fbpx

Toyota Hilux dapat enjin mild hybrid 48V di Eropah

Toyota Hilux Hybrid 48V 01

BERMULA tahun hadapan, Toyota Hilux untuk pasaran Eropah akan ditawarkan dengan pilihan enjin mild hybrid 48V yang dikatakan lebih cekap dan menawarkan pemanduan lebih lancar.

Dikenali sebagai Hilux Hybrid 48V, model ini menampilkan gabungan enjin turbodiesel 2.8 liter dan sistem mild hybrid 48V yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 16 PS dan 65 Nm untuk kuasa pecutan yang lebih baik.

Seperti Hilux Rogue, enjin turbodiesel berkenaan menghasilkan 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm.

Dalam sistem ini, enjin tersebut akan memacu sebuah penjana motor kompak menggunakan sistem tali sawat. Penjana motor kompak itu kemudiannya akan mengecas bateri lithium 48V seberat 7.6 kg yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang.

Seperti sistem hibrid Toyota, bateri tersebut akan dicas menerusi sistem brek janaan semula semasa nyahpecutan. Apabila sudah penuh, bateri itu akan menyalurkan kuasa tambahan kepada enjin menerusi motor penjana untuk membantu pecutan.

Menurut Toyota, kuasa tambahan tersebut membolehkan Hilux menghadapi permukaan yang mencabar dengan lebih mudah, sementara brek janaan semula pula membantu kenderaan menuruni bukit dengan lebih selamat.

Penaja motor itu direka khusus untuk penggunaan yang lasak manakala enjin itu pula dinaik taraf dengan belt tensioner baharu dan tali sawat yang lebih kuat.

Ditambah pula dengan sistem henti-mula, Toyota mendakwa Hilux Hybrid 48V mampu meningkatkan kecekapan bahan api sebanyak 5 peratus jika dibandingkan dengan trenkuasa diesel biasa.

Walaupun dipacu trenkuasa yang telah dielektrifikasi, Hilux Hybrid 48V masih mampu menggalas tugas sebagai sebuah trak pikap sebenar. Penggunaan sistem hibrid nampaknya tidak menjejaskan kapasiti tunda dan muatan, yang masing-masing kekal pada 3,500 kg dan 1,000 kg.

Untuk pemanduan off-road pula, ia mempunyai jarak lega tanah 310 mm, sudut mendekat 29 darjah dan sudut pelepasan 26 darjah. Trak ini juga mampu meredah air setinggi 700 mm kerana semua komponen berkaitan sistem mild hybrid adalah kalis air.

Hilux Hybrid 48V didatangkan dengan sistem keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Adaptive Cruise Control (ACC), Road Sign Assist (RSA), Adaptive High Beam (AHB) dan lain-lain.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved