MINI Aceman 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga dari RM213,888

MINI Aceman 2026

BMW Group Malaysia mengumumkan ketibaan model elektrik serba baharu MINI Aceman 2026 untuk pasaran tempatan.

Diposisikan antara MINI Cooper dan MINI Countryman, MINI Aceman ini dijual pada harga dari RM213,888, atau RM221,288 dengan pakej Waranti dan Servis Lanjutan MINI.

Menerusi pembiayaan Easy Drive, MINI Aceman boleh dimiliki bermula RM1,680/bulan berdasarkan pinjaman 75 peratus, perbatuan 100,000 km dan tempoh 5-tahun.

Spesifikasi

EV ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal menghasilkan 218 hp dan 330 Nm yang memacu roda depan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.1 saat.

Pek bateri 54.2 kWh pula menawarkan jarak pandu sejauh 406 km mengikut data WLTP.

Ia turut menyokong pengecasan AC 11 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 95 kW, membolehkan bateri dicas 10-80 peratus dalam masa 31 minit.

Casis Aceman ditampung dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan diikuti sistem multi-link di belakang.

Terdapat mod Go-KART yang direka untuk meningkatkan respons pedal pendikit untuk pengalaman yang lebih mengujakan.

Kelengkapan luar dan dalam

Bahagian luar MINI Aceman menggunakan pendekatan “Charismatic Simplicity, dengan ciri seperti jeriji oktagon, lampu LED bersegi, serta lampu belakang LED menegak.

Karakter sporti MINI Acemen diserlahkan lagi dengan padanan rim 19 inci Hexagram spoke, plastik pelindung gerbang roda, rel bumbung dan plet skid.

Ruang kabin pula diserikan dengan penggunaan bahan tekstil kitar semula, papan pemuka rajutan 3D dan kemasan kulit vegan.

Antara kelengkapan yang wujud seperti skrin OLED sebesar 9.4 inci yang berfungsi sebagai pusat kawalan utama, diikuti bar togol ikonik MINI fizikal yang mudah dicapai.

Sistem infohibur Aceman ini menggunakan MINI Operating System 9, dengan tujuh pilihan MINI Experience Modes yang boleh ditetapkan.

Antara ciri lain termasuklah Kunci Digital, sambungan Apple CarPlay /Android Auto, sistem navigasi pintar masa nyata, MINI Intelligent Personal Assistant serta MINI Connected Package.

Keselamatan

MINI Aceman menawarkan ciri-ciri keselamatan seperti:

  • kawalan pemanduan adaptif
  • amaran titik buta
  • amaran penukaran lorong
  • amaran lintasan trafik belakang mengundur
  • amaran bukaan pintu
  • pengecaman papan tanda trafik
  • sokongan stereng
  • bantuan parkir dengan kamera 360 darjah

Pilihan warna

Pembeli boleh mendapatkan pilihan warna menarik untuk Aceman seperti Rebel Red, Melting Silver, Indigo Sunset Blue, Ocean Wave Green, Nanuq White dan Legend Grey.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved