Auto Bavaria bersama Performance Motor Malaysia menganjurkan acara pameran Sime Motors MotorExpo 2026 pada hujung minggu ini.
Berikut merupakan perincian lokasi acara tersebut:
Tarikh: 5 hingga 7 Jun 2026
Tempat: Dewan A XOX Arena, The Arch Galleries Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak
Masa: 10.00 pagi hingga tengah malam.
Masuk: Percuma
Acara terbesar yang pernah dianjurkan oleh kumpulan pengedar tersebut akan mempamerkan barisan kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad.
Promosi menarik daripada jenama BMW
Jenama BMW akan mempamerkan pelbagai produk dalam porfolionya termasuklah sedan mewah, SUV, kenderaan elektrik penuh dan jentera M berprestasi tinggi.
Terdapat juga pakej pemilikan menarik termasuklah:
BMW X3 30 xDrive M Sport dengan ansuran bulanan RM3,340 bersama set hadiah Braun Buffel percuma bernilai RM4,800
BMW X1 eDrive20L M Sport dengan rebat menarik dan kadar faedah serendah 1.68 peratus daripada BMW Financial Services Malaysia
Barisan model menarik MINI
Jenama MINI akan menampilkan 10 edisi dan pilihan yang merangkumi kenderaan petrol, elektrik serta portfolio John Cooper Works.
Yang bakal mencuri tumpuan ialah:
MINI Aceman Electric dengan kadar pembiayaan eksklusif serendah 0.88 peratus menerusi BMW Financial Services Malaysia
MINI Paul Smith Edition, kolaborasi khas dengan pereka fesyen British
Pelanggan yang membeli mana-mana model MINI sepanjang acara berlangsung akan menikmati rebat tunai, set fon kepala Sony percuma (bernilai RM1,999) serta pelekat kereta eksklusif.
Barisan motosikal premium BMW Motorrad
BMW Motorrad pula akan menampilkan barisan motosikal premium yang menyemarakkan semangat kembara, penjelajahan dan tunggangan prestasi tinggi.
Satu model baharu, iaitu BMW F 450 GS akan dilancarkan secara rasmi pada 6 Jun 2026 jam 11.00 pagi.
Para pengunjung berpeluang melihat BMW Motorrad The Jahre yang meraikan kerjasama Auto Bavaria dengan BMW Motorrad selama 33 tahun di Malaysia.
Cycle & Carriage (C&C) kini secara rasmi memulakan operasi pengedaran kenderaan jenama Leapmotor di Malaysia.
Langkah ini merupakan perkembangan terbaharu daripada kerjasama antara C&C bersama Stellantis Malaysia sejak 2024.
Ia juga turut menandakan kemunculan semula syarikat itu sebagai peruncit automotif pelbagai jenama.
Permulaan operasi pengedaran ini mencerminkan komitmen berterusan Cycle & Carriage untuk memperkukuh kehadiran Leapmotor di Malaysia serta memastikan pengalaman pemilikan yang lancar.
Rangkaian Leapmotor semakin berkembang
Sepanjang tahun lalu, rangkaian Leapmotor telah berkembang dengan pembukaan lokasi berikut:
George Town, Pulau Pinang
Pavillion Bukit Jalil
Paradigm Mall Johor Bahru
Pusat 3S Leapmotor Glenmarie
Sehingga kini, Leapmotor mempunyai 12 lokasi jualan dan 6 pusat servis dengan lebih banyak lokadi dijangka akan dibuka menjelang akhir tahun.
Komitmen C&C terhadap jenama Leapmotor
Adrian Short, CEO C&C berkata, “Kami berbangga menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama bersama Stellantis Malaysia.
“Melalui Leapmotor, kami melihat potensi besar untuk menawarkan EV Premium bernilai tinggi kepada lebih ramai pelanggan, disokong komitmen C&C dalam menyediakan pengalaman pemilikan terbaik dari segi jualan, selepas jualan hingga sokongan jangka panjang.
Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN menambah, “Peranan C&C dalam menerajui operasi pengedaran Leapmotor di Malaysia mencerminkan kerjasama jangka panjang yang dibina atas nilai bersama, kepercayaan dan komitmen terhadap pengalaman pelanggan.
“Pelantikan ini adalah satu lagi pencapaian penting, disokong kepakaran automotif terbukti, rangkaian runcit kukuh dan pendekatan berorientasikan pelanggan.
“Kami yakin C&C berada pada kedudukan terbaik untuk memacu pertumbuhan Leapmotor di Malaysia,” jelasnya lagi.
Toyota Racing bakal melakukan demonstrasi awam pertama untuk jentera prototaip perlumbaan dikuasakan hidrogen cecair yang dikenali sebagai TR LH2 Racing Prototype.
Acara bersejarah ini akan berlangsung di litar Circuit de la Sarthe yang merupakan lokasi bagi perlumbaan 94th 24 Hours of Le Mans pada minggu hadapan.
Jentera TR LH2 Racing Prototype merupakan model prototaip yang dibangunkan berasaskan casis yang sama dengan jentera lumba TR010 HYBRID.
Model tersebut dijadualkan untuk bersaing dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans yang akan berlangsung pada 13 hingga 14 Jun.
Pembangunan prototaip baharu ini bertujuan untuk memajukan lagi fasa pembangunan teknologi hidrogen dalam arena sukan permotoran dunia.
Jadual Sesi Demonstrasi di Litar
Sesi demonstrasi jentera ini akan dijalankan sebanyak dua kali sepanjang minggu perlumbaan tersebut.
Sesi pertama akan diadakan pada hari Khamis, 11 Jun jam 12:50 tengah hari bersamaan jam 7:50 malam waktu Jepun.
Sesi kedua pula akan berlangsung pada hari Sabtu, 13 Jun jam 12:45 tengah hari bersamaan jam 7:45 malam waktu Jepun.
Melalui sesi ini, TR LH2 Racing Prototype akan mengeliling litar Circuit de la Sarthe yang mempunyai jarak sepanjang 13.626 km.
Kehadiran jentera ini bakal menyajikan bunyi enjin hidrogen yang unik serta membawakan keterujaan sebenar kepada para peminat yang hadir melawat litar berkenaan.
Langkah inovatif ini diambil bagi menyokong usaha berterusan syarikat Toyota dalam membangunkan teknologi serta infrastruktur hidrogen.
Toyota juga mahu membina jaringan kerjasama untuk meluaskan lagi potensi penggunaan hidrogen menerusi platform sukan permotoran.
Garis Masa Toyota Dalam Pembangunan Enjin Hidrogen Dalam Sukan Permotoran
Toyota komited dalam meneruskan usaha gigih mereka bagi membangunkan enjin berkuasa hidrogen dalam dunia sukan permotoran melalui fasa-fasa berikut:
Tahun 2021:
Bermula dengan jentera ORC ROOKIE GR Corolla H2 Concept milik pasukan ROOKIE Racing.
Jentera ini bersaing dalam perlumbaan Super Taikyu Series di Jepun.
Pada fasa awal ini, jentera tersebut menggunakan bahan api hidrogen gas.
Tahun 2022:
Potensi enjin hidrogen dikembangkan ke dalam disiplin perlumbaan rali dunia buat pertama kali.
Pembangunan ini dibuktikan melalui jentera GR Yaris H2.
Jentera tersebut dipandu uji semasa bersaing di perlumbaan FIA World Rally Championship dan WRC Ypres Rally.
Tahun 2023:
Model kenderaan yang menggunakan bahan api hidrogen cecair mula diperkenalkan secara rasmi.
Pada tahun yang sama, jentera ORC ROOKIE GR Corolla H2 Concept telah melaksanakan pusingan demonstrasi di litar Circuit de la Sarthe.
Sebuah kereta konsep yang dinamakan GR H2 Racing Concept turut mendedahkan rekaannya kepada umum sebagai persediaan awal untuk menyertai kategori hidrogen di perlumbaan Le Mans pada masa hadapan.
Tahun 2025 dan Tahun 2026:
Perkembangan teknologi hidrogen diteruskan ke fasa seterusnya dengan kadar pembangunan yang menjadi semakin rancak.
Jentera GR Yaris Rally2 H2 Concept telah membuat penampilan dalam pusingan demonstrasi di perlumbaan Rally Finland 2025.
Semasa minggu perlumbaan Le Mans pada tahun 2025, sebuah jentera konsep iaitu GR LH2 Racing Concept yang menggunakan bahan api hidrogen cecair telah dipamerkan secara rasmi.
Jentera rali tersebut turut beraksi di perlumbaan Rally Monte Carlo pada tahun 2026.
Kehadiran model rali ini memberikan impak besar kepada dunia bahawa program perlumbaan rali mereka kini berkembang ke tahap yang lebih maju.
Toyota kemudian melangkah ke peringkat kemajuan seterusnya pada tahun 2026 selepas tempoh satu tahun berlalu daripada pameran model konsep berkenaan.
Dalam fasa terbaharu, Toyota Racing akan melakukan pusingan demonstrasi awam yang pertama di litar untuk jentera baharu mereka iaitu TR LH2 Racing Prototype.
140 tahun yang lalu, Carl Benz mempatenkan automobil yang pertama di dunia dan sejak daripada itu Mercedes-benz terus mendefinisikan semula mobiliti melalui inovasi dan ketukangan.
Bersempena dengan ulang tahun tersebut, Mercedes-Benz mengadakan satu jelajah global “140 Years. 140 Places” bermula dari Stuttgart.
Jelajah epik merentasi enam benua tersebut bermula pada 20 Januari 2026 menggunakan Mercedes-Benz S-Class facelift dan kini tiba di Malaysia.
140 Places. 140 Years di Kuala Lumpur
Bertempat di House of Mercedes-Benz di KLCC Square, acara 140 Places. 140 Years itu menawarkan pengalaman yang menyeluruh.
Antara tarikan utama sudah pasti pameran eksklusif model klasik Mercedes-Benz, barisan Mercedes-AMG berprestasi tinggi dan jentera lumba Formula Satu Mercedes MGP W01.
Tidak ketinggalan, penampilan pertama Mercedes-Benz S-Class facelift.
Menurut Martin Schulz selaku CEO dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, “140 Years of Innovation bukan sekadar satu pencapaian, tapi bukti apa yang terhasil apabila minat, ketelitian dan tujuan bergerak seiring.
“Menerusi perjalanan ini, kami berbangga berkognsi warisan dan legasi Mercedes-Benz kepada rakyat Malaysia yang merupakan satu legasi dibina melalui hubungan bermakna dan berkekalan bersama pelanggan.
Ciri utama S-Class facelift
Berbeza dengan S-Class yang diperkenalkan pada tahun 2020, S-Class facelift ini menampilkan lebih 50 peratus atau 2,700 komponennya dibangun dan direka semula.
Antaranya ialah rekaan hadapan dengan jeriji berlampu, sistem operasi MB.OS generasi baharu dengan kuasa superkomputer, MBUX Superscreen, dan suspensi udara Airmatic.
Hasilnya, S-Class facelift menawarkan pemanduan yang lebih senyap dan lebih mewah.
Legasi Mercedes-Benz di Malaysia
Tahukah anda, jenama Mercedes-Benz sebenarnya telah lama bertapak sejak lebih satu abad yang lalu, sebelum wujudnya bilik pameran atau kilang pemasangan seperti yang ada sekarang ini.
Pada awal abad ke-20, Sultan Johor dipercayai antara pemilik Mercedes-Benz yang terawal di Tanah Melayu.
Jualan rasmi kenderaan Mercedes-Benz hanya bermula pada tahun 1951 menerusi Cycle & Carriage.
Pada tahun 1968, program pemasangan tempatan model kereta penumpang pun bermula diikuti pada tahun 1983 di Malaysia menjadi negara pertama selepas Jerman yang memasang model S-Class (380 SE).
Momentum ini diteruskan dengan penubuhan DaimlerChrysler Malaysia pada tahun 2003 dan kemudian berevolusi menjadi Mercedes-Benz Malaysia pada tahun 2008.
Kilang pengeluaran Pekan yang ditubuhkan pada tahun 2004 mengukuhkan lagi peranan Malaysia di rantau ini.
Pada tahun 2023, dua pencapaian besar direkodkan, iaitu:
Pengeluaran Mercedes‑Benz EQS 500 4MATIC pemasangan tempatan pertama
Kenderaan Mercedes‑Benz ke‑100,000 dikeluarkan dari fasiliti Pekan
Kini, Malaysia turut memainkan peranan penting dalam logistik dan digital melalui Mercedes-Benz Parts Logistics Asia-Pacific (MBPLAP) dan Mercedes-Benz Tech Malaysia.
Agility+ Mendefinisikan Semula Pengalaman Pelanggan
Sambutan 140 tahun ini bukan sekadar meraikan sejarah, tetapi mencerminkan evolusi cara pelanggan menikmati pengalaman Mercedes‑Benz hari ini.
Melalui pelan Agility+ dan Young Star Agility+, Mercedes-Benz menawarkan penyelesaian pembiayaan fleksibel untuk model baharu dan pra-milik.
Ia menjadikan aspirasi memiliki Mercedes‑Benz lebih mudah dicapai, sambil membina komuniti pemilik yang berkongsi minat, hubungan bermakna dan pengalaman eksklusif.
Hodaka Motoworld Sdn Bhd melancarkan sistem infohibur Jado Smart yang disasarkan kepada penunggang motosikal di Malaysia.
Terdapat dua produk utama yang dilancarkan:
Jado S6 – RM2,150
Jado H1 – RM850
Jado S6
Jado S6 menawarkan skrin sebesar 6-inci dengan kadar kecerahan sehingga 1,800 Nits untuk memastikan paparan kekal jelas walaupun di bawah sinar mentari.
Ia boleh beroperasi dalam keadaan suhu ekstrem dengan julat suhu serendah -20 darjah Celcius hinggalah 70 darjah Celcius, dan mempunyai penarafan kalis air IP69K.
Menariknya, sistem ini mempunyai giroskop 5-paksi dan teknologi pengesanan titik buta (BSD) yang dapat memberikan amaran visual tentang kehadiran kenderaan dari arah belakang.
Antara ciri lain termasuklah:
storan dalaman eMMC 32GB
sokongan kad memori TF 256GB
sambungan Wifi dua jalur (2.4G & 5G)
Apple CarPlay & Android Auto
Bluetooth (boleh dihubungkan kepada set kepala dan peranti pintar)
serasi dengan sistem motosikal BMW
Jado H1
Produk kedua ini disasarkan kepada golongan penunggang yang mahukan fungsi asas tanpa mengorbankan aspek ketahanan.
Biarpun hadir dengan skrin 5-inci, ia masih mempunyai ciri seperti sambungan Wifi dua jalur, sokongan Apple CarPlay & Android Auto, Bluetooth, dan keserasian dengan sistem kenderaan BMW.
Jado H1 turut mengekalkan fungsi-fungsi yang ada pada S6 seperti:
giroskop 5-paksi
sokongan julat suhu -20 hingga 70 darjah Celcius
penarafan kalis air IP69K
Aksesori pilihan
Kedua-dua sistem Jado S6 dan Jado H1 boleh dipadankan dengan pelbagai aksesori pilihan.
Antaranya ialah:
Sistem quick-release – RM535
Modul kamera – RM580
Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) – RM162
Modul Kawalan Jauh – RM295
Jado S6 dan H1 kini sedia untuk ditempah menerusi pengedar sahnya iaitu Hodaka Motoworld Sdn Bhd.
Bertempat di Malaysia Bike Show 2026, Hodaka Motoworld Sdn Bhd secara rasmi melancarkan koleksi musim bunga dan panas (2026SS) daripada jenama Komine.
Koleksi 2026SS ini menampilkan penggunaan bahan telap udara yang direka untuk memberikan keselesaan maksimum, sesuai untuk keadaan iklim di Malaysia.
Koleksi musim bunga & panas
JK-185
JK-186
JK-187
JK-191
Antara produk yang dilancarkan baru-baru ini termasuklah:
JK-185 Enigma G2 – parka urban kalis air
JK-186 Enigma G2 – jaket full mesh
JK-187 Enigma G2 – jaket half mesh
JK-191 Enigma G2 – jaket full mesh
Kesemua produk jaket Komine dilengkapi dengan pelindung Enigma G2 generasi kedua yang direka untuk memberikan tahap perlindungan dan keselesaan yang lebih tinggi.
Ia mudah dibentuk mengikut kontur sendi dan badan pemakai untuk keselesaan tanpa menjejaskan tahap serapan hentakan yang tinggi.
Lubang-lubang kecil pula bertujuan untuk aliran udara maksimum yang menyumbang kepada keselesaan.
Dibantu dengan penggunaan bahan telap udara, ia mampu menghasilkan penyerapan peluh dan penyejatan lembapan yang lebih cepat untuk tunggangan kekal sejuk.
Selain itu, ia juga dapat memastikan pakaian ini cepat kering selepas berdepan dengan situasi hujan lebat yang tidak dijangka.
Dalam masa yang sama, pihak Hodaka memperkenalkan kipas penyejuk KK-923 Peltier Wearable Brain Cooler yang boleh dipakai pada bahagian leher.
Jenama popular di Jepun
Menurut Michael Chang, Pengarah Perniagaan Luar Negara Komine menjelaskan, “Komine merupakan jenama pakaian penunggang paling popular di Jepun dan menjadi pilihan di kalangan polis trafik sana.”
Jelasnya lagi, produk Komine direka untuk memenuhi keperluan dan kehendak penunggang, dan dalam masa yang sama mematuhi falsafah Keselamatan & Inovasi jenama itu.
James Lim, Pengarah Urusan Hodaka Motoworld menjelaskan pihaknya merupakan pengedar rasmi dan eksklusif Komine sejak 1999.
“Model yang kami lancarkan ini memberikan perlindungan terbaik, keselesaan dan gaya pada harga yang berpatutan.
Biarpun kos logistik meningkat, pihak Hodaka Motoworld mengumumkan tiada kenaikan harga bagi tahun 2026.
Kelengkapan tunggangan Komine kini boleh didapati di beberapa pengedar sah di seluruh Malaysia.
Pengeluar kenderaan elektrik global dari China, Leapmotor meneruskan trajektori pertumbuhan kukuh dengan mencatatkan rekod serahan bulanan tertinggi sejak penubuhannya pada bulan Mei 2026.
Prestasi memberangsangkan ini dipacu peningkatan permintaan pasaran global serta pengenalan produk yang semakin berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Pencapaian terbaharu ini menandakan satu mercu tanda penting bagi Leapmotor dalam memperkukuh kedudukannya sebagai antara jenama kenderaan elektrik (EV) yang paling pesat berkembang.
Jenama ini juga sedang rancak memperluaskan pengaruh pasaran di Malaysia melalui pengenalan beberapa model strategik untuk pengguna tempatan.
Rekod Serahan Global Leapmotor Melonjak Tinggi Pada Mei 2026
Leapmotor berjaya merekodkan serahan bulanan tertinggi dengan merekodkan 81,569 unit kenderaan diserahkan pada bulan Mei 2026 yang merangkumi pasaran domestik China dan eksport.
Prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 81% berbanding bulan Mei 2025 serta kenaikan sebanyak 14.26% berbanding bulan April sebelumnya.
Pertumbuhan mampan ini turut dicerminkan melalui pencapaian kumulatif syarikat dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2026.
Leapmotor telah menyerahkan sebanyak 263,111 unit kenderaan secara keseluruhan sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 51.51% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025.
Keputusan cemerlang ini memanfaatkan momentum yang telah dibina pada bulan April di mana syarikat telah mencapai kemuncak serahan terdahulu sebanyak 71,387 unit.
Pelancaran Global Model Hatchback Elektrik Leapmotor B05
Sebagai sebahagian daripada pelan peluasan pasaran antarabangsa, Leapmotor bersedia untuk memperkenalkan model hatchback elektrik terbaharu iaitu Leapmotor B05.
Model elektrik ini akan dilancarkan merentasi 28 pasaran antarabangsa pada bulan ini bagi melengkapkan portfolio kenderaan mereka dalam segmen-C.
B05 menggabungkan prestasi dinamika teknologi maju serta keselesaan premium.
Rekaan luarannya menampilkan imej coupé berbadan lebar dengan postur condong ke hadapan yang aerodinamik serta garis badan yang melambangkan kekuatan dan pergerakan.
Model ini dilengkapi pintu tanpa bingkai, lampu hadapan bersepadu gaya bilah serta rim aloi Swift-Wing bersaiz 19 inci.
Rangkaian Kuasa Leapmotor B05
Motor Elektrik: Sistem kawalan pelancaran (launch control) dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat
Bateri: ProMax 67.1 kWj jenis litium besi fosfat LFP
Jarak Pemanduan: Sehingga 460 km berdasarkan kitaran WLTP (data homologasi awal)
Pengecasan: Pengecasan pantas DC melebihi 170 kW
Leapmotor B03X Bakal Masuk Malaysia!
Pasaran kenderaan elektrik Leapmotor di Malaysia yang mendapat sokongan global daripada kumpulan Stellantis bakal berkembang kepada tiga pilihan model tidak lama lagi.
Jenama ini memulakan kehadiran mereka di Malaysia pada tahun 2024 menerusi pelancaran SUV C10 dan diikuti oleh model SUV kompak B10 pada penghujung tahun lepas.
Model ketiga yang dijadualkan memasuki pasaran tempatan ialah sebuah crossover EV SUV segmen-B yang dikenali sebagai B03X.
Model yang dinamakan sebagai model A10 di pasaran China dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada penghujung tahun 2026 atau suku pertama tahun 2027.
Leapmotor B03X (Spesifikasi China)
Motor Elektrik: Pilihan motor elektrik tunggal dengan output 70 kW (94 ps) atau 90 kW (121 ps)
Tork Maksimum: 150Nm
Pecutan 0-100 km/j: 10.5 saat (varian 90 kW) dan 12.0 saat (varian 70 kW)
Kelajuan Maksimum: 160 km/j
Bateri: Pilihan bateri jenis litium besi fosfat LFP berkapasiti 39.8 kWj atau 53 kWj
Jarak Pemanduan Kitaran CLTC: 403 km (bateri 39.8 kWj) dan 505 km (bateri 53 kWj)
Jarak Pemanduan Anggaran WLTP: Sekitar 330 km (bateri 39.8 kWj) dan 415 km (bateri 53 kWj)
Penggunaan Tenaga: Sekitar 10.7 kWj hingga 11.3 kWj bagi setiap 100 km
Pengecasan Pantas DC: Mengambil masa 16 minit untuk mengecas dari tahap 30% sehingga 80%
Panjang (+/-): 4,200 mm | Lebar: 1,800 mm | Tinggi: 1,600 mm | Jarak Roda: 2,600 mm (Eropah)
Empat tahun selepas Toyota GR Corolla diperkenalkan, anda kini boleh dapatkan versi yang lebih ‘hardcore‘ dalam bentuk GRMN Corolla.
Sama seperti model-model GRMN terdahulu, pembangunan GRMN Corolla ini tertumpu di Litar Nurburgring selain menerapkan pengalaman daripada penglibatan dalam sukan permotoran.
Ia menampilkan casis yang lebih tegar, kuasa yang lebih tinggi, kit badan yang lebih ekstrem, dan paling penting ia kini boleh muat dua orang sahaja.
Lebih aerodinamik
GR Corolla versi standard telah pun menerima struktur casis yang lebih tegar, terima kasih kepada penambahan struktur perekat sebanyak 13.9 meter kepada 32.7 meter.
Versi GRMN pula menggunakan asas tersebut dan menambah komponen aerodinamik untuk pemanduan berkelajuan tinggi.
Antaranya ialah liang hud enjin, liang fender serta spoiler hadapan yang diperbuat daripada gentian karbon.
Selain itu, sayap belakang gentian karbon juga mempunyai mekanisme larasan manual 1 darjah sebanyak 5-tahap.
Suspensi talaan eksklusif
Hot hatch ini turut dipadankan dengan suspensi talaan khusus untuk cengkaman yang lebih baik ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Setiap komponen tersebut diberikan larasan ke tahap milimeter untuk memastikan keseimbangan yang optimum.
Aspek pemanduan dibantu dengan penggunaan getah Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih lebar 10 mm berbanding GR Corolla standard.
Akhir sekali, GRMN Corolla diberikan talaan semula pada sistem stereng EPS dan pacuan GR-Four untuk kestabilan pemanduan yang lebih baik.
Enjin lebih bertenaga
Selain casis dan aspek pengendalian, Toyota turut menaik taraf enjin sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, 300 hp dan 415 Nm!
Angka tersebut boleh dicapai terima kasih kepada penglibatan dalam Super Taikyu Series menerusi GR Corolla yang dipadankan dengan enjin berkuasa hidrogen.
Untuk mengekalkan kestabilan prestasi, GRMN Corolla turut hadir dengan sistem penyembur intercooler tambahan.
Buat masa ini, GRMN Corolla hanya ditawarkan eksklusif dengan transmisi manual iMT 6-kelajuan.
Lebih ringan
Sebagai sebahagian daripada pakej pengurangan berat, Toyota telah membuang tempat duduk belakang.
Dengan ini, GRMN Corolla 30 kg lebih ringan berbanding GR Corolla, menyumbang kepada nisbah kuasa-ke-berat yang lebih baik.
Kokpit lebih mesra pemandu
Untuk menjadikan pemandu lebih fokus, GRMN Corolla didatangkan beberapa kelengkapan eksklusif.
Antaranya ialah tempat duduk pemandu bucket penuh berdasarkan posisi pelumba Super Taikyu Series, dengan binaan bahan polimer bertetulang gentian kaca (GFRP).
Ruang kabin GRMN Corolla menggunakan skema warna yang lebih gelap, diikuti dengan kemasan gentian karbon.
Akhir sekali, logo GRMN yang disulam pada perehat kepala, trim Alumite Red pada trim pintu dan tombol gear, tandatangan Morizo pada papan pemuka dan plet nombor bersiri GRMN.
Unit produksi terhad untuk tiga negara sahaja
Sayang sekali, GRMN Corolla hanya akan diproduksikan dalam unit yang agak terhad.
Ia juga tidak akan dijual secara meluas, sebaliknya dikhususkan untuk pasaran Jepun, Amerika Utara dan Australia sahaja.
GR Corolla Morizo RR
Tidak cukup dengan GRMN Corolla, Toyota sedang membangunkan sebuah lagi varian GR Corolla di bawah label Morizo RR.
Jika GRMN Corolla hadir dengan transmisi manual 6-kelajuan, GR Corolla Morizo RR pula direka khas dengan transmisi automatik DAT 8-kelajuan.
Lebih penting, ia masih lagi mengekalkan konfigurasi lima tempat duduk walaupun luar tampak ekstrem.
Ford Escort XR3i Tolman Edition diperkenalkan sebagai satu lagi projek tempahan khas oleh Tolman yang memberi fokus kepada peningkatan prestasi, kebolehpercayaan dan dinamik pemanduan tanpa mengubah identiti asal kereta.
Model ini dibangunkan sebagai kesinambungan kepada konsep Tolman Edition pada Peugeot 205 GTI dan kali ini digunakan pada Ford Escort XR3i.
Ia direka untuk mengekalkan rupa asal era 1980-an, sambil memberikan pengalaman pemanduan yang jauh lebih moden.
Kereta ini merupakan salah satu daripada empat projek tempahan khas Tolman Edition yang sedang dibina untuk pelanggan pada tahun 2026.
Latar belakang Tolman
Tolman ditubuhkan pada tahun 2007 dan terkenal dengan kerja baik pulih, penyelenggaraan serta peningkatan kenderaan jalan raya dan perlumbaan.
Syarikat ini menggunakan kepakaran sukan permotoran termasuk pembangunan GT3 dan GT4 untuk menghasilkan komponen prestasi tinggi.
Pada tahun 2022, Tolman memperkenalkan Tolman Edition Peugeot 205 GTI sebagai projek bayangan semula kereta ikonik era 1980-an.
Selain itu, Tolman turut mengembangkan penawaran komponen prestasi, minyak pelincir dan barangan aftermarket untuk model seperti Peugeot 205 GTI.
Baik pulih penuh badan dan kerja struktur
Projek ini bermula pada tahun 2022 dengan sebuah Ford Escort XR3i asas dalam warna Diamond White dengan riasan Rosso Red.
Kerja baik pulih melibatkan pemulihan penuh struktur badan untuk menghapuskan masalah karat yang biasa pada model ini.
Salah satu cabaran utama ialah kawasan bumbung suria yang berkarat.
Oleh kerana tiada panel gantian yang sesuai, Tolman membangunkan jig laser cut khas serta alat pembentuk untuk menghasilkan semula bukaan dan bahagian tepi dengan tepat.
Selepas kerja logam siap, keseluruhan badan menerima rawatan perlindungan karat moden termasuk lapisan bawah dan perlindungan dalam ruang kotak badan.
Ini menjadikan kereta lebih tahan untuk kegunaan harian dalam pelbagai keadaan cuaca.
Naik taraf enjin CVH dengan teknologi moden
Enjin asal 1,597 cc CVH dikekalkan bagi mengekalkan identiti XR3i. Walau bagaimanapun, ia menerima naik taraf besar untuk meningkatkan prestasi dan kelancaran operasi.
Antara perubahan utama ialah penggunaan kepala silinder Zetec 16 injap, piston baharu, rod penyambung baharu serta bahagian bawah enjin yang diperkukuh.
Sistem pengurusan enjin elektronik penuh turut dipasang tetapi disembunyikan dalam unit asal untuk mengekalkan rupa klasik.
Enjin ini kini menghasilkan 150 bhp pada roda, iaitu peningkatan lebih 50 peratus berbanding spesifikasi asal Ford. Tork pula meningkat kepada 120 lb-ft.
Sistem ekzos keluli tahan karat Tolman jenis 4-2-1 turut digunakan untuk meningkatkan aliran dan bunyi enjin. Transmisi manual lima kelajuan asal masih dikekalkan.
Dinamik pemanduan dan suspensi
Bahagian suspensi turut menerima naik taraf besar untuk mengatasi kelemahan pengendalian model asal.
Di bahagian hadapan, Tolman menggunakan komponen yang diinspirasikan daripada Ford RS1600i bersama penyerap hentak Bilstein dan bar anti oleng khas.
Tetapan ini turut memberikan lebih pilihan sudut caster untuk meningkatkan rasa stereng dan ketepatan selekoh.
Suspensi yang dinaik taraf ini direka untuk mengekalkan keseimbangan antara keselesaan jalan raya dan prestasi pemanduan sport.
Brek, roda dan tayar
Tolman memperkenalkan rim aloi khas bersaiz 15 inci yang diilhamkan daripada reka bentuk 14 inci asal Dog Leg Escort.
Rim ini mengekalkan bahagian tengah asal dengan kemasan mesin yang masih memaparkan tanda asal kilang.
Naik taraf ini bukan sahaja mengisi ruang lengkungan roda dengan lebih kemas, tetapi turut membolehkan penggunaan tayar lebih lebar.
Sistem brek turut dipertingkat dengan cakera AP di bahagian hadapan. Brek dram belakang pula digantikan kepada brek cakera.
Model ini menggunakan tayar Michelin PE4 untuk keseimbangan prestasi dan cengkaman.
Perkasakan dan naik taraf kecil lain
Beberapa naik taraf kecil tetapi penting turut dipasang bagi meningkatkan kegunaan harian:
Lampu hadapan LED
Hos brek keluli tahan karat
Sistem penggera, immobiliser dan penjejak keselamatan
Radio Blaupunkt DAB
Kerusi balutan fabrik Daytona asal
Cermin hadapan dengan pemanas
Kesemua naik taraf ini dipilih supaya tidak mengubah karakter asal XR3i tetapi meningkatkan fungsi moden.
Spesifikasi Ford Escort XR3i Tolman Edition 2026
Enjin: 1,597 cc CVH, kepala silinder Zetec 16 injap
Sistem enjin: Pengurusan enjin elektronik penuh
Kuasa: 150 bhp pada roda
Tork: 163Nm
Transmisi: Manual 5 kelajuan asal
Ekzos: Keluli tahan karat 4 2 1
Suspensi hadapan: Komponen RS1600i, penyerap hentak Bilstein, bar anti oleng khas
Mitsubishi akhirnya secara rasmi menghidupkan semula plet nama Pajero setelah kali terakhir nama ikonik tersebut digunakan pada tahun 2021.
Model SUV off-road baharu ini bakal diperkenalkan pada musim luruh 2026.
Ciri Pajero baharu
gambar sekadar hiasan
Mitsubishi Pajero serba baharu ini akan dibina berdasarkan platform ladder-frame yang diambil daripada trak pikap Triton.
Dengan cara ini, Pajero akan menjadi sebuah SUV off-road yang sebenar sekali gus mengekalkan warisan dan karakteristik yang dikenali ramai.
Antara ciri lain yang bakal dimuatkan termasuklah sistem pacuan empat roda, tetapan suspensi yang berbeza, serta reka bentuk ruang kabin yang lebih premium.
Pajero sebagai sebuah siri kenderaan
Dalam masa yang sama, Mitsubishi tidak mengehadkan nama Pajero untuk kegunaan sebuah model sahaja.
Sebaliknya, nama ikonik itu akan dilancarkan sebagai sebuah siri kenderaan off-road.
Difahamkan, sekurang-kurangnya dua lagi model baharu yang lebih kecil saiznya akan ditawarkan kepada pengguna.
Untuk info, pendekatan ini sebenarnya telah digunakan oleh Mitsubishi ketika zaman kegemilangan Pajero era 90-an dan 2000-an.
Antara model Pajero yang pernah ditawarkan sebelum ini:
Pajero Sport (SUV saiz pertengahan, platform ladder-frame)
Pajero Junior (SUV saiz kecil, platform unibodi)
Pajero iO (SUV saiz kecil, platform unibodi)
Pajero Mini (SUV kelas kei, platform unibodi)
13 model baharu Mitsubishi
Menjelang akhir Mac 2032, Mitsubishi bakal melancarkan sehingga 13 buah model baharu.
Selain daripada siri Pajero, Mitsubishi bakal menawarkan pelbagai jenis model off-road termasuklah trak pikap, SUV dan minivan.
Pasaran Jepun bakal menerima beberapa model SUV elektrik, trak pikap serta dua model kei car.
Pasaran ASEAN pula dijangka akan mendapat Xpander baharu.
Bertempat di Malaysia Bike Show 2026, Mforce terus memperluas penawaran motosikal daripada jenama Morbidelli menerusi pelancaran 3 model baharu yang lebih mesra lesen B2.
Model dan harga jualan adalah seperti berikut:
Morbidelli Vizy 125 2026 – RM4,988
Morbidelli SC200SR 2026 – RM7,988
Morbidelli C252V 2026 – RM16,988
Spesifikasi Vizy 125
Skuter ini dipacu enjin silinder tunggal 123.6 cc sejukan udara dengan kuasa 9.4 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 9.5 Nm @ 6,000 rpm.