fbpx

BMW XM Label Red kini di Malaysia – model produksi paling berkuasa, harga RM1.6 juta

P90499807_highRes_the-bmw-xm-label-red

MASIH ingat dengan BMW XM yang dibuka untuk pratempahan pada Mac lalu? Inilah dia versi berprestasi tingginya yang dikenali sebagai XM Label Red. Ia merupakan model produksi paling berkuasa BMW setakat ini.

Seperti XM ‘standard’, model Label Red ini turut menggunakan gabungan enjin 4.4-liter biturbo V8 dan sebuah motor elektrik namun jumlah kuasanya telah dipertingkatkan dari 653 PS dan 800 Nm kepada 748 PS dan 1,000 Nm.

Ini membolehkan XM Label Red melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat, 0.5 saat lebih pantas berbanding XM. Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j tetapi dengan M Driver’s Package, ia boleh mencecah 290 km/j.

Dengan bateri berkapasiti 25.7 kWj, model ini boleh dipandu sejauh 83 km dan mencapai kelajuan maksimum 140 km/j dalam mod EV.

 

Pacuan M xDrive disertakan secara standard, begitu juga dengan Adaptive M Suspension Professional, peredam elektronik, Active Roll Stabilisation dan Integral Active Steering.

Untuk XM Label Red, BMW menawarkan dua pilihan warna untuk jalur aksen iaitu Toronto Red dan Shadowline. Kedua-duanya dilengkapkan dengan kemasan merah pada logo ‘XM’ yang terletak berdekatan dengan pintu depan.

Secara keseluruhan, model ini boleh didapati dalam 50 pilihan warna kustom yang boleh dipratonton menerusi BMW Indiviual Visualizer baharu.

Ia juga didatangkan dengan dua pilihan rim iaitu rim aloi M berukuran 22 inci dengan aksen merah yang dipadankan dengan jalur Toronto Red, atau rim aloi M 23 dalam penggayaan Star Spoke yang dipadankan dengan jalur Shadowline.

Tema dwi tona jentera ini diteruskan pada bahagian dalaman di mana terdapatnya upholsteri kulit dengan tekstur berbentuk berlian dan jahitan merah. Warna merah juga menghiasi panel instrumen, panel dan konsol tengah.

Untuk pasaran Malaysia, harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) XM Label Red bermula dari RM1,615,800. Harga yang disebutkan adalah termasuk waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun dan program servis berjadual percuma.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved