fbpx

Aveta VADV150 Hybrid dilancarkan di Malaysia – RM13,980

Aveta VADV150 Hybrid 01

AVETA Malaysia merancakkan lagi saingan dalam segmen skuter menerusi pelancaran model terbarunya iaitu Aveta VADV150 Hybrid.

Ia dijual pada harga RM13,980 dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Yellow Topaz, Blue Sapphire dan Red Ruby.

Ya, seperti namanya, model ini dikuasakan oleh trenkuasa hibrid yang dibangunkan khusus untuk membantu pecutan dengan menggunakan ‘Smart Motor Generator’.

Kuasa utama dibekalkan oleh enjin satu silinder, SOHC bersesaran 149 cc dengan sistem penyejukan cecair yang mampu menghasilkan 16.2 hp pada 8,500 rpm dan 14.6 Nm pada 6,500 rpm.

Apa yang menarik, VADV150 Hybrid merupakan skuter pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan sistem perakam video digital (DVR) yang terdiri daripada kamera hadapan dan belakang.

Menurut syarikat itu, ia bertindak sebagai ciri keselamatan tambahan dan rakamannya juga boleh dikongsikan bersama penunggang lain.

Satu lagi ciri inovatif yang terdapat pada model ini adalah sistem lampu LED adaptif (AFS) yang mampu melaras pancaran cahaya secara automatik berdasarkan kelajuan tunggangan dan sudut pencahayaan.

Selain itu, VADV150 Hybrid didatangkan dengan skrin TFT tujuh inci yang memaparkan pelbagai informasi penting termasuk sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), selain boleh disambungkan kepada telefon menerusi Bluetooth.

Ciri-ciri kemudahan lain yang tersedia termasuklah cermin penghadang angin boleh laras, port pengecas USB, ruang storan di bawah tempat duduk, sistem kunci pintar dan Start Stop.

Untuk sistem suspensi, VADV150 Hybrid menggunakan penyerap hentak berkembar dengan subtank, manakala sistem brek pula terdiri daripada cakera hadapan dan belakang berserta ABS dwi-saluran.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved