Arkib Tag: City

7 penemuan kami selepas pandu Proton S70 untuk kali pertama

PROTON S70 boleh dikatakan sebuah model yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia, bukan sahaja kerana ia model baharu yang akan jadi berita nasional, tetapi juga disebabkan dua sebab utama yang lain.

Yang pertama ialah S70 merupakan model paling mampu milik Proton hasil dari kerjasama dengan Geely. Ia ditawarkan pada harga bermula RM73,800 untuk varian 1.5T Executive, lebih rendah dari harga X50 dan X70. Kalau X90 usah ceritalah…

Yang kedua ialah kerana ia sedan pertama Proton yang serba baharu sejak sekian lama, dan sedan pertama hasil kerjasama dua syarikat itu. Kali terakhir Proton memperkenalkan sedan serba baharu ialah pada 2016, dengan Persona dan Perdana.

Penting dan bermakna juga Proton S70 ini, bukan? Malah penulis sendiri menerima banyak pertanyaan berkenaan sedan ini dari kalangan rakan dan saudara-mara terdekat.

Kini, penulis telah pun dapat memandu uji Proton S70 baru-baru ini. Walaupun hanya beberapa jam dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, tapi rasanya cukup untuk penulis kongsikan tujuh penemuan dari sesi tanggapan pertama ini.

1. Rekabentuk keluarga Proton

Walaupun Proton S70 dibangunkan dari Geely Emgrand, tetapi seperti ada pula persamaan reka bentuk dengan model-model Proton sebelum ini.

Sebagai contoh pada sesetengah sudut dari belakang, lapisan menegak bahagian atas dan bawah but yang dipisahkan oleh lampu belakang ada mirip permukaan Proton Saga. Ini rekaan yang lazim dibuat oleh pengeluar-pengeluar masa kini, tetapi ia tetap ‘menghubungkan’ S70 dan abang-abangnya.

Begitu juga bahagian tingkap kecil di sisi berdekatan tiang-C, ada iras Proton Waja – ini bahagian kegemaran penulis pada S70.

2. Kabin paling premium untuk harganya

Pada pendapat penulis, kabin dan papan pemuka Proton S70 terasa paling premium dan moden berbanding pesaing-pesaingnya seperti Honda City, Toyota Vios, dan Nissan Almera.

Walaupun kereta-kereta Jepun di atas penulis tetap suka, direka kemas, dengan mutu binaan tinggi, ruang dalaman Proton yang minimalis ini terasa seperti kereta berharga RM200,000 ke atas.

Jika enjin tidak dihidupkan, segala paparan terpadam, dan anda hanya akan nampak skrin-skrin, ini memberikan impresi seperti kereta premium yang mempunyai paparan digital sepenuhnya. Tiada langsung meter fizikal pada S70 ini.

Tengok sahaja tombol gear, Proton S70 menggunakan jenis joystick dimana gear ini akan kekal ke posisi tegak walau apa gear pun anda masuk. Model-model lain dalam julat harga ini masing menggunakan tombol gear konvensional yang bergerak dalam alur atau laluannya.

3. Tempat duduk depan ‘kureng’, tapi belakang sangat selesa!

Penemuan seterusnya masih sekitar ruang kabin, tetapi khas berkenaan tempat duduk. Peliknya, penulis rasakan tempat duduk pemandu Proton S70 ini agak janggal dan susah untuk penulis cari posisi pemanduan ideal dan ergonomik.

Masalah ini mungkin pada orang yang mempunyai ketinggian atau postur badan sama dengan penulis, tetapi dengan ketinggian 165cm, penulis rasakan seperti kurang sokongan di bawah peha jika duduk agak rendah.

Mungkin Proton mahu kita duduk sedikit tinggi dan hanya ada ruang sebesar penumbuk antara kepala dengan siling kereta. Tetapi penulis mahu acah-acah sporti dengan memandu Proton S70 ini…

Lain pula ceritanya di belakang, penulis rasa tempat duduk S70 ini sangat-sangat selesa! Ia mempunyai kontur menarik, agak suportif jika pemandu di depan memandu sedikit laju di selekoh. Tempat duduk belakang ini ‘memegang’ tubuh anda dengan cukup baik.

Secara keseluruhan, balutan kulit pada tempat duduk S70 ini nampak cukup premium dan kemas.

4. 1.5 je? Tiada masalah

Proton S70 mungkin mempunyai kapasiti enjin yang sama dengan pesaing-pesaingnya iaitu 1.5-liter. Dari segi berat pula, Proton S70 paling ‘gemuk’ dengan 1,319kg.

Vios jika ditimbang hanya sekitar 1,015kg, manakala City lebih sedikit pada 1,100kg hingga 1,250kg (City e:HEV RS).

Tetapi Proton S70 dengan janaan turbo multi-point injection (MPI) memberikannya output 150PS dan 226Nm tork, jauh lebih tinggi berbanding City dan Vios yang mempunyai sekitar 97hp hingga 104hp dan 127Nm hingga 138Nm.

Ditambah dengan padanan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, ini memberikan Proton S70 pecutan yang senang-senang boleh ‘tapau’ pesaing-pesaing Jepun tersebut. Mungkin ini tidak begitu adil, tetapi sejak bila dunia ini adil?

Hakikat tetap hakikat, dan persaingan segmen RM100,000 ini memang sudah menjadi lebih kompleks selepas kehadiran Proton S70. Sedan segmen-B Proton ini tiada masalah memecut hingga melebihi had laju kebangsaan, begitu bersahaja.

Kereta terasa ringan, malah kuasanya juga dengan mudah mengatasi had cengkaman tayar depan. Beberapa kali penulis lihat rakan media yang lain ‘membuat aksi secara tidak sengaja’ sebaik melepasi palang tol.

Oh ya, Proton S70 ini juga membuat pecutan dengan agak senyap, tiada bunyi angin melampau pada kelajuan biasa. Dan tiada juga isu tiga silinder. Anda takkan terasa jika anda lupa atau tidak memikirkannya.

5. Pengendalian bukan seperti yang anda sangkakan

Kini kita ke aspek yang penting untuk Proton – pengendalian. Macam mana dengan pengendalian Proton S70 ini?

Walaupun S70 mengekalkan setup MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang sama seperti Geely Emgrand, difahamkan Proton telah membuat talaan di bahagian ini untuk menyesuaikan S70 dengan situasi pemanduan di Malaysia.

Hasilnya, suatu pengendalian yang sedikit premium dan mewah, tidak terlalu sporti. Jika anda mengharapkan S70 mempunyai pengendalian sporti seperti Waja atau Preve, maka ini tidak menepati jangkaan anda.

Tetapi ini tidak bermakna pengendaliannya tidak bagus. Casis S70 penulis rasakan sangat tegar dan sofistikated, seperti diuji di jalan berliku dari Georgetown menghala ke Batu Ferringhi dan Empangan Teluk Bahang.

Dengan jalan berselekoh dan permukaan tar yang cantik, jelas terasa suspensi, stereng, dan casis Proton S70 ini bekerja dengan harmoni. Ia mengikut sahaja input anda tanpa banyak kerenah, malah maklum balas stereng juga agak baik dan tepat.

Cuma respon pedal minyak kurang tepat bila dipandu lebih agresif, walaupun dalam mod Sport. Mod ini hanya memberikan tindak balas lebih banyak, tetapi masih secara amnya ia tidak begitu linear, dan ini perkara biasa untuk enjin turbo dengan lengkuk tork melengkung (jika dilihat pada graf dyno).

Bila sampai di had cengkaman sama ada memasuki selekoh atau mula menekan minyak keluar selekoh, tayar depan akan ‘menyerah’ dahulu – lebih mudah understeer – juga talaan biasa untuk sedan sebegini. Sesuai untuk kebanyakan pemandu, dan lebih mudah dikawal.

Inginkan respon dan feel lebih sporti? Tukar sahaja tayar lebih berprestasi tinggi. Tetapi tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 pada S70 ini lebih dari mencukupi. Ia seimbang antara cengkaman, prestasi, dan penjimatan.

6. Lebih jimat dari jangkaan

Bercakap mengenai penjimatan, satu lagi subjek sensitif untuk Proton. Ramai yang bertanya bab ini bila kami memuatnaik gambar Proton S70 di Instagram Story. Penulis juga agak skeptikal dengan bab ini disebabkan pengalaman penulis dengan model-model Proton yang lepas.

Tetapi surprise! Penulis dapati enjin Proton S70 ini lebih menjimatkan dari yang dijangkakan. Kami reset bacaan komputer sebelum bertolak dari Shah Alam, dan selepas rakan media yang berkongsi kereta dengan penulis ‘melenjan’ S70 ini sampai tak ingat dunia, ia masih mencatatkan 8L/100km.

Ini bersamaan 12.5km per liter, bacaan yang diambil di salah satu R&R sebelum Ipoh (maaf sudah lupa). Harus diketahui, kereta ini bukan dilenjan biasa-biasa ya, tetapi kelajuan lebih 50 peratus dari had laju (tidak boleh didedahkan terperinci atas sebab-sebab tertentu).

Penulis tidak sempat menguji penjimatan jika dipandu secara malar pada 110km/j kerana kesuntukan masa. Tetapi pastinya jauh lebih jimat, dan bacaan lebih baik dari 12.5km per liter. Not bad untuk enjin turbo, bukan?

7. Teknologi – positif dan negatif

Penemuan terakhir kami ialah dari segi teknologi. Proton S70 varian Flagship X yang kami uji ini padat dengan segala jenis sistem seperti lampu LED automatik, paparan instrumen digital, infotainmen dengan skrin 12.3-inci, sambungan Wifi dan 4G, mod pemanduan, pilihan mod berasingan untuk stereng, dan barisan sistem ADAS seperti Autonomous Emergency Braking, Intelligent Cruise Control, dan Lane Centering Control.

 

Malah kamera Proton S70 juga mampu ‘mengenal pasti’ papan tanda, dan beberapa varian mempunyai paparan bawah lantai melalui kamera 540-darjah.

Kebanyakan teknologi dan sistem ini pastinya membantu anda memandu dengan lebih baik dan selamat, selain memberikan lebih nilai untuk wang.

Tetapi bumbung suria pada Flagship X ini perlu menggunakan skrin infotainmen tengah untuk membuka dan menutupnya, penulis dapati sedikit melecehkan. Lebih baik jika fungsi sebegini dikawal dari suis pada siling seperti kereta biasa.

Teknologi adakalanya mengorbankan praktikaliti. Mungkin ini sindrom kereta premium, kerana Volvo dan Volkswagen Golf Mk8 juga ada isu ini. Dari sudut lain, anda bolehlah katakan Proton S70 ini premium dan canggih.

Jadi, sekian sahaja tujuh penemuan kami mengenai Proton S70 dalam pemanduan singkat ini. Apa pendapat anda? Pengguna S70 ada perkongsian tambahan lain?

@engear.tv

7 #Rahsia #Proton #S70 #engeartv #malaysia #fyp #carstiktok #tiktokmalaysia #sedan

♬ original sound – Engear TV – Engear TV

 

Dah boleh tempah Honda City facelift 2023, lancar tidak lama lagi!

BARU sahaja selepas melancarkan WR-V minggu lepas, kini Honda Malaysia mengumumkan pula mengenai City facelift.

Ya, Honda City facelift 2023 akan diperkenalkan tidak lama lagi dan kini boleh mula ditempah. Facelift untuk sedan segmen-B ini sudah boleh dijangka memandangkan sudah kira-kira tiga tahun sejak pelancarannya pada 2020. Pasaran luar seperti India dan Thailand juga telah mendapat versi terkini.

Buat masa ini, kami hanya diberi gambar-gambar varian RS e:HEV. Menurut Honda Malaysia, ia lebih panjang dari sebelumnya sebanyak 36mm, dan kini berukuran 4,589mm. Dimensi lain seperti tinggi (1,467mm), lebar (1,748mm) dan jarak roda (2,600mm) dikekalkan.

Perubahan dari segi rupa merangkumi bampar baharu dengan lampu kabus direka semula, dan kemasan tambahan seperti ruang kemasukan udara di bahagian luar gril bawah.

Gril utama juga kini menampilkan bar krom lebih nipis di bahagian atas, dengan kemasan gaya pin. RS model akan mendapat elemen seperti diffuser baharu di belakang, serta skirt sisi dan lencana RS baharu. Rim kekal dengan saiz 16-inci, tetapi rekaannya baharu.

Powertrain Honda Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) hibrid kekal, dimana roda depan dipacu motor elektrik berkuasa 109hp dan 253Nm tork. Kuasa elektrik dibekalkan oleh bateri yang dicas oleh motor kedua yang dipadankan dengan enjin 1.5-liter i-VTEC.

Enjin petrol dengan kitaran Atkinson ini menjana 97hp dan 127Nm tork, dan disambungkan ke roda depan dengan e-CVT satu kelajuan.

Varian lain dijangka terus menggunakan enjin 1.5-liter 4-silinder DOHC i-VTEC berkuasa 121hp dan 145Nm tork, dipadankan dengan CVT.

Tiada perincian lanjut didedahkan buat masa ini, tetapi disahkan bahawa sistem Honda Sensing ditambah baik untuk model facelift. Ciri baharu termasuklah Low Speed Follow (LSF) dan Lead Car Departure Notification (LCDN).

Ciri lain di bawah Honda Sensing merangkumi Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).

Anda kini boleh mula menempah Honda City baharu ini melalui wakil pengedar rasmi atau secara online di aplikasi HondaTouch.

Honda City Hatchback RS bukan sekadar rupa sporti – Pandu uji

Honda City; sebuah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Cukup sinonim dengan rakyat Malaysia, dah dikenali macam kereta nasional pula.

Cuma kali ini ia hadir dengan versi hatchback. City Hatchback ini sebenarnya pengganti Jazz kerana model Jazz generasi terkini tidak ditawarkan di pasaran kita. Sebab apa? Itu cerita hari lain.

Unit yang kami pandu kali ini ialah varian tertinggi RS yang berharga RM107,783. Varian permulaan City Hatchback S ditawarkan pada harga RM78,600.

Mari kita lihatkan adakah berbaloi untuk berbelanja RM30,000 ekstra untuk varian RS dan adakah ia sebuah pakej yang bagus untuk pasaran kita.

Gaya trendy dan muda

Seperti biasa kita lihat dari luar, City Hatchback RS ini tampak cukup moden dan bergaya. Dengan warna putih, ia ada elemen sporti ala Type-R tapi pada masa yang sama kemasan-kemasan hitam RS pada gril depan, bampar, cermin sisi, dan spoiler memberikan kontra yang cukup menyerlah.

Rekaan lampu belakang pula cukup seksi dengan tekstur tiga dimensi, dan rekaan ini tampil serasi untuk model sedan dan hatchback. Sukar untuk mendapat rekaan lampu belakang yang serasi untuk bentuk badan berbeza.

Cuma bagi penulis, stance tayar dan rim nampak sedikit ‘manja’ jika dibandingkan dengan badan kereta ini. Kalau tukar sahaja rim aftermarket dengan tayar lebih agresif, fuhh mantul mat! Memang cair gadis-gadis IPTA tengok.

Tapi kita harus faham, mungkin ada sebab mengapa Honda berikan tayar dan rim sebegini pada City Hatchback RS. Mungkin atas faktor kos, nanti harga lagi mahal, korang bising pula kan.

Lagi satu, penulis percaya ia bagi mendapatkan penggunaan bahan api yang baik kerana kereta ini sebuah hibrid.

Menyebut tentang hibrid, kita ke bahagian enjin pula. City Hatchback RS dipacu oleh enjin 1.5-liter NA sama seperti varian-varian lain, tetapi menggunakan kitaran Atkinson untuk fungsi hibrid dan padanan dengan motor elektrik.

 

Powertrain ini menjana output keseluruhan 109hp dan 253Nm, dan kuasa dihantar ke roda depan melalui kotak gear eCVT.

Praktikaliti sebuah Jazz

Anda jangan tertipu dengan rupa hatchback kereta ini, dalamannya sangat luas. Tempat duduk belakang misalnya, masih ada lebih dua penumbuk di lutut walaupun tempat duduk depan tidak ditolak habis ke hadapan. Bumbung pun tidak terkesan sangat, masih ada ruang kepala yang lapang di dalam.

Paling menarik bagi penulis, Honda berjaya membawakan praktikaliti sebuah Jazz ke dalam City Hatchback ini. Tempat duduk belakangnya adalah hadir dengan fungsi Ultra Seat, iaitu terdapat empat mod (Tall, Utility, Long, dan Refresh) untuk disesuaikan dengan keperluan harian.

Kokpit moden

Kokpit City Hatchback RS menampilkan paparan instrumen separa digital dengan skrin multi-info di sebelah kiri, dan speedometer analog di kanan.

Paparan digital kiri ini cukup jelas dan berdefinisi tinggi. Anda boleh scroll pelbagai maklumat seperti tahap bateri, aliran kuasa, dan penggunaan kuasa serta caj, semua dalam masa sebenar. G-meter pun ada, kot-kot korang nak layan track atau touge.

Kemasan dalam kabin seperti papan pemuka semua cantik, terasa premium dan berkualiti. Tempat duduk kulit juga selesa.

Pemanduan D dan B

Untuk memandu City Hatchback RS ini, memandangkan ia sebuah hibrid, terdapat sedikit kelainan pada gearnya. Selain D untuk Drive seperti pemanduan biasa, anda akan dapati gear tambahan B iaitu Braking.

Apa beza kedua-dua gear ini dan bila hendak gunakannya?

D untuk kegunaan biasa, dan paling sesuai jika anda memandu di jalan lurus dan rata, tidak banyak perubahan kelajuan. B pula jika melalui jalan raya berbukit dan berselekoh dimana terdapat banyak perubahan kelajuan. Malah memandu dalam trafik di bandar pun sesuai guna B.

Ini kerana B memberikan lebih rasa ‘engine braking’, memberikan anda lebih kawalan semasa memperlahankan kenderaan selain memberikan tahap caj bateri lebih tinggi.

Sebagai contoh, memandu menuruni bukit dengan gear B akan membuatkan bateri anda mencapai tahap penuh lebih cepat berbanding D.

Dengan kesan engine braking ini juga membolehkan anda mengaplikasikan teknik ‘one pedal driving’ dengan gear B. Tak percaya, anda cuba sendiri. Hampir tidak perlu menekan pedal brek jika hendak berhenti di lampu isyarat.

Tetapi jika anda malas pening kepala, guna sahaja D untuk semua pemanduan, juga tidak salah.

Oh ya, City Hatchback RS ini mempunyai paddleshifter di stereng, tetapi kereta ini tidak mempunyai gear. Jadi paddleshifter ini hanya digunakan untuk melaras tahap kekuatan ‘engine braking’ tadi. Tarik paddle kiri untuk daya brek lebih kuat, dan vice versa.

Anda boleh tonton video di bawah untuk lebih pemahaman, bermula minit 6:45.

Secara keseluruhan, Honda City Hatchback RS ini walaupun kedengaran kompleks dan rumit, ia sebenarnya cukup mudah dipandu. Anda pandu sahaja seperti biasa, tiada mod bateri, enjin atau kotak gear yang perlu dipilih.

Sistem hibrid yang bijak semuanya bekerja di sebalik tabir memberikan anda penjimatan dan prestasi bila diperlukan.

Jangan terkejut jika enjinnya boleh hidup dan mati berpuluh kali walaupun dalam pemanduan ringkas ke kedai runcit. Sebab itulah Honda City Hatchback RS ini mampu mencatat bacaan 18.1km per liter sepanjang lebih 1,300km kami memandu ujinya.

Pengendalian juga cukup baik. City Hatchback ini bukan sekadar City sedan yang ‘dipotong’. Menurut Honda, City Hatchback mempunyai casis yang enam peratus lebih tegar berbanding model sedan.

Beratnya juga 7.6kg lebih ringan, jadi ini memberikan idea bahawa pengendaliannya sedikit lebih sporti dan lincah. Haa bukan sekadar rupa ya.

Untuk maklumat tambahan, City Hatchback RS ini mempunyai jaminan 5-tahun untuk kereta, dan jaminan 8-tahun untuk bateri, tanpa had perbatuan!

Sebagai konklusi, kami rasakan Honda City Hatchback RS ini satu pakej yang sesuai dan menepati selera rakyat Malaysia. Selain itu, ia cukup dengan teknologi terkini, sesuai untuk mereka yang tech-savvy bagi julat harga RM100k hingga RM110k.

Spesifikasi Honda City Hatchback e:HEV RS

Harga: RM107,783
Enjin: 1.5-liter kitaran Atkinson, DOHC
Kotak gear: eCVT dengan 7-kelajuan maya
Kuasa: 97hp @ 5,600rpm
Tork: 127Nm @ 4,500rpm
Output keseluruhan: 108hp, 253Nm

Toyota Yaris sebuah hatchback yang dipercayai – Pandu uji

PERKENALKAN kereta idaman graduan (fresh grads) dan para gadis IPTA, ini dia Toyota Yaris. Betul tak? Makin ramai pula penulis lihat Toyota Yaris dipandu gadis-gadis muda.

Apa pun, untuk mereka yang kurang arif, Toyota Yaris berada dalam pasaran hatchback kompak bawah RM100,000.

Dulu pasaran ini dikuasai oleh Perodua Myvi, dan bagi yang ada bajet lebih sikit, akan beli Honda Jazz. Toyota pun cakap, “tak boleh jadi ni.”

Pada 2019 mereka pun ‘potong’ Vios, dan ubah bahagian belakang menjadi hatchback, maka lahirlah Toyota Yaris. Unit yang anda lihat ini merupakan versi facelift 2021.

Rupa lebih dinamik

Rekaan luaran Yaris terkini bagi penulis adalah jauh lebih kemas dari sebelum ini, tidak terlalu ‘busy’. Lampu depan baharu jenis tri-LED berketul cukup moden, dan rupa keseluruhan ini menjadikan ada yang panggil Vios/Yaris Ultraman.

Sama tak?

Perbezaan ketara tentulah di belakang, dengan rekaan hatchback. Tiang-C berwarna hitam unik pada Yaris, menampakkan rekaan bumbung terapung. Bahagian belakang tiada beza dengan model sebelum facelift, dan saya kurang gemar bampar belakang yang nampak agak melebih.

Macam biasa, terdapat sepasang lampu kabus belakang di sini. Diharap pemandu Vios dan Yaris tidak buat perangai dengan suka-suka pasang semua lampu bila malam.

Ingat ya, tak semestinya tekan semua suis bila hari dah gelap. Bila nak guna lampu kabus belakang? Haa baca buku manual tu.

Kabin kemas dan terbukti

Kabin dalaman Yaris adalah 99 peratus serupa dengan Vios. Boleh dikatakan kebanyakan permukaan yang adalah dari plastik keras, tapi tidaklah nampak murah.

Ada dua sisi, negatif dan positif. Yang negatif ialah nampak kasar dan agak berusia sebab rekaan diambil dari Vios model lima atau enam tahun lepas. Hilux yang terkini pun nampak lebih lawa dan selesa papan pemukanya.

Tetapi yang positif ialah kabin Yaris ini nampak solid dan akan tahan lama. Ia macam tahan lasak, jadi tidaklah terlalu ‘sayang’.

Tempat duduk adalah fabrik, tiada masalah bagi saya. Tapi ada orang wajib mahu tempat duduk kulit untuk nampak lebih mewah. Fabrik pun sebenarnya sama selesa dan paling penting, tak panas.

Keluasan? Tidak menjadi isu bagi Yaris ini walaupun bumbung belakangnya turun lebih awal berbanding versi sedan (Vios).

Perbezaan ketara dari sudut keluasan ruang pastinya bahagian muatan kargo, dimana Yaris mempunyai 286 liter berbanding 506 liter untuk Vios. Mungkin inilah ‘pengorbanan’ untuk gaya, betul?

Tengoklah kereta sports lain seperti coupe dan hatchback, mana ada luas sangat. Lain orang, lain keutamaannya. Ada yang pentingkan praktikaliti, ada yang pentingkan penampilan.

Pemanduan sesuai untuk semua keadaan

Bab pertama untuk disentuh bagi aspek pemanduan ialah stereng. Ianya semacam tidak berapa sedap untuk Yaris, mungkin sebab platform lama.

Penulis rasa kita telah ‘dimanjakan’ dengan TNGA, model-model seperti Corolla, Corolla Cross dan Camry, semuanya mempunyai casis sedap lain macam. Jadi sesetengah model yang bukan TNGA rasa ketinggalan untuk aspek ini.

Stereng Yaris pada kelajuan tertentu sedikit ‘sticky’ dan kurang feel, tambah pula suspensi lembut terasa macam di awangan. Ia lebih ‘memisahkan’ pemandu dengan maklum balas dari jalan.

Ya, selesa untuk semua penumpang, tetapi ini menarik sedikit nikmat kepuasan memandu. Lagi satu yang kurang memuaskan ialah sterengnya kurang pelarasan sudut, teleskopik pula tiada langsung.

Masih ok untuk penulis, tetapi kalau orang terlalu rendah atau tinggi mungkin sukar dapatkan posisi memandu optima.

Baik, sekarang kita masuk bab enjin. Yaris dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder naturally-aspirated yang dikongsi dengan Vios. Ia menjana 105hp dan 140Nm, dan kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi CVT.

Pakej enjin dan kotak gear ini memberikan imbangan antara prestasi dan penjimatan. Kami memandu unit Toyota Yaris ini lebih 1,000km merangkumi lebuh raya dan jalan bandar, kelajuan tinggi dan rendah, masih mendapat bacaan 7.7 liter per 100km, bersamaan 12.9km/liter.

Ini dikira sangat baik, kerana penggunaan bahan api ekonomikal begitu dicapai tanpa perlu terlalu mencuba.

Seterusnya ke bahagian casis dan pengendalian. Casis Yaris ini sebenarnya cukup mantap dan mampu sumbangkan pengendalian yang baik. Bila dah ‘duduk’ di corner, sebenarnya stabil sahaja. Siapa yang kata pengendalian Toyota (dan Perodua) macam sampan? Oh ya, penulis juga pemilik Proton.

Hanya respon awal bila tayar mula membelok tu kurang memuaskan, jadi untuk lebih prestasi dan keyakinan, ‘upgrade’ tayar sahaja.

Cuma kalau berbalik cakap pasal fresh grad dan gadis IPTA, keseluruhan pakej Yaris ini lebih dari mencukupi. Kebanyakan pengguna hanya akan pandu santai dalam bandar, bukan masuk Toyota Gazoo Racing kan.

Komplen

Handbrake atau brek parkir masih manual, ini ada negatif dan positif juga. Negatifnya ialah jadi kekurangan sebab City ada varian yang dah guna brek parkir elektronik (EPB). Positif ialah penyelenggaraan jangka masa panjang lebih rendah, dan kalau nakal sikit bolehlah buat handbrake turn.

Cewah.

Keselamatan?

Akhir sekali, dari segi keselamatan dah banyak improve jika dibandingkan dengan Vios mula-mula dulu. Toyota sekarang memang pemurah bab spesifikasi keselamatan.

Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Alert, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, semuanya ada. Malah Yaris juga hadir dengan tujuh beg udara, perakam video digital (dashcam), dan Vehicle Telematics System.

Toyota Yaris bermula pada harga RM73,800 dan unit pandu uji kami ini merupakan varian tertinggi, berharga RM87,600.

Spesifikasi Toyota Yaris 1.5G

Harga: RM87,600
Enjin: 1.5-liter 2NR-FE 4-silinder
Kotak gear: CVT dengan 7-kelajuan maya
Kuasa: 105hp @ 6,000rpm
Tork: 140Nm @ 4,200rpm

Honda Fit (Jazz) 2023 bakal dapat varian RS dengan lebih kuasa

HONDA baru sahaja memperkenalkan Jazz/Fit generasi keempat pada Oktober 2019 dan kini mereka sudah mempertontonkan kemaskini untuk model kompak itu.

Model spesifikasi JDM terkini bakal didatangkan dengan beberapa trim pilihan iaitu Basic, Home, Luxe, Crosstar, dan RS. Ya, Jazz/Fit juga bakal mendapat varian RS, tetapi bukanlah akan menjadikannya hot hatch yang hardcore.

RS di sini bermakna ianya varian yang lebih tinggi, sama seperti Civic RS dan City RS di Malaysia. Tiada maklumat terperinci didedahkan, tetapi menurut sumber, Fit/Jazz RS akan menampilkan sistem hibrid dengan kuasa dipertingkat.

Buat masa ini, Fit/Jazz di Eropah dengan sistem hibrid e:HEV mendapat output kuasa setinggi 109hp dan 253Nm tork, dengan pecutan 0-100km/j dalam 9.4 saat serta kelajuan maksima 175km/j.

Selain output lebih tinggi, Honda juga akan menawarkan lebih respon pecutan, selain suis mod pemanduan (Normal, Sport, dan Econ) untuk RS.

Varian RS ini juga akan hadir dengan paddle-shifter di stereng yang akan mengawal kadar brek kenderaan, sama fungsi dengan City dan City Hatchback RS di pasaran kita. Kadar brek ini menggunakan fungsi regenerative braking yang akan mengubah haba brek menjadi tenaga untuk disimpan dalam bateri.

Fit/Jazz RS ini akan menggunakan konfigurasi pacuan roda-depan seperti varian-varian lain kecuali Crosstar yang mendapat sistem pacuan semua-roda di Jepun.

Dari segi rupa, Fit/Jazz RS didatangkan dengan kemasan badan lebih sporti serta jahitan kuning di dalam kabin. Sistem keselamatan Honda Sensing juga akan ditawarkan standard untuk semua varian.

Honda Fit/Jazz generasi keempat ini tidak ditawarkan di Malaysia selepas pengeluaran untuk generasi ketiga sebelum ini ditamatkan. Model kompak ini diganti dengan City Hatchback.

Honda Malaysia jual 39,000 kereta dari Januari hingga Jun, tempahan cecah 105,000 unit!

HONDA Malaysia mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual lebih 39,000 unit kenderaan antara Januari dan Jun 2022. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 60% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Prestasi memberangsangkan ini meletakkan Honda Malaysia di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan tahun ini iaitu 80,000 unit. Sehingga 30 Jun 2022, syarikat itu menyumbang 12% kepada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV).

Daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang berjaya dijual pada separuh pertama tahun ini, Honda Malaysia merekodkan jualan tertingginya pada bulan Mac dengan lebih 10,500 unit terjual.

Dari segi prestasi jualan mengikut model, City muncul sebagai model terlaris dengan sumbangan sebanyak 39% kepada jumlah keseluruhan jualan. Ia diikuti oleh City Hatchback dengan sumbangan sebanyak 23% dan Civic dengan 18%.

Selain itu, City, City Hatchback, Civic dan Accord juga merupakan model bukan nasional No.1 dalam segmen masing-masing dari Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, “Honda Malaysia memulakan tahun 2022 dengan baik dengan pelancaran Civic pada Januari yang mendapat penerimaan yang baik dalam pasaran dengan ciri-ciri yang menarik dan premium.”

“Baru-baru ini pada Julai, kami meneruskan momentum itu dengan pelancaran SUV kompak popular, HR-V serba baharu. Sejak pelancarannya, model serba baharu itu telah mendapat sambutan yang luar biasa,” tambah beliau.

Menurut Yoshimura lagi, syarikat itu juga menyaksikan permintaan yang tinggi sebelum tempoh pengecualian cukai berakhir pada 30 Jun, di mana syarikat itu menerima lebih 105,000 tempahan dari Januari hingga Jun 2022.

Honda recall: 1,527 kenderaan terlibat – City, City Hatchback, HR-V dan BR-V

HONDA Malaysia mengumumkan panggil semula (recall) beberapa produk merangkumi model City, City Hatchback, HR-V dan BR-V atas tujuan keselamatan. Sejumlah 1,527 kenderaan terlibat, dengan perincian seperti berikut:

Situasi A

City (2021) dan City Hatchback (2022) – 1,068 unit

Situasi B

HR-V (2020) – 343 unit
BR-V (2021) – 116 unit

Untuk Situasi A, recall melibatkan pemeriksaan nat pada Alternating Current Generator (ACG) pada wayar enjin. Ini mungkin menyebabkan sentuhan kurang baik pada terminal dan bateri yang boleh menjurus kepada enjin tersengguk atau mati semasa memandu, atau enjin tidak boleh dihidupkan selepas berhenti.

Untuk Situasi B pula, pemeriksaan diperlukan untuk memeriksa bolt earth grounding yang boleh menyebabkan kelonggaran wayar enjin. Ini juga boleh menyebabkan enjin kehilangan kuasa semasa memandu atau sukar untuk dihidupkan selepas berhenti.

Honda Malaysia memohon maaf di atas kesulitan dan menegaskan bahawa model yang sedang dijual tidak terlibat dalam recall ini.

Setakat ini juga, tiada kes atau insiden dilaporkan dari isu ini di Malaysia.

Semua pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan melalui surat. Honda Malaysia memohon mereka yang terlibat untuk membuat temujanji di mana-mana pusat servis sah untuk memeriksa kenderaan mereka dan membaiki jika perlu.

Seperti biasa, semua pemeriksaan, baik pulih dan penggantian komponen untuk recall ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia sepenuhnya.

Toyota Vios D92A akan dilancar di Thailand Q3 2022 – platform DNGA, enjin petrol dan hibrid

BARU sahaja kami melaporkan senarai kereta paling laris di ASEAN beberapa hari lepas yang menyaksikan Honda City kini lebih laris dari Toyota Vios untuk 2021, kebetulan pula Toyota ‘menjawab’ dengan pengumuman Vios serba baharu.

Menggunakan namakod D92A, Vios serba baharu akan diperkenalkan di Thailand dahulu pada suku ketiga tahun ini.

Vios yang dikenali dengan nama Yaris Ativ di sana akan dibina dari pelantar DNGA (Daihatsu New Global Platform) yang juga menjadi asas kepada model-model seperti Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize dan Toyota Avanza/Toyota Veloz/Daihatsu Xenia.

Pelantar baharu ini bakal memberikan beberapa kelebihan kepada Vios nanti iaitu berat yang lebih rendah, casis lebih tegar, dan keselamatan yang ditambah baik.

Penggunaan DNGA juga membolehkan Vios menerima janaan kuasa elektrik yang bakal memberi saingan kepada City e:HEV.

Untuk Toyota, mereka dijangkan menggunakan enjin 1.5-liter dengan bantuan motor elektrik, sebahagian dari Toyota Hybrid System II (THS II).

Enjin lain adalah 1.2-liter naturally-aspirated (dan bukan turbo seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Transmisi pula dijangka kekal dengan CVT.

Dari segi rupa, dapat dilihat ia mengambil inspirasi Daihatsu DN F Sedan yang mula membuat penampilan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) pada 2017.

Dengan badan ala coupe, konsep ini berukuran 4,200mm panjang, 1,695mm lebar, 1,430mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,510mm.

Menarik setakat ini? Apa pun kita harus tunggu rupa sebenar apabila ia dilancarkan di Thailand nanti, dikatakan sekitar Ogos.

Honda City Hatchback terima varian baharu V-Sensing – RM92k

HONDA Malaysia telah memperkenalkan varian baharu untuk City Hatchback, iaitu V-Sensing. Ini akan membawakan pakej ciri keselamatan maju Honda Sensing yang merangkumi:

  1. Adaptive Cruise Control (ACC)
  2. Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  3. Forward Collision Warning (FCW)
  4. Lane Keep Assist System (LKAS)
  5. Road Departure Mitigation (RDM)
  6. Lane Departure Warning (LDW)
  7. Auto High Beam (AHB)

City Hatchback V-Sensing akan ‘menyertai’ varian tertinggi RS e:HEV yang mendapat Honda Sensing.

Pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, “Selama ini, City terkenal dengan keselamatan dan teknologinya. Kami memperkenalkan V-Sensing kepada varian City pada November 2021 dan rekod kami menunjukkan ia mendapat sambutan yang baik.”

“Untuk suku pertama 2022, City V-Sensing adalah 34 peratus dari keseluruhan jualan City, menunjukkan trend positif dan juga perakuan terhadap Honda Sensing.

“Kini kami teruja untuk memperkenalkannya pula kepada City Hatchback serba baharu. Kami percaya ia akan memberikan lebih nilai kepada pelanggan dan menaikkan tanda aras segmen ini,” kata Yoshimura.

Sama seperti varian V, Honda City Hatchback V-Sensing dikuasakan enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC yang menjana 121PS dan 145Nm tork, serta dipadankan dengan transmisi CVT.

Kelengkapan luaran termasuklah lampu LED depan dan belakang, DRL LED, lampu kabus LED, spoiler belakang, dan rim 16-inci.

Bahagian dalaman pula mendapat kemasan kulit hitam dengan jahitan kelabu, tempat duduk ULTRA Seats dengan empat mod, paparan tengah 8-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta paparan instrumen 7-inci TFT.

Selain dari Honda Sensing, ciri keselamatan standard pada model ini adalah Vehicle Stability Assist (VSA), Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Start Assist (HSA), Rear Seat ISOFIX I‑SIZE Type, Rear Seatbelt Reminder dan enam beg udara.

Untuk maklumat lanjut, layari www.honda.com.my.

Honda Accord dan City kini dengan pilihan warna baharu

HONDA Malaysia hari ini memperkenalkan warna baharu untuk sedan popular mereka iaitu Accord dan City.

Untuk model flagship iaitu Accord, sedan segmen-D ini kini mendapat warna Meteoroid Grey Metallic baharu yang menggantikan Modern Steel Metallic.

Sementara itu, Honda City pula mendapat warna Meteoroid Grey Metallic sama seperti Accord, serta satu lagi warna baharu Ignite Red Metallic menggantikan Passion Red Pearl.

“Warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic mula diperkenalkan pertama kali pada City Hatchback. Kedua-dua warna ini diterima baik oleh pasaran dan kami kembangkannya kepada Civic,” kata Madoka Chujo, Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia.

“Kini kami tawarkan pula pilihan warna ini untuk Accord dan City. Ia akan mengetengahkan penggayaan City dan menaikkan profil Accord,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Honda Accord dan City, boleh baca di sini.

Harga Honda City Hatchback RS e:HEV diumum – RM107,783 sahaja!

HONDA Malaysia hari ini mengumumkan harga rasmi City Hatchback varian RS e:HEV, iaitu pada RM107,783.09.

Honda pada Disember 2021 telah melancarkan City Hatchback tetapi harga yang diumum hanyalah untuk varian S (RM75,670), E (RM83,080) dan V (RM87,860). Kini anda yang mahu meminang City Hatchback RS e:HEV bolehlah mula membuat kira-kira atau pecah tabung.

Harga City Hatchback RS ini juga kira-kira hampir RM2,000 lebih tinggi dari City RS sedan yang berharga RM105,950.45.

Berbeza dengan City Hatchback lain, varian RS e:HEV ini merupakan versi hibrid yang dikuasakan oleh enjin 1.5-liter Sports i-MMD (intelligent Multi-Mode Drive) yang mendapat bantuan kuasa dari dua motor elektrik.

Pakej powertrain ini membekalkan 106hp dan 253Nm, menjadikannya model dengan tork tertinggi dalam kelasnya. Output disalurkan ke roda depan melalui transmisi Electric Continuous Variable Transmission (e-CVT).

Enjin dan dua motor elektrik pada City Hatchback RS e:HEV ini mampu memilih antara tiga mod pemanduan iaitu EV, Hybrid dan Engine yang akan ditukar bergantung kepada situasi.

Gaya dan rekaan City Hatchback mensasarkan pembeli dan gaya hidup golongan muda, maka ia mendapat elemen seperti kemasan hitam pada gril depan, dan cermin sisi. Bampar belakang pula mempunyai diffusor untuk penampilan lebih sporti.

Varian RS e:HEV dan V akan dilengkapi lampu LED untuk kesemua lampu utama, DRL, lampu kabus dan lampu belakang. Pelengkap kepada ciri luaran adalah rim aloi 16-inci.

Satu ciri utama pada bahagian dalaman ialah tempat duduk ULTRA Seats dengan 4 mod yang sinonim dengan Honda Jazz. Dengan mod Utility, Long, Tall atau Refresh, ia akan membolehkan tempat duduk disusun mengikut keperluan dan aktiviti anda.

Ciri lain termasuklah Remote Engine Start, corong pendingin hawa belakang, brek parkir elektronik, dan Honda SENSING yang merangkumi sistem keselamatan termaju seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dan Lane Keep Assist System (LKAS).

Honda City Hatchback juga akan didatangkan dengan LaneWatch (untuk RS e:HEV dan V sahaja) iaitu sistem kamera yang akan memantau titik buta di bahagian kiri kenderaan.

Dalam satu siaran media hari ini, Honda Malaysia juga mendedahkan bahawa mereka telah mengutip lebih 5,200 unit tempahan City Hatchback sejak ia dilancarkan.

Honda City Hatchback RS e:HEV hadir dengan tiga warna iaitu Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic dan Platinum White Pearl.

Honda City Hatchback 2022 dilancar, harga dari RM75,670

HONDA City Hatchback 2022 secara rasmi dilancar dengan empat varian termasuk versi premium RS e:HEV.

Tidak dinafikan, City Hatchback baharu ini kelihatan lebih bertenaga dan sporty sementara RS e:HEV pula lebih eksklusif.

Kesemua varian ini didatangkan dengan unit lampu projektor halogen, lampu nyalaan siang DRL dan lampu kombinasi diod pemancar cahaya (LED) belakang.

Enjin City Hatchback 2022

City Hatchback baharu didatangkan dengan enjin 1.5 liter i-VTEC DOHC. Ia mampu menghasilkan 121 PS dan 145 Nm dengan padanan transmisi CVT.

Sementara itu, City e:HEV pula dijana dengan nadi 1.5L Sports intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang dipadankan dengan transmisi e-CVT.

Varian ini juga mempunyai kuasa setinggi 109 PS dan daya kilas 253 Nm sekaligus menjadikan ia sebagai tertinggi di dalam kelasnya tersendiri.

Ruang kabin

Terdapat skrin infotainmen Display Audio bersaiz lapan inci telah dipasang bagi model City Hatchback baharu ini.

Selain itu, ia turut mempunyai fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Honda terus memberi kelainan kepada para pelanggan dengan menyediakan tempat duduk balutan kulit untuk varian V.

Bagi varian RS e:HEV, pelanggan menerima tempat duduk upholsteri Ultrasuede dengan jahitan kontras merah.

Berikut spesifikasi lain ada pada City Hatchback 2022 versi RS e:HEV:-

  • Kawalan Jelajah Adaptif
  • Brek Mitigasi Pelanggaran
  • Amaran Pelanggaran Hadapan
  • Bantuan Pengekalan Lorong
  • Mitigasi Keluar Jalan
  • Amaran Keluar Lorong
  • Lampu Tinggi Automatik
  • Paparan TFT tujuh inci
  • Brek parkir elektrik
  • Corong pendingin hawa baris kedua

Bagaimana pula dengan fungsi keselamatan?

City Hatchback didatangkan dengan empat beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Amaran Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki dan cagak ISOFIX.

Varian V pula mendapat sehingga enam beg udara, serta sokongan Honda LaneWatch.

Harga jualan bermula dari RM75,670 untuk varian S, RM83,080 (varian E) dan RM87,860 bagi varian V.

Bagaimanapun, harga jualan varian RS e:HEV hanya akan dimumumkan pada awal tahun depan.

Honda City dikemaskini dengan ciri Honda Sensing dan AEB, harga RM90k

HONDA Malaysia telah mengemaskini barisan City mereka dengan pengenalan varian baharu 1.5 V Sensing. Apa yang berbeza atau istimewa?

Seperti pada namanya, varian ini mendapat ciri keselamatan maju Honda Sensing yang merangkumi Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (juga dikenali sebagai Autonomous Emergency Braking or AEB), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High-Beam (AHB).

Pakej Honda Sensing sebelum ini hanya terdapat standard pada varian tertinggi RS e:HEV tetapi tidak pada varian lain. Ini juga menjadikan harga 1.5 V Sensing pada RM90,212 iaitu tengah-tengah antara RS (RM105,950) dan V (RM86,561).

Selain itu, varian baharu City 1.5 V Sensing menerima panel instrumen digital TFT 7-inci berbanding varian V yang menggunakan meter analog.

Dari segi janaan kuasa, City 1.5 V Sensing dipacu oleh enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC yang menjana 121hp dan 145Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi CVT Earth Dreams.

Kelengkapan luaran pula terdiri dari lampu LED untuk kesemua lampu utama, DRL, lampu kabus dan lampu belakang, serta rim aloi 16-inci.

Sementara itu, kelengkapan di dalam kabin merangkumi balutan kulit dengan kemasan Ivory di beberapa kawasan, paparan infotainmen 8-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paddle-shifters, serta corong pendingin hawa belakang.

Ciri Remote Engine Start juga didatangkan secara standard, yang membolehkan anda menghidupkan enjin serta menyejukkan kabin sebelum memasuki kereta.

Honda City baharu telah menerima penarafan ASEAN NCAP 5-bintang, menjadikannya antara kereta paling selamat dalam segmennya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.honda.com.my atau lawati terus ke mana-mana pengedar sah Honda seluruh negara.

Honda City Hatchback 2022! Ini perkara yang anda perlu tahu

SATU kejutan hari ini, Honda Malaysia telah menyiarkan video teaser City Hatchback iaitu model yang akan menggantikan Jazz GK. Ini juga mengesahkan bahawa model ini akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dalam video pendek berdurasi 10 saat itu, Honda menyampaikan mesej bertulis “Move aside. Because This. Is. It.” (Ke tepi. Kerana inilah dia).

Honda City Hatchback membawakan rupa yang boleh dikatakan sama dengan versi sedan dari depan hingga tengah, namun mempunyai perbezaan di belakang – but pendek dan nampak lebih sporti.

Dapat dilihat juga dalam video teaser ini City Hatchback berkenaan hadir dalam varian RS, melalui kemasan hitam pada cermin sisi, emblem RS di belakang, dan rim aloi 16-inci.

Ia turut mengenakan emblem e:HEV bermakna City Hatchback dikuasakan oleh unit hibrid i-MMD yang sama dengan RS sedan.

City Hatchback sudahpun berada di pasaran Thailand selama setahun, dilancarkan pada November 2020. Di Indonesia, ia dilancarkan pada Mac lepas. Di kedua-dua pasaran, City Hatchback juga menggantikan terus model Jazz yang dihentikan jualannya.

Di Thailand, Honda City Hatchback ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0-liter VTEC Turbo 3-silinder berkuasa 121PS dan 145Nm tork, dengan CVT automatik.

Di Indonesia pula, ia dipacu oleh enjin 1.5-liter i-VTEC naturally-aspirated (NA) tetapi yang menariknya, selain CVT, pasaran ini mendapat pilihan manual 6-kelajuan!

Bagi Malaysia, kami jangkakan Honda City Hatchback ditawarkan dengan 1.5-liter NA – sama seperti Indonesia – dan dipadankan dengan CVT automatik sahaja. Jauh di sudut hati, kami berharap Honda Malaysia menawarkan pilihan manual 6-kelajuan untuk pasaran ini juga.

Sama-sama kita berdoa!

Nantikan laporan seterusnya sebaik sahaja kami mempunyai maklumat lanjut mengenai City Hatchback ini.

Geely Emgrand 2021 dilancar di China – Ada peluang jadi pengganti Proton Persona?

JIKA diamati komen-komen warga netizen di laman sosial seperti Facebook dan Instagram, boleh dikatakan ramai juga yang mendesak Proton agar segera menggantikan Persona dengan model baharu daripada Geely.

Proton setakat ini masih belum memberikan sebarang petunjuk yang mereka akan berbuat demikian. Bagaimanapun, dengan pelancaran Geely Emgrand di China baru-baru ini, ada kemungkinan yang syarikat itu akan mempertimbangkan untuk menjadikan sedan kompak itu sebagai pengganti Persona yang telah berada di pasaran sejak 2016.

Ditayangkan buat pertama kali pada Jun lalu, Emgrand generasi keempat dibangunkan dengan menggunakan platform B-Segment Modular Architecture (BMA) yang menjanjikan ruang lebih luas, tahap keselesaan lebih tinggi dan pengendalian lebih baik. Platform keluaran Geely ini turut menjadi asas kepada model-model lain seperti Bin Yue/Proton X50, Bin Rui dan juga ICON.

Dari segi saiz, Emgrand mempunyai ukuran panjang 4,638mm, lebar 1,820mm dan tinggi 1,460mm. Agak menarik kerana ini bermakna ia lebih panjang, lebar dan rendah berbanding pesaing-pesaing terdekatnya iaitu Honda City dan Toyota Vios, dengan perbezaan yang agak besar. Dalam erti kata lain, saiznya lebih hampir kepada sedan segmen C berbanding segmen B.

Rekaan luarannya sesuai untuk digambarkan sebagai elegan, dengan gril dan lampu belakang LED yang lebar antara elemen yang membuatkan model ini kelihatan lebih menonjol. Walaupun mempunyai profil tiga kotak yang agak tradisional, ia mempunyai kadar drag coefficient yang rendah iaitu 0.27 Cd.

Masuk ke dalam, anda akan disambut oleh suasana yang moden dan premium, jauh berbeza dengan City dan Vios, apatah lagi jika dibandingkan dengan Persona. Bukan itu sahaja, penggunaan tema warna putih dan biru membuatkan seluruh ruang kabin terasa lebih tenang dan luas.

Seperti yang boleh dilihat, rekaan papan pemuka dan konsol tengah sangat bersih dan ringkas. Hanya beberapa butang sahaja diletakkan untuk kawalan sistem pendingin hawa, brek parkir elektronik dan sebagainya. Fungsi-fungsi selebihnya boleh diakses menerusi kluster instrumen digital 12.3 inci dan skrin tengah 10.25 inci.

Emgrand juga dilengkapi dengan beberapa teknologi yang boleh dianggap canggih untuk segmennya seperti sistem infotainmen GKUI, kemaskini perisan secara atas udara (OTA), fungsi kawalan suara AI, kamera dengan sudut pandangan 540 darjah, perakam pemanduan berdefinisi tinggi dan sistem pembersih udara CN95.

Hanya satu pilihan enjin yang ada untuk model ini iaitu enjin NA 4-silinder bersesaran 1.5-liter. Enjin aluminium itu menghasilkan 114PS dan 147Nm tork, dan boleh didapati sama ada dengan transmisi manual 5-kelajuan atau CVT 8-kelajuan. Turut disertakan adalah sistem ESP 9.3 keluaran Bosch.

Harga masih belum diumumkan namun melihat kepada reka bentuk dan spesifikasinya, pastinya ramai rakyat Malaysia yang inginkan Emgrand sebagai pengganti Persona. Jika Proton memutuskan untuk memasarkannya di sini dengan harga yang berpatutan, tidak mustahil ia boleh mengatasi jualan City dan Vios dalam tempoh masa yang singkat.

Lima kereta popular di Malaysia, Indonesia! Model mana paling laris?

MALAYSIA dan Indonesia tidak dinafikan berkongsi pelbagai persamaan sebagai dua negara serumpun.

Makanan, budaya, adat dan pelbagai lagi persamaan yang wujud menyebabkan dua negara ini kekal akrab dari masa ke masa.

Namun, bagaimana pula dengan industri automotif? Adakah wujud persamaan terutama melibatkan jenama kereta?

Artikel kali ini Engear kongsi bersama anda lima jenis kenderaan terpopular di Malaysia dan Indonesia!

Kesemua maklumat ini diperoleh daripada Kesatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (Gaikindo).

Bagaimanapun, semua data jualan kenderaan ini adalah bagi tahun 2019 memandangkan industri automotif agak perlahan pada 2020 ekoran pandemik Covid-19.

Nombor 5

Model Honda City merupakan kenderaan kelima paling popular di Malaysia dengan penjualan lebih 31,357 unit.

Harga bagi seunit Honda City bermula pada RM73,851 sehingga RM105,610.

Di Indonesia pula, kenderaan kelima paling laris adalah Toyota Calya dengan penjualan lebih 54,549 unit.

Model ini dijual sekitar 249 juta rupiah sehingga 167 juta rupiah.

Ruang dalaman Calya agak luas sekaligus beri keselesaan kepada pemandu dan penumpang. – Foto ihsan Toyota

Nombor 4

Kenderaan keempat paling laris di Malaysia pada 2019 adalah Proton Saga dengan penjualan lebih 38,144 unit.

Harga bagi seunit Proton Saga adalah RM32,800 sehingga RM42,800.

Sementara itu, Toyota Rush merupakan model keempat terlaris di Indonesia dengan penjualan lebih 61,596 unit.

Harganya pula adalah sekitar 249 juta rupiah sehingga 270 juta rupiah (RM71,000 sehingga RM77,000).

Model Saga antara kereta nasional kebanggaan Malaysia. – Foto ihsan Proton

Nombor tiga

Perodua Bezza berada di tempat ketiga dengan jualan lebih 45,656 unit pada 2019.

Harga bagi seunit Bezza bermula pada RM33,000 sehingga RM48,000.

Manakala di Indonesia, Mitsubishi Xpander berada di kedudukan ketiga dengan lebih 62,666 unit telah terjual.

Harganya pula bermula 221 juta rupiah (RM68,000) sehingga 281 juta rupiah (RM80,000).

Nombor dua

Masih lagi keluaran Perodua, Model Axia dinobatkan sebagai kenderaan kedua terlaris di Malaysia pada 2019.

Sebanyak 67,267 unit telah terjual dan harga bagi seunit model ini adalah RM23,367 sehingga RM41,427.

Honda Brio pula menjadi kereta kedua terlaris di Indonesia dengan penjualan lebih 70,344 unit.

Harga bagi Brio sekitar 151 juta rupiah sehingga 205 juta rupiah.

Jika ditukarkan kepada matawang Malaysia, seunit Brio adalah sekitar RM43,000 sehingga RM58,000.

Honda Brio antara kenderaan kompak yang terdapat di pasaran Indonesia. – Foto oleh Honda

Nombor Satu

Perodua Myvi atau “king of the road” merupakan kereta terlaris di Malaysia dengan penjualan lebih 81,966 unit pada 2019.

Pelbagai sebab mengapa Myvi begitu diminati selain faktor harga dan reka bentuk yang menawan.

Bagi Indonesia pula, kenderaan terlaris adalah Toyota Avanza.

Pada 2019, lebih 86,374 unit telah terjual.

Harga bagi seunit Avanza di Indonesia bermula 196 juta (RM55,000) sehingga 243 juta (RM69,000).

Secara keseluruhan, terdapat lebih 604,287 unit kereta terjual pada 2019 di Malaysia. Sementara itu, Indonesia menyaksikan lebih 1.03 juta unit terjual pada tahun sama.