fbpx

Aston Martin DB12 mendarat di Malaysia – dari RM1.088 juta

aston martin db12 official 15

TIDAK lama selepas pelancaran global pada Mei lepas, Aston Martin DB12 kini mendarat ke Malaysia. Pengganti kepada DB11 ini menggunakan pelantar yang sama, tetapi terdapat penambahbaikan di merata tempat bagi memastikannya menjadi lebih mantap.

DB12 ini lebih lebar di bahagian gandar depan dan belakang, iaitu masing-masing sebanyak 6mm dan 12mm. Rekaan luaran juga kini lebih tajam dan dinamik, berserta lampu depan LED dan DRL baharu.

Di bawah bonet depan panjang DB12 ini tersimpannya enjin 4.0-liter V8 biturbo yang mampu menghamburkan 680hp pada 6,000rpm dan 800Nm tork dari 2,750 hingga 6,000rpm. Menurut Aston Martin, output ini merupakan anjakan prestasi sebanyak 34 peratus berbanding DB11.

Output lebih tinggi ini dicapai dengan beberapa pembaharuan seperti pengecas turbo lebih besar dan sistem penyejukan lebih baik.

Kuasa dihantar ke gandar belakang melalui kotak gear automatik 8-kelajuan dan buat pertama kali, terdapat LSD (limited-slip differential) elektronik untuk model DB. Ia boleh dibuka dan ditutup sepenuhnya dalam masa beberapa milisaat sahaja, memberikan respon dan kawalan tepat.

Dari segi prestasi pecutan, Aston Martin DB12 baharu mampu mencapai 100km/j dalam hanya 3.6 saat, dengan kelajuan maksima 325km/j.

Dengan prestasi lebih tinggi ini, kawalan pengendalian juga ditingkatkan dengan ketegaran casis ditambahn sebanyak tujuh peratus. Ini disumbang oleh penggunaan pengukuh casis di depan dan belakang serta di pemegang suspensi.

Bercakap mengenai suspensi, DB12 mendapat penyerap hentak adaptif generasi baharu yang mampu menawarkan keselesaan dan kawalan jauh lebih baik dari sebelum ini.

DB12 juga mempunyai mod pemanduan GT, Sport, Sport Plus, Wet, dan Individual. Tetapi khas untuk Stability Control, ia mempunyai tetapan Wet, On, Track, dan Off – yang boleh dipilih dari butang di konsol tengah.

Aston Martin DB12 didatangkan dengan rim aloi 21-inci dengan tiga pilihan warna. Rim dengan bilah berbentuk-Y ini dibaluti dengan Michelin Pilot Sport 5 S bersaiz 275/35 depan dan 315/30 belakang. Tayr ini mempunyai tulisan ‘AML’ menunjukkan ia dibangunkan khas untuk DB12.

Ciri di dalam kabin Aston Martin DB12 termasuklah stereng flat-bottomed, pilihan kulit Bridge of Weir atau Alcantara, paparan infotainmen 10.25-inci, dan sistem audio premium Bowers & Wilkins dengan 15 pembesar suara.

Jentera Super Tourer ini kini boleh dilihat dengan lebih dekat di bilik pameran Aston Martin Kuala Lumpur, berdekatan KLCC. Ia boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM1,088,000 sebelum cukai, duti, pilihan, dan opsyen. Ia juga boleh dipilih dengan jaminan sehingga 20 tahun.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved