fbpx

Toyota Hilux Rogue terima kemas kini mekanikal untuk 2023

Toyota-Hilux-Rogue-2023-01

SETELAH dua tahun diperkenalkan, Toyota Hilux Rogue kini hadir dalam versi yang dikemas kini untuk model tahun 2023.

Trak pikap popular itu akan memasuki pasaran Australia bermula Oktober depan dengan harga OTR bermula dari $70,200 (RM211,993). Ini bermakna semua naik taraf mekanikal yang terdapat pada model itu ditawarkan kepada pelanggan tanpa sebarang kenaikan harga.

Menurut Toyota Australia, trek (jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan) depan dan belakang Hilux Rogue kini bertambah sebanyak 140 mm, manakala ketinggian turut dinaikkan sebanyak kira-kira 20 mm.

Selaras dengan perubahan pada track dan ketinggian tersebut, lengan suspensi dan bar penstabil depan telah dipanjangkan lagi. Sudut penyerap hentak depan turut diubah suai bagi mendapatkan tahap kecekapan yang lebih baik.

Selain itu, Hilux Rogue 2023 juga dilengkapi dengan gandar belakang yang lebih panjang dan ini menyebabkan penyerap hentak belakang diposisikan semula ke arah luar.

Buat pertama kalinya juga bagi Hilux, bar penstabil belakang dipasang bagi meningkatkan ketegaran sebanyak 20 peratus serta memperbaiki tindak balas stereng ketika membelok.

Turut dinaik taraf adalah sistem brek, di mana ia kini didatangkan dengan brek cakera belakang bagi menggantikan brek gelendong pada model sebelum ini.

Dari segi reka bentuk pula, Hilux Rogue baharu tampil lebih ganas dengan overfender dan mudguard yang lebih lebar. Jika versi terdahulu hadir dengan rim 17 inci, model 2023 ini mendapat rim aloi berukuran 18 inci dengan kemasan warna lebih gelap.

Bagi pasaran Australia, ia boleh didapati dalam sembilan warna iaitu Glacier White, Frosted White, Silver Sky, Graphite, Eclipse Black, Nebula Blue, Feverish Red, Saturn Blue dan Oxide Bronze.

Hilux Rogue akan kekal dengan enjin 1G-FTV 2.8-liter turbodiesel empat silinder yang menghasilkan 204 PS dan 500 Nm, serta transmisi automatik enam kelajuan. Buat pengetahuan anda, Hilux Rogue pasaran Malaysia juga dikuasakan oleh gandingan enjin dan transmisi yang sama.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved