Arkib Tag: skuter

WMoto RT1 masuk pasaran Malaysia – RM9,888

Selepas melancarkan WMoto RT2 baru-baru ini, WMoto Malaysia (MForce Bike Holdings) kini melancarkan satu lagi model skuter terbaharu iaitu RT1.

Jika dibandingkan dengan RT2 yang merupakan model 250 cc, RT1 mempunyai kapasiti enjin yang lebih kecil 149.3 cc, silinder tunggal yang menghasilkan 15.4 hp pada 8,000 rpm dan 14.5 Nm pada 6,750 rpm.

Menariknya, RT1 merupakan skuter 150 cc pertama dalam pasaran yang dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman (TCS) dan panel meter jenis TFT.

Sistem TCS membantu meningkatkan keselamatan dengan mencegah tayar dari tergelincir ketika menunggang terutamanya di atas permukaan jalan yang licin dan basah.

Selain itu, ia didatangkan dengan sistem brek anti-kunci (ABS) dan sistem pencahayaan LED penuh pada bahagian hadapan dan belakang.

Seperti RT2 dan RT3, model ini juga mempunyai kamera papan pemuka (dashcam) yang boleh merakam video dalam resolusi 1080p untuk rakaman yang lebih jelas.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada RT1 termasuk sistem kunci pintar, port USB, pad anti-gelincir di bahagian pemijak kaki dan pemijak kaki penumpang aluminium, lampu LED di dalam ruang simpanan di bawah tempat duduk.

WMoto RT1 dijual pada harga bermula dari RM9,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) dan boleh didapati dalam tiga warna menarik iaitu Enchanting Blue, Mystique Black dan Dazzling Grey.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan selama dua tahun tanpa had perbatuan.

Petanda aras baharu skuter maxi, KYMCO AK550 kini di Malaysia – RM65,600

Skuter maxi, KYMCO AK550 Premium akhirnya tiba di Malaysia menerusi Modenas selaku pengedar rasmi jenama itu. 

Untuk rekod, Kymco AK Premium 550 merupakan varian ‘flagship’ yang lahir daripada model standard, AK550 yang diperkenalkan pada 2017.

Varian Premium ini dibezakan dengan ciri dan kelengkapan yang lebih maju termasuk traction control, cruise control dan Advanced Intelligent Braking System (AIBS) yang turut merangkumi Cornering ABS. 

Model ini juga hadir dengan dua mod menungggang; Standard dan Rain selain daripada penghadang angin boleh laras dan lampu LED dengan DRL (daytime running light). 

Ciri lain yang menonjol termasuk tangki 14.5L, storan luas di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan satu helmet ‘full-face’, sistem tanpa kunci (keyless), skrin digital LCD bersama TFT dan dua port pengecas USB. Menariknya, skrin TFT tersebut boleh disambungkan ke telefon pintar bagi mengakses aplikasi Nodooe (navigasi). 

Tidak dilupakan turut hadir adalah pakej brek Brembo M4 berkembar di depan, fork USD depan dan suspensi horizontal trailing arm di belakang. 

KYMCO AK550 Premium ini dikuasakan enjin parallel-twin 550cc dengan ‘270-degree crank’ yang berupaya menjana 51hp dan 52Nm. 

MForce mulakan 2024 dengan WMoto RT2 – RM16,888

Pengedar rasmi jenama WMoto, MForce Bike Holdings Sdn Bhd dengan rasminya melancarkan WMoto RT2 untuk pasaran tempatan. 

Skuter maxi 250cc dengan gaya ‘adventure’ itu hadir dengan harga jualan rasmi RM16,888. 

Berkongsi platform sama dengan RT3, model ini juga dipacu enjin  246.9cc yang berupaya menjana 23hp pada 7,500rpm dan 22.5Nm pada 6,000rpm. 

Menariknya, WMoto RT2 ini didatangkan dengan kamera papan pemuka depan dan belakang secara standard seperti yang terdapat pada RT3S. Antara ciri premium lain ditawarkan termasuk panel meter TFT dengan fungsi TPMS (tyre pressure monitoring system), sistem smart key, ABS dan pencahayaan LED penuh. 

Tidak cukup dengan itu, ciri praktikal turut dipertingkat dengan adanya dua slot pengecas USB yang terletak di ruang simpanan depan dan di bawah tempat duduk. 

Tidak dilupakan, skuter maxi ini juga hadir dengan tangki 12.6L.

Pusat pameran 3S Vespa dan skuter Aprilia dibuka di Melaka

Berita baik buat peminat jenama Vespa dan skuter Aprilia sekitar Melaka kerana pusat pameran 3S baru sahaja dirasmikan hujung minggu lalu di Klebang, Melaka. 

Pusat pameran 3S itu menempatkan tawaran serba lengkap termasuk servis, jualan dan alat ganti dan dikendalikan sepenuhnya Zen Sports Sdn Bhd. 

Sementara itu, Pengerusi Didi Group (selaku pengedar rasmi jenama Vespa dan Aprilia di Malaysia) turut gembira dengan pembukaan pusat 3S terbaru itu yang merupakan pertama di Melaka. 

Bagi pelanggan yang hadir, mereka akan disajikan dengan identiti korporat Piaggio yang menjaminkan pengalaman yang terbaik dan efisien. 

Menurut Didi Group, pusat 3S terbaru itu menawarkan rangkain model Vespa serba lengkap termasuk Vespa Sprint 150 dan GTV terbaru serta model skuter Aprilia SR GT 200. 

United E-Motor lancar skuter EV TX1800 dan TX3000, jarak tunggangan hingga 120km

UNITED E-Motor hari ini merasmikan kehadiran mereka ke pasaran Malaysia, membawakan skuter elektrik (EV) dengan dua pilihan spesifikasi iaitu TX1800 dan TX3000.

Sebelum kita melihat skuternya, siapa pula United E-Motor ini? Mereka merupakan pengeluar skuter elektrik dari Indonesia, dengan kerjasama syarikat tempatan iaitu Artroniq Bhd.

Baik, kita ke motosikalnya pula. United E-Motor TX1800 dan TX3000 secara asasnya skuter yang sama, cuma dibezakan dengan bekalan bateri dan prestasi.

TX1800 dibekalkan dengan bateri tunggal 1.72kWh dengan output 2.7hp dan 106Nm tork, mampu memberikan jarak tunggangan sehingga 65km setiap cas. Kelajuan maksima ialah sehingga 75km/j (bergantung kepada mod), dan ia boleh dicas dari 0 hingga 80 peratus dalam masa sejam setengah sahaja.

Sementara itu, TX3000 mendapat dua bateri 1.72kWh, memberikannya output 5.6hp dan 145Nm tork. Ia boleh ditunggang sehingga 120km setiap cas. Kelajuan maksima untuk model ini ialah 90km/j, manakala pengecasan dari 0 hingga 80 peratus akan mengambil masa empat jam.

Selain mengecas, kedua-dua motosikal mempunyai mod undur sehingga 5km/j dan juga boleh ditukar baterinya jika anda tidak mahu menunggu.

TX1800 mempunyai berat 98kg, manakala TX3000 seberat 118kg. Suspensi adalah serupa bagi kedua-dua skuter, dengan teleskopik di depan, dan dua penyerap hentak di belakang.

Tetapi TX1800 menggunakan tayar 100/70-12 di depan dan 120/70-12 di belakang. TX3000 pula menggunakan 120/70-12 untuk depan dan belakang.

Ciri lain adalah hampir sama, dimana kedua-dua skuter EV ini mendapat lampu LED, paparan LCD, sambungan Bluetooth, ruang simpanan bawah tempat duduk, dan aplikasi U-Key dengan pelbagai fungsi seperti butang SOS, Find My Motor, dan Live Dashboard.

Harga belum diumumkan, tetapi untuk rujukan, TX1800 di Indonesia dijual pada harga sekitar IDR33.9 juta (RM10.1k) dan TX3000 pada IDR49.9 juta (RM14.98k).

Skuter Zontes 350 Series dilancarkan di Malaysia, ada varian urban dan touring

ZONTES Distribution Sdn Bhd, pengimport dan pengedar rasmi motosikal Zontes di Malaysia, hari melancarkan skuter Zontes 350 Series baharu.

Model skuter itu boleh didapati dalam dua varian iaitu 350D dan 350E. Kedua-duanya dikuasakan enjin 349 cc silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair dan teknologi suntikan bahan api. Enjin tersebut menghasilkan 36 hp dan 38 Nm yang disalurkan ke roda menerusi kotak gear jenis CVT automatik.

Direka untuk mobiliti urban, varian 350D mempunyai badan yang lebih langsing dan ringan dengan berat keseluruhan 190 kg. Ia dilengkapi dengan tangki bahan api 12 liter yang dikatakan mampu memberikan jarak tunggangan sejauh 400 km dalam mod ECO.

Sementara itu, varian 350E pula direka untuk tunggangan jarak jauh. Ia mempunyai ukuran tapak roda yang lebih panjang iaitu 1,565 mm (160 mm lebih panjang berbanding 350D) serta tangki bahan api yang lebih besar iaitu 16 liter, dengan jarak tunggangan sekitar 457 km.

 

Selain itu, varian ini juga lebih berat iaitu 203 kg. Ruang storan di bawah tempat duduknya lebih besar iaitu 50 liter dan boleh memuatkan dua topi keledar full face, manakala dua ruang simpanan kalis air yang besar di bahagian depan pula dapat memuatkan empat botol air 500 ml.

Hendal aloi aluminium bersepadu 350E boleh dilaraskan dalam dua gear (depan dan belakang), manakala sarung hendal yang dipanaskan dapat mengekalkan keselesaan tangan dan jari penunggang dalam cuaca sejuk.

Ciri-ciri standard yang disertakan pada kedua-dua varian termasuk sistem keyless 3.0, paparan TFT berwarna berukuran 6.7 inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar, penghadang angin boleh laras secara elektronik, serta dua port pengecas pantas 18W Type A dan Type C.

Untuk keselamatan pula, terdapat cakera brek pada bahagian hadapan dan belakang dengan angkup empat omboh J.Juan, ABS dwi-saluran, Traction Control, Tyre Pressure Monitoring System dan lampu LED Osram.

Harga jualan bermula dari RM23,800 untuk 350D dan RM25,800 untuk 350E. Skuter tersebut didatangkan dengan waranti am selama dua tahun atau 20,000 km dan untuk komponen enjin, disediakan waranti selama tiga tahun atau 30,000 km.

Yamaha XMax 250 (2023) dilancarkan – ‘design’ lebih agresif, skrin TFT bersama Garmin

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan Yamaha XMax 250 versi baharu ke pasaran Malaysia, dengan harga jualan bermula dari RM23,998.

Seperti yang boleh dilihat, keseluruhan bentuk badan skuter ini telah direka semula untuk memberikannya penampilan yang lebih agresif berbanding model sebelum ini.

Apa yang membuatkan ia lebih menonjol adalah lampu LED dengan pencahayaan berbentuk ‘X’ pada bahagian hadapan dan belakang, serta lampu isyarat membelok LED yang diletakkan berhampiran dengan cermin penghadang angin.

Menurut Yamaha, tempat duduk XMax 250 juga telah direka semula dengan penampilan yang lebih langsing untuk memberikan lebih keselesaan kepada penunggang.

Selain reka bentuk baharu, model ini juga mendapat kluster instrumen TFT berukuran 4.2 inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi Yamaha Y-Connect.

Menerusi aplikasi tersebut, penunggang boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai skuter mereka termasuk kadar penggunaan bahan api, status bateri, jadual penyelenggaraan dan pelbagai lagi.

Selain itu, skrin tersebut juga didatangkan dengan sistem navigasi Garmin secara percuma. Untuk menggunakannya, penunggang perlu memuat turun aplikasi StreetCross ke telefon pintar mereka.

Enjin XMax 250 baharu sama seperti sebelum ini iaitu unit 250 cc satu silinder yang mematuhi piawaian emisi Euro 4. Enjin ini menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm pada 5,500 rpm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik V-Belt.

Saiz rim juga tidak berubah iaitu 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, manakala kapasiti tangki bahan api kekal pada 13 liter. Sistem brek terdiri daripada cakera pada bahagian hadapan dan belakang, berserta ABS.

Untuk pasaran Malaysia, ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Icon Blue dan Max Silver. Seperti biasa, setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera.

Honda BeAT 2023 – empat warna cun, harga dari RM5,990

BOON Siew Honda hari ini mengumumkan pilihan warna baharu untuk Honda BeAT, skuter bersaiz kecil yang dilancarkan di Malaysia pada 2015.

Untuk model 2023, BeAT akan ditawarkan dengan empat pilihan warna menarik iaitu merah, biru, hitam dan kuning. Setiap warna dipadankan dengan grafik bertemakan ‘abstrak moden’ yang direka untuk menarik minat pembeli dari kalangan golongan muda.

Model ini akan tersedia di semua pengedar sah Honda bermula 30 Jun 2023. Harga jualannya bermula dari RM5,990 dan ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. BeAT masih dikuasakan oleh enjin 109.5 cc silinder tunggal dengan teknologi suntikan bahan api PGM-FI yang menghasilkan 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm pada 6,000 rpm.

 

Enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 4 ini dan mampu menawarkan penggunaan bahan api serendah 59.1 km per liter.

BeAT mempunyai rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan menggunakan suspensi jenis fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal.

Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) di mana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.

Selain itu, BeAT didatangkan dengan ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk, lampu depan LED, kunci brek parkir dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.

Vespa Primavera Color Vibe untuk yang terpaling havoc

SELAIN dari GTS 300, Didi Group juga melancarkan Vespa Primavera Color Vibe di acara sama. Color Vibe ini merupakan edisi istimewa dari rangkaian Vespa Primavera 150.

Seperti pada namanya, ia menampilkan ekspresi warna yang cukup havoc (penulis terikut tema isu semasa). Baik, mungkin penerangan paling sesuai untuk Color Vibe ini adalah vibrant atau meriah.

Dua pilihan warna boleh anda pilih, iaitu Orange Tomato atau Blue Audace, tetapi kedua-duanya ibarat disulami secara kontra. Warna oren disulami biru, dan biru disulami oren. Jangan pening, anda lihat sahaja gambar-gambar yang kami kongsikan ini.

Kemudian, terdapat juga dekal grafik khas dengan rekaan retro, menyerlahkan lagi konsep dan karakter skuter ini.

Vespa Primavera Color Vibe dipacu oleh enjin 154.8cc yang berkuasa 12.9hp pada 7,750rpm dan 12.8Nm tork pada 6,500rpm.

Enjin silinder tunggal itu juga merupakan unit empat-lejang, tiga injap dengan suntikan elektronik PFI serta menggunakan sejukan udara.

Dari segi casis, Primavera Color Vibe dilengkapi lengan tunggal dan penyerap hentak hidraulik di depan dan penyerap hentak boleh-laras di belakang. Brek pula adalah cakera 200mm di depan dengan ABS, dan cakera 140mm mekanikal di balakang.

Untuk tayar, Vespa Primavera 150 mendapat profil 110/70 R12 dan 120/70 R12 masing-masing untuk depan dan belakang. Vespa Primavera 150 Color Vibe dijual pada harga bermula RM22,300.

Kebakaran motosikal di KLCC bukan berpunca dari skuter elektrik – Beam

PENYEDIA mobiliti elektrik, Beam Malaysia berkata pihaknya sedia maklum mengenai beberapa skuter elektrik (e-skuter) miliknya musnah dalam kebakaran yang berlaku di depan pusat beli-belah Suria KLCC, Jalan Ampang petang semalam.

Menurut Beam, kemas kini susulan siasatan oleh pihak berkuasa, e-skuter mereka bukan punca kepada kebakaran itu.

“Beam lega kerana tiada pejalan kaki atau pengguna jalan raya tercedera dalam insiden itu. Kami ingin memaklumkan hasil dari siasatan pihak berkuasa terlibat, kenderaan kami tidak menjadi punca kebakaran itu,” kata Beam dalam satu kenyataan.

“Kami menzahirkan rasa simpati terhadap pemilik-pemilik motosikal persendirian lain yang musnah akibat kebakaran.

“Kami berterima kasih kepada pihak berkuasa atas tindakan pantas mereka membendung kebakaran, mengelakkannya dari merebak dan menyebabkan lebih kerosakan,” tambah Beam.

Menurutnya, keselamatan menjadi keutamaan untuk Beam, dan mereka menggunakan bahan dan teknologi dari gred tertinggi (aluminium gred pesawat) bagi memastikan ketahannya.

“Bateri-bateri yang dipasang pada setiap e-skuter Beam juga mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa bagi memastikan standard tertinggi bagi keselamatan.”

Dalam kejadian semalam, sebanyak 13 buah motosikal dan empat e-skuter terbakar di kawasan parkir pusat beli-belah Suria KLCC,.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Iqbal Khan Malek Khan berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 3:46 petang.

“Seramai 15 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Iqbal Khan berkata, setibanya pasukan bomba dan penyelamat di lokasi kejadian mendapati sebanyak 13 motosikal dan empat buah e-skuter terbakar.

Beliau berkata, operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive untuk memadam kebakaran.

Sumber gambar: Facebook Inforoadblock dan Malaysian Land Public Transport Fans (MLPTF).

Atasi kesesakan jalan raya dengan Promosi Ramadan Beam, RM2 cashback

TRAFIK boleh menjadi sesak di bulan Ramadhan ini dimana berjuta rakyat Malaysia bergegas mahu pulang ke rumah untuk bersedia berbuka puasa.

Jalan-jalan utama, kejiranan, dan lokasi-lokasi strategik sering padat dengan kereta dan manusia, maka parkir akan menjadi isu di kawasan-kawasan sebegini.

Jadi untuk itu, Beam menawarkan solusi menggunakan e-skuter mereka dan anda tidak perlu pening kepala dalam kesesakan trafik dan menghabiskan masa mencari parkir. Bermula hari ini hingga 23 April, Promosi Ramadan Beam menawarkan cashback RM2 untuk setiap tunggangan berkumpulan.

Dengan saiz kompak dan mudah diakses di kawasan-kawasan Lembah Klang seperti Ampang Jaya, Taman Melawati, dan Shah Alam Seksyen 7 serta 14, rakyat Malaysia boleh bergerak dengan cepat dan selamat di sekitar bandar, sama ada ke stesen pengangkutan awam atau ke bazar Ramadan.

E-skuter Beam juga boleh menjadi pilihan menarik untuk mereka yang beragama Islam pergi dan pulang dari masjid berdekatan untuk solat tarawikh.

Bergerak dengan menggunakan e-skuter Beam bukan sahaja dapat menjimatkan masa anda, malah mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut selain merendahkan pelapasan pencemaran karbon.

Beam juga mengumumkan e-skuter mereka kini boleh didapati di 15 lokasi baharu sekitar Petaling Jaya seperti di SS2, SS6, SS21, Sekseyn 13, Sekyen 17, PJU1, dan PJU8.

Aplikasi Beam boleh dimuat turun dari Apple Store dan Google Play Store.

Aveta VADV150 Hybrid dilancarkan di Malaysia – RM13,980

AVETA Malaysia merancakkan lagi saingan dalam segmen skuter menerusi pelancaran model terbarunya iaitu Aveta VADV150 Hybrid.

Ia dijual pada harga RM13,980 dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Yellow Topaz, Blue Sapphire dan Red Ruby.

Ya, seperti namanya, model ini dikuasakan oleh trenkuasa hibrid yang dibangunkan khusus untuk membantu pecutan dengan menggunakan ‘Smart Motor Generator’.

Kuasa utama dibekalkan oleh enjin satu silinder, SOHC bersesaran 149 cc dengan sistem penyejukan cecair yang mampu menghasilkan 16.2 hp pada 8,500 rpm dan 14.6 Nm pada 6,500 rpm.

Apa yang menarik, VADV150 Hybrid merupakan skuter pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan sistem perakam video digital (DVR) yang terdiri daripada kamera hadapan dan belakang.

Menurut syarikat itu, ia bertindak sebagai ciri keselamatan tambahan dan rakamannya juga boleh dikongsikan bersama penunggang lain.

Satu lagi ciri inovatif yang terdapat pada model ini adalah sistem lampu LED adaptif (AFS) yang mampu melaras pancaran cahaya secara automatik berdasarkan kelajuan tunggangan dan sudut pencahayaan.

Selain itu, VADV150 Hybrid didatangkan dengan skrin TFT tujuh inci yang memaparkan pelbagai informasi penting termasuk sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), selain boleh disambungkan kepada telefon menerusi Bluetooth.

Ciri-ciri kemudahan lain yang tersedia termasuklah cermin penghadang angin boleh laras, port pengecas USB, ruang storan di bawah tempat duduk, sistem kunci pintar dan Start Stop.

Untuk sistem suspensi, VADV150 Hybrid menggunakan penyerap hentak berkembar dengan subtank, manakala sistem brek pula terdiri daripada cakera hadapan dan belakang berserta ABS dwi-saluran.

Honda Vario 125 dilancarkan pada harga RM7,080

SELEPAS melancarkan ADV 160 dan X-ADV 2023 tempoh hari, Boon Siew Honda kini memperkenalkan pula model Vario 125 baharu ke pasaran tempatan.

Menurut syarikat itu, model ini disasarkan kepada penunggang yang mencari skuter mampu milik dengan ciri-ciri moden dan canggih yang turut terdapat pada skuter premium.

Ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair bersesaran 124.9 cc yang mampu menghasilkan 11.5 hp pada 8,500 rpm dan 11.74 Nm tork pada 5,000 rpm.

Enjin berkenaan dilengkapi dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP) yang memberikan geseran minimum serta ciri Idling Stop System (ISS) untuk kecekapan bahan api.

Apa yang menarik, Vario 125 dikatakan model pertama dalam kategori 125 cc yang didatangkan dengan ciri Honda SMART Key System.

Turut disertakan adalah sistem penggera anti-kecurian yang akan menghidupkan bunyi penggera dan isyarat berkelip apabila motosikal mengesan getaran atau pergerakan.

Sistem jawab balik (Answer Back) pula berfungsi untuk mengesan kedudukan motosikal apabila diletakkan dan pemilik akan dimaklumkan apabila fungsi immobiliser dihidupkan.

Untuk kemudahan penunggang, Vario 125 didatangkan dengan pengecas USB di dalam kotak konsol, serta dua ruang simpanan terbuka yang boleh memuatkan botol air dan barangan lain seperti sarung tangan.

Selain itu, terdapat juga penyimpanan sebesar 18 liter di bawah tempat duduk untuk menyimpan topi keledar serta barangan lain. Ia dikatakan ruang penyimpanan terbesar bagi motosikal kategori 125 cc.

Bagi menarik minat golongan muda, Vario 125 bukan sahaja mempunyai reka bentuk dan grafik yang sporty, malah dilengkapi dengan sistem lampu LED dan panel meter digital yang memaparkan semua maklumat penting.

Ia menggunakan tayar berukuran 90/80-14 di hadapan dan 100/80-14 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada kedua-dua bahagian, tetapi ABS tidak disertakan.

Honda Vario 125 boleh didapati dalam tiga warna iaitu merah, biru dan kuning. Harga jualan (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) adalah RM7,080.

Honda X-ADV 2023 tampil dalam warna baharu Shasta White

BOON Siew Honda telah memperkenalkan Honda X-ADV versi 2023 yang boleh didapati dalam warna putih baharu bergelar Shasta White.

Selain warna baharu itu, X-ADV masih lagi ditawarkan dengan pilihan warna Matte Ballistic Black Metallic dan Pearl Deep Mud Grey.

Seperti sebelum ini, X-ADV dipacu oleh enjin dua silinder selari bersesaran 745 cc yang menghasilkan 57.8 hp pada 6,750 rpm dan 69 Nm pada 4,750 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar (DCT) enam kelajuan.

Enjin tersebut bertaraf Euro 5 dan mempunyai sistem penyejukan cecair. Selain itu, ia juga didatangkan dengan pendikit jenis ‘throttle-by-wire’ dan lima mod tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. Turut disertakan adalah sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan tiga tetapan berbeza.

Untuk sistem keselamatan, X-ADV dilengkapi dengan ABS dan Emergency Stop Signal (ESS). Sistem brek pula terdiri daripada brek cakera berkembar 296 mm pada bahagian hadapan dan cakera tunggal 240 mm pada bahagian belakang.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada skuter kembara ini termasuklah lampu LED pada bahagian depan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, cermin penghadang angin dengan lima tahap pelarasan, ruang simpanan 22 liter dan soket USB.

Satu lagi ciri yang ditawarkan adalah paparan TFT berukuran 5.0 inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi Honda Smartphone Voice Control System (HSVCS).

Sistem tersebut membolehkan penunggang membuat panggilan, serta mengakses e-mel. muzik dan navigasi menerusi fungsi arahan suara.

Harga jualan (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) Honda X-ADV 2023 adalah RM68,899. Ia didatangkan dengan waranti pengeluar untuk dua tahun atau 20,000 km.

Modenas Elegan 250 EX kini dengan enjin Euro 4, lampu projektor

MODENAS Elegan 250 EX kini mendapat kemaskini terbaharu melibatkan aspek teknikal dan aestetik. Dari segi teknikal, skuter itu kini mendapat penarafan Euro 4 bagi enjinnya, sebahagian dari usaha Modenas untuk membolehkan produk mereka memenuhi piawaian pelepasan asap itu.

Elegan 250 EX baharu didatangkan dengan enjin 250cc Euro 4 silinder tunggal, 4-lejang dan dengan teknologi suntikan bahan api dan SOHC. Enjin ini menjana 22hp pada 7,000rpm dan 22.4Nm tork pada 6,500 rpm.

Bagi membolehkan enjin ini mendapat penarafan Euro 4, ia dilengkapi dengan anti-pelepasan tambahan bagi memastikan toksin dalam gas ekzos adalah minima.

Seterusnya, pembaharuan pada Modenas Elegan 250 EX ini adalah menerusi lampu projektor dengan DRL LED, serta lampu belakang berbentuk X.

Ciri lain dikekalkan, seperti paparan meter digital, jam digital, penunjuk voltan bateri, penunjuk paras petrol, dan soket pengecaj USB. Skuter ini mempunyai berat 195kg, serta hadir dengan sistem brek ASB dwi-saluran.

Modenas Elegan 250 EX boleh menjadi milik anda dengan harga jualan RM16,997, dan datang dengan dua pilihan warna baharu iaitu Matte Silver Crystal dan Petroleum Blue. Ia juga dilindungi dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Honda ADV 160 dilancarkan pada harga RM12,999

BOON Siew Honda telah melancarkan Honda ADV 160 serba baharu bagi menggantikan model terdahulu iaitu ADV 150 yang dilancarkan pada 2021.

Selain reka bentuk yang lebih sporty, skuter kembara ini turut menampilkan enjin berkapasiti lebih tinggi iaitu 157 cc eSP+ silinder tunggal yang menghasilkan 15.8 hp pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm pada 5,500 rpm.

Untuk perbandingan, ADV 150 dikuasakan oleh enjin 149 cc dengan 14.6 hp dan 13.9 Nm.

Turut disertakan pada ADV 160 adalah teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang bertindak untuk melaraskan kuasa enjin bagi mengoptimumkan tork di tayar belakang, sekaligus mengurangkan kegelinciran.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar dengan subtangki Showa. Apa yang menarik, ketinggian pelana telah dikurangkan daripada 795 mm kepada 780 mm.

Untuk brek pula, model ini menggunakan brek cakera beralun pada bahagian depan dan belakang.

Naik taraf lain yang terdapat model ini termasuklah lampu LED penuh, cermin depan boleh laras (dua posisi), panel meter LCD, pengecas USB di dalam kotak konsol dan ruang penyimpanan barang sebesar 30 liter.

Sistem keselamatan pula merangkumi ABS pada brek depan, sistem kunci pintar dan penggera.

ADV 160 dijual pada harga RM12,999 dan boleh didapati dalam dua warna iaitu Matte Charcoal Grey Metallic dan Vivacity Red.

BMW CE04 skuter EV dengan 42hp, jarak tunggangan 130km, harga anggaran RM60k

SERENTAK dengan pengenalan 3-Series G20 facelift, BMW Motorrad hari ini mendedahkan CE04, iaitu sebuah skuter elektrik (EV). Ianya sejajar dengan pelan mobiliti dalam bandar oleh BMW Malaysia, CE04 menampilkan teknologi terkini untuk permotoran moden.

Harganya dijangka pada sekitar RM60,000, tetapi harga rasmi hanya akan diumumkan pada Mac nanti. Skuter elektrik ini mempunyai kuasa 42hp dan 62Nm tork, dan mampu memecut dari pegun ke 50km/j dalam 2.6 saat, dengan kelajuan maksima 120km/j.

Output disalurkan ke roda belakang melalui lengan ayun tunggal dengan tali sawat bergigi dan transmisi tetap.

CE04 mendapat kuasanya dari unit bateri lithium-ion 8.9kWh, manakala motor elektriknya menggunakan sejukan cecair. Pakej bateri ini memberikan jarak tunggangan sehingga 130km.

Skuter ini akan mengambil masa lebih empat jam untuk pengecasan biasa 2.3kW, tetapi dengan pengecasan pantas 6.9kW, ia memerlukan satu jam 40 minit, atau 0 hingga 80 peratus dalam masa 65 minit.

CE04 hadir dengan rim 15-inci di depan dan belakang, manakala sistem brek adalah cakera 265mm di depan dan belakang, dengan ABS.

Terdapat empat mod tunggangan iaitu Eco, Rain, Road, dan Dynamic. Paparan di depan penunggang adalah skrin TFT 10.25-inci yang dilengkapi sistem navigasi, dan aplikasi BMW Motorrad Connected App.

Ciri lain termasuklah port USB, ruang simpanan dengan port USB dan soket 12 volt, ruang simpanan topi keledar, dan ruang simpanan berlampu.

WMoto XDV250i dilancarkan di Malaysia – 2 varian, harga dari RM18,888

PERSAINGAN dalam pasaran skuter kembara di Malaysia kini menjadi semakin sengit dengan kehadiran pesaing baharu dari MForce Bike Holdings Sdn Bhd iaitu WMoto XDV250i.

Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu standard dan Project-X yang merupakan versi lebih rugged dengan aksesori tambahan. Harga bermula dari RM18,888 untuk varian standard dan RM21,888 untuk Project-X.

XDV250i Project-X

XDV250i dikuasakan oleh enjin 249 cc silinder tunggal SOHC dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 24.8 hp pada 8,750 rpm dan 23 Nm tork maksimum pada 6,750 rpm.

Selain itu, enjin berkenaan juga dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api elektronik dan patuh piawaian emisi Euro 4. Kapasiti tangki bahan api adalah 13.5 liter.

Untuk suspensi, XDV250i menggunakan sistem suspensi keluaran KYB yang terdiri daripada fork jenis terbalik (USD) 41 mm di depan dan penyerap hentak teleskopik berkembar di belakang.

Ketinggian pelana adalah sekitar 800 mm, manakala berat keseluruhan skuter kembara ini adalah 159 kg. Sementara itu, sistem brek pula merangkumi brek cakera depan dan belakang, serta ABS dwi-saluran.

Selain itu, XDV250i juga didatangkan dengan cermin penghadang angin boleh laras, bar hendal boleh laras, sistem Remote Keyless dan panel meter LCD penuh dengan penunjuk tekanan angin tayar, suhu dan sebagainya.

Untuk kemudahan penunggang, terdapat ruang penyimpanan barang berkapasiti 26 liter, port pengecas USB dan juga pencahayaan pada butang dan suis.

Varian Project-X didatangkan dengan aksesori tambahan berupa tiga buah kotak penyimpanan aluminium, cermin penghadang angin yang lebih tinggi serta rim spoke dengan tayar tanpa tiub.

Honda Vario 160 kini dengan kerangka baharu, enjin lebih besar – RM10k

BOON Siew Honda hari ini melancarkan skuter “sporty premium” Honda Vario 160 baharu yang tampil bagi menggantikan model terdahulu iaitu Vario 150.

Seperti yang tertera pada namanya, Vario 160 mempunyai enjin baharu dengan kapasiti lebih tinggi. Enjin 157 cc, silinder tunggal itu menghasilkan 15.1 hp pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Enjin berkenaan dilengkapi dengan teknologi enhanced Smart Power Plus (eSP+) yang direka untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan geseran tanpa menjejaskan output.

Selain ‘nadi’ baharu, Vario 160 juga dibina menggunakan kerangka enhandced Smart Architecture Frame (eSAF) yang dikatakan lebih lincah dan senang dikendalikan. Ia dipadankan dengan tayar bersaiz 180/80 di depan dan 120/70 di belakang, serta roda tempaan 14 inci yang menampilkan rekaan terkini.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang. Bagaimanapun, ABS hanya terdapat pada brek depan.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada model ini termasuklah sistem kunci pintar yang dilengkapi dengan penggera, lampu LED depan dan belakang, lampu isyarat membelok LED dan panel meter digital yang memaparkan penunjuk kunci pintar, jam, kadar kecekapan bahan api dan ABS.

Tidak cukup dengan itu, ia juga dilengkapi dengan pengecas USB Type A dan ruang storan 18 liter di bawah pelana.

Vario 160 boleh didapati dalam empat warna iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue, Sword Silver Metallic dan Matte Charcoal Grey Metallic.

Harga (tidak termasuk cukai jalan pendaftaran dan insurans) bermula dari RM9,998, namun pelanggan yang memilih warna Matte Charcoal Grey Metallic dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM300.

Seperti model-model lain, Boon Siew Honda menawarkan waranti pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Tailg Ebixon Bold dan Torq dilancar – skuter EV boleh ditukar bateri, RM9k dan RM15k

SATU lagi pilihan motosikal elektrik (EV) kini di Malaysia dengan pengenalan Tailg Ebixon Bold dan Torq. Kedua-dua skuter itu dibawa masuk ke pasaran negara ini oleh Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Ni Hsin Group Berhad.

Tailg Ebixon Bold dan Torq menampilkan rekaan skuter kompak dengan jarak tunggangan sehingga 200km dan kebolehan menukar bateri.

Tailg Ebixon Bold – RM9,000

Untuk Tailg Ebixon Bold, ia mempunyai dimensi 1,900mm panjang, 710mm lebar dan 1,165mm tinggi. Beratnya ialah 91kg dengan kemampuan membawa beban sehingga 252kg.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik jenis brushless 72 volt dengan output 1,500W dan 35Nm. Ini memberikan Bold kelajuan sehingga 70km/j dan jarak tunggangan 120km.

Motor elektrik ini mendapat bekalan kuasa dari bateri lithium 11kg dengan jaminan 1,000 kitaran.

Ebixon Bold dilengkapi dengan lampu LED, panel instrumen digital, dan soket USB. Tayarnya bersaiz 130/60 di depan dengan rim 13-inci, sementara 120/70 di belakang dengan rim 12-inci.

Sistem brek pula adalah jenis cakera di kedua-dua roda, sementara suspensi depan dan belakang masing-masing teleskopik dan spring gegelung.

Tailg Ebixon Torq – RM14,888

Ebixon Torq pula merupakan model yang lebih berkuasa, dengan output 5,000W dan 74Nm dari motor elektrik brushless 72 volt yang sama.

Tetapi output yang lebih tinggi ini dibekalkan oleh bateri lebih besar, iaitu seberat 23kg.

Dari segi dimensi, Torq mempunyai saiz lebih kompak dengan ukuran 1,883mm panjang, 687mm lebar, dan 1,112mm tinggi. Berat ialah 85kg dengan kapasiti sehingga 233kg.

Ebixon Torq mendapat kelengkapan seperti lampu LED, kluster instrumen digital, dan soket USB. Ciri lain termasuklah brek cakera depan dan belakang, serta rim 12-inci dengan tayar depan 90/90 dan belakang 110/70.

Suspensi pula adalah teleskopik untuk depan dan gegelung spring untuk belakang.

Kedua-dua skuter hadir dengan jaminan sehingga 24 bulan dan akan mengambil masa selama dua hingga lapan jam untuk dicaj. Sebagai alternatif seperti dikatakan tadi, skuter Tailg Ebixon ini juga boleh ditukar terus baterinya.