Stellantis mulakan produksi Peugeot 408 dengan enjin Euro 6 untuk pasaran Taiwan

Peugeot 408 CKD Gurun Euro 6

Stellantis meraikan satu lagi pencapaian penting dengan memulakan produksi model Peugeot 408 baharu di kilang Gurun.

Peugeot 408 itu dipasangkan enjin PureTech 1.6L turbo spesifikasi Euro 6 menghasilkan 225 hp setara dengan varian plug-in hybrid (PHEV).

Unit CKD ini turut dieksport ke pasaran Taiwan – pasaran eksport ketiga selepas Thailand (2024) dan Kemboja (2025).

Beberapa pasaran lain di rantau Asia Pasifik sedang dinilai untuk eksport model ini.

 

Kilang Stellantis terima naik taraf

Dengan pelaburan bernilai €1.5 juta (RM6.97 juta), kilang Stellantis Gurun menerima naik taraf pada bahagian pengeluaran, termasuk kerja R&D khusus untuk talaan rangkaian kuasa serta pembangunan komponen tempatan.

Pencapaian ini merupakan elemen penting dalam pelan strategik Stellantis untuk menjadikan kilang Gurun sebagai hab pembuatan serantau dengan standard kualiti bertaraf industri.

Ia dijangka mampu mencapai kapasiti penuh menjelang 2028, termasuklah eksport sehingga 280,000 unit ke 20 negara Asia Pasifik.

Selain pemasangan kenderaan enjin konvensional (ICE), kilang Gurun juga mampu memasang kenderaan elektrik (EV) serta kenderaan hibrid ringan (MHEV).

Pemasangan EV CKD akan dimulakan dengan model Leapmotor C10 hasil pelaburan khusus bernilai €5 juta (RM23.19 juta).

Menurut Isaac Yeo selaku Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, “Visi kami untuk menjadikan Gurun sebagai pemacu utama rantau ini direalisasikan melalui pelaburan strategik bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk pasaran tempatan dan eksport.

“Perkembangan ini mengukuhkan komitmen kami untuk meningkatkan output produksi di Malaysia sambil memperluas rangkaian jenama dan model dalam portfolio Stellantis.”

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved