fbpx

Yamaha XMax 250 (2023) dilancarkan – ‘design’ lebih agresif, skrin TFT bersama Garmin

Yamaha XMax 250 2023 01

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan Yamaha XMax 250 versi baharu ke pasaran Malaysia, dengan harga jualan bermula dari RM23,998.

Seperti yang boleh dilihat, keseluruhan bentuk badan skuter ini telah direka semula untuk memberikannya penampilan yang lebih agresif berbanding model sebelum ini.

Apa yang membuatkan ia lebih menonjol adalah lampu LED dengan pencahayaan berbentuk ‘X’ pada bahagian hadapan dan belakang, serta lampu isyarat membelok LED yang diletakkan berhampiran dengan cermin penghadang angin.

Menurut Yamaha, tempat duduk XMax 250 juga telah direka semula dengan penampilan yang lebih langsing untuk memberikan lebih keselesaan kepada penunggang.

Selain reka bentuk baharu, model ini juga mendapat kluster instrumen TFT berukuran 4.2 inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi Yamaha Y-Connect.

Menerusi aplikasi tersebut, penunggang boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai skuter mereka termasuk kadar penggunaan bahan api, status bateri, jadual penyelenggaraan dan pelbagai lagi.

Selain itu, skrin tersebut juga didatangkan dengan sistem navigasi Garmin secara percuma. Untuk menggunakannya, penunggang perlu memuat turun aplikasi StreetCross ke telefon pintar mereka.

Enjin XMax 250 baharu sama seperti sebelum ini iaitu unit 250 cc satu silinder yang mematuhi piawaian emisi Euro 4. Enjin ini menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm pada 5,500 rpm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik V-Belt.

Saiz rim juga tidak berubah iaitu 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, manakala kapasiti tangki bahan api kekal pada 13 liter. Sistem brek terdiri daripada cakera pada bahagian hadapan dan belakang, berserta ABS.

Untuk pasaran Malaysia, ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Icon Blue dan Max Silver. Seperti biasa, setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved