C-130 Hercules TUDM bakal jalani naik taraf avionik
KEMENTERIAN Pertahanan telah mengeluarkan tender untuk menaik taraf enam unit C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Tender itu disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan dan di laman web kementerian itu pada 20 Ogos lepas. Tetapi ia tidak disiarkan di laman web E-perolehan.
Tender tersebut adalah berkenaan naik taraf avionik bagi pesawat pengangkut itu.
Pembida yang berminat boleh terus menyertai lawatan yang diadakan pada 29 Ogos dan tender akan ditutup pada 10 Oktober. Dokumen bidaan berharga RM1,500 dan akan dipulangkan kepada pembida yang tidak memenangi tender.
Program naik taraf C-130 TUDM telah berjalan sejak dua dekad lalu. Memandangkan pesawat dengan nama gelaran Hercules ini akan digunakan hingga 2040, naik taraf bahagian avionik adalah diperlukan.
Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-70 pesawat itu. Prototaip YC-130A membuat penerbangan sulungnya pada 23 Ogos 1954.
TUDM memiliki sepuluh buah pesawat C-130 Hercules termasuk beberapa varian C-130H-30 dan empat buah varian pengisi minyak, KC-130H.
Kesemua pesawat pengangkut C-130 Hercules itu ditempatkan di Skuadron 20 di Pangkalan Udara Subang serta Skuadron 14 di Pangkalan Udara Labuan.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.