Arkib Kategori: BERITA

China mahu haramkan stereng ‘yoke’, wajibkan butang fizikal mulai 2027

Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China dilapor bakal melaksanakan dua standard keselamatan automotif baharu bermula tahun hadapan (2027).

Pelaksanaan ini dijangka akan memberikan kesan besar terhadap reka bentuk kenderaan moden, khususnya model EV yang hadir dengan ciri kokpit minimalis dan stereng ‘yoke’.

 

Tiada lagi stereng ala F1

Piawaian keselamatan nasional terbaharu berkaitan stereng (GB 11557-202X) yang telah diterbitkan itu bakal berkuat kuasa 1 Januari 2027.

Ini kerana standard semasa (GB 1157-2011) telah digunakan sejak 2011 dan tidak lagi relevan dengan teknologi terkini.

Perubahan paling kritikal ialah tiada lagi pengecualian untuk ujian impak manusia di mana semua model wajib lulus ujian ini.

Standard terbaharu itu juga mewajibkan ujian pada 10 titik tertentu di rim stereng termasuk bahagian paling lemah dan kawasan tanpa sokongan.

Jadi agak mustahil bagi mana-mana stereng yoke yang tidak mempunyai bahagian atas untuk memenuhi standard baharu tersebut.

Daripada sudut pandang keselamatan pula, data menunjukkan 46 peratus kecederaan pemandu berpunca daripada mekanisme stereng.

Reka bentuk bulat tradisional memberikan kawasan serapan impak yang lebih besar, manakala stereng yoke pula meningkatkan risiko kecederaan sekunder.

Ramai pemandu juga melaporkan kesukaran untuk melakukan pusingan U dan parkir apabila menggunakan stereng yoke.

 

Wajibkan butang fizikal

Dalam perkembangan berkaitan, China turut memuktamadkan pindaan standard GB 4094-2016 yang akan mewajibkan butang fizikal untuk fungsi asas kenderaan bermula 1 Julai 2027.

Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap skrin infohibur yang semakin menguasai reka bentuk kokpit EV moden.

Antara fungsi yang diwajibkan mempunyai kawalan fizikal termasuklah:

  • lampu isyarat membelok, lampu kecemasan, hon
  • penukaran gear PRND (larangan penukaran gear melalui skrin)
  • butang pengaktifan sistem bantuan pemandu (ADAS)
  • pengelap cermin, defroster/defogger, tingkap kuasa
  • sistem panggilan kecemasan, suis kuasa EV

Keperluan tambahan turut ditetapkan, seperti:

  • saiz butang minimum 10 mm x 10 mm
  • kedudukan tetap
  • boleh dikendalikan tanpa melihat
  • kekal berfungsi walaupun sistem kenderaan mengalami kegagalan

 

Yamaha Crosscore RV 2026, bantu kayuh off-road lebih mudah!

Yamaha Motor Co., Ltd. memperkenalkan model terbaharu dalam barisan basikal bantuan elektrik sport mereka menerusi pelancaran Yamaha Crosscore RV 2026 di Jepun.

Model ini hadir sebagai simbol sambutan ulang tahun ke-10 siri basikal Yamaha YPJ yang telah mula bertapak dalam pasaran sejak tahun 2015.

Dibangunkan dengan konsep 365 days, 1 bike, basikal elektrik Crosscore RV 2026 direka untuk memenuhi keperluan penunggang yang mahukan fleksibiliti antara tunggangan harian ke tempat kerja dan aktiviti lasak di hujung minggu.

eBike Crosscore RV 2026 merupakan evolusi model Crosscore RC dengan penambahan elemen off-road yang lebih ketara untuk kegunaan pelbagai guna.

Unit Pemacu Yamaha Crosscore RV

Nadi utama Crosscore RV 2026 adalah unit pemacu PWseries S2 yang memiliki reka bentuk ringan dan kompak.

Motor elektrik yang dibekalkan pada Yamaha Crosscore ini menawarkan tahap bantuan kuasa yang tinggi untuk pelbagai situasi tunggangan bagi menyokong kelancaran pergerakan.

Sistem pada Yamaha Crosscore ini sangat membantu ketika penunggang perlu memulakan pecutan di cerun curam atau mengendalikan laluan off-road yang mencabar.

Dengan unit pemacu ini, peralihan kuasa dirasakan lebih lancar sekali gus meningkatkan keselesaan tunggangan bagi pelbagai kegunaan.

Keupayaan Off-road

Bagi memastikan kelancaran di laluan tidak rata, Yamaha melengkapkan Crosscore RV 2026 dengan sistem transmisi 12 peringkat daripada Shimano.

Penggunaan komponen gred off-road pada Yamaha Crosscore ini membolehkan pemilihan gear dilakukan dengan lebih tepat mengikut keadaan permukaan jalan.

Selain itu, Crosscore RV turut dilengkapi dengan sistem ampaian yang mempunyai ketegaran tinggi bagi mengekalkan kestabilan di jalan kasar.

Sistem brek pula dilaraskan khusus untuk memberikan kawalan maksimum ketika menuruni cerun yang curam atau melalui permukaan jalan yang mencabar.

Estetika dan Reka Bentuk Luaran Crosscore RV

Yamaha Crosscore RV 2026 tampil dengan skema warna Cosmic Black yang dipadankan bersama grafik berwarna tembaga untuk imej yang lebih eksklusif.

Gabungan tersebut memberikan penampilan yang premium namun tetap kelihatan kasual untuk dipadankan dengan pelbagai gaya pemakaian.

Yamaha turut memberikan perhatian kepada perincian warna pada bahagian pelana, hendal dan dinding tayar yang menggunakan tona beige.

Pilihan warna pada Yamaha Crosscore ini menampilkan gaya yang lebih kemas dan menarik, sesuai untuk kegunaan harian atau aktiviti luar.

Pelancaran dan Harga Yamaha Crosscore RV 2026

Crosscore RV 2026 bakal dijual secara rasmi di Jepun pada 7 Mac 2026. eBike ini ditawarkan pada harga 380,000 yen atau bersamaan RM9,598.80.

Spesifikasi Teknikal Yamaha Crosscore RV 2026

Berikut adalah perincian data teknikal  bagi saiz kerangka S dan M:

  • Model: Yamaha Crosscore RV 2026

  • Saiz: S dan M

  • Panjang keseluruhan saiz S: 1,775 mm

  • Panjang keseluruhan saiz M: 1,785 mm

  • Lebar keseluruhan: 750 mm

  • Ketinggian pelana saiz S: 800 sehingga 985 mm

  • Ketinggian pelana saiz M: 850 sehingga 1,035 mm

  • Saiz tayar hadapan dan belakang: 27.5 x 2

  • Berat saiz S: 22.5

  • Berat saiz M: 22.7

  • Jarak perjalanan mod HIGH: 82 km

  • Jarak perjalanan mod STD: 94 km

  • Jarak perjalanan mod ECO: 130 km

  • Jarak perjalanan mod +ECO: 184 km

  • Jarak perjalanan mod Automatic Assist: 84 km

  • Jenis motor: Brushless DC

  • Output kadar motor elektrik: 250 W (0.34 ps)

  • Sistem pertukaran kelajuan: Luaran 12 peringkat (1 depan x 12 belakang)

  • Jenis bateri: Litium-ion

  • Voltan bateri: 36 V

  • Kapasiti bateri: 13.1 Ah

  • Masa pengecasan: Kira-kira 3.5 jam

  • Pilihan warna: Cosmic Black

Fiat Topolino Corallo 2026, kuadrisikal comel dengan jarak 75 km!

Fiat terus membawa keriangan ke jalan raya bandar menerusi kemas kini kuadrisikal elektrik ikonik iaitu Fiat Topolino Corallo 2026.

Kenderaan yang menjadi simbol mobiliti mampan dan santai tersebut kini hadir dengan dua pembaharuan utama yang menarik perhatian iaitu warna Corallo yang menyerlah serta kluster digital yang lebih besar dan canggih.

Langkah tersebut selari dengan misi Fiat untuk mengubah bandar menjadi ruang yang lebih tenang dan menyeronokkan menerusi kenderaan yang bukan sahaja praktikal, malah mempunyai personaliti yang kuat.

Pilihan Warna Corallo Yang Menawan

Fiat sememangnya terkenal sebagai jenama warna dan pengenalan rona Corallo adalah bukti identiti tersebut. Warna tersebut membawa tona hangat dan optimistik yang menggambarkan suasana ceria di Itali.

Dengan kehadiran warna Corallo, keluarga Fiat Topolino kini berkembang kepada dua pilihan warna utama, iaitu rona baharu tersebut dan juga warna Verde Vita yang sedia ada.

Ini bermakna pengguna mempunyai lebih banyak pilihan untuk memadankan gaya hidup mereka dengan personaliti kenderaan yang comel ini.

Paparan Digital Lebih Besar dan Jelas

Bukan sahaja luaran yang berubah, bahagian dalaman Topolino 2026 menjadi lebih moden dan intuitif.

Kluster digital pada papan pemuka telah dipertingkatkan saiznya daripada 3.5 inci kepada 5.7 inci, dengan keseluruhan luas panel mencapai 8.3 inci.

Peningkatan saiz tersebut disertakan dengan grafik yang lebih ringkas dan bahasa visual yang lebih mesra pengguna.

Ciri ini memastikan pemandu dapat membaca maklumat pemanduan dengan lebih jelas dan mudah semasa mengendalikan kenderaan di tengah kesibukan kota.

Peneraju Pasaran Kuadrisikal Eropah

Kecomelan Topolino bukan sekadar pada rupa, malah model ini telah membuktikan kehebatannya sebagai juara jualan.

Pada tahun 2025, Fiat Topolino berjaya mengekalkan kedudukan nombor satu dalam pasaran kuadrisikal Eropah dengan pegangan pasaran sebanyak 20%.

Faktor utama kejayaan Topolino adalah reka bentuk ultra-kompak yang memudahkan urusan parkir, kos operasi yang rendah, serta pemanduan elektrik sepenuhnya yang sangat lancar.

Walaupun kecil, ruang dalamannya tetap terasa luas dan terang untuk dua penumpang hasil penggunaan susunan tempat duduk berperingkat serta permukaan kaca yang lebar.

Rangkaian Kuasa

Sesuai dengan peranannya sebagai ‘hero’ bandar, Fiat Topolino direka untuk kelancaran mobiliti jarak dekat dengan spesifikasi teknikal yang efisien.

  • Panjang Kenderaan: 2,530 mm

  • Kelajuan Maksimum: 45 km/j

  • Kapasiti Bateri: 5.4 kWj

  • Jarak Gerak: Sehingga 75 km

  • Pengecasan: Mudah dilakukan di rumah

  • Akses Bandar: Bebas memasuki Zon Trafik Terhad (ZTL) dan pusat bandar bersejarah

Castrol raih anugerah di Asia Automotive Brand Trust

Castrol Malaysia meraih anugerah Brand Trust & Market Leadership oleh Asia Automotive Award yang ke-5 bertempat di Bangkok, bulan lepas. 

Ia merupakan satu pengiktirafan merentasi 11 pasaran Asia yang menegaskan kepercayaan tinggi mekanik terhadap jenama tersebut.

Castrol Malaysia pilihan utama mekanik & pengguna

Castrol terus mengukuhkan kedudukan sebagai rujukan utama mekanik dan pengguna di Malaysia.

Dengan lebih 3,000 bengkel termasuk rangkaian Castrol Auto Service dan Castrol Bike Point, Castrol menyokong sehingga 500,000 pemilik kenderaan setiap bulan.

Menurut Joshua Tan, Ketua Pemasaran Castrol Malaysia & Singapura berkata, “Kepercayaan ini dibina melalui prestasi konsisten dan kerjasama rapat dengan mekanik.

Relevan dengan keperluan dunia sebenar

Castrol turut membantu pengguna dalam penyelesaian digital seperti Castrol Motorist App dan alat keterlihatan bengkel. 

Ia bertujuan untuk membantu pengguna membuat keputusan servis dengan lebih jelas dan telus.

Penanda aras kredibiliti serantau

Asia Automotive Award dianggap sebagai penanda aras kredibiliti serantau dalam kalangan pengeluar, penyedia servis dan pemain aftermarket.

Kejayaan Castrol membuktikan bagaimana kepercayaan yang dibina di bengkel memberi kesan langsung kepada pengalaman pemilik kenderaan di jalan raya.

Mitsubishi Xforce 2026 terima lebih 1,000 tempahan dalam tempoh seminggu

Dalam tempoh seminggu selepas pra-pelancaran, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan SUV segmen B Xforce sudah pun menerima lebih 1,000 tempahan.

 

Lanjutan Pakej Early Bird

Sebagai tanda penghargaan, MMM melanjutkan tawaran Pakej Early Bird kepada 1,000 pelanggan seterusnya yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi.

Pelanggan yang menempah dalam tempoh lanjutan ini akan menikmati:

  • Rebat tunai RM5,000
  • Pengecualian kos buruh untuk servis sebanyak tiga kali
  • Peraduan “Buy 1 Free 1”, dengan peluang memenangi sebuah lagi Mitsubishi Xforce Ultimate

Xforce tawar pakej moden dan praktikal

Mitsubishi Xforce tampil dengan rekaan moden dan berani serta diiktiraf melalui iF DESIGN AWARD 2024.

SUV kompak ini turut menawarkan pengendalian lincah dengan empat mod pemanduan, Active Yaw Control (AYC) dan jarak kelegaan tanah terbaik dalam kelasnya iaitu 222mm.

Bahagian dalamannya pula menekankan keselesaan dan kemudahan harian, antaranya:

  • Tempat duduk belakang boleh baring 8 peringkat
  • Sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium
  • Paparan 12.3 inci dengan Apple CarPlay™ & Android Auto™ tanpa wayar
  • Penyaman udara nanoe™ X dua zon

Ciri pintar lain termasuk Power Tailgate dengan Kick Motion, sistem keselamatan Mitsubishi Motors Safety Sensing (ADAS), 23 ruang simpanan bersama kotak penyejuk tengah, serta All-Round Monitor dengan penderia parkir.

Harga jualan anggaran Mitsubishi Xforce 2026 adalah seperti berikut:

  • Urban – RM110,000
  • Ultimate – RM120,000

Volkswagen Transporter Sportline (2026) – Bila van pakai bodykit ala GTI

Volkswagen Commercial Vehicles telah memperluaskan barisan Transporter dengan memperkenalkan varian paling tinggi iaitu Volkswagen Transporter Sportline. Ia dijadualkan memasuki pasaran pada awal 2026 sebagai versi paling premium serta paling menyerlah dalam keluarga Transporter.

Luaran

Dari segi penampilan, van ini tampil dengan pakej luaran eksklusif yang membezakannya daripada varian lain. Ini termasuk bampar hadapan dan belakang khusus Sportline, spoiler belakang, gril, penutup cermin sisi serta lencana kemasan hitam berkilat.

Skirt sisi dan rel bumbung ditambah bagi menyerlahkan imej sporty, manakala suspensi direndahkan sebanyak 29 mm untuk memberikan stance lebih rendah dan stabil.

Rim aloi 19 inci kemasan dwi-tona melengkapkan penampilan agresif ini, bersama lampu utama Matrix LED dan jalur merah ikonik pada gril yang menjadi identiti Sportline.

Dalaman

Ruang kabin pula memfokuskan kepada suasana lebih premium menerusi tempat duduk sport yang dibalut kulit eco, jahitan merah, kemasan timbul dan stereng dibalut kulit dengan ciri pemanas.

Sentuhan eksklusif model ini diserlahkan lagi dengan kehadiran scuff plate logam bercahaya, pencahayaan ruang kaki, kemasan paparan hitam berkilat, dan alas lantai berlogo Sportline.

Dari sudut kelengkapan, Sportline hadir dengan sistem Keyless Access bersama Safelock, kamera Area View, cermin sisi berlipat kuasa dengan pemanas serta rangkaian penuh sistem bantuan pemandu terkini. Untuk trenkuasa, tiada sebarang peningkatan kuasa memandangkan enjin kekal seperti varian lain.

Harga

Harga bagi Transporter Sportline bermula dari £51,105 (RM272,200) untuk van panel Short Wheelbase (SWB) dan £51,975 (RM276,650) bagi versi Long Wheelbase (LWB). Untuk model Kombi lima tempat duduk, harga bermula dari £53,085 (RM282,560) untuk SWB dan £53,955 (RM287,190) untuk LWB.

Transporter Sportline 75 Special Edition

Sempena ulang tahun ke-75 Volkswagen Bus, turut ditawarkan Transporter Sportline 75 Special Edition yang dihadkan kepada hanya 75 unit. Ia hadir dengan warna Moss Green, jahitan kontras hijau pada tempat duduk dan stereng, penutup cermin sisi dengan logo ‘Sportline 75’, serta nombor siri pengeluaran.

Honda Super-One (2026) didedahkan — EV FWD dengan Boost Mode, ada Active Sound Control

Lebih banyak maklumat mengenai Honda Super-One telah didedahkan, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas tentang kei car elektrik itu menjelang pelancarannya di Jepun.

Model ini diinspirasikan daripada legenda 80-an iaitu Honda City Turbo II.

Luaran

Dari segi luaran, Super-One tampil jauh lebih agresif berbanding Honda N-One e: biasa.

Ia menerima bampar baharu dengan saluran udara berfungsi, fender yang lebih menonjol bagi menjadikan stance lebih lebar, serta spoiler bumbung.

Melengkapkan imej rangginya adalah rim aloi 15 inci dalam kemasan matte Berlina Black yang dipadankan bersama tayar Yokohama, serta warna eksklusif Boost Violet Pearl.

Dari segi saiz, Super-One berukuran 3,589 mm panjang, 1,573 mm lebar dan 1,616 mm tinggi.

Bermakna ia lebih besar berbanding N-One e:, walaupun masih mengekalkan jarak roda 2,520 mm yang sama.

Dalaman

Masuk ke ruang kabin, susun atur asas masih sama seperti N-One e:.

Tetapi Super-One diberikan sentuhan lebih sporty menerusi tempat duduk dengan sokongan sisi lebih tebal, kemasan aksen ungu, serta paparan kluster digital 7 inci dengan grafik khas.

Bagi menjadikan pemanduan lebih mengujakan, paparan berkenaan akan bertukar kepada rekaan seakan takometer apabila Boost Mode diaktifkan.

Sistem Active Sound Control pula menghasilkan bunyi enjin dan simulasi pertukaran gear menerusi sistem audio Bose lapan pembesar suara.

Selain itu, ciri-ciri seperti skrin infotainmen 9 inci, tempat duduk dan stereng pemanas, serta pakej penuh sistem bantuan pemandu turut ditawarkan sebagai standard.

Trenkuasa

Super-One dipacu oleh motor elektrik tunggal di gandar hadapan.

Angka kuasa rasmi masih belum diumumkan, namun berdasarkan maklumat yang sempat dipaparkan di laman web Honda Singapura baru-baru ini, model ini dikatakan menghasilkan 95 PS iaitu 31 PS lebih tinggi berbanding N-One e:.

Stellantis mulakan produksi Peugeot 408 dengan enjin Euro 6 untuk pasaran Taiwan

Stellantis meraikan satu lagi pencapaian penting dengan memulakan produksi model Peugeot 408 baharu di kilang Gurun.

Peugeot 408 itu dipasangkan enjin PureTech 1.6L turbo spesifikasi Euro 6 menghasilkan 225 hp setara dengan varian plug-in hybrid (PHEV).

Unit CKD ini turut dieksport ke pasaran Taiwan – pasaran eksport ketiga selepas Thailand (2024) dan Kemboja (2025).

Beberapa pasaran lain di rantau Asia Pasifik sedang dinilai untuk eksport model ini.

 

Kilang Stellantis terima naik taraf

Dengan pelaburan bernilai €1.5 juta (RM6.97 juta), kilang Stellantis Gurun menerima naik taraf pada bahagian pengeluaran, termasuk kerja R&D khusus untuk talaan rangkaian kuasa serta pembangunan komponen tempatan.

Pencapaian ini merupakan elemen penting dalam pelan strategik Stellantis untuk menjadikan kilang Gurun sebagai hab pembuatan serantau dengan standard kualiti bertaraf industri.

Ia dijangka mampu mencapai kapasiti penuh menjelang 2028, termasuklah eksport sehingga 280,000 unit ke 20 negara Asia Pasifik.

Selain pemasangan kenderaan enjin konvensional (ICE), kilang Gurun juga mampu memasang kenderaan elektrik (EV) serta kenderaan hibrid ringan (MHEV).

Pemasangan EV CKD akan dimulakan dengan model Leapmotor C10 hasil pelaburan khusus bernilai €5 juta (RM23.19 juta).

Menurut Isaac Yeo selaku Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, “Visi kami untuk menjadikan Gurun sebagai pemacu utama rantau ini direalisasikan melalui pelaburan strategik bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk pasaran tempatan dan eksport.

“Perkembangan ini mengukuhkan komitmen kami untuk meningkatkan output produksi di Malaysia sambil memperluas rangkaian jenama dan model dalam portfolio Stellantis.”

Triumph Malaysia lancar Street Triple RX 2026 & Trident 800 2026 – harga dari RM53,900

Didi Group selaku pengedar sah jenama Triumph Motorcycles melancarkan dua model baharu:

  • Street Triple 765 RX – RM81,100
  • Trident 800 – dari RM53,900

Triumph Street Triple 765 RX 2026

Street Triple 765 RX hadir dengan enjin 3-silinder 765 cc, kuasa sekitar 130 PS @ 12,000 rpm dan 80 Nm @ 9,500 rpm.

Jentera ini menampilkan kemasan eksklusif RX seperti logo RX ukiran laser pada peredam, pelana RX, subrangka dan rim warna merah dan kemasan Matt Aluminium Silver.

Sebagai sebuah senjata ampuh di litar, Street Triple 765 R dilengkapi dengan fork hadapan boleh laras Ohlins NIX30 yang menawarkan jarak pergerakan 115 mm.

Sementara belakang pula dilengkapi penyerap hentak tunggal boleh laras Ohlins STX40 dengan jarak pergerakan 131.2 mm.

Sistem brek pula menggunakan angkup 4-omboh Brembo Stylema yang mencengkam rotor berkembar 310 mm, diikuti angkup omboh tunggal Brembo dan rotor 220 mm di belakang.

Ciri lain termasuklah:

  • tangki bahan api 15 liter
  • tinggi pelana 839 mm
  • ABS saluran berkembar
  • skrin paparan TFT lima inci berwarna penuh
  • rim aluminium 17 inci
  • tayar Pirelli Diablo Supercorsa saiz 120/70 depan, 180/55 belakang

Triumph Trident 800 2026

Trident 800 dikuasakan oleh enjin 3-silinder 798 cc sejukan cecair menghasilkan 115 PS @ 10,750 rpm dan 84 Nm @ 8,500 rpm.

Dengan sistem kawalan pendikit elektronik, jentera ini menyediakan sehingga 3 mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Sport.

Casis keluli tubular disokong dengan fork hadapan Showa SFF-BP 41 mm boleh laras diikuti penyerap hentak Showa RSU dengan larasan pra-beban.

Sistem brek pula menggunakan angkup 4-omboh dengan rotor berkembar 310 mm di depan, dan angkup omboh tunggal dengan rotor 220 mm di belakang.

Ciri lain termasuklah:

  • tangki bahan api 14 liter
  • tinggi pelana 810 mm
  • skrin paparan LCD + TFT
  • rim aluminium 17 inci
  • tayar Michelin saiz 120/70 depan, 180/55 belakang
  • Cornering ABS, Cornering Traction Control

Dalam masa yang sama, Triumph Malaysia menawarkan Trident 800 SE dengan harga RM56,900 yang menawarkan ciri eksklusif untuk 30 pelanggan pertama iaitu:

  • warna Jet Black
  • ekzos Akrapovic
  • cermin sisi hujung bar hendal
  • Cowl Seat (opsyen berharga RM850 untuk pelanggan ke-31 dan ke atas)

Nippon Paint perkenal AI-PPS – sistem perlindungan cat teknologi pulih sendiri pertama di Malaysia

Nippon Paint Malaysia baru-baru ini memperkenalkan sistem perlindungan cat automotif  dengan teknologi pulih sendiri yang pertama di Malaysia.

Sistem ini digelar sebagai Self-Healing Invisible Armor Paint Protective Spray-On (AI-PPS).

 

Manfaat AI-PPS berbanding PPF konvensional

AI-PPS menawarkan lapisan perlindungan lutsinar untuk menahan serpihan batu, calar, bahan kimia dan sinaran UV.

Dalam masa yang sama, ia dapat mengekalkan warna asal kenderaan dengan kemasan bersih.

Teknologi ini turut menetapkan penanda aras baharu dalam industri aftermarket automotif tempatan.

Tidak seperti filem PPF konvensional yang memerlukan pemasangan rumit, AI-PPS boleh disembur terus dalam proses pembaikan badan dan pengecatan.

Ia memberikan liputan lebih sekata pada permukaan kompleks, lebih cepat digunakan, dan mudah ditanggalkan tanpa sisa pelekat — sekali gus meningkatkan kecekapan bengkel.

 

Bantu bengkel kecil dan sederhana

Menurut Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, Tay Sze Tuck, AI-PPS bukan sahaja memacu inovasi, tetapi membantu bengkel kecil dan sederhana menawarkan perlindungan cat premium tanpa pelaburan besar.

Bagi pemilik kenderaan, sistem ini memberi perlindungan tambahan tanpa mengubah rupa asal, dengan teknologi pulih sendiri yang membantu mengurangkan kecacatan kecil dari masa ke masa.

 

CFMoto Papio Racer 2026 rasmi di Malaysia, harga RM8,888

CFMoto Malaysia mengumumkan kehadiran model ‘fun bike’ baharu CFMoto Papio Racer 2026 dengan harga RM8,888.

Ia membawakan gaya berinspirasikan perlumbaan yang direka untuk penunggang urban yang mahu mencari pengalaman yang berbeza.

Terdapat tiga warna, iaitu Clay Yellow, Nebula White dan Champion Blue.

 

Spesifikasi

CFMoto Papio Racer dikuasakan enjin silinder tunggal 126 cc sejukan udara dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.

Kuasa dihasilkan sekitar 9.4 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 9.2 Nm @ 6,500 rpm.

Casis jentera ini disokong oleh fork teleskopik jenis terbalik (USD) di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Brek pula menggunakan angkup omboh berkembar dan rotor 210 mm di depan, dibantu dengan angkup omboh tunggal dan rotor 190 mm di belakang.

Kelengkapan lain termasuklah:

  • sistem ABS dua-saluran
  • sistem kawalan cengkaman (TCS)
  • tangki bahan api 7 liter
  • tinggi pelana 760 mm
  • sistem pencahayaan LED penuh berserta lampu DRL
  • paparan meter analog + digital
  • sistem kunci mekanikal
  • port pengecas USB
  • rim 12 inci (tayar 120/70 depan, 130/70 belakang)

Toyota Passo 2016, generasi ketiga hadir tanpa Perodua Myvi!

Pada 12 April 2016, Toyota secara rasmi melancarkan Toyota Passo generasi ketiga.

Model ini dibangunkan dan dihasilkan oleh Daihatsu Motor Co., Ltd. dengan konsep kenderaan kompak pintar untuk pemanduan bandar yang memfokuskan kepada nilai ekonomi serta praktikaliti.

Sejarah Passo amat sinonim dengan pasaran tempatan memandangkan generasi pertama dan kedua Perodua Myvi merupakan salinan kepada Daihatsu Boon dan Toyota Passo.

Anjakan berlaku pada generasi ketiga apabila Myvi tampil dengan rekaan tersendiri.

Menariknya, Daihatsu turut menjenamakan semula Myvi kepada Sirion dan dipasarkan di Indonesia.

Tradisi tersebut sudah berlangsung sejak generasi pertama namun kali ini berbeza kerana bukan lagi Daihatsu kepada Daihatsu tetapi Perodua kepada Daihatsu.

Pilihan Gaya Luaran Passo X dan MODA

Semasa diperkenalkan, Toyota telah menawarkan dua identiti reka bentuk berbeza bagi model ini bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang pelbagai:

Varian X

Passo X membawakan gaya yang ringkas dan mesra. Reka bentuk hadapannya menampilkan gril yang diperbesar dengan bampar bawah berbentuk trapezoid yang menyerupai angka lapan.

Rekaan ini bertujuan memberikan pusat graviti yang rendah bagi menonjolkan imej yang stabil pada permukaan jalan.

Varian MODA

MODA pula telah ditampilkan sebagai varian yang lebih unik, pintar dan berkualiti tinggi.

Bahagian hadapan menggunakan reka bentuk tiga dimensi yang bersambung dari gril ke badan kenderaan dengan kemasan satin untuk sentuhan premium.

Varian ini dilengkapi dengan lampu hadapan Bi Beam LED yang menyala dalam bentuk lingkaran atau cincin.

Ruang Dalaman dan Pakej Praktikal

Meskipun mengekalkan saiz kompak untuk kemudahan pengendalian, jarak antara kerusi hadapan dan belakang dipanjangkan sebanyak 75 mm berbanding model terdahulu.

Panel instrumen telah direka secara mendatar untuk memberikan kesan visual ruang yang lebih lebar kepada pengguna.

Bagi Passo MODA, ruang kabin telah menerima sentuhan khas dengan warna aksen magenta pada kluster audio, lingkaran corong udara sisi dan fabrik tempat duduk.

Sebanyak 12 warna badan telah ditawarkan termasuk pilihan dua sisi warna dengan bumbung hitam yang menjadikan keseluruhan variasi warna sebanyak 19 corak.

Rangkaian Kuasa dan Prestasi Enjin Toyota Passo

Passo dibekalkan enjin 1.0L 1KR-FE tiga silinder yang mampu menghasilkan kuasa 69 ps dan tork 92 Nm.

Dari segi teknologi, penggunaan port pengambilan dua sisi, penyuntik dua sisi serta semburan atomized yang lebih halus telah meningkatkan kecekapan pembakaran secara keseluruhan.

Nisbah mampatan pula telah ditingkatkan kepada 12.5 melalui pengoptimuman pada bentuk omboh serta penggunaan sistem high tumble.

Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi CVT, manakala sistem melahu henti telah dilengkapi sebagai ciri standard bagi model 4WD.

Dari segi penggunaan bahan api, model 2WD telah mencatatkan penggunaan petrol pada kadar 28.0 km/l, manakala model 4WD mencatatkan 24.4 km/l berdasarkan kitaran ujian JC08.

Struktur Badan dan Ampaian

Penggunaan keluli tegangan tinggi pada keseluruhan panel luar sisi serta komponen resin pada dapra hadapan dan pintu belakang membantu mengurangkan berat badan Passo tanpa menjejaskan ketegaran.

Selain itu, struktur rangka dan pad tempat duduk telah disemak semula, manakala bentuk penyandar tempat duduk diubah bagi meningkatkan sokongan kepada penumpang.

Sistem ampaian Passo ditala secara optimum dengan penggunaan penstabil pada bahagian hadapan dan belakang bagi model 2WD untuk mengurangkan olengan badan.

Ampaian hadapan menggunakan silinder dan rod yang lebih besar pada penyerap hentak, manakala ampaian belakang bagi model 2WD pula diperkukuh dengan meningkatkan ketegaran pada bahagian torsion beam.

Sistem Keselamatan Smart Assist II

Toyota Passo 2016 dilengkapi dengan sistem sokongan pengelakan perlanggaran Smart Assist II yang merangkumi lima fungsi utama:

  • Amaran perlanggaran terhadap kenderaan dan pejalan kaki.
  • Brek sokongan pengelakan perlanggaran terhadap kenderaan.
  • Kawalan pencegahan salah mula hadapan dan belakang.
  • Amaran keluar lorong.
  • Makluman pergerakan kenderaan hadapan.

Spesifikasi Toyota Passo 2016

  • Enjin: 1.0L 1KR FE 3 Silinder
  • Kuasa Maksimum: 69 ps
  • Tork Maksimum: 92 Nm
  • Transmisi: CVT
  • Sistem Pacuan: 2WD (FF) atau 4WD
  • Penggunaan Bahan Api: 28.0 km/l (2WD) atau 24.4 km/l (4WD)
  • Jarak Antara Kerusi: Jarak 75 mm lebih luas berbanding model sebelumnya
  • Radius Pusingan Minimum: 4.6 m
  • Sistem Keselamatan: Smart Assist II
  • Harga Pelancaran: 1,150,200 Yen sehingga 1,830,600 Yen

Toyota Passo MODA 2016

Toyota Passo X 2016 

Toyota Passo 2016 

Proton S70 2026: Enjin 1.5L turbo baharu, harga dari RM68,800

Proton melancarkan secara rasmi Proton S70 2026 untuk pasaran tempatan.

Terdapat empat varian ditawarkan, dengan harga jualan seperti berikut:

  • 1.5TD Executive – RM73,800
  • 1.5TD Premium – RM79,800
  • 1.5TD Flagship – RM89,800
  • 1.5TD Flagship X – RM94,800

Dengan rebat khas pelancaran sebanyak RM5,000, Proton S70 2026 boleh didapati pada harga serendah RM68,800 hingga RM89,800.

Spesifikasi

Antara perubahan besar yang dibuat pada S70 ini ialah enjin 4-silinder sebaris i-GT 1.5 liter turbo menggantikan enjin 3-silinder yang asal.

Enjin baharu ini mampu menjana kuasa 181 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan kotak gear DCT 7-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 7.5 saat, dengan kadar penggunaan bahan api cuma 5.7 liter per 100 km.

Menurut Proton, sedan S70 ini turut diberikan talaan Ride & Handling Proton serta perisian ESC (Electronic Stability Control) yang dipertingkat.

Dari segi luaran, S70 hadir dengan unit lampu utama yang disemak semula, lampu nyalaan siang (DRL), serta rim aloi 17 inci.

Terdapat juga kit aerodinamik untuk penampilan yang lebih bergaya.

Ruang kabin pula didatangkan dengan skrin infohibur 12.3 inci yang kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

S70 dilengkapi dengan 13 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang turut merangkumi fungsi-fungsi seperti:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Kawalan jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IHBC)

Akhir sekali, terdapat ciri seperti sistem kamera 360 darjah dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

 

Pakej pelancaran

Untuk 2,000 orang pelanggan pertama, disediakan pakej pelancaran khas termasuklah:

  • Rebat RM5,000
  • Pro-Trade-In dengan sokongan tukar beli sehingga RM2,000
  • Pakej Insurans Pro-Shield

Proton Saga 2026 kalahkan Bezza pada Januari 2026!

Luar biasa! Landskap automotif Malaysia menyaksikan anjakan besar pada pembukaan tahun 2026. Selepas bertahun-tahun memberi laluan kepada Perodua, Proton Saga baharu merampas takhta sebagai kereta paling laris di Malaysia bagi bulan Januari 2026.

Bukan itu sahaja, model elektrik e.MAS 5, turut mencipta sejarah apabila berjaya memecah masuk ke kelompok lima teratas.

Kebangkitan Strategik Proton Melalui Saga Baharu

Sektor automotif Malaysia membuka tirai tahun 2026 dengan perubahan landskap yang signifikan. Data pendaftaran kenderaan bagi bulan Januari menunjukkan kebangkitan luar biasa jenama nasional Proton melalui model ikoniknya, Proton Saga.

Proton Saga Menguasai Takhta No. 1

Selepas sekian lama, Proton Saga secara rasmi menduduki carta model paling laris di Malaysia.

Peralihan kepada spesifikasi yang lebih moden serta penambahbaikan nilai keseluruhan telah melonjakkan permintaan sehingga mencatatkan 10,285 unit pendaftaran dalam tempoh sebulan.

Kejayaan ini disokong oleh momentum tempahan terkumpul yang kini dilaporkan telah mencecah angka 100,000 unit.

Fenomena e.MAS 5 dan Penerimaan EV Massa

Kejutan terbesar dalam carta lima model teratas adalah kemunculan Proton e.MAS 5. Sebagai model elektrik (EV) kompak pertama syarikat, pencapaian 3,068 unit pendaftaran dalam masa sebulan adalah rekod bersejarah.

Ia bukan sahaja membuktikan keberkesanan strategi elektrifikasi Proton, malah menandakan bermulanya era di mana kenderaan elektrik mula diterima secara meluas oleh pengguna arus perdana di Malaysia.

Statistik Pendaftaran Kenderaan (Januari 2026)

10 Model Paling Popular:

  1. Proton Saga: 10,285 unit

  2. Perodua Bezza: 8,431 unit

  3. Perodua Axia: 6,581 unit

  4. Perodua Myvi: 4,819 unit

  5. Proton e.MAS 5: 3,068 unit

  6. Perodua Alza: 3,012 unit

  7. Proton X50: 2,411 unit

  8. Perodua Traz: 1,901 unit

  9. Proton S70: 1,604 unit

  10. Toyota Hilux: 1,338 unit

Peralihan Kuasa: Kemaraan Jenama China Menghimpit Jenama Jepun

Analisis data menunjukkan perubahan dinamik dalam kategori jenama bukan nasional. Jenama dari China seperti Chery dan BYD kini dilihat mula mengambil alih pegangan pasaran yang dahulunya dikuasai secara tradisi oleh jenama Jepun.

Honda, sebagai contoh, kini berada di bawah tekanan hebat apabila tiada model individu mereka berjaya menembusi kelompok Top 10 pada bulan Januari.

Daripada sepuluh model paling popular pada Januari, Toyota Hilux menduduki tangga kesepuluh dan satu-satunya jenama asing di dalam senarai.

Kedudukan Jenama Januari 2026:

  1. Perodua: 26,128 unit

  2. Proton: 19,750 unit

  3. Toyota: 6,598 unit

  4. Honda: 3,177 unit

  5. Chery: 2,968 unit

  6. Mitsubishi: 1,191 unit

  7. BYD: 913 unit

  8. Mazda: 841 unit

  9. Mercedes-Benz: 677 unit

  10. Jetour: 593 unit

Prestasi Perodua Traz & Hala Tuju Proton

Meskipun Perodua Traz menerima pelbagai kritikan di platform media sosial mengenai spesifikasi teknikalnya, model ini terbukti mendapat sambutan dengan pendaftaran mencecah 1,901 unit.

Ini menunjukkan faktor kepercayaan terhadap jenama Perodua masih mengatasi sentimen negatif di dunia maya.

Bagi pihak Proton, sasaran jualan sebanyak 200,000 unit pada tahun 2026 (berbanding 157,976 unit pada 2025) dilihat sangat realistik.

Keyakinan ini diperkukuhkan lagi dengan perancangan pelancaran model kedua daripada platform AMA 02, yang sering dirujuk sebagai Saga Cross.

Dengan prestasi kukuh daripada model sedia ada seperti X50 dan S70, serta lonjakan daripada Saga baharu dan e.MAS 5, Proton kini dilihat berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan 2026.

Sumber: data.gov.my

GWM Wey G9 catat 800 tempahan selepas seminggu dilancarkan

GWM Malaysia mengumumkan model MPV Wey G9 mencatatkan tempahan lebih 800 buah dalam tempoh seminggu selepas dilancarkan.

Pencapaian ini menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap MPV tenaga baharu mewah pertama yang dipasang secara tempatan (CKD).

 

Bukti keupayaan ekosistem tempatan

Menurut Encik Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia berkata, “Pencapaian ini turut menggambarkan keupayaan ekosistem pemasangan tempatan di Malaysia.

“Dengan kelebihan tenaga kerja mahir dan rangkaian vendor sedia ada, kami membuktikan bahawa Malaysia menepati standard global di samping menjana nilai jangka panjang untuk industri tempatan.

 

Jarak pandu Wey G9 lebih 1,000 km

GWM Wey G9 dikuasakan oleh sistem hibrid pintar Hi4 PHEV yang mampu menjanjikan jarak pemanduan sifar emisi sejauh 170 km.

Jarak pandu keseluruhan pula mampu melebihi 1,000 km, di samping menawarkan pengalaman pemanduan yang cekap dan senyap.

MPV Wey G9 ini dijual pada harga RM269,800.

 

Proton lancar kempen CNY, tawar hadiah utama iPhone 17 Pro

Proton melancarkan kempen Tahun Baharu Cina (CNY) 2026 bertemakan “Pandu Ke Arah Kemakmuran”.

Kempen ini berlangsung selama dua bulan dari 5 Februari hingga 6 April yang menawarkan 88 hadiah menarik termasuklah sebuah Apple iPhone 17 Pro.

 

Penyertaan

Caranya mudah sahaja, pelanggan hanya perlu membeli sekurang-kurangnya satu unit mana-mana komponen berikut:

  • bateri
  • pad brek
  • pengelap cermin

Kemudian, peserta perlu menjawab lima soalan ringkas dan menghasilkan slogan kreatif berkenaan Proton.

 

Hadiah utama iPhone 17 Pro

Pemenang bertuah kempen CNY Proton ini akan membawa pulang sebuah Apple iPhone 17 Pro bernilai RM5,499.

Hadiah tempat kedua pula merupakan sebuah Apple iPad Air (bernilai RM2,799) diikuti Honor 400 Pro (bernilai RM2,399) di tempat ketiga.

 

Enam model baharu, Honda Malaysia sasar jualan 60,000 unit tahun ini

Honda Malaysia mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan sehingga enam model baharu untuk tahun 2026.

Selari dengan hala tuju perniagaannya, Honda Malaysia turut menetapkan sasaran jualan 60,000 unit sepanjang tahun ini.

 

Pengenalan teknologi baharu

Selain mengumumkan enam model baharu, Honda turut sama mengesahkan pengenalan teknologi S+ Shift buat kali pertama untuk pasaran Malaysia.

Ia merupakan satu teknologi kawalan unit kuasa dalam sistem hibrid e:HEV yang mampu mensimulasikan penukaran gear persis pemanduan kereta manual.

Setakat ini, terdapat beberapa model yang dilengkapi dengan S+ Shift termasuklah Honda Prelude dan Honda Super ONE.

Ciri ini bakal diperluaskan kepada model-model e:HEV Honda pada masa akan datang.

 

Perluas barisan model e:HEV

Honda Malaysia juga dijangka akan mengembangkan lagi barisan model e:HEV untuk pasaran tempatan.

Sebagai peneraju di dalam segmen sejak 2004, pendekatan ini merupakan bukti usaha Honda Malaysia untuk terus mendapatkan teknologi hibrid yang cekap, boleh dipercayai dan berprestasi.

 

Semangat ‘Fun to Drive’

Teras utama strategi Honda Malaysia ialah komitmen untuk terus menawarkan pengalaman ‘Fun to Drive’ kepada pelanggan.

Menurut Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, “semangat ‘Fun to Drive’ mencerminkan komitmen kami untuk terus menawarkan kenderaan yang dapat menghubungkan emosi pelanggan.

“Pengenalan teknologi S+ Shift buat pertama kali merupakan satu contoh jelas hala tuju kami,” ujarnya lagi.

 

Hyundai Motor Malaysia bakal perkenal model baharu tahun ini: Ioniq 5 N, 6 N dan Stargazer!

Hyundai Motor Malaysia bakal melancarkan beberapa buah model baharu sepanjang tahun 2026.

Antara model yang bakal diperkenalkan kelak termasuklah Tucson dan Santa Fe versi pemasangan tempatan (CKD).

Jenama itu turut mengesahkan kehadiran sebuah MPV segmen B pada suku keempat tahun ini, iaiatu Hyundai Stargazer.

Selain itu, Hyundai juga bakal memperkenalkan dua buah model berprestasi tinggi, iaitu Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N serta barisan produk di bawah sub-jenama N-Line.

Sasar 25 pusat jualan & servis

Hyundai Malaysia juga turut menyasarkan sehingga 25 buah pusat jualan dan servis termasuklah di Malaysia Timur.

Setakat ini, Hyundai Malaysia mempunyai 12 cawangan dengan lima LOI ditandatangani pada tahun 2025 dan satu pada awal tahun ini.

Pengalaman pemilikan dipertingkatkan

Hyundai turut mahu meningkatkan lagi pengalaman pemilikan pelanggan menerusi program myHyundaiCare.

Antara inisiatif di bawah program ini termasuklah:

  • pelarasan semula pakej servis dan penyelenggaraan untuk menjadikan kos pemilikan lebih rendah
  • kos bateri hibrid lebih rendah, dan hanya menggantikan modul bateri yang rosak berbanding penggantian penuh
  • kempen pemeriksaan dan servis kenderaan percuma sempena perayaan
  • pasukan sokongan teknikal bergerak
  • klinik servis dan bengkel pemilik untuk tingkatkan keyakinan dan pengetahuan produk
  • jaminan 8-tahun/160,000 km diteruskan
  • perlindungan nilai kenderaan menerusi Hyundai Protection Plan yang disokong oleh rakan insurans termasuklah Allianz, Berjaya Sompo, Etiga General Takaful, Takaful Ikhlas dan Tokio Marine
  • stok alat ganti ditambah baik melalui gudang di Glenmarie

Program rujukan Staria All-Star

Program rujukan Staria All-Star ini menawarkan manfaat berikut:

  • kredit servis RM500 untuk perujuk
  • penjimatan sehingga RM1,500 untuk pelanggan baharu ke atas promosi sedia ada

 

Manual aksesori Honda guna kertas pisang!

Siapa sangka sisa batang pisang boleh jadi manual kereta? Honda Access Co., Ltd. mengumumkan penggunaan manual aksesori Honda yang diperbuat daripada kertas pisang One Planet Paper® bagi menggantikan kertas konvensional untuk Panduan Mula Pantas (Quick Start Guides) produk mereka.

Langkah unik ini akan mula digunakan secara rasmi pada model baharu alat kawalan jauh penghidup enjin yang akan dipasarkan bermula Februari 2026.

Penggunaan bahan daripada pisang ini bukan sekadar gimik, malah merupakan satu revolusi kecil dalam rantaian bekalan aksesori automotif mereka untuk jangka masa panjang.

Peralihan Manual Aksesori Honda Kepada Sumber Lestari

Meskipun Honda Access giat melaksanakan pendigitalan bagi mengurangkan penggunaan kertas, Panduan Mula Pantas tetap disertakan untuk produk tertentu.

Sebelum ini, manual aksesori Honda menggunakan kertas tebal dengan salutan polipropilena (PP).

Melalui inisiatif hijau ini, salutan berasaskan bahan api fosil tersebut akan dihentikan sepenuhnya.

Kertas pisang dipilih kerana pokok pisang tumbuh sangat cepat dan menyerap jumlah karbon dioksida (CO2) yang tinggi.

Langkah ini secara langsung membantu mengurangkan jejak karbon sepanjang kitaran hayat produk bagi setiap unit manual aksesori Honda yang dihasilkan.

Impak Sosial dan Teknikal Kertas Pisang One Planet Paper®

Bahan mentah iaitu serat batang pisang diperoleh daripada ladang organik di Zambia. Batang pisang yang dahulunya dianggap sisa kini diproses menjadi kertas menggunakan teknik pembuatan kertas tradisional Jepun.

Projek ini bukan sahaja memfokuskan kepada isu alam sekitar, malah turut menangani isu sosial termasuk pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan wanita di negara membangun.

Ia merupakan penyelesaian dua hala yang menggabungkan kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial dalam satu produk yang mampan.

Komitmen Neutral Karbon dan Manual Aksesori Honda

Inisiatif ini merupakan salah satu bahagian daripada usaha Honda untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2050.

Honda Access nekad mengurangkan pelepasan karbon dioksida melalui inovasi produk dan aktiviti korporat.

Dengan mengintegrasikan bahan mampan ke dalam rantaian bekalan, syarikat berharap dapat terus memberikan sumbangan positif kepada masyarakat.

Langkah ini juga membuktikan bahawa perincian sekecil manual aksesori Honda pun mampu memberi impak besar kepada dunia.

Ringkasan Inisiatif Kertas Pisang Honda Access

  • Bahan Utama: One Planet Paper® yang diperbuat daripada serat batang pisang organik.
  • Tarikh Peralihan: Bermula Februari 2026 untuk Panduan Mula Pantas penghidup enjin kawalan jauh.
  • Perubahan: Menggantikan penggunaan kertas tebal bersalutan plastik polipropilena (PP) yang berasaskan fosil.
  • Sumber Serat: Diperoleh melalui perdagangan adil dari ladang organik di Zambia.
  • Teknik Pembuatan: Dihasilkan menggunakan kepakaran teknik pembuatan kertas tradisional Jepun.
  • Manfaat Alam Sekitar: Membantu mengurangkan pelepasan CO2 dan menyokong isu sosial global.

BACA: Miliki NSX? Honda Heritage Works tawar alat ganti dan baik pulih!

Shell Malaysia sambut ulang tahun ke-135, tawar ganjaran bernilai RM1.35 juta!

Shell Malaysia menyambut ulang tahun ke-135 dengan melancarkan kempen ‘Mencetus Potensi Sejati’.

Kempen terbaharu ini akan menghadiahkan ganjaran bernilai RM1.35 juta untuk pelanggan di seluruh negara melalui peraduan peringkat nasional.

Pelbagai rangkaian produk moden Shell

Daripada permulaan sebagai pedagang minyak tanah, Shell kini menawarkan rangkaian produk moden.

Antaranya termasuklah Shell FuelSave, Shell V-Power hasil kerjasama dengan Scuderia Ferrari HP, serta rangkaian pengecas EV berprestasi tinggi Shell Recharge.

Pelincir Shell juga terus mengukuhkan reputasi global sebagai Pembekal Pelincir No.1 dunia selama 19 tahun berturut-turut.

Di stesen minyak, Shell Select dan Shell Café menawarkan kopi barista, pastri segar dan pelbagai pilihan makanan serta keperluan harian.

Hadiah utama bernilai RM135,000

Sempena ulang tahun ini, Shell memperkenalkan tawaran nilai baharu di Shell Select dan melancarkan kempen ‘Shell Select Ganjaran water2go Berjuta’.

Bermula 16 Mac hingga 10 Mei 2026, dengan setiap pembelian Water2go pelanggan berpeluang memenangi hadiah berikut:

  • Hadiah utama RM135,000
  • Hadiah saguhati sehingga RM13,500
  • Pelbagai ganjaran mingguan serta bulanan

Komitmen Shell bantu rakyat Malaysia

Menurut Seow Lee Ming, Pengurus Besar Shell Mobiliti dan Kemudahan Malaysia, ulang tahun ini menandakan komitmen Shell untuk terus menawarkan nilai, kemudahan dan pengalaman lebih baik kepada rakyat Malaysia — bukan sahaja hari ini, tetapi juga untuk masa depan.

Selepas 135 tahun, Shell kekal komited untuk terus berinovasi, memperluas penawaran dan memperkukuh hubungan dengan komuniti di seluruh negara.