Mazda CX-5 2.5T memang laju dan power, tapi ada 3 isu – Pandu uji


KAMI telah memandu uji varian prestasi CX-5 iaitu 2.5T dengan enjin petrol turbo berkuasa 228hpdan 420Nm tork, bersama sistem pacuan semua-roda AWD.
Memang satu penawaran unik dari Mazda, tiada pesaing rapat yang jelas, dan memberikan anda lebih pilihan selain petrol naturally-aspirated dan diesel.
Tetapi disebabkan permintaan, kami senaraikan pula beberapa isu atau masalah dengan Mazda CX-5 2.5T ini. Ya, sebagus-bagus kereta, walaupun canggih dan berkuasa, tetap boleh ada isu. Kami pilih tiga perkara utama.
1. Anda disayangi taukeh stesen minyak
Bila disayangi, selalunya benda yang positif, bukan? Tetapi itu kalau disayangi ibu bapa, disayangi isteri. Kalau disayangi oleh taukeh stesen minyak, tak berapa sedap.
Dengan CX-5 2.5T, anda akan kerap melawat stesen minyak kerana SUV ini memang kuat menelan petrol, kebanyakan pesaingnya yang lain hanya menghirup petrol.
Sepanjang penulis memandu CX-5 turbo ini sehingga lebih 1,000km, penulis hanya dapat purata 9.4km per liter. Puas penulis berhempas pulas hendak mendapatkan 10km per liter tetapi tidak berjaya.
Seronok juga menikmati tork 420Nm yang kuat seperti diesel, boleh didapati seawal 2,000rpm, tetapi dengan kuasa yang besar, ada pengorbanannya. Oh hidup…
Ditambah pula dengan kelengkapan AWD dan ’hanya’ enam kelajuan pada kotak gear, kedua-dua ini tidak membantu dalam penjimatan. Mungkin jika Mazda memberikan varian ini padanan kotak gear 8-kelajuan, boleh membantu mendapatkan angka penjimatan lebih baik.
2. Alamak, nampak sama je!
Isu kedua ialah versi petrol turbo 2.5T AWD ini nampak terlalu sama dengan varian-varian CX-5 yang lain. Sudah tentu kita mengenal pasti sesebuah kereta itu dari reka bentuk dan identiti luarannya.
Dengan CX-5 2.5 turbo ini, hanya emblem di belakang dengan huruf “T” berwarna merah menjadi penunjuk bahawa ini versi petrol turbo berprestasi tinggi. Anda nampak huruf “T” merah ini, batalkan sahaja hasrat anda untuk menyucuk CX-5 ini, silap hari bulan anda makan asap.
Cuma untuk pemilik yang mahu menunjuk sedikit, mereka mungkin rasa tidak berapa puas dengan penampilan CX-5 2.5T ini yang terlalu bersahaja.
Mungkin ia patut mendapat rim lebih besar dengan rekaan unik, stripe tambahan merah di gril depan, atau spoiler bumbung di belakang. Apa-apa lah yang boleh membuatkan SUV prestasi ini lebih menyerlah, Mazda lebih arif, penulis bukan pereka bentuk.
3. Sedikit kekeliruan identiti
Isu ketiga dan terakhir ialah ada sedikit kekeliruan identiti pada CX-5 2.5T ini. Bukanlah masalah terlalu besar, cuma pada penulis, CX-5 ini tidak terlalu SUV, dan tidak pula terlalu kereta sports.
Ia tidak begitu efisyen (penggunaan bahan api) berbanding SUV lain atau CX-5 varian lain, tetapi tidak pula memberikan kepuasan maksima seperti memandu Mazda MX-5 Miata atau Mazda3.
CX-5 2.5T ini terlalu di tengah-tengah. Tiada kepuasan SUV, tiada juga kepuasan kereta sports sejati. Jadi dengan ini, penulis katakan ia ada sedikit kekeliruan identiti, tidak tahu ia mahu jadi yang mana satu.
Kesimpulan
Itu sahaja tiga isu yang penulis rasakan dengan pengalaman pandu uji Mazda CX-5 2.5T AWD. Tetapi banyak lagi kebaikan lain mengenai model ini, anda boleh baca di sini.
Dan penulis tetap mahu berterima kasih kepada Mazda kerana menghasilkan SUV prestasi yang unik ini walaupun sebenarnya tiada keperluan. Ia menunjukkan kemampuan Mazda dan jati diri mereka yang tidak mempedulikan orang lain; hanya hasilkan kereta sedap dipandu, yang akan dihargai peminat mereka.

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.