KLIMS2026: Mazda CX-60 3.3L MHEV 2026 rasmi di Malaysia, harga RM250k
Bermaz Motor mengumumkan pembukaan tempahan bagi varian baharu Mazda CX-60 3.3L MHEV 2026 sebagai pelengkap kepada penawaran varian 2.5L sedia ada.
Unit import sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini dijual pada harga RM250,000.
Spesifikasi
Berbanding varian 2.5L yang menggunakan enjin 4-silinder, CX-60 3.3L MHEV ini dikuasakan oleh nadi 6-silinder sebaris 3.3 liter dengan tetapan hibrid ringan.
Enjin tersebut mampu menjana kuasa 280 hp @ 5,000-6,000 rpm dan daya kilas 450 Nm @ 2,300-3,500 rpm, dipadankan dengan motor elektrik 16 hp/153 Nm dan bateri lithium-ion 0.33 kWh.
Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda AWD menerusi transmisi automatik 8-kelajuan.
SUV ini menggunakan tetapan suspensi double wishbone dan multi-link yang sama seperti model 2.5L, diikuti dengan padanan rim 20 inci.
Kelengkapan
CX-60 3.3L MHEV ini dilengkapi dengan ciri seperti lampu LED, pilihan kemasan jeriji jenis sarang lebah atau bar, pintu tailgate berkuasa, spoiler belakang, serta plastik pelindung mengikut warna badan.
Ruang kabin pula menempatkan ciri seperti:
- skrin kluster digital 12.3 inci
- skrin infohibur 12.3 inci
- skrin paparan head-up
- sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
- sistem audio Bose 12 pembesar suara
- roda stereng balutan kulit (pilihan warna dua tona)
- kemasan jahitan
- panel Gunmetal/Wood & Chrome
- upholsteri kulit Nappa (warna Tan/Pure White)
- tempat duduk depan larasan 10-tahap
Keselamatan
Secara standard, CX-60 dilengkapi dengan 6-beg udara, sistem ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HLA), Auto Hold dan cagak ISOFIX.
Ia turut hadir dengan kamera keliling 360 darjah lengkap dengan fungsi Parking View dan See Through View.
Ciri keselamatan termaju termasuklah:
- Bantuan Lampu LED Adaptif (ALH)
- Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Depan (FCTA)
- Amaran Keluar Lorong (LDWS)
- Pengekalan Lorong Kecemasan (ELK)
- Bantuan Pengekalan Lorong (LAS)
- Amaran Tumpuan Pemandu (DAA)
- Sokongan Brek Pintar (SBS)
- Kawalan Jelajah Radar Mazda (MRCC)
- Sokongan Trafik & Jelajah (CTS)
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.
















