Ford Everest Tremor diperkenalkan untuk pasaran Australia
AKHIR Julai lalu, Ford Ranger pasaran Australia mendapat varian baharu yang dikenali sebagai Tremor. Kini, tiba giliran Everest pula menerima kemaskini berfokuskan off-road yang sama.
Sekali pandang, anda akan tahu yang Everest Tremor bukanlah varian yang biasa-biasa. Ia mempunyai penampilan lebih rugged yang disumbangkan oleh bampar baharu dengan lampu LED, cangkuk tunda dan bash plate keluli.
Tidak cukup dengan itu, gabungan peredam sensitif posisi Bilstein dan rim 17 inci yang dibalut tayar General Grabber AT3 pula memberikan SUV ini jarak kelegaan tanah tambahan sebanyak satu inci.
Ruang dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit ebony dengan logo Tremor pada perehat kepala, serta pelapik lantai jenis all-weather. Lebih penting lagi adalah penambahan mod Rock Crawl yang diambil terus dari Ranger Raptor.
Sementara itu, sistem bantuan pemandu tercanggih yang terdiri daripada ciri-ciri seperti Intelligent Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Intelligent Speed Assist, Traffic Sign Recognition, Lane Centering, Blind Spot Monitoring with Cross Traffic Alert, dan Blind Spot Monitoring with Cross Traffic Alert dikekalkan.
Pelanggan yang merancang untuk masuk jauh ke dalam hutan boleh mendapatkan Rough Terrain Pack yang ditawarkan tanpa sebarang kos tambahan. Ia merangkumi stealth bar dan perlindungan bawah badan daripada ARB, dan switch bank.
Ranger Tremor dikuasakan oleh enjin turbodiesel 3.0-liter V6 yang menghasilkan 250 PS pada 3,250 rpm dan 600 Nm dari 1,750 hingga 2,250 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacuan empat roda.
Di Australia, Ranger Tremor boleh didapati dalam empat warna iaitu Command Grey, Meteor Grey, Shadow Black dan Arctic White, dengan harga jualan bermula dari AUD76,590 (RM225,000).
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.