CEO Volvo, Jim Rowan kekal yakin dengan potensi pertumbuhan yang memberangsangkan dalam arena kenderaan elektrik, terutama di dalam segmen kereta premium.
Bercakap dalam acara Reuters Global Market Forum di Davos, Switzerland, “kami mempunyai kuasa penetapan harga yang kukuh, dan pelanggan kami mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi untuk membeli dan memandu EV.
Pengeluar itu sebelum ini menjelaskan tidak akan mengikut jejak langkah Tesla di dalam perang harga EV, disebabkan oleh margin keuntungan yang sihat dinikmati menerusi penjualan EV sedia ada.
Rowan turut menyebut, biarpun terdapat gangguan bekalan sepanjang laluan perkapalan, ia tidak akan memberikan kesan kepada pelanggan di mana sebarang kos tambahan akan ditanggung oleh Volvo.
Selain daripada itu, Volvo juga berazam untuk mencapai sasaran jualan 50 peratus terdiri daripada kenderaan elektrik bateri (BEV) pada 2025, dan 100 peratus pada tahun 2030.
Disebalik unjuran optimis Volvo terhadap segmen EV, terdapat beberapa pengeluar yang sudah mula memberikan amaran tentang pertumbuhan yang semakin perlahan, disebabkan oleh kurang permintaan, potongan harga yang terlalu tinggi, subsidi yang renadh, serta masalah rantaian bekalan yang masih lagi belum reda.
Jika anda seorang pemilik kereta elektrik Tesla, dan tinggal di kawasan yang mempunyai akses fasiliti pengecasan yang mencukupi, hidup anda tidak akan berdepan dengan masalah.
Namun, sekiranya anda bermati-matian mahu menjadi seorang pemilik Tesla yang duduk di kawasan luar bandar, ini merupakan satu solusi yang mungkin berkesan.
Seorang pemilik Tesla Model Y yang juga pemilik syarikat DartSolar di Amerika Syarikat sedang membangunkan panel solar untuk dipasangkan pada model EVnya.
Terdapat sehingga sembilan panel solar 175 watt yang dipasangkan pada bahagian atas bumbung, dengan keluasan menyamai saiz tipikal petak parkir di USA.
Setiap panel solar itu dihubungkan menerusi tiub teleskopik gentian karbon, dan boleh dilipat kembali apabila tidak digunakan.
Menurut laporan, dengan berjemur di bawah sinar matahari selama lima jam mampu menambah jarak gerak sejauh 32 km, dengan berat keseluruhan tetapan tersebut tidak mencapai 75 kg.
DartSolar juga kini sedang membangunkan unit prototaip kedua yang menggantikan peranan komponen kayu kepada gentian karbon, dengan kos sekitar $4,000 (~RM18,870) apabila sedia untuk diproduksikan.
PENGELUAR kenderaan komersial MAN Truck & Bus mencapai pertumbuhan jualan yang ketara dalam seluruh rangkaian produk pada tahun kewangan 2023.
Secara keseluruhan, syarikat kenderaan komersial itu berjaya menyerah sekitar 116,000 kenderaan. Ini merupakan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding 2022, walaupun masih terjejas dengan kesesakan bekalan dan penurunan permintaan disebabkan pandemik.
Perniagaan enjin luaran adalah terbaik dalam sejarahnya selepas 2014. Dari 11,600 yang terjual, lebih separuh daripadanya kepada pelanggan dalam sektor pertanian – untuk digunakan dalam traktor atau penuai gabungan.
Jualan trak meningkat sebanyak 44 peratus kepada sekitar 83,700 unit berbanding tahun sebelumnya. Jualan bas juga meningkat sebanyak 19 peratus kepada sekitar 5,700 unit.
Semua segmen mencatat pertumbuhan kukuh, dengan pasaran bas dan koc khususnya, yang telah dengan ketara. Jualan koc meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada lebih 1,100 kenderaan.
Memandangkan MAN dapat memenangi tender penting dalam perniagaan bas bandar dan arah aliran ke arah kenderaan elektrik bateri berterusan tanpa henti, jualan bas elektrik meningkat lagi.
Sejumlah 263 bas bandar elektrik telah dijual pada 2022 dan angka ini telah meningkat kepada 771 kenderaan menjelang 2023.
Bersama-sama dengan pelancaran pasaran trak elektrik MAN eTruck pada bulan Oktober, MAN dapat meneruskan strateginya untuk menyahkarbon armada kenderaannya secara sistematik.
Menjelang 2030, separuh daripada semua trak MAN baharu dan kira-kira 90 peratus daripada semua bas bandar baharu akan mempunyai pemacu elektrik bateri. Kerja-kerja juga sedang dijalankan untuk membina koc elektrik masa depan.
Perniagaan van juga meningkat dengan ketara. Sekitar 26,600 van telah diserahkan kepada pelanggan, peningkatan sebanyak 23 peratus.
Friedrich Baumann, Ketua Pegawai Jualan dan Penyelesaian Pelanggan di MAN Truck & Bus SE berkata: “Selepas beberapa tahun yang sangat mencabar, kami kembali ke jalan menuju kejayaan. Kami berjaya memenuhi kehendak pasaran dengan portfolio produk inovatif kami dan perkhidmatan berorientasikan pelanggan.
“Ini merupakan salah satu sebab mengapa kami berjaya mencatat jualan cemerlang pada tahun kewangan 2023.
“Disebabkan prestasi pasukan yang kukuh merentas semua bidang syarikat, kami dapat memenuhi permintaan yang sangat tinggi dengan cara yang terbaik dan menjual lebih banyak kenderaan dan enjin berbanding tahun-tahun sebelum ini.”
Ketika Aprilia mengembalikan legasi Tuareg pada tahun 2021 menerusi Tuareg 660, ramai yang kurang yakin dengan kemampuan model itu untuk menyaingi pesaing utama antaranya Yamaha Tenere 700.
Bagaimanapun, Aprilia membuktikan sebaliknya apabila berjaya menjuarai Africa Eco Race 2024 baru-baru ini dengan Tuareg 660 yang dikemudi Jacopo Cerutti.
Cerutti bersama rakan sepasukan Francesco Montanari sama-sama bersaing di Africa Eco Race 2024 yang merupakan antara kejohanan paling sukar.
Menariknya, Cerutti muncul juara dengan hanya melakukan modifikasi kecil termasuk menukar kepada suspensi Öhlins, ekzos titanium SC-Project dan penapis udara Sprint Filter.
Cerutti yang merupakan pelumba senior berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik sepanjang kejohanan berlangsung bersama-sama dua pelumba Yamaha Tenere World Raid Team, Alessandro Botturi dan Pol Tarres.
Trio berkenaan bertukar kedudukan sepanjang peringkat perlumbaan tetapi selepas 12 peringkat, Cerutti berjaya di depan dengan perbezaan hanya 26 minit.
NISSAN telah mengubah X-Trail dari SUV biasa menjadi sebuah kenderaan kecemasan untuk menyelamat lengkap dengan tayar berantai, pengusung, dan peralatan menyelamat.
Nissan X-Trail Mountain Rescue Concept itu dipertontonkan di resort ski Cervinia, Itali. Ia direka bagi mengingatkan orang ramai supaya melakukan aktiviti ski dengan berhemah dan beretika.
Selain empat ‘tayar’ berantai di setiap penjuru, bagi membolehkan X-Trail ini menjalankan misi menyelamat di gunung salji, Nissan telah memberikan rak bumbung khas. Ia lengkap dengan lampu khas, siren kecemasan, pengusung, malah mempunyai ski dan penyodok salji.
X-Trail ini juga dipasang dengan fender lebih besar dan kembang, poin-poin tunda, kabel winch, lampu limpah, dan jarak kelegaan tanah 23cm lebih tinggi.
Naik taraf diteruskan ke bahagian dalam dimana jentera ini mendapat GPS Garmin dan alat komunikasi Motorola.
Perubahan lebih besar adalah di belakang, dimana tempat duduk telah ‘dibuang’ untuk memuatkan pengusung. Selain itu, ia mendapat tempat duduk rawatan menghadap ke belakang.
Akhir sekali, terdapat kabinet simpanan yang memuatkan bekalan kecemasan seperti kayu pengukur ketebalan salji dan selimut termal. Terdapat juga ruang yang boleh memuatkan drone DJI!
Walaupun konsep ini menggariskan etika ski secara bertanggungjawab, ia juga memaparkan sistem pacuan semua-roda e-4ORCE pada X-Trail itu.
Menurut Nissan, ia mampu bertindak balas terhadap perubahan cengkaman pada kadar 1/10,000 saat, bersamaan 1,000 lebih pantas dari sistem biasa. e-4ORCE ini juga mampu mengagihkan kuasa bergantung kepada tahap cengkaman.
KALI terakhir Mazda mempunyai kereta pretasi dalam barisannya adalah pada 2013 menerusi Mazdaspeed 3 (juga dikenali sebagai Mazda 3 MPS) yang merupakan produk sub-jenamanya iaitu Mazdaspeed.
Bagaimanapun, selepas hot hatch itu dikeluarkan, sub-jenama itu menjadi senyap dan akhirnya ‘mati’ begitu sahaja.
Foto: CarWatch
Sedekad telah berlalu, kini Mazda telah mengumumkan yang mereka akan kembali ke segmen prestasi menerusi sub-jenama baharu yang dikenali sebagai Mazda Spirit Racing.
Sebagai permulaan, Mazda Spirit Racing akan menawarkan dua model iaitu Spirit Racing RS dan Spirit Racing 3, masing-masing dibangunkan berasaskan dua model sedia ada iaitu MX-5 dan Mazda 3.
Menurut Mazda, suspensi dan aerodinamik kedua-dua model berkenaan dibuat menggunakan pengetahuan yang diperoleh menerusi penglibatan mereka dalam siri perlumbaan Super Taikyu Series.
Di samping naik taraf mekanikal, Spirit Racing RS dan Spirit Racing 3 juga akan mendapat sentuhan penampilan yang lebih agresif berbanding versi standard.
Spirit Racing RS, sebagai contoh, didatangkan dengan kit badan berserta set pelekat, muncung ekzos yang lebih besar, sistem brek Brembo dan lencana yang dihitamkan. Di dalam, terdapat stereng dengan balutan Alcantara dan sepasang kerusi bucket Recaro dengan abah-abah perlumbaan.
Sementara itu, Racing Spirit 3 juga mempunyai ekzos besar dan lencana hitam, namun ia dilihat mempunyai splitter hadapan dan skirt sisi yang lebih menonjol, serta spoiler gentian karbon.
Tidak diketahui sama ada Mazda akan menaik taraf enjin dengan kuasa yang lebih tinggi ataupun tidak, namun jika mereka serius hendak bersaing dengan Toyota Gazoo Racing, itulah yang perlu mereka lakukan.
Pengeluar kenderaan komersial MAN Truck & Bus mencapai pertumbuhan jualan yang ketara dalam seluruh rangkaian produk pada tahun kewangan 2023.
Secara keseluruhan, syarikat itu berjaya menyerah sekitar 116,000 kenderaan kepada pelanggannya, peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan itu dicapai walaupun masih terjejas oleh kesesakan bekalan dan penurunan permintaan berkaitan coronavirus dalam segmen bas. Di samping itu, 11,600 enjin juga telah dijual.
Friedrich Baumann, Ketua Pegawai Jualan dan Penyelesaian Pelanggan di MAN Truck & Bus SE berkata, mereka berjaya memenuhi kehendak pasaran dengan portfolio produk inovatif dan perkhidmatan berorientasikan pelanggan.
“Ini merupakan salah satu sebab mengapa kami berjaya mencatat jualan cemerlang pada tahun kewangan 2023. Disebabkan prestasi pasukan yang kukuh merentas semua bidang syarikat, kami dapat memenuhi permintaan yang sangat tinggi dengan cara yang terbaik dan menjual lebih banyak kenderaan dan enjin berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Jualan trak meningkat 44 peratus kepada sekitar 83,700 unit berbanding tahun sebelumnya, manakala jualan bas juga meningkat 19 peratus kepada sekitar 5,700 unit.
Semua segmen mencatat pertumbuhan kukuh, dengan pasaran bas dan koc khususnya, yang telah merosot akibat pandemik coronavirus, pulih dengan ketara. Jualan koc naik lebih daripada dua kali kepada lebih 1,100 unit.
Dengan tender penting dalam perniagaan bas bandar dan arah aliran ke arah kenderaan elektrik bateri berterusan tanpa henti, jualan bas elektrik MAN meningkat dari 263 unit pada 2022 kepada 771 unit tahun lalu.
Bersama-sama dengan pelancaran pasaran trak elektrik MAN eTruck pada bulan Oktober, MAN dapat meneruskan strateginya untuk menyahkarbon armada kenderaannya secara sistematik.
Menjelang 2030, separuh daripada semua trak MAN baharu dan kira-kira 90 peratus daripada semua bas bandar baharu akan mempunyai pemacu elektrik bateri. Kerja-kerja juga sedang dijalankan untuk membina koc elektrik masa depan.
Turut menunjukkan peningkatan adalah jualan van, di mana syarikat itu menyerahkan sekitar 26,600 unit van kepada pelanggan. Angka ini mewakili peningkatan sebanyak 23 peratus.
Perniagaan enjin luaran adalah yang paling baik dalam sejarahnya selepas 2014. Sekitar 11, 600 enjin telah dijual, lebih separuh daripadanya kepada pelanggan dalam sektor pertanian, untuk digunakan dalam traktor atau penuai gabungan.
Kerajaan Sepanyol bakal mewajibkan pemakaian helmet ‘full-face’ sekaligus mengharamkan helmet jenis ‘open-face’ dalam usaha menangani kemalangan maut melibatkan motosikal.
Menurut laporan media antarabangsa, Sepanyol tekad mengetatkan peraturan melibatkan penunggang motosikal di negara itu dalam usaha mengurangkan angka kematian melibatkan kemalangan motosikal.
Menurut statistik, seramai 268 kematian dicatatkan pada sepanjang 2023 akibat dari kemalangan motosikal. Sehubungan itu, kerajaan Sepanyol menyifatkan pemakaian helmet ‘full-face’ dapat mengurangkan angka tersebut pada tahun baru.
Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk mewajibkan pemakaian sarung tangan motosikal.
PENGELUAR kereta terbesar dunia, Toyota, tidak mahu menyerah kalah dalam enjin pembakaran dalaman. Mereka ingin meneruskan komitmen itu dan ianya hasil dari hala tuju oleh pengerusinya yang juga ‘kaki kereta’, Akio Toyoda.
Beliau mahu melindungi jutaan pekerjaan di Jepun dan pada masa yang sama menawarkan pilihan kepada pembeli-pembeli kereta masa depan.
“Kepada mereka yang telah membuat enjin dari dulu hingga sekarang, mari terus hasilkan enjin,” kata Toyoda semasa acara Tokyo Auto Salon 2024 (TAS2024).
“Disebabkan kita pencinta kereta kitab oleh membentuk masa depan. Keinginan saya untuk menikmati kereta membuatkan saya mahu mencuba pelbagai teknologi. Ini satu perkara yang saya serius,” katanya.
Tambahnya, seramai lebih 5.5 juta pekerja terlibat dalam pembuatan enjin di Jepun. “Kita jangan kehilangan mereka ini,” kata Toyoda.
Beliau menggariskan pelan pelbagai hala Toyota dalam mobiliti masa depan.
“Bagaimana cara mencapai neutraliti karbon bergantung kepada negara dan rantau. Walaubagaimanapun, bukankah keinginan kereta yang kita perlukan?”
“Saya mendapati bahawa, di luar negara, kami mempunyai ramai rakan sekerja yang mempunyai minat dan keinginan sama.”
Menurutnya, kenderaan BEV (elektrik bateri) bukanlah satu-satunya cara mencapai neutraliti karbon, Toyota juga sedang menjalankan pembangunan hidrogen sejak tiga tahun lepas.
“Tahun lepas, kami mencuba hidrogen cecair dan memandunya di Le Mans. Masih terdapat tugas untuk enjin dalam mencapai neutraliti karbon. Jadi, mari perhalusi teknologi enjin. Mari mulakan projek itu.”
Mungkin tidak ramai yang tahu, di sebalik kebanjiran jenama-jenama kereta elektrik (EV) dari China, dunia juga kini menerima kehadiran jenama EV baharu dari Turki, iaitu Togg.
Togg, atau nama penuhnya Türkiye’nin Otomobili Girişim Grubu (Kumpulan Perusahaan Automobil Turki) baru-baru ini memperlihatkan sedan elektrik T10F bertempat di CES 2024, di mana ia bakal dipasarkan di Eropah pada tahun hadapan.
Ia merupakan sebuah sedan fastback di dalam segmen C, di mana Togg menyifatkan model ini sebagai sebuah peranti pintar yang terhubung, bukan sekadar sebuah kereta.
Berdasarkan rujukan ringkas di laman web rasmi, Togg T10F ini boleh dilengkapi dengan tetapan motor elektrik tunggal atau dua motor elektrik.
Versi pacuan roda belakang (RWD) berupaya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat, terima kasih kepada motor elektrik berkuasa 218 PS dan daya kilas 350 Nm.
Versi pacuan semua roda (AWD) pula lebih pantas, 0-100 km/j dalam 4.6 saat, dengan dua motor elektrik yang lebih bertenaga (435 PS/700 Nm).
Untuk pengecasan penuh, pek bateri yang tidak didedahkan kapasitinya itu mampu membenarkan jarak gerak 530 km (AWD), atau sehingga 600 km (versi RWD).
T10F menyokong pengecasan pantas DC sehingga 180 kW, dengan pengecasan 20 hingga 80 peratus boleh diselesaikan dalam tempoh 28 minit.
Togg turut mendedahkan susun atur ruang kabin sedan elektrik ini, di mana ia membawakan skrin kluster 12.3 inci, skrin infotainmen 29 inci, skrin ketiga untuk kawalan HVAC sebesar 8 inci.
Antara ciri lain termasuklah ruang kargo sebesar 500 liter, pemanas roda stereng serta pengecas peranti pintar tanpa wayar.
Pada acara Consumer Electronics Show (CES) 2023 tahun lepas, Sony dan Honda mengejutkan dunia dengan kemunculan jenama EV baharu Afeela.
Kerjasama yang kemudian diberikan nama Sony Honda Mobility itu kini mendedahkan prototaip sedan elektrik Afeela yang telah dikemaskini pada acara CES 2024 di Las Vegas.
Apa yang anda lihat ini merupakan Afeela EV dengan spesifikasi yang lebih hampir kepada model produksi sebenar.
Berbanding dengan model terdahulu, sedan ini membawakan beberapa perubahan, seperti penggunaan cermin sisi tradisional, serta unit lampu utama yang lebih nipis dan rekaan bampar baharu.
Pintu penutup port pengecasan juga kini bertambah besar, sementara bahagian panel rocker dan bampar belakang turut dikemaskini.
Rekaan kabin boleh dikatakan hampir sama sahaja dengan model prototaip asal, kecuali struktur konsol tengah yang lebih besar, diikuti dengan roda stereng yang telah direka semula.
Selain itu, terdapat dua slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta modul kamera yang duduk di atas panel skrin melintang penuh.
Afeela EV bakal membawakan tetapan dua motor elektrik tunggal, setiap satu berkuasa 241 hp, diikuti dengan pek bateri lithium-ion 91.0 kWh.
Sedan ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, dan pengecasan AC 11 kW.
Sistem suspensi udara adalah standard dengan tetapan multi-link di bahagian belakang, diikuti dengan rim bersaiz 21 inci (tayar 245/40 depan, 275/35 belakang).
Dimaklumkan, tempahan untuk sedan ini akan dibuka pada tahun 2025 sebelum ia mula dijual pada tahun 2026.
Namun sebelum itu, Afeela akan membenarkan sedan ini dipandu buat kali pertama menerusi permainan simulasi perlumbaan Gran Turismo 7 pada tahun ini.
PARA jurutera Porsche sedang mempersiapkan Macan serba baharu yang juga kini merupakan model elektrik (EV) untuk pendedahan globalnya tidak lama lagi.
SUV itu kini dalam fasa-fasa akhir dan telah melalui pelbagai siri ujian ekstrem. Seperti yang telah diwar-warkan sebelum ini, Macan generasi kedua ini merupakan model elektrik dan menggantikan model generasi pertama selepas 10 tahun ia dalam pasaran.
Porsche Macan EV ini dibina pada pelantar PPE (Premium Platform Electric). Ia kekal sebagai sebuah Porsche yang sporti, tetapi akan menjadi lebih cekap.
Pekali aerodinamik 0.25
Menurut Naib Presiden Product Line Macan, Jorg Kerner, “Apabila kami membangunkan model baharu, ia sentiasa berkenaan dinamik dan ketepatan pemanduan. Itulah Porsche. Ia dalam DNA kami. Tetapi ia sentiasa berkenaan kecekapan juga, dan reka bentuk.”
Kunci kepada aerodinamik Macan baharu ini ialah pekali seretannya (Cd) serendah 0.25. Antara cabarannya ialah mengekalkan identiti Macan yang telah berjaya tetapi pada masa yang sama menepati keperluan dan syarat aerodinamik baharu.
Ini dicapai dengan Porsche Active Aerodynamic (PAA) yang merangkumi spoiler aktif di belakang, flap penyejukan aktif di depan, dan lantai bawah rata serta bertutup seperti jentera lumba.
Jarak pemanduan lebih 500km
Porsche Macan EV akan dibekalkan dengan dengan bateri lithium-ion 100kWh dan binaan 800-volt pada platform PPE yang digunakan.
Ini membolehkan Macan mendapat pengecasan pantas DC sehingga 270kW, bermakna baterinya boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 22 minit sahaja. Pengecasan AC kekal pada 11kW.
Jarak pemanduan pula adalah lebih 500km untuk semua varian.
Diuji dan sedia untuk pelancaran global
Macan EV kini dalam fasa akhir ujiannya, dan prototaip-prototaip dengan celoreng secara keseluruhan telah dipandu lebih 3.5 juta km dalam litar ujian dan jalan raya awam seluruh dunia.
“Kami meliputi semua rangkaian suhu. Dari 30 darjah di bawah paras beku di Scandinavia hingga lebih 50 darjah Celsius seperti di Death Valley, California,” kata Kerner.
“Sudah tentu SUV perlulah boleh dipandu di semua permukaan. Sebab itu kami bukan sahaja mengujinya di jalan raya, tetapi juga di off-road, kerikil, salji, dan ais,” katanya.
Sistem-sistem seperti pacuan semua-roda, dua motor elektrik, Porsche Traction Management, Launch Control, Porsche Active Suspension Management, semuanya diuji di permukaan-permukaan ini.
Nantikan laporan kami selepas pelancaran rasmi Porsche Macan EV pada 25 Januari ini.
UNTUK anda yang belum tahu, JAOS atau nama penuhnya JApan Offroad Service, merupakan sebuah syarikat yang mengkhususkan dalam penghasilan dan penjualan alat ganti off-road sejak 1985.
Mungkin kerana pengalamannya yang luas dalam bidang itu, Lexus telah memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan JAOS bagi menghasilkan sebuah model konsep GX 550 Overtrail untuk acara Tokyo Auto Salon 2024.
Sebagai permulaan, JAOS meningkatan ketahanan dan kelasakan SUV off-road premium itu menerusi penggunaan pelindung bampar depan dan skid plate aluminium setebal 4 mm pada bahagian bawah.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pelindung fender, pemijak sisi tiub keluli dan serta set mudguard yang merangkumi flap EVA dan plat aluminium untuk tahap perlindungan yang lebih tinggi.
Untuk memperkuatkan lagi imej lasaknya, GX ini dijadikan lebih tinggi dengan menggunakan sistem suspensi Battlez Lift Kit dan tayar Toyo Open Country A/T III yang dipadankan dengan rim JAOS Tribe Cross berukuran 18 inci.
Turut disertakan adalah rel bumbung aluminium berukuran 1,250 mm x 1,400 mm, serta lampu LED pada pelindung bampar depan.
Lexus tidak menyatakan sama ada model konsep ini mendapat naik taraf trenkuasa namun ia mungkin tidak memerlukannya. Ini kerana dalam versi standard, GX 550 sudah mempunyai 349 hp dan 650 Nm.
Statusnya sebagai kenderaan off-road juga tidak wajar dipersoal kerana model ini didatangkan dengan pelbagai kelengkapan termasuk sistem 4WD, limited-slip differential Torsen, locking differential belakang, Multi-Terrain Select (MTS), Crawl Control, Downhill Assist Control (DAC) dan 3D Multi-Terrain Monitor.
SEBUT sahaja nama Liberty Walk, pasti anda akan terbayang kereta-kereta seperti Lamborghini Aventador, Nissan GT-R dan McLaren 650S dengan kit badan yang ‘gila gila’.
Bagaimanapun, untuk rekaan terbarunya, tuner terkemuka dari Jepun itu memilih untuk membangunkan kit badan untuk sebuah model yang lebih kecil tetapi tetap ikonik iaitu Autozam AZ-1.
AZ-1 merupakan kereta sport kei dengan konfigurasi enjin tengah-belakang yang dihasilkan oleh Mazda di bawah jenama Autozam pada awal 90-an. Dan kit badan terbaru daripada Liberty Walk ini boleh menukarkannya menjadi Ferrari F40.
Disebabkan saiznya yang kecil model, orang akan tahu yang ini bukanlah sebuah F40 yang sebenar. Namun tidak boleh dinafikan yang ‘wajah’ depannya kelihatan tidak ubah seperti supercar Itali itu.
Tidak cukup dengan itu, kit badan ini turut merangkumi canard, splitter depan dan sudah tentu, dapra depan dan belakang yang lebih lebar. Malah, lekuk pada bahagian kiri dan kanan dibuat seperti bentuk saluran NACA seperti F40.
Bahagian belakang pula menampilkan spoiler yang tinggi dan diffuser dengan sirip-sirip yang panjang untuk efek aerodinamik. Seperti F40, AZ-1 Liberty Walk ini juga mempunyai tiga muncung ekzos yang disusun pada bahagian tengah.
Menurut laman web syarikat itu, pakej kit badan ini dijual pada harga bermula dari 2,226,000 yen (RM71,405) namun lampu depan dan belakang tidak termasuk.
Selain itu, pelanggan juga boleh melengkapkan penampilan AZ-1 mereka dengan rim tempaan berukuran 16 inci di depan, 17 inci di belakang yang berharga 1,430,000 yen (RM45,871).
Yamaha YZF-R15 telah dikemas kini dengan pilihan warna lebih menonjol bagi tahun 2024 untuk pasaran India.
Menurut laporan media antarabangsa, R15 V4 itu kini hadir dengan warna “Vivid Magenta Metallic” yang mengetengahkan gabungan warna yang lebih segar dan sporty sesuai dengan peringkat umur pengguna motosikal berkenaan yang rata-rata berusia muda.
Sementara itu, warna ikonik seperti Racing Blue dan Metallic Red akan terus dijual.
Selain R15 V4 itu, turut mendapat sentuhan warna baharu adalah model FZ, FZ-S dan FZ-X yang hanya dipasarkan di negara itu ketika ini.
FZ-S Fi kini hadir dengan warna Racing Blue dan Matte Black sementara warna Majesty Red dikekalkan.
Bagaimanapun, naik taraf kali ini hanya melibatkan warna sahaja dengan tiada perubahan dilaksanakan di ruangan enjin mahupun komponen penting lain.
Lexus cuba untuk mencuri sedikit perhatian di dalam pasaran SUV elektrik berprestasi tinggi dengan memperkenalkan model khas RZ450e F Sport Performance.
Ia sebenarnya merupakan versi produksi sebenar kepada model RZ Sport Concept yang telah diperlihatkan sebelum ini di Tokyo Auto Salon 2023.
Lexus menggunakan khidmat kepakaran daripada juruterbang aerobatik Yoshihide Muroya untuk membangunkan sehingga 17 komponen aerodinamik pada model RZ450e ini.
Antaranya ialah sayap gentian karbon, diikuti dengan komponen turning vane pada bahagian sisi yang menggunakan teknologi aerodinamik pada pesawat.
Selain daripada itu, RZ450e ini juga turut mendapat hud, bumbung, serta spoiler depan dan belakang yang turut diperbuat daripada bahan gentian karbon.
Aspek pemanduan pula menggunakan khidmat pelumba Masahiro Sasaki di mana sistem gantungan SUV ini telah ditala semula, sebelum keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim aluminium ENKEI bersaiz 21 inci.
Lexus menggunakan gandingan warna hitam, perak putih yang digelar Hakugin, serta aksen berwarna biru untuk bahagian luar.
Sementara ruang kabin pula membawakan gandingan warna hitam dan biru pada bahagian papan pemuka, tempat duduk balutan Ultrasuede, roda stereng balutan kulit sintetik, pedal sports aluminium dan scuff plate F Sport Performance.
Di Jepun, Lexus RZ450e didatangkan dengan tetapan dua motor elektrik, setiap satu menghasilkan 204 PS/266 Nm (depan) dan 109 PS/169 Nm (belakang), serta pek bateri berkapasiti 71.4 kWh.
Harga bermula dari 11,800,000 yen (RM379,132) di mana hanya 100 unit sahaja RZ450e F Sport Performance yang akan diproduksikan.
Setiap pembeli yang layak akan diberitahu oleh pengedar masing-masing pada 22 Februari 2024.
ANDA mungkin terbaca laporan sebelum ini bahawa Toyota GR Yaris bakal ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik 8-kelajuan. Kini sudah rasmi, ia dilancarkan oleh Toyota di acara Tokyo Auto Salon (TAS) yang sedang berlangsung.
Toyota menggelarkan kotak gear ini sebagai Direct Automatic Transmisison. Diasaskan dari unit torque-converter, tetapi ia telah ditala untuk pertukaran gear lebih pantas, malah mempunyai mod untuk kegunaan litar.
Selain itu, GR Yaris 2024 mendapat perubahan di beberapa bahagian lain. Pakej Circuit akan membawakan sistem penyejukan lebih baik dengan radiator tambahan, penyembur intercooler, dan sistem kemasukan yang direka semula.
Versi automatik juga dilengkapi dengan penyejuk khas untuk kotak gear. Kedua-dua penyejuk ini boleh diintai dari ruang udara sisi. Yang menariknya, versi automatik hanya mempunyai penambahan berat sekitar 18kg.
Ketegaran casis dipertingkat, dan suspensi ditambah baik untuk menampung lebih kuasa dari enjin. Ia bukan sekadar talaan biasa, tetapi “diperkukuh”. Terdapat bahan baharu untuk injap ekzos, tekanan lebih tinggi untuk suntikan terus bahan api, pengesan tekanan udara baharu, dan omboh lebih ringan.
Akhir sekali, GR Yaris diberikan facelift luar dan dalam. Bampar depan lebih agresif, manakala ruang kabin lebih memfokus kepada pemandu. Skrin 12.3-inci baharu adalah dari GR Corolla.
Sebelum ini GR Yaris antara beberapa jentera yang ditawarkan dengan kotak gear manual ‘sahaja’, selain Honda Civic Type R. Kini dengan penawaran pilihan automatik, adakan ia menjadikan GR Yaris kurang ‘hardcore’?
Triumph Motorcycles membuka tirai 2024 dengan pelancaran Triumph Daytona 660 baharu.
Daytona 660 menandakan kelahiran semula model ‘sportbike’ Daytona yang sebelum ini telah pun ditamatkan pengeluaran menerusi Daytona 765 Moto2 Edtiion pada 2021.
Menariknya, meskipun dikuasakan unit tiga silinder 660cc yang sama terdapat pada Trident 660, enjin tersebut telah dinaik taraf dari pelbagai segi termasuk camshaft, crankshaft, cylinder dan sistem ekzos baharu. Hasilnya, Daytona 660 ini menawarkan 94hp dan 69Nm berbanding 81hp dan 64Nm.
Meskipun begitu, Daytona 660 ini masih lagi berkongsi kebanyakan komponen dari Trident 660 termasuk kerangka utama, suspensi Showa SFF BP 41mm (tidak boleh laras) dan monoshock Showa pra-beban (boleh laras) selain dari panel meter digital dan TFT.
Bagaimanapun, pakej brek pada Daytona 660 telah dinaik taraf kepada kaliper radial 4-pot berkembar depan dengan cakera brek 310mm.
Dalam pada itu, kapasiti tangki adalah 14L (sama dengan Trident 660) dan berat bersih diletakkan pada 201kg.
Menurut Triumph, Daytona 660 ini hadir dengan tiga mod menunggang yang merangkumi Road, Sport dan Rain serta fungsi traction control dan ABS. Sistem quickshifter pula adalah ciri tambahan (optional).
Bertempat di Consumer Electronics Show (CES 2024), Hyundai mempersembahkan model konsep kedua eVTOL (electric Vertical Takeoff and Landing) S-A2 dalam bentuk konsep yang sedia untuk diproduksikan kelak.
S-A2 sebenarnya merupakan versi tambah baik kepada model konsep S-A1 yang diperlihatkan di CES 2020, menampilkan sehingga lapan bilah kipas untuk membantu proses berlepas dan mendarat secara menegak.
Menurut Hyundai, S-A2 ini mampu terbang sepantas 193 km/j pada ketinggian sehingga 457 meter.
Biarpun dengan keupayaan tersebut, Hyundai menjelaskan eVTOL ini direka untuk jarak penerbangan dekat antara 40 hingga 64 km untuk permulaan, terutama di dalam bandar besar yang mempunyai kepadatan trafik yang tinggi.
Hyundai turut memastikan operasi penerbangan eVTOL ini tidak menghasilkan bunyi bising yang mampu mengganggu penduduk sekitar di mana ia hanya menghasilkan 65dB sewaktu berlepas dan sekitar 45dB semasa terbang.
Senyap macam mesin pembasuh pinggan mangkuk di rumah anda.
Untuk penerbangan jarak dekat, ruang kabin S-A2 ini tidak memerlukan kerusi yang empuk dan selesa, namun begitu Hyundai tetap memastikan ia diperbuat daripada bahan gred penerbangan untuk tujuan keselamatan.
Buat masa ini, Supernal S-A2 tidak lagi sedia untuk beroperasi, namun bertempat di CES 2024 mereka ada menyediakan ruang pameran yang menawarkan penerbangan maya merentasi ruang udara Los Angeles kepada para pengunjung.