada gerabak LRT lama Ampang dan Sri Petaling yang digantikan lima tahun dulu? Nampaknya kebanyakan darinya ditinggalkan dan terbiar di satu kawasan lapang di Ulu Yam.

Youtuber Heart Patrik merakamkan video ‘tanah perkuburan’ LRT itu dengan dron yang dimuatnaik kira-kira dua minggu lalu. Menurut keterangan, Heart Patrick ternampak satu pemandangan menyedihkan selepas sejam memandu di sekitar ladang sayur dan tasik.

Kemudian, semakin ramai orang menjumpai lokasi itu dan beberapa video dimuatnaik baru-baru ini. Dikatakan 73 gerabak ditinggalkan di tapak itu.

Dari video-video tersebut, dapat dilihat bahawa gerabak-gerabak itu telah ditinggalkan agak lama hingga terdapat pokok-pokok yang tumbuh di sekelilingnya.

Selepas video-video itu tular, Rapid KL mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan status gerabak lama itu.

Mereka mengesahkan bahawa LRT lama itu bukan lagi milik Prasarana dan hak milik telah dipindahkan kepada CSR-ZhuZhou pada 2014 yang merupakan sebahagian dari program beli-semula bagi menggantikan tren laluan Ampang dan Sri Petaling.

Ia menambah bahawa CSR-Zhuzhou telah melupuskan dan menjual tren-tren itu pada 2016 kepada satu lagi pihak ketiga yang meletakkannya di kawasan persendirian di Ulu Yam.

Prasarana Malaysia Berhad tidak mengeluarkan sebarang komen lanjut disebabkan ianya bukan lagi aset atau tanggungjawab mereka. Tidak disebutkan juga siapa pemilik baharu tetapi memasuki tanah persendirian itu tanpa kebenaran dikira sebagai menceroboh.

Sumber: UniKL

Jika anda mahu lihat sebuah gerabak LRT jenis Adtranz-Walkers itu dalam keadaan baik, sebenarnya terdapat satu unit yang kini dipamerkan di Asia Rail Centre, Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Unit itu diserahkan pada Januari 2018 sebagai satu program kerjasama industri oleh kerajaan Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Kenderaan rel ringan (LRV) buatan Adtranz dikeluarkan oleh Walkers Limited, Australia dan ia berkhidmat di laluan Ampang dan Sri Petaling (dikenali sebagai STAR LRT) dari 1996 hingga 2016.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved