Lencana Volkswagen Roobadge bantu elak perlanggaran dengan kanggaru
VOLKSWAGEN mengumumkan yang ia sedang melaksanakan ujian percubaan untuk Roobadge, lencana yang direka khas untuk mengurangkan risiko perlanggaran antara pemandu dan kanggaru.
Harapnya ini bukanlah jenaka April Fool dari jenama itu. Di Australia, kanggaru merupakan antara ancaman terbesar kepada pemandu dengan 90% kes perlanggaran dengan hidupan liar melibatkan haiwan jenis marsupial itu.
Menurut Volkswagen, pembangunan Roobadge bermula kira-kira tiga tahun lalu dengan kerjasama pakar tingkah laku kanggaru dari University of Melbourne dan organisasi penyelamat hidupan liar WIRES.
Roobadge secara asasnya adalah pembesar suara elektronik yang boleh mengeluarkan bunyi-bunyi seperti bunyi burung, haiwan pemangsa dan juga hentakan kaki kanggaru untuk menghalau kanggaru.
Peranti itu boleh disambungkan kepada aplikasi dalam kereta yang akan mengaktifkannya secara automatik setiap kali kenderaan memasuki lokasi hotspot yang dikenali pasti kerap berlaku perlanggaran dengan haiwan berkenaan.
Apa yang menarik, bunyi yang dihasilkan berbeza mengikut spesis kanggaru yang mendiami kawasan berkenaan. Roobadge akan menentukan bunyi yang perlu dikeluarkan menggunakan GPS dan data yang dibekalkan oleh WIRES.
Untuk fasa ujian ini, Volkswagen memasang Roobadge pada trak pikap Amarok secara plug-and-play. Pada mulanya, teknologi ini diuji di padang-padang golf di mana kanggaru sudah biasa dengan kehadiran manusia.
Selepas itu, beberapa unit Amarok diletakkan di lokasi-lokasi di mana kanggaru liar berhijrah untuk merakamkan reaksi haiwan itu setiap kali bunyi dihasilkan.
Untuk peringkat seterusnya, trak pikap berkenaan dipandu pada kelajuan rendah untuk mengumpul lebih banyak data mengenai keberkesanan bunyi-bunyi yang dihasilkan.
Selain lencana, Volkswagen juga sedang membangunkan pemegang nombor plat dengan teknologi sama yang boleh dipasang pada semua jenis kenderaan, tidak kira jenama.
Bukan itu sahaja, syarikat itu juga dalam perbincangan dengan rakan kongsi di luar negara untuk membangunkan Roobadge untuk haiwan-haiwan lain.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.