Toyota GR Yaris 2024 kini dapat kotak gear automatik, enjin ditambah baik, rupa lebih agresif
ANDA mungkin terbaca laporan sebelum ini bahawa Toyota GR Yaris bakal ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik 8-kelajuan. Kini sudah rasmi, ia dilancarkan oleh Toyota di acara Tokyo Auto Salon (TAS) yang sedang berlangsung.
Toyota menggelarkan kotak gear ini sebagai Direct Automatic Transmisison. Diasaskan dari unit torque-converter, tetapi ia telah ditala untuk pertukaran gear lebih pantas, malah mempunyai mod untuk kegunaan litar.
Selain itu, GR Yaris 2024 mendapat perubahan di beberapa bahagian lain. Pakej Circuit akan membawakan sistem penyejukan lebih baik dengan radiator tambahan, penyembur intercooler, dan sistem kemasukan yang direka semula.
Versi automatik juga dilengkapi dengan penyejuk khas untuk kotak gear. Kedua-dua penyejuk ini boleh diintai dari ruang udara sisi. Yang menariknya, versi automatik hanya mempunyai penambahan berat sekitar 18kg.
Ketegaran casis dipertingkat, dan suspensi ditambah baik untuk menampung lebih kuasa dari enjin. Ia bukan sekadar talaan biasa, tetapi “diperkukuh”. Terdapat bahan baharu untuk injap ekzos, tekanan lebih tinggi untuk suntikan terus bahan api, pengesan tekanan udara baharu, dan omboh lebih ringan.
Akhir sekali, GR Yaris diberikan facelift luar dan dalam. Bampar depan lebih agresif, manakala ruang kabin lebih memfokus kepada pemandu. Skrin 12.3-inci baharu adalah dari GR Corolla.
Sebelum ini GR Yaris antara beberapa jentera yang ditawarkan dengan kotak gear manual ‘sahaja’, selain Honda Civic Type R. Kini dengan penawaran pilihan automatik, adakan ia menjadikan GR Yaris kurang ‘hardcore’?
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.