fbpx

Polis Australia guna BMW M3 Competition untuk penilaian, lebih kuasa 480hp

bmw m3 competition polis australia 04

GRIL ‘kidney’ yang terlebih besar menyebabkan BMW M3 generasi G80 terjerumus dalam kontroversi sejak hari pertama ia diperkenalkan. Ada yang boleh menerima penampilan unik itu dan tidak kurang juga yang menganggap ia sebagai sesuatu yang jelik.

Namun, walau apa pun tanggapan anda terhadap sedan berprestasi tinggi itu, tidak dapat dinafikan yang ia kelihatan lebih garang dan menggerunkan dengan livery polis dan bar lampu merah dan biru.

Terbaru, pasukan polis Australia telah mengumumkan ketibaan sebuah M3 Competition sebagai ‘anggota’ terbaru pasukannya. Model itu menyertai BMW 530d, Mercedes-Benz E400d dan Volkswagen Passat R-Line dalam barisan kereta peronda lebuhraya polis daerah Victoria.

M3 Competition secara asasnya merupakan versi yang lebih berkuasa berbanding M3 ‘standard’. Ia dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang sama namun kuasanya telah dipertingkatkan dari 480PS dan 550Nm kepada 510PS dan 650Nm.

Dengan transmisi M Steptronic lapan-kelajuan, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.9saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j.

Di Australia, M3 Competition dijual pada harga AUD154,471 (kira-kira RM463,889) namun kehadirannya dalam skuad polis Australia langsung tidak membabitkan wang cukai rakyat kerana menurut laporan, kereta itu dipinjamkan sementara oleh BMW untuk proses penilaian.

Ini bukanlah kali pertama BMW meminjamkan kereta mereka kepada polis Australia. Dua tahun yang lalu, pasukan itu menerima sebuah BMW M5 Competition yang turut dijadikan sebagai kereta peronda lebuhraya untuk kontinjen Victoria.

Selain itu, antara kenderaan berkuasa tinggi yang pernah digunakan oleh polis Australia termasuklah Kia Stinger, Lexus RC-F, Honda Civic Type-R dan Holden Commodore SS.

Lihatkan Ulasan (2)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved