Perodua, UTM jalin kerjasama laksana Program Kejuruteraan xEV
Perodua baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pelaksanaan Program Kejuruteraan xEV Perodua-UTM.
Kolaborasi strategik selama lima tahun ini memfokuskan kepada pemerkasaan modal insan dan penyelidikan teknologi kenderaan elektrik (xEV).
Program khas di bawah seliaan Perodua
Seramai 10 hingga 15 pelajar cemerlang daripada program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian akan dipilih setiap tahun untuk program khas ini.
Program selama satu tahun setengah ini akan bermula pada semester kedua tahun ketiga pengajian.
Antara manfaat yang bakal diterima oleh pelajar yang menyertai program ini ialah:
- Peluang untuk menjalani latihan industri di Perodua selama 10 minggu
- Peluang memperoleh pensijilan antarabangsa Tahap 3 daripada Institute of the Motor Industry (IMI)
- Projek Sarjana Muda (FYP) akan diselia secara bersama oleh jurutera pakar Perodua
Perodua sumbang 2 QV-E untuk tujuan pembelajaran
Sebagai sokongan kepada program tersebut, Perodua akan menyumbangkan peralatan teknikal untuk digunakan di Makmal Kejuruteraan xEV Perodua-UTM.
Tidak cukup dengan itu, dua unit EV Perodua QV-E akan turut disumbangkan untuk tujuan pembelajaran praktikal.
Pelaburan jangka panjang
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Abdul Rahim menyifatkan kolaborasi ini sebagai anjakan paradigma dalam merapatkan jurang antara akademik dan keperluan industri.
“Melalui penubuhan Makmal Kejuruteraan xEV Perodua-UTM yang dilengkapi peralatan canggih, graduan kami akan memiliki kelebihan daya saing yang tinggi.
“Integrasi kursus elektif kejuruteraan kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam kurikulum dan akses kepada teknologi simulasi terkini seperti sistem Hardware in the Loop (HIL) pula akan menjadikan graduan UTM sentiasa relevan dan ‘future-ready‘,” jelas beliau.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, inisiatif itu adalah langkah proaktif syarikat dalam membina ekosistem xEV yang mampan serta kompetitif di peringkat global.
“Kerjasama ini bukan sekadar pemindahan teknologi, malah ia adalah pelaburan jangka panjang untuk melahirkan jurutera ‘masa hadapan’ yang mahir dalam kejuruteraan EV.
“Dengan bimbingan terus daripada jurutera kami, pelajar akan didedahkan kepada realiti sebenar industri automotif moden,” katanya.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.


