fbpx

Honda Vario 125 dilancarkan pada harga RM7,080

Honda Vario 125 01

SELEPAS melancarkan ADV 160 dan X-ADV 2023 tempoh hari, Boon Siew Honda kini memperkenalkan pula model Vario 125 baharu ke pasaran tempatan.

Menurut syarikat itu, model ini disasarkan kepada penunggang yang mencari skuter mampu milik dengan ciri-ciri moden dan canggih yang turut terdapat pada skuter premium.

Ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair bersesaran 124.9 cc yang mampu menghasilkan 11.5 hp pada 8,500 rpm dan 11.74 Nm tork pada 5,000 rpm.

Enjin berkenaan dilengkapi dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP) yang memberikan geseran minimum serta ciri Idling Stop System (ISS) untuk kecekapan bahan api.

Apa yang menarik, Vario 125 dikatakan model pertama dalam kategori 125 cc yang didatangkan dengan ciri Honda SMART Key System.

Turut disertakan adalah sistem penggera anti-kecurian yang akan menghidupkan bunyi penggera dan isyarat berkelip apabila motosikal mengesan getaran atau pergerakan.

Sistem jawab balik (Answer Back) pula berfungsi untuk mengesan kedudukan motosikal apabila diletakkan dan pemilik akan dimaklumkan apabila fungsi immobiliser dihidupkan.

Untuk kemudahan penunggang, Vario 125 didatangkan dengan pengecas USB di dalam kotak konsol, serta dua ruang simpanan terbuka yang boleh memuatkan botol air dan barangan lain seperti sarung tangan.

Selain itu, terdapat juga penyimpanan sebesar 18 liter di bawah tempat duduk untuk menyimpan topi keledar serta barangan lain. Ia dikatakan ruang penyimpanan terbesar bagi motosikal kategori 125 cc.

Bagi menarik minat golongan muda, Vario 125 bukan sahaja mempunyai reka bentuk dan grafik yang sporty, malah dilengkapi dengan sistem lampu LED dan panel meter digital yang memaparkan semua maklumat penting.

Ia menggunakan tayar berukuran 90/80-14 di hadapan dan 100/80-14 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada kedua-dua bahagian, tetapi ABS tidak disertakan.

Honda Vario 125 boleh didapati dalam tiga warna iaitu merah, biru dan kuning. Harga jualan (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) adalah RM7,080.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved