Arkib Tag: Australia

Lencana Volkswagen Roobadge bantu elak perlanggaran dengan kanggaru

VOLKSWAGEN mengumumkan yang ia sedang melaksanakan ujian percubaan untuk Roobadge, lencana yang direka khas untuk mengurangkan risiko perlanggaran antara pemandu dan kanggaru.

Harapnya ini bukanlah jenaka April Fool dari jenama itu. Di Australia, kanggaru merupakan antara ancaman terbesar kepada pemandu dengan 90% kes perlanggaran dengan hidupan liar melibatkan haiwan jenis marsupial itu.

Menurut Volkswagen, pembangunan Roobadge bermula kira-kira tiga tahun lalu dengan kerjasama pakar tingkah laku kanggaru dari University of Melbourne dan organisasi penyelamat hidupan liar WIRES.

Roobadge secara asasnya adalah pembesar suara elektronik yang boleh mengeluarkan bunyi-bunyi seperti bunyi burung, haiwan pemangsa dan juga hentakan kaki kanggaru untuk menghalau kanggaru.

Peranti itu boleh disambungkan kepada aplikasi dalam kereta yang akan mengaktifkannya secara automatik setiap kali kenderaan memasuki lokasi hotspot yang dikenali pasti kerap berlaku perlanggaran dengan haiwan berkenaan.

Apa yang menarik, bunyi yang dihasilkan berbeza mengikut spesis kanggaru yang mendiami kawasan berkenaan. Roobadge akan menentukan bunyi yang perlu dikeluarkan menggunakan GPS dan data yang dibekalkan oleh WIRES.

Untuk fasa ujian ini, Volkswagen memasang Roobadge pada trak pikap Amarok secara plug-and-play. Pada mulanya, teknologi ini diuji di padang-padang golf di mana kanggaru sudah biasa dengan kehadiran manusia.

Selepas itu, beberapa unit Amarok diletakkan di lokasi-lokasi di mana kanggaru liar berhijrah untuk merakamkan reaksi haiwan itu setiap kali bunyi dihasilkan.

Untuk peringkat seterusnya, trak pikap berkenaan dipandu pada kelajuan rendah untuk mengumpul lebih banyak data mengenai keberkesanan bunyi-bunyi yang dihasilkan.

Selain lencana, Volkswagen juga sedang membangunkan pemegang nombor plat dengan teknologi sama yang boleh dipasang pada semua jenis kenderaan, tidak kira jenama.

Bukan itu sahaja, syarikat itu juga dalam perbincangan dengan rakan kongsi di luar negara untuk membangunkan Roobadge untuk haiwan-haiwan lain.

Toyota Hilux mild hybrid 48V masuk pasaran Australia bermula Mac

TOYOTA Hilux Hybrid 48V, yang dilancarkan di Eropah pada Disember tahun lalu, kini telah pun diperkenalkan di Australia menerusi versi facelift.

Sama seperti model pasaran Eropah, Hilux facelift untuk negara Down Under itu menggabungkan enjin turbodiesel 2.8-liter empat silinder sedia ada dengan teknologi mild hybrid yang terdiri daripada penjana motor, bateri 48 volt dan penukar DC/DC.

Menurut Toyota, teknologi tersebut memberikan Hilux sistem Stop/Start, membantu menjadikan enjin lebih lancar serta meningkatkan kecekapan bahan api kira-kira 6 hingga 10 peratus, bergantung kepada varian.

Untuk pasaran Australia, teknologi mild hybrid 48V itu disertakan secara standard pada varian 4X4 Rogue dan SR5 double cab automatik, dan ditawarkan secara opsyen untuk 4X4 SR double cab.

Selain itu, semua varian mild hybrid turut dilengkapi dengan sistem Multi-Terrain Select yang menawarkan enam mod pemanduan.

Bagaimanapun, tidak seperti di Eropah, Hilux facelift Australia diberikan penampilan lebih segar. Gril oktagon telah direka semula, manakala bampar hadapan kini kelihatan lebih menonjol dengan liang berbentuk trapezoid dan perumah lampu kabus baharu.

Sesetengah varian juga mendapat gril bercorak sarang lebah dan peredam tailgate.

Dari segi kelengkapan, semua varian SR double cab automatik kini menampilkan enam sensor parkir (dua di hadapan, empat d belakang), manakala varian SR5, Rogue dan GR Sport mendapat pad pengecas wayarles dan dua port USB-C.

Hilux facelift akan tiba di bilik pameran Toyota di seluruh Australia bermula Mac ini, dengan harga jualan antara AUD54,130 hingga AUD71,530 (RM167,800 hingga RM221,739) untuk varian-varian mild hybrid.

Wanita guna BYD Atto 3 hidupkan mesin dialisis anak ketika gangguan bekalan elektrik

SEORANG wanita Australia mendakwa BYD Atto 3 miliknya telah membantunya menyelamatkan nyawa anaknya dalam satu kejadian banjir kilat pada Krismas lalu.

Menurut Kristy Holmes, gangguan bekalan elektrik yang diakibatkan oleh banjir itu menyebabkan mesin dialisis yang digunakan anak lelakinya Levi, 11 tahun, tidak dapat dihidupkan.

Menyedari kejadian itu boleh mengancam nyawa anaknya, Holmes menyambungkan mesin dialisis itu ke Atto 3 dan menggunakan kuasa elektrik dari bateri kereta itu untuk menghidupkan mesin tersebut.

Atto 3 dilengkapi dengan ciri Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan pengguna menyambungkan perkakasan elektrik kepada kereta.

Secara ringkasnya, ia adalah ciri pengecasan dua hala yang menjadikan Atto 3 sebagai sebuah powerbank atau penjana beroda yang sangat berguna ketika melakukan aktiviti riadah atau dalam situasi kecemasan.

Bercakap kepada The Guardian, Holmes berkata anaknya mungkin berhadapan dengan situasi mengancam nyawa jika tidak kerana ciri V2L yang terdapat pada keretanya.

“Ia adalah kereta paling menakjubkan yang pernah saya miliki. Sekarang ia dah dapat selamatkan anak saya semasa ribut, saya rasa saya tak akan balik ke kereta petrol lagi,” katanya.

Selain Atto 3, satu lagi EV jenama BYD iaitu Dolphin turut didatangkan standard dengan V2L. Model-model EV lain yang mempunyai ciri ini termasuk Kia Niro EV, Kia EV6, Hyundai Ioniq 5 dan Hyundai Ioniq 6.

Nombor plat NSW 1 dibida dengan harga RM31 juta

ENTAH kenapa, harga nombor plat satu digit, terutamanya nombor 1, boleh mencecah jutaan ringgit dengan begitu mudah.

Sebagai contoh, di Australia, seorang individu telah membuat bidaan bernilai RM31 juta untuk nombor plat NSW 1 dalam satu lelongan yang diadakan oleh Lloyds Auction House.

Menariknya, ia merupakan kali pertama plat nombor 1 dari negeri New South Wales itu dilelongkan. Plat tersebut asalnya dikeluarkan untuk komisioner polis pertama sebelum ia diperoleh oleh pengasas Australian National Airways, Sir Frederick Stewart sekitar 1930-an.

Selepas kematian Stewart, nombor plat tersebut diberikan kepada isteri beliau. Berikutan kematian isterinya itu pada 2000, nombor tersebut kini dibuka untuk bidaan sehingga 27 Januari tahun depan.

Dari tahun 1910 hingga 1937, setiap negeri di Australia mengeluarkan plat pendaftaran secara berperingkat, dari nombor 1 dan hingga 274-000. Nombor-nombor ini dikeluarkan secara berasingan untuk kereta penumpang, motosikal dan kenderaan komersil.

Seperti di Malaysia, nombor-nombor ini menjadi buruan pengumpul yang sanggup membayar harga yang tidak masuk akal untuk memilikinya.

Dengan harga yang telah mencecah puluhan juta dengan tempoh bidaan berbaki lebih sebulan, nombor plat NSW 1 dijangka akan memecahkan rekod untuk nombor plat termahal di Australia.

Pada 2017, Sydney Morning Herald melaporkan bahawa nombor plat 4 dari negeri itu dijual pada harga kira-kira RM7.5 juta.

Walaupun angka-angka ini sangat tinggi, ia bukanlah nombor plat yang paling mahal pernah dijual. Di Dubai, plat AA8 dijual pada harga RM44 juta sementara P7 pula berharga RM70 juta.

Sementara itu, nombor plat dari Eropah iaitu F1 masih lagi tersenarai untuk lelongan di laman web regtransfers.co.uk dengan harga permulaan hampir RM90 juta.

Australia perkenal lesen memandu untuk supercar, pemohon perlu jalani kursus khas

DALAM usaha untuk mempertingkatkan keselamatan jalan raya, Australia telah memperkenalkan undang-undang baharu yang mewajibkan pemilikan lesen memandu khas kelas ‘U’ untuk pemandu kenderaan berkuasa tinggi.

Menurut laporan, kenderaan-kenderaan yang diklasifikasikan sebagai kereta sport atau supercar itu juga tertakluk kepada peraturan yang lebih ketat untuk mengurangkan risiko kemalangan.

Menurut kerajaan Australia Selatan, kira-kira 270 pemandu di negeri itu dikehendaki mendapatkan lesen kelas ‘U’ tersebut menjelang 1 Disember 2024. Bagi melayakkan diri untuk lesen ini, pemohon perlu melengkapkan kursus latihan dalam talian yang direka khusus untuk pengendalian kenderaan berkuasa tinggi.

Dijadualkan untuk pelancaran awal tahun hadapan, kursus tersebut akan merangkumi pelbagai topik termasuk kesedaran risiko, penggunaan sistem bantuan pemandu (ADAS) dan pengoperasian kenderaan berkuasa tinggi secara selamat.

Semua kereta dengan nisbah kuasa-berat bersamaan atau melebihi 276 kilowatt per tan (370 hp per 1,000 kg) tertakluk di bawah undang-undang baharu ini.

Bukan itu sahaja, kerajaan Australia Selatan juga telah memperkenalkan langkah-langkah untuk memastikan semua sistem bantuan pemandu seperti ABS, AEB, Stability Control dan Traction Control di dalam kenderaan berprestasi sentiasa diaktifkan.

Selain itu, pemandu yang menggunakan mod Sport sehingga mengakibatkan kematian atau kecederaan serius akan menghadapi pertuduhan yang lebih berat di bawah undang-undang yang baru ditubuhkan ini.

Pemandu valet rempuh dua Lamborghini Aventador Ultimae

SEORANG pemandu valet di Perth, Australia menghadapi hari yang mengerikan di tempat kerja apabila kecuaiannya menyebabkan kerosakan kepada bukan satu tetapi dua buah supercar.

Sebuah video yang dimuat naik ke Instagram oleh Craig Jones menunjukkan pemandu malang itu melanggar sebuah Lamborghini Aventador Ultimae ketika sedang memandu sebuah Aventador Ultimae Roadster.

Menurut laporan, kejadian berlaku di Hotel Crown Resorts. Kedua-dua supercar tersebut dikatakan dimiliki oleh pengasas Virtual Gaming Worlds, Laurence Escalante, namun kapsyen Jones mengatakan bahawa kereta-kereta tersebut disewa.

Seperti yang boleh dilihat dalam video berkenaan, supercar tersebut mengalami kerosakan yang agak teruk pada bahagian kiri dan kanan bampar hadapan. Pemandu itu pula kelihatan terkejut dan keliru dengan apa yang baru berlaku.

Beliau kemudiannya keluar dari kereta dan cuba untuk menjelaskan bagaimana perlanggaran itu berlaku.

“Nampak bagaimana kedua-dua pedal itu terlalu rapat? Saya sedang menekan brek, dan ia terus bergerak,” katanya.

Sementara itu, Escalante dalam Instagram Stories-nya berkata situasi itu telah diuruskan oleh pihak Crown.

“Teruk, pengajaran untuk semua orang, tetapi saya sangat bertuah dan bersyukur atas segala-galanya,” kata bilionair laman web judi dalam talian itu.

Aventador Ultimae bukan calang-calang supercar kerana ia merupakan model edisi terhad di mana hanya 600 unit dihasilkan (250 unit Roadster, 350 unit Coupe). Di Malaysia, harga model ini bermula dari RM1.8 juta tidak termasuk cukai dan opsyen.

Ia dikuasakan oleh enjin 6.5 liter V12 yang menghasilkan 780 PS dan 720 Nm, jadi sudah tentu pemandu perlu berhati-hati ketika menekan pedal.

Mazda BT-50 XTR LE diperkenalkan di Australia

MAZDA Australia telah memperkenalkan varian baharu dalam barisan trak pikap BT-50. Dikenali sebagai BT-50 XTR LE, ia tampil dengan pelbagai aksesori tambahan dalam satu pakej yang menawarkan lebih nilai untuk pelanggan.

Boleh didapati di pasaran negara itu bermula Februari depan, ia dilengkapi dengan bull bar aloi, sports bar dan heavy duty tub liner untuk perlindungan daripada kesan calar dan kemek.

Menurut Mazda, semua aksesori tersebut direka khusus untuk pasaran Australia. Sebagai contoh, bull bar tersebut terintegrasi dengan sistem keselamatan trak tersebut bagi memastikan zon remuk, beg udara dan semua sistem bantuan tidak terggangu.

Lebih menarik lagi, R&D intensif dan ujian juga telah mengesahkan bahawa aksesori tersebut tidak mempunyai kesan negatif terhadap sistem penyejukan enjin dan transmisi.

Sementara itu, sports bar berkenaan diperbuat daripada keluli tahan karat berkualiti tinggi serta dilengkapi dengan lampu brek.

Aksesori-aksesori ini merupakan tambahan kepada pelbagai kelengkapan yang sedia ada termasuk sistem pendingin hawa dua zon, navigasi satelit, keyless entry, kamera undur dan Apple CarPlay/Android Auto.

BT-50 XTR LE akan ditawarkan dalam versi Dual-Cab 4X4 yang dikuasakan oleh enjin turbodiesel 3.0-liter dan transmisi automatik enam kelajuan. Ia didatangkan dalam warna Ingot Silver Metallic.

Harga bermula dari $64,295 (RM190,948), yang mana menurut Mazda menawarkan penjimatan sebanyak $2,500 (RM7,424) berbanding jika aksesori sama dipasang secara berasingan.

Toyota Hilux Rogue terima kemas kini mekanikal untuk 2023

SETELAH dua tahun diperkenalkan, Toyota Hilux Rogue kini hadir dalam versi yang dikemas kini untuk model tahun 2023.

Trak pikap popular itu akan memasuki pasaran Australia bermula Oktober depan dengan harga OTR bermula dari $70,200 (RM211,993). Ini bermakna semua naik taraf mekanikal yang terdapat pada model itu ditawarkan kepada pelanggan tanpa sebarang kenaikan harga.

Menurut Toyota Australia, trek (jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan) depan dan belakang Hilux Rogue kini bertambah sebanyak 140 mm, manakala ketinggian turut dinaikkan sebanyak kira-kira 20 mm.

Selaras dengan perubahan pada track dan ketinggian tersebut, lengan suspensi dan bar penstabil depan telah dipanjangkan lagi. Sudut penyerap hentak depan turut diubah suai bagi mendapatkan tahap kecekapan yang lebih baik.

Selain itu, Hilux Rogue 2023 juga dilengkapi dengan gandar belakang yang lebih panjang dan ini menyebabkan penyerap hentak belakang diposisikan semula ke arah luar.

Buat pertama kalinya juga bagi Hilux, bar penstabil belakang dipasang bagi meningkatkan ketegaran sebanyak 20 peratus serta memperbaiki tindak balas stereng ketika membelok.

Turut dinaik taraf adalah sistem brek, di mana ia kini didatangkan dengan brek cakera belakang bagi menggantikan brek gelendong pada model sebelum ini.

Dari segi reka bentuk pula, Hilux Rogue baharu tampil lebih ganas dengan overfender dan mudguard yang lebih lebar. Jika versi terdahulu hadir dengan rim 17 inci, model 2023 ini mendapat rim aloi berukuran 18 inci dengan kemasan warna lebih gelap.

Bagi pasaran Australia, ia boleh didapati dalam sembilan warna iaitu Glacier White, Frosted White, Silver Sky, Graphite, Eclipse Black, Nebula Blue, Feverish Red, Saturn Blue dan Oxide Bronze.

Hilux Rogue akan kekal dengan enjin 1G-FTV 2.8-liter turbodiesel empat silinder yang menghasilkan 204 PS dan 500 Nm, serta transmisi automatik enam kelajuan. Buat pengetahuan anda, Hilux Rogue pasaran Malaysia juga dikuasakan oleh gandingan enjin dan transmisi yang sama.

Lesen khas untuk supercar bakal diperkenalkan di Australia

SUPERCAR secara asasnya bermaksud kereta jalanan yang berkuasa tinggi, jadi ada logiknya juga jika pemandu diwajibkan memiliki lesen khas untuk memandu kereta jenis ini, bukan?

Inilah yang cuba dilakukan oleh Perdana Menteri Australia Selatan Peter Malinauskas. Dalam satu kenyataan media, Maulinaskas berkata pihaknya akan menggubal undang-undang baharu bagi memperkenalkan skim perlesenan untuk pemandu yang ingin memandu kereta sport berkuasa tinggi.

Bagi mendapatkan lesen khas ini, pemandu perlu menjalani latihan khusus serta memenuhi pelbagai lagi kriteria lain, sama seperti ketika mengambil lesen motosikal dan trak.

Selain itu, undang-undang baharu ini akan mengharamkan sistem kawalan cengkaman (traction control) yang boleh dinyahaktifkan dalam kenderaan berkuasa tinggi. Ia juga mensasarkan untuk memperkukuhkan undang-undang yang melarang pemandu yang dituduh membunuh daripada memegang lesen sehingga kes mereka selesai.

Langkah ini diambil susulan kematian Sophia Naismith, yang mana menurut ABC terbunuh selepas dilanggar oleh sebuah Lamborghini di luar sebuah restoran Cina pada 2019. Pemandu supercar itu, Alexander Campbell mengaku bersalah memandu secara berbahaya namun baru-baru ini dibebaskan daripada hukuman mati.

Selepas kematiannya, ibu bapa Naismith menjadi aktivis bagi mendesak pembaharuan. Malinauskas berkata, “Saya ingin berterima kasih kepada Pia dan Luke atas sokongan mereka, dan saya berharap pembaharuan ini akan mengelakkan tragedi sedemikian daripada berlaku ke atas keluarga lain.”

“Saya telah mengarahkan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk segera memulakan penggubalan undang-undang dan saya berharap Parlimen akan menyokong pembaharuan penting ini,” tambah beliau.

Perundangan itu dijadualkan dibawa ke Parlimen menjelang akhir tahun ini dan Malinauskas sudah menjangkakan tentangan sengit daripada para pemilik supercar.

 

Wanita ditahan di Australia kerana guna ‘lesen terbang’

SEORANG wanita telah ditahan di Australia kerana menunjukkan lesen memandu palsu. Lesen itu juga lengkap dengan kelas B penuh untuk motosikal 500cc dan ke atas.

Perkara ini tular di media sosial selepas dikongsi oleh laman Facebook Traffic and Highway Patrol Command – NSW Police Force semalam.

Menurut posting itu, polis NSW telah membuat pemeriksaan dengan INTERPOL dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pengesahan lesen itu, sebelum ia disahkan sebagai palsu.

Polis NSW telah memberi amaran dan bertanya kepada pemandu itu, dan dia kemudiannya mengaku, “Saya suruh orang buatkan.”

Pemandu tersebut yang ditahan semasa memandu Honda Accord sedan kini tinggal di New South Wales selama enam tahun lepas dengan visa.

Dia didakwa di mahkamah Griffith Local Court pada 13 April 2022 di atas kesalahan “mempunyai dokumen palsu untuk memperdaya petugas awam”. Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksima 10 tahun penjara.

Ya, lesen dan IC (kad pengenalan) palsu bukanlah perkara baharu di Malaysia. Tetapi jika sehingga tahap rakyat Malaysia berani menggunakannya di luar negara, boleh dikira suatu perkara yang berat.

Menurut laporan oleh FMT baru-baru ini, lesen memandu palsu diiklankan secara terbuka melalui media sosial. Ia berharga serendah RM180 untuk GDL atau PSV, RM200 untuk B2 atau RM350 untuk B penuh, serta RM450 untuk kelas D.

Selain itu, The Sun Daily pada 2018 pernah melaporkan bahawa terdapat kira-kira 14,000 lesen memandu palsu – juga dikenali sebagai Lesen Terbang – telah dikenalpasti.

Keliru pelanggan mengenai Mustang Mach 1, Ford didenda AU$4.5 juta

FORD Australia berdepan tamparan hebat selepas didapati bersalah mengelirukan pelanggan berhubung penjualan model Mustang Mach 1.

Australian Competition & Consumer Commission (ACCC) menetapkan denda AU$53,000 atau RM169,000 ke atas Ford kerana memberi maklumat salah mengenai model itu.

Pengerusinya Rod Sims berkata, ciri terdapat pada Mustang Mach 1 merupakan elemen penting kepada penjualan model itu.

Justeru, maklumat ciri yang tidak wujud menyebabkan pelanggan keliru kerana kemungkinan besar mereka boleh memilih membeli kereta lain, lapor Drive AU.

Foto ihsan Ford

Berdasarkan fakta kes, Ford didakwa memberi maklumat salah dalam brosur Mustang Mach 1 sekaligus mengelirukan pengguna.

Pada tahun 2020 dan 2021, Ford dikatakan mencetak informasi kelengkapan yang tidak wujud pada model Mustang Mach 1.

Maklumat tersebut adalah penderia parkir belakang, lampu kabus diod pemancar cahaya, sistem pencahayaan ambien pada poket pintu, alas kaki dan LSD Torsen.

Apa yang lebih malang, Ford juga terpaksa membayar pampasan sejumlah AU$4.5 juta (RM13.6 juta) kepada para pembeli Mustang Mach 1.

Pelanggan juga diberi pilihan sama ada mengembalikan semula kereta dibeli dan mendapat pulangan wang penuh atau menerima wang pampasan $5,400 (RM16,261).

Selain itu, pelanggan ditawarkan pakej servis percuma tiga tahun, peluang menyertai acara hari litar serta berpeluang menaiki jentera lumba Ford.

Polis Australia guna BMW M3 Competition untuk penilaian, lebih kuasa 480hp

GRIL ‘kidney’ yang terlebih besar menyebabkan BMW M3 generasi G80 terjerumus dalam kontroversi sejak hari pertama ia diperkenalkan. Ada yang boleh menerima penampilan unik itu dan tidak kurang juga yang menganggap ia sebagai sesuatu yang jelik.

Namun, walau apa pun tanggapan anda terhadap sedan berprestasi tinggi itu, tidak dapat dinafikan yang ia kelihatan lebih garang dan menggerunkan dengan livery polis dan bar lampu merah dan biru.

Terbaru, pasukan polis Australia telah mengumumkan ketibaan sebuah M3 Competition sebagai ‘anggota’ terbaru pasukannya. Model itu menyertai BMW 530d, Mercedes-Benz E400d dan Volkswagen Passat R-Line dalam barisan kereta peronda lebuhraya polis daerah Victoria.

M3 Competition secara asasnya merupakan versi yang lebih berkuasa berbanding M3 ‘standard’. Ia dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang sama namun kuasanya telah dipertingkatkan dari 480PS dan 550Nm kepada 510PS dan 650Nm.

Dengan transmisi M Steptronic lapan-kelajuan, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.9saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j.

Di Australia, M3 Competition dijual pada harga AUD154,471 (kira-kira RM463,889) namun kehadirannya dalam skuad polis Australia langsung tidak membabitkan wang cukai rakyat kerana menurut laporan, kereta itu dipinjamkan sementara oleh BMW untuk proses penilaian.

Ini bukanlah kali pertama BMW meminjamkan kereta mereka kepada polis Australia. Dua tahun yang lalu, pasukan itu menerima sebuah BMW M5 Competition yang turut dijadikan sebagai kereta peronda lebuhraya untuk kontinjen Victoria.

Selain itu, antara kenderaan berkuasa tinggi yang pernah digunakan oleh polis Australia termasuklah Kia Stinger, Lexus RC-F, Honda Civic Type-R dan Holden Commodore SS.

Hyundai Ioniq 5 laku keras di Australia, hanya dua jam habis terjual

KERETA elektrik pertama Hyundai, Ioniq 5 bak pisang goreng panas apabila kesemua stok dibawa masuk ke pasaran Australia habis terjual dalam tempoh dua jam sahaja.

Memetik laporan Car Expert, Hyundai bakal membawa masuk lebih 400 unit Ioniq 5 bagi tahun ini.

Namun, untuk tempoh permulaan hanya 240 unit dibawa masuk terlebih dahulu ke pasaran negara itu.

Terdapat dua jenis varian ditawarkan iaitu versi motor tunggal pacuan roda belakang 218 PS dan dua motor pacuan semua roda berkuasa 306 PS.

Kedua-dua varian ini didatangkan dengan pek bateri lithium ion berkapasiti 7.6 kWj.

Memetik kenyataan Hyundai, setakat ini lebih daripada 70 pelanggan telah membuat pembayaran deposit bagi mendaatkan Ioniq 5.

Pengguna hanya perlu mengecaj selama lima minit untuk mencapai jarak perbatuan 100 kilometer. – Foto ihsan Hyundai

Kelebihan Ioniq 5

Hyundai Ioniq 5 dapat menampung sekitar 400-volt dan 800-volt.

Secara tidak langsung, ia membolehkan baterinya dicaj semula dari 10 peratus sehingga 80% hanya dalam masa 18 minit!

Namun, untuk mencapai tahap pengecasan seperti itu, pengguna perlu menggunakan pengecasan pantas DC 350 kW.

Bagi model pacuan empat roda pula, ia mampu memucut dari 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat.

Versi pacuan roda belakang bersama bateri 72.6 kWj pula mampu bergerak antara 470 kilometer sehingga 480 kilometer hanya dengan sekali caj penuh.

Varian pacuan roda belakang dijual pada harga AUD$71,900 atau RM219,532 sementara varian semua roda ditawarkan pada harga AUD$75,900 (RM231,746).

Ruangan dalaman yang cukup selesa dan eksklusif. – Foto ihsan Hyundai

Masalah bekalan cip

Hyundai tidak menafikan syarikat itu turut terkesan dengan masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor.

Justeru, baki 160 unit Ioniq 5 dijangka hanya dapat dibawa masuk ke pasaran Australia selewat-lewatnta awal tahun depan.

Justeru, Hyundai memohon para pelanggan bersabar dan memahami masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor dihadapi kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan dunia.

Toyota dedah imej RAV4, pasaran Eropah bakal terima varian Adventure

TOYOTA buat julung kali mendedahkan imej model RAV4 2022 yang tampak lebih mempersona dan mengiurkan.

Menerusi visual dipaparkan terdapat beberapa perubahan ketara bagi model terbaharu ini.

Antara perubahan yang boleh disaksikan termasuk lampu diod pemancar cahaya (LED) yang kelihatan lebih ‘garang’ sekaligus sesuai untuk golongan lebih muda.

Selain itu, paling menarik perhatian adalah penggunaan bampar depan dengan gril hexagonal yang lebih besar.

Kemasan pada fender juga nampaknya lebih lebar selain turut didatangkan dengan dua tona warna eksklusif di bahagian badan dan bumbung.

Foto ihsan Toyota

Berikut merupakan antara ciri lain terdapat pada RAV4 2022:

  • Rim aloi 10-jejari perak atau hitam
  • Kerusi penumpang dengan larasan kuasa
  • Suis tingkap dengan pencahayaan
  • Slot USB Type C
  • Model Adventure

    Foto ihsan Toyota

    Berdasarkan maklumat diberikan Toyota, pasaran Eropah juga menerima model Adventure yang lebih menarik sama seperti ditawarkan di Amerika Utara, Jepun dan Australia.

    RAV4 yang ditawarkan di Eropah didatangkan hanya dalam varian hybrid.

    Ia menggabungkan enjin 2.5 liter kitaran Atkinson empat-silinder dengan motor elektrik yang menjana kuasa 218 PS.

    Ini termasuk 225 PS dengan tambahan motor belakang dan pacuan semua roda.

    Varian Plug-In Hybrid pula mempunya angka janaan 306 PS dan memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 75 kilometer melalui bateri lithium-ion 18.1 kWh.

    Pasaran Eropah dijangka menerima kemasukan RAV4 baharu ini pada suku pertama tahun depan.

    VW, Ford lancar Amarok W580X 2021! Tekad tawan pasaran trak pikap

    TRAK pikap Amarok W58oX secara rasmi dilancarkan di Australia.

    Amarok edisi khas hasil kerjasama Volkswagen (VW) dan Ford itu dijangka menarik minat majoriti pengguna Australia.

    Untuk rekod, model Amarok W580X juga mempunyai sentuhan teknologi firma tempatan, Walkinshaw.

    Pada masa sama, Walkinshaw merupakan ‘mastermind’ kepada rekaan pelindung cermin sisi, bampar belakang dan bahagian gril hadapan model itu.

    Amarok baharu terkenal dengan kelasakan di semua jenis permukaan jalan. – Foto VW Australia

    Rekaan enjin lebih bertenaga

    Amarok W580X memiliki enjin V6 3.0 liter turbo berkembar diesel.

    Ia mampu menghasilkan 255 hp dengan daya kilas 580 Nm menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

    Sementara itu, Amarok W580X ini didatangkan dengan suspensi kit pengangkat dan penyerap hentak tiub berkembar.

    Ruang dalaman yang cukup selesa. – Foto ihsan VW Australia

    Berikut antara spesifikasi canggih lain terdapat pada Amarok W580X:

    • Lampu utama bi-xenon
    • Lampu nyalaan siang diod pemancar cahaya atau LED
    • Kawalan iklim dua zon automatic
    • Tempat duduk dengan pemanas
    • Sistem pemantauan tekanan tayar
    • Rim tayar 18 inci

    Setakat ini, harga seunit Amarok W580X 2021 sekitar $38,490 dolar Australia atau bersamaan RM163,000.

    Setakat ini tidak dapat dipastikan adakah model ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia. – Foto ihsan VW Australia

    Suzuki lebar sayap di Australia, perkenal model Jimny Lite 2021

    PASARAN automotif Australia bakal menyaksikan model Suzuki Jimny 2021 tidak lama lagi.

    Menyedari mendapat permintaan tinggi, model dikenali sebagai Jimny Lite 2021 dijangka dipasarkan pada 1 Ogos nanti.

    Apa yang menarik, Jimny Lite 2021 didatangkan dengan pilihan manual atau automatik mengikut cita rasa pengguna.

    Jimny Lite dilengkapi enjin K15B 1.5L naturally-aspirated empat-silinder dengan 105 PS dan tork 130 Nm pada 4,000 rpm.

    Sistem pacuan empat-roda AllGrip Pro separuh masa juga ditawarkan serta menampilkan julat tinggi dan rendah (2H, 4H, dan 4L).

    Jimny Lite 2021 sesuai untuk aktiviti lasak dan di dalam bandar. – Foto ihsan Facebook/Suzuki Australia

    Antara ciri-ciri menarik lain terdapat pada Jimny Lite 2021 adalah:

    • Memiliki roda keluli gelap 15-inci
    • Penutup cermin sisi tekstur plastik
    • Lampu utama projektor halogen
    • Mempunyai pemain CD/radio in-dashyang lebih asas dengan Bluetooth
    • Sistem kawalan suhu manual

    Sementara itu, Suzuki bertekad untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran Australia.

    Setakat ini, harga bagi varian baharu Jimny Lite 2021 masih belum didedahkan kepada umum.

    Memetik kenyataan Pengarah Urusan Suzuki Australia Michael Pachota, pihaknya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

    Sedar mendapat permintaan tinggi, Suzuki Australia akan memastikan setiap tempahan pelanggan dikendalikan dengan sempurna.