Hodaka Motoworld lancar sistem infohibur Jado Smart untuk motosikal, harga dari RM850

Jado S6 2026

Hodaka Motoworld Sdn Bhd melancarkan sistem infohibur Jado Smart yang disasarkan kepada penunggang motosikal di Malaysia.

Terdapat dua produk utama yang dilancarkan:

  • Jado S6 – RM2,150
  • Jado H1 – RM850

Jado S6

Jado S6 menawarkan skrin sebesar 6-inci dengan kadar kecerahan sehingga 1,800 Nits untuk memastikan paparan kekal jelas walaupun di bawah sinar mentari.

Ia boleh beroperasi dalam keadaan suhu ekstrem dengan julat suhu serendah -20 darjah Celcius hinggalah 70 darjah Celcius, dan mempunyai penarafan kalis air IP69K.

Menariknya, sistem ini mempunyai giroskop 5-paksi dan teknologi pengesanan titik buta (BSD) yang dapat memberikan amaran visual tentang kehadiran kenderaan dari arah belakang.

Antara ciri lain termasuklah:

  • storan dalaman eMMC 32GB
  • sokongan kad memori TF 256GB
  • sambungan Wifi dua jalur (2.4G & 5G)
  • Apple CarPlay & Android Auto
  • Bluetooth (boleh dihubungkan kepada set kepala dan peranti pintar)
  • serasi dengan sistem motosikal BMW

Jado H1

Produk kedua ini disasarkan kepada golongan penunggang yang mahukan fungsi asas tanpa mengorbankan aspek ketahanan.

Biarpun hadir dengan skrin 5-inci, ia masih mempunyai ciri seperti sambungan Wifi dua jalur, sokongan Apple CarPlay & Android Auto, Bluetooth, dan keserasian dengan sistem kenderaan BMW.

Jado H1 turut mengekalkan fungsi-fungsi yang ada pada S6 seperti:

  • giroskop 5-paksi
  • sokongan julat suhu -20 hingga 70 darjah Celcius
  • penarafan kalis air IP69K

Aksesori pilihan

Kedua-dua sistem Jado S6 dan Jado H1 boleh dipadankan dengan pelbagai aksesori pilihan.

Antaranya ialah:

  • Sistem quick-release – RM535
  • Modul kamera – RM580
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) – RM162
  • Modul Kawalan Jauh – RM295

Jado S6 dan H1 kini sedia untuk ditempah menerusi pengedar sahnya iaitu Hodaka Motoworld Sdn Bhd.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved