Nissan Qashqai e-POWER 2026 catat rekod satu tangki lebih 1,300 km!
Sering kedengaran kereta buatan China berjaya dipandu melebihi 1,000 kilometer dengan satu tangki petrol dan terbaru Nissan turut mencipta rekod dengan Qashqai e-POWER.
Nissan melengkapkan fasa kedua menguji kecekapan teknologi hibrid e-POWER dalam situasi dunia sebenar apabila Qashqai e-POWER berjaya mengelilingi pulau Tasmania dengan hanya satu tangki.
Pemanduan jarak jauh ini dijalankan selepas Qashqai berjaya menamatkan perjalanan dari Land’s End ke John O’Groats di United Kingdom (UK) pada awal 2026.
Dua siri pemanduan ini membuktikan kecekapan bahan api, jarak pemanduan yang jauh, serta pengalaman pemanduan menyerupai kenderaan elektrik (EV) daripada teknologi hibrid Nissan.
Pencapaian itu juga menyerlahkan prestasi konsisten sistem hibrid e-POWER dalam pelbagai keadaan iklim, rupa bumi dan corak pemanduan berbeza dan membuktikan kesesuaian kegunaan harian di Eropah.
Tanda Aras Jarak Jauh Di United Kingdom
Pada fasa pertama program ujian kecekapan dunia sebenar, Qashqai e-POWER dipandu melalui jalan ikonik dari Land’s End ke John O’Groats di UK.
Ujian ini dilakukan dalam keadaan pemanduan biasa di Eropah Utara yang melibatkan pemanduan malar di lebuh raya, kesesakan lalu lintas di kawasan bandar serta keadaan cuaca yang berubah-ubah.
Melalui perjalanan tersebut, Qashqai e-POWER mencatatkan penggunaan petrol sebanyak 3.76L/100km dan berjaya dipandu sejauh 1,347 km dengan satu tangki.
Sebaik sahaja pemanduan berakhir, paparan instrumen masih menunjukkan baki jarak sejauh 160 km.
Cabaran ini membuktikan teknologi hibrid Nissan e-POWER mampu menggabungkan aspek kesenyapan serta tindak balas responsif sebuah pemanduan kenderaan elektrik.
Pada masa yang sama, sistem ini tetap mengekalkan keselesaan dan kebolehan pemanduan jarak jauh bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman konvensional.
Cabaran Laluan Bergunung dan Berliku Di Tasmania
Bagi fasa kedua, Nissan menguji Qashqai e-POWER di Tasmania melalui laluan yang lebih mencabar.
Laluan tersebut merangkumi kawasan bergunung-ganang, jalan pesisir pantai yang berliku, perubahan ketinggian serta gabungan pemanduan di kawasan luar bandar dan lebuh raya.
Walaupun memandu dalam persekitaran yang sangat berbeza berbanding di UK, SUV ini tetap mempamerkan prestasi kecekapan dunia sebenar yang tinggi.
Ujian tersebut berjaya mencatatkan jarak perjalanan melebihi 1,300 km menggunakan satu tangki untuk melengkapkan pusingan penuh pulau Tasmania tanpa perlu mengisi semula minyak.
Tahap penggunaan bahan api yang dicatatkan sepanjang ujian di Tasmania adalah sebanyak 4.5L/100km.
Konsistensi yang ditunjukkan dalam dua perjalanan jarak jauh membuktikan ketahanan dan keupayaan penyesuaian sistem teknologi hibrid Nissan dalam pelbagai senario pemanduan yang mencabar.
Rangkaian Kuasa Modul Bersepadu 5-dalam-1
Qashqai e-POWER menggunakan rangkaian kuasa modul bersepadu 5-dalam-1 Nissan yang dipadankan dengan enjin 1.5 liter turbo yang direka semula bagi menawarkan prestasi elektrik serta praktikaliti harian.
Sistem Nissan e-POWER mempunyai perbezaan ketara berbanding sistem hibrid konvensional.
Enjin petrol hanya berfungsi secara eksklusif sebagai penjana tenaga untuk menghasilkan elektrik manakala roda kenderaan dipacu oleh motor elektrik sahaja.
Sistem ini tidak mempunyai sebarang sambungan mekanikal secara langsung antara enjin petrol dan roda kenderaan.
Rangkaian kuasa e-POWER direka untuk memberikan keselesaan dunia sebenar dengan penggunaan bahan api 4.5L/100km (WLTP) di samping meningkatkan kecekapan terma enjin.
Penggunaan motor elektrik pada sistem ini memberikan hantaran tork serta-merta serta pecutan yang lancar dan senyap.
Pengoperasian motor ini menawarkan pengalaman pemanduan seperti EV tanpa memerlukan pemilik mengecas bateri melalui palam kuasa luaran.
Sebaliknya, bateri kenderaan akan dicas secara automatik oleh enjin petrol dan bantuan sistem brek regeneratif.
Anugerah dan Pengiktirafan Antarabangsa
Atas faktor inovasi dan keupayaan dunia sebenar, model ini telah diiktiraf sebagai Hybrid Car of the Year 2025 di anugerah News UK Motor Awards untuk dua tahun berturut-turut.
Pengiktirafan dan kejayaan pemanduan jarak jauh membuktikan keupayaan Nissan dalam membangunkan SUV hibrid yang menepati keperluan pemanduan sebenar pelanggan.
Langkah ini amat bermakna ketika Nissan sedang membuat persiapan untuk menyambut ulang tahun inovasi Qashqai yang ke-20 di pasaran Eropah.
Selain itu, teknologi hibrid ini sudah pun boleh dirasa dan dimiliki oleh pengguna tempatan melalui Nissan Serena e-POWER dan Kicks e-POWER.
Spesifikasi Teknikal Nissan Qashqai e-POWER
- Enjin: 1.5 liter pengecas turbo (Penjana elektrik)
- Motor Elektrik: Pemacu roda utama
- Kuasa: 140 kW (190ps)
- Tork: 310Nm
- Penggunaan bahan api (WLTP): 4.5L/100km
- Pelepasan emisi (WLTP): 102g/km
Kredit gambar: Nissan





