fbpx

Honda X-ADV 2023 tampil dalam warna baharu Shasta White

2023 HONDA X-ADV

BOON Siew Honda telah memperkenalkan Honda X-ADV versi 2023 yang boleh didapati dalam warna putih baharu bergelar Shasta White.

Selain warna baharu itu, X-ADV masih lagi ditawarkan dengan pilihan warna Matte Ballistic Black Metallic dan Pearl Deep Mud Grey.

Seperti sebelum ini, X-ADV dipacu oleh enjin dua silinder selari bersesaran 745 cc yang menghasilkan 57.8 hp pada 6,750 rpm dan 69 Nm pada 4,750 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar (DCT) enam kelajuan.

Enjin tersebut bertaraf Euro 5 dan mempunyai sistem penyejukan cecair. Selain itu, ia juga didatangkan dengan pendikit jenis ‘throttle-by-wire’ dan lima mod tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. Turut disertakan adalah sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan tiga tetapan berbeza.

Untuk sistem keselamatan, X-ADV dilengkapi dengan ABS dan Emergency Stop Signal (ESS). Sistem brek pula terdiri daripada brek cakera berkembar 296 mm pada bahagian hadapan dan cakera tunggal 240 mm pada bahagian belakang.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada skuter kembara ini termasuklah lampu LED pada bahagian depan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, cermin penghadang angin dengan lima tahap pelarasan, ruang simpanan 22 liter dan soket USB.

Satu lagi ciri yang ditawarkan adalah paparan TFT berukuran 5.0 inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi Honda Smartphone Voice Control System (HSVCS).

Sistem tersebut membolehkan penunggang membuat panggilan, serta mengakses e-mel. muzik dan navigasi menerusi fungsi arahan suara.

Harga jualan (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) Honda X-ADV 2023 adalah RM68,899. Ia didatangkan dengan waranti pengeluar untuk dua tahun atau 20,000 km.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved