fbpx

Jangan keliru dengan nama Aston Martin DB12, ia sebenarnya tiada enjin V12 pun

The_New_Aston_Martin_DB12_01

ASTON Martin telah memperkenalkan pengganti kepada DB11 yang diperkenalkan tujuh tahun lalu. Dikenali sebagai DB12, ia dikatakan sebagai super tourer pertama di dunia dan model DB yang paling lengkap setakat ini.

Melihat kepada namanya, mungkin ramai yang menganggap bahawa jentera ini mempunyai ‘jantung’ V12. Sebenarnya ia mempunyai enjin 4.0-liter twin-turbo V8 keluaran Mercedes-AMG yang digunakan oleh Aston Martin untuk beberapa modelnya sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, enjin itu telah dinaik taraf dengan cam profile baharu, pengecas turbo yang lebih besar dan sistem penyejukan yang direka semula. Hasilnya adalah 680 PS pada 6,000 rpm dan 800 Nm dari 2,750 hingga 6,000 rpm, 34 peratus lebih tinggi berbanding DB11.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang, DB12 hanya memerlukan 3.5 saat untuk memecut dari 0 hingga 96 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

Pemandu boleh memilih daripada lima mod pemanduan yang disediakan iaitu GT, Sport, Sport+, Wet dan Individual. Untuk Electronic Stability Programme (ESP) pula, terdapat empat mod (Wet, On, Track dan Off). Setiap satu diprogramkan untuk kawalan progresif tanpa campur tangan mengejut dari sistem elektronik.

Buat pertama kalinya bagi model DB, DB12 didatangkan dengan Electronic Rear Differential (E-Diff). Tidak seperti Limited Slip Differential (LSD) konvensional, sistem baharu ini boleh dikunci 100 peratus dalam beberapa milisaat sahaja untuk memberikan respon yang lebih tepat dan pengendalian yang konsisten.

DB12 mempunyai struktur aluminium dengan beberapa komponen yang telah diubah suai, menjadikan ia tujuh peratus lebih tegar berbanding sebelum ini. Struktur ini dipadankan dengan peredam adaptif dan anti-roll bar yang lebih keras.

Bagi memastikan ia mempunyai kuasa membrek yang secukupnya, Aston Martin menggunakan cakera besi berukuran 400 mm di depan dan 360 mm di belakang. Booster brek juga telah ditela semula untuk maklum balas pedal yang lebih baik.

Pelanggan bagaimanapun boleh mendapatkan brek karbon seramik yang bukan sahaja tahan haba sehingga 800°C, malah 27 kg lebih ringan berbanding cakera brek besi tadi.

Dari segi reka bentuk, DB12 tampil lebih ‘sado’ dengan track depan dan belakang yang lebih lebar, serta gril radiator yang lebih besar berbanding model yang digantikannya. Ia didatangkan dengan rim aloi tempaan berukuran 21 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 5 S.

Ruang kabin kelihatan lebih canggih dengan adanya skrin berukuran 10.25 inci pada konsol tengah. Ia menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, selain mempunyai sistem navigasi dengan peta 3D dan kemas kini perisian secara Over-the-Air (OTA).

Menurut Aston Martin, penyerah DB12 akan bermula sekitar suku ketiga tahun ini. Harga tidak diumumkan (macamlah kami mampu).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved