fbpx

Tiada lagi monopoli PUSPAKOM bermula September 2024 – Menteri Pengangkutan

puspakom

PERKHIDMATAN pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selepas ini tidak akan dihadkan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sahaja.

Pelanggan mempunyai pertanyaan mengenai operasi Puspakom boleh rujuk di laman sosial dan laman web rasmi organisasi itu. - Foto ihsan Facebook/Puspakom Sdn Bhd
Gambar: Facebook/Puspakom Sdn Bhd

Sebaliknya, ia akan dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan selepas konsesi semasa kepada PUSPAKOM tamat pada 31 Ogos 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata: “Perkara yang diputuskan Jemaah Menteri 17 Mac lalu menyaksikan tiada lagi monopoli PUSPAKOM sebagai penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024.”

Tambahnya, proses pelawaan kepada pihak yang berminat dalam menyediakan perkhidmatan akan dibuka selewat-lewatnya suku pertama 2024.

“Keputusan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing serta memudahkan seluruh rakyat.

“Serentak itu kami turut mempelawa pihak yang berminat dan memenuhi syarat untuk membuat permohonan yang bermula selewatnya suku pertama tahun depan, jadi tiada lagi soal monopoli,” katanya.

Loke berkata, bagi melaksanakan keputusan itu, kementeriannya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membangunkan syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan itu.

Menurutnya, bagi memastikan keseragaman peraturan dan keadilan dalam aspek persaingan, pihak yang berminat akan diwajibkan untuk memenuhi semua syarat dan peraturan sama yang telah dikenakan kepada PUSPAKOM di bawah Perjanjian Konsesi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved