Bukan Supra GRMN, tapi GR Supra A90 Final Edition, kuasa cecah 435 hp, 570 Nm!
Sedar atau pun tidak, usia Toyota GR Supra kini sudah mencecah lima tahun sejak kembar kepada BMW Z4 ini mula diperkenalkan pada tahun 2019.
Sebelum kereta sports pacuan roda belakang itu dihentikan pengeluarannya, Toyota Gazoo Racing melancarkan model edisi terhad yang dinamakan sebagai Toyota GR Supra A90 Final Edition.
Nadi asal enam silinder sebaris 3.0 liter turbo itu telah ditala semula untuk peningkatan kuasa 90 hp dan 70 Nm kepada 435 hp dan daya kilas 570 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual.
Antara perubahan yang dibuat termasuklah sistem aliran udara yang telah disemak semula, penggunaan komponen pemangkin jenis tekanan belakang rendah dan mengoptimasikan kawalan operasi enjin.
Hasilnya, GR Supra edisi penamat ini mampu mencapai kelajuan maksimum yang lebih tinggi, sekitar 270 km/j.
Untuk mengekalkan prestasi puncak sepanjang masa, Toyota telah menambah plet penyekat (baffle plate) pada kuali minyak enjin untuk mengelakan agihan pelincir yang tidak sekata di bawah daya-G yang tinggi.
Aspek penyejukan pula dibantu dengan kipas penyejuk radiator, sub-radiator dan membesarkan sirip penyejuk penutup gear pembeza.
Aspek pengendalian telah dipertingkatkan dengan sistem gantungan boleh laras KW yang sama digunakan pada jentera lumba GR Supra GT4, diikuti dengan larasan sudut chamber roda depan dan belakang untuk kadar cengkaman yang lebih baik, serta kawalan pembeza aktif untuk mengurangkan kesan understeer.
Tidak cukup dengan itu, Toyota telah menala kembali sistem stereng elektrik untuk pengendalian yang lebih dinamik, natural dan lebih terhubung, selain menambah bar silang pada ruang kargo belakang serta bar penstabil depan dan belakang yang telah dikuatkan.
Pemandu juga boleh merasai kestabilan di selekoh yang lebih baik, terima kasih kepada saiz tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih lebar 10 mm membaluti rim serba ringan bersaiz 19 inci depan dan 20 inci belakang.
Sistem brek turut dipertingkatkan dengan pelapik brek yang mempunyai nilai pekali geseran yang tinggi, rotor terapung berlubang depan dan belakang, serta hos brek kasa keluli tahan karat.
Akhir sekali, tidak lengkap kesemua naik taraf di atas tanpa rupa paras yang lebih agresif.
Toyota GR Supra A90 Final Edition ini membawakan kit badan aerodinamik yang diinspirasikan daripada penglibatan dalam sukan permotoran, seperti spoiler hadapan gentian karbon, kepak tengah bampar hadapan, sirip sisi bampar hadapan, liang bonet gentian karbon, dan sayap belakang jenis leher angsa gentian karbon.
Selain itu, A90 Final Edition ini turut meminjam peredam titanium Akrapovič daripada GR Supra GT4, sudah pasti untuk penghasilkan runut bunyi yang lebih bertenaga.
Untuk ruang kabin, GR Supra ini diberikan tempat duduk bucket penuh Recaro Podium, dengan pelapik kusyen Alcantara dan warna racy red untuk posisi pemanduan yang optimum dan selesa terutama di bawah daya-G yang tinggi.
Produksi GR Supra A90 Final Edition ini dihadkan kepada 300 unit sahaja untuk satu dunia.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.