Arkib Kategori: BERITA

Auto China 2026: Chery jalankan ujian pelanggaran dunia sebenar libatkan model Tiggo 7 & Tiggo 9

Chery sekali lagi mengambil langkah berani dengan mempamerkan demonstrasi ujian keselamatan dunia sebenar bersempena Beijing Auto Show 2026.

Bertempat di Longshan Test Centre, Chery Group mensimulasikan situasi pelanggaran trafik berisiko tinggi melibatkan tiga kenderaan termasuklah SUV Tiggo 7 dan Tiggo 9.

Ujian ini dibuat bagi menilai keupayaan sebenar keselamatan SUV Tiggo, dan membuktikan komitmen Chery untuk menjadi jenama paling selamat untuk seisi keluarga.

Ujian berdasarkan situasi sebenar

Tidak seperti ujian pelanggaran standard, demonstrasi awam ini memberi tumpuan kepada senario kemalangan yang berlaku dalam dunia sebenar melibatkan pelbagai kenderaan seperti:

  • kemalangan berantai di lebuh raya
  • rempuhan dua arah di persimpangan jalan

Dalam ujian di Wuhu, Tiggo 9 menerima hentaman hadapan 50 km/j daripada Tiggo 7, dan dalam masa yang sama dirempuh dari belakang pada kelajuan 40 km/j oleh sebuah lagi kenderaan.

Di sini, aspek seperti struktur badan, koordinasi sistem penahan dan keupayaan tindak balas kecemasan pasca-pelanggaran diuji pada tahap jauh melebihi piawaian ujian biasa.

Tiggo 9 kekal utuh

Hasil ujian menunjukkan:

  • ruang penumpang kekal utuh tanpa sebarang perubahan (deformasi) ketara pada tiang A, B, C atau D
  • sistem penahan utama seperti beg udara dan tali pinggang berfungsi dengan tepat seperti yang direka
  • keempat-empat pintu yang dikunci terbuka secara automatik untuk memastikan penumpang mudah diselamatkan selepas pelanggaran
  • tiada kebocoran bahan api dikesan, dan lampu amaran kecemasan diaktifkan

Struktur badan Tiggo 9 menggunakan 85 peratus keluli kekuatan tinggi, termasuklah 21 peratus keluli hot-stamp untuk mengukuhkan kawasan kritikal kabin.

Seni bina pemindahan beban dioptimumkan supaya dapat membantu menyerap tenaga hentaman dengan lebi berkesan.

Kesemua sistem keselamatan yang dibekalkan membentuk perlindungan berperingkat sebelum, semasa dan selepas impak.

Prestasi konsisten merentasi barisan Tiggo

Dalam masa yang sama, struktur casis Tiggo 7 terbukti berkesan dalam ujian komposit ini.

Ia membuktikan keupayaan Chery menawarkan tahap keselamatan tinggi secara konsisten bukan sekadar untuk model flagship semata-mata, tapi untuk semua keluarga Tiggo.

Di peringkat global, pelbagai model Tiggo menerima penarafan 5 bintang daripada Euro NCAP, ANCAP dan ASEAN NCAP.

Inisiatif pengesahan keselamatan global

Ujian pelanggaran komposit ini merupakan sebahagian daripada inisiatif siri pengesahan keselamatan berprofil tinggi yang dijalankan di seluruh dunia.
Sebelum ini, Chery menjalankan Cabaran Keselamatan Bateri CSH di beberapa lokasi seperti:
  • Malaysia – ujian kebakaran suhu tinggi
  • China – ujian pelanggaran hadapan dan ujian guling spiral
  • Indonesia – ujian rendaman air laut selama 53 jam
  • Afrika Selatan – ujian pelanggaran hadapan beralih pada kelajuan 50 km/j
  • Ecuador – ujian enam das tembakan untuk membuktikan kekuatan struktur dan integriti bateri
  • Timur Tengah – ujian rendaman air laut suhu 60 darjah Celcius selama 48 jam, dan ditanam dalam pasir gurun Kuwait selama 48 jam
  • Mexico – ujian geseran bawah kenderaan

 

Auto China 2026: Jaecoo J5 dengan sistem hibrid SHS-H, bakal masuk Malaysia?

Turut mencuri tumpuan kami ketika di Beijing Auto Show 2026 ialah SUV segmen B Jaecoo J5 dalam versi SHS-H.

Untuk info, SHS-H ini merujuk kepada Super Hybrid System yang tidak memerlukan pengecasan seperti versi plug-in hybrid (PHEV).

Unit rangkaian kuasa

Sistem SHS-H ini terdiri daripada enjin 1.5 liter yang dipadankan dengan motor elektrik dan bateri 1.83 kWh.

Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa 221 hp dan 295 Nm dengan jarak pandu mencecah sehingga 950 km.

Kelengkapan luar dan dalam

Dari segi penampilan, tidak banyak beza antara model J5 SHS-H ini jika dibandingkan dengan J5 biasa.

Ia masih lagi mengekalkan penampilan gaya Range Rover, dipadankan dengan rim 18 inci aerodinamik.

Kelengkapan kabin juga dilihat sama dengan apa yang ditawarkan pada model J5 ICE, seperti skrin LCD dan skrin infohibur menegak.

Masuk Malaysia?

Kami difahamkan pihak Omoda | Jaecoo Malaysia merancang untuk membawa masuk model ini sebagai pelengkap kepada penawaran J5 sedia ada.

Lebih banyak info bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung tahun ini.

Auto China 2026: Omoda C7 bakal sertai keluarga OJ Malaysia tahun ini

Sebuah lagi model SUV dipamerkan di acara Beijing Auto Show 2026, iaitu Omoda O7.

SUV ini turut disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia menggunakan nama C7.

Ini bermakna, ia diposisikan ditengah-tengah antara model Omoda C4 dan Omoda C9 yang telah pun dijual sejak Disember 2024.

Unit rangkaian kuasa

Di Beijing Auto Show, Omoda C7 yang dipamerkan ini merupakan varian SHS-P yang merujuk kepada sistem plug-in hybrid (PHEV).

Di pasaran tertentu, SUV ini dikuasakan oleh nadi 1.5 TGDi hibrid dengan jarak sifar emisi 95 km dan jarak pandu keseluruhan 1,250 km.

Pada J7 PHEV, sistem SHS tersebut menampilkan:

  • enjin 1.5 liter TGDi 156 PS/220 Nm
  • motor elektrik 204 PS/310 Nm
  • bateri 18.3 kWh
  • jarak gerak sifar emisi 88 km

Masih ingat unit yang pernah dipamerkan di Malaysia?

Omoda C7 tersebut dilengkapi dengan enjin petrol 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa 197 PS dan 290 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Dimensi

Omoda C7 merupakan sebuah SUV saiz kompak/pertengahan, dengan ukuran sekitar 4,621 mm, lebar 1,872 mm dan tinggi 1,673 mm.

Jarak antara roda pula sekitar 2,700 mm.

Luaran

Daripada sudut depan, Omoda C7 menampilkan ciri seperti lampu utama yang tajam memanjang diikuti bukaan bampar yang dihiasi elemen sarang lebah.

Sama seperti Omoda C4, lampu belakang C7 turut membawakan elemen grafik kilat dalam perumah yang memanjang penuh.

Selain itu, SUV ini dilengkapi dengan rim dua tona 20 inci dan rekaan bumbung terapung.

Kabin

Masuk ke dalam, anda akan disambut dengan sepasang tempat duduk gaya kerusi gaming balutan kulit.

Roda stereng juga dikatakan mengambil inspirasi daripada kayu ria PlayStation 5.

Antara ciri lain termasuklah:

  • skrin kluster digital kecil
  • skrin tengah sebesar 15.6 inci yang boleh dialih kedudukannya
  • sistem audio Sony
  • kawalan fungsi berbentuk arahan suara dan gerak isyarat tangan

Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pengenalan rasmi di pasaran Malaysia pada tahun ini.

Auto China 2026: Omoda C4 sah bakal masuk Malaysia

Bertempat di Beijing Auto Show 2026, Omoda | Jaecoo memperlihatkan model SUV segmen B baharu Omoda 04 versi produksi sebenar.

Ia dijangka akan memasuki pasaran Malaysia sebagai Omoda C4 dan diposisikan di bawah model C9.

Pilihan rangkaian kuasa

Terdapat sehingga tiga varian rangkaian kuasa yang ditawarkan untuk model Omoda C4.

Versi asas dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter turbo yang sama wujud pada model Tiggo Cross, menghasilkan kuasa 156 PS dan 210 Nm.

Terdapat juga Omoda C4 versi hibrid SHS-H, merujuk kepada sistem hibrid pengecasan kendiri.

Pada model Chery Tiggo Cross Hybrid, tetapan ini terdiri daripada:

  • enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson 102 PS/125 Nm
  • dua motor elektrik 204 PS/310 Nm
  • transmisi Direct Hybrid (DHT)
  • pek bateri LFP 1.8 kWh

Akhir sekali, varian elektrik (BEV) yang dipamerkan dalam satu majlis yang diadakan berasingan.

Tidak banyak info diketahui tentang model ini, besar kemungkinan ia akan menggunakan tetapan sama seperti Omoda E5.

Ciri luaran

SUV Omoda C4 ini membawakan penampilan yang cukup agresif, dan sememangnya direka untuk golongan muda.

Antara ciri luaran termasuklah:

  • lampu utama jenis terpisah
  • lampu DRL gaya kuku binatang
  • plastik pelindung bersegi pada gerbang roda
  • lampu belakang dengan grafik kilat

Omoda C4 versi standard hadir dengan rim sporti saiz 18 inci.

Sementara C4 versi HEV dan EV pula dibekalkan dengan rim 18 inci yang lebih aerodinamik.

Kelengkapan kabin

Elemen sporti turut diterapkan pada ruang kabin untuk menjadikannya lebih sesuai dengan jiwa muda.

Antara kelengkapan yang boleh dilihat termasuklah:

  • roda stereng tiga jejari
  • skrin infohibur menegak
  • skrin kluster digital berwarna penuh
  • konsol tengah yang tinggi lengkap dengan tempat meletak cawan
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • butang suis mula gaya Lamborghini

Ciri butang suis tersebut walau bagaimanapun tidak ditawarkan pada model C4 EV.

Omoda C4

Omoda C4 SHS-H

Omoda C4 EV

Honda hentikan jualan kereta di Korea Selatan akhir 2026

Honda Motor Co., Ltd.mengumumkan keputusan untuk menghentikan operasi jualan kereta di bawah anak syarikatnya, Honda Korea Co., Ltd. menjelang penghujung tahun 2026,

Keputusan ini diambil setelah mengambil kira perubahan persekitaran pasaran automotif global dan domestik Korea Selatan.

Honda menyatakan langkah ini sebahagian daripada strategi dalam menumpukan sumber korporat bagi memperkukuh daya saing syarikat untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Perniagaan Motosikal Honda Kekal Sebagai Teras Utama

Berbeza dengan kereta, perniagaan motosikal akan terus dikekalkan malah bakal dijadikan teras utama operasi Honda Korea.

Syarikat berhasrat untuk memperkukuh kedudukan dalam segmen dua roda dengan menawarkan lebih banyak produk menarik serta meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman pelanggan.

Komitmen Perkhidmatan Lepas Jualan dan Waranti

Walaupun jualan kereta baharu akan dihentikan, Honda memberi jaminan kepada pemilik sedia ada di Korea Selatan bahawa perkhidmatan lepas jualan akan diteruskan seperti biasa.

Ini merangkumi penyelenggaraan berkala, servis kenderaan, bekalan alat ganti tulen serta sokongan waranti bagi memastikan kebajikan pelanggan tidak terjejas walaupun selepas operasi jualan ditamatkan.

Faktor Ekonomi dan Tekanan Pasaran Global

Menurut laporan AutoBlog, Ketua Pegawai Eksekutif Honda Korea, Lee Ji-hong menyatakan perubahan keadaan pasaran global dan tekanan kadar pertukaran mata wang menyebabkan perniagaan terjejas.

Hal ini disebabkan oleh model perniagaan Honda Korea yang mengimport kenderaan mereka secara terus dari kilang pembuatan di Ohio, Amerika Syarikat.

AutoBlog melaporkan bahawa nilai mata wang US Dollar yang kekal kukuh secara dasarnya telah menghapuskan margin keuntungan syarikat.

Dari segi prestasi jualan, Honda hanya mencatatkan angka sebanyak 1,951 unit kereta sahaja di Korea Selatan pada tahun lalu.

Jumlah tersebut menunjukkan kejatuhan ketara sebanyak 22 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Barisan Produk yang Kian Hilang Daya Saing

Selain faktor ekonomi, AutoBlog turut menyebut bahawa barisan model Honda di Korea Selatan kini dianggap tidak lagi kompetitif dan mendatar.

Syarikat dilihat hanya bergantung sepenuhnya kepada model lama seperti Accord, CR-V, Odyssey dan Pilot.

Situasi ini sebenarnya telah dijangka memandangkan pesaing senegara iaitu Nissan telah lebih awal mengundur diri dari Korea Selatan pada tahun 2020.

Pengunduran Honda ini menjadikan Toyota sebagai satu-satunya jenama legasi Jepun yang masih bertahan dalam persaingan jualan kereta penumpang di semenanjung tersebut.

Profil dan Data Operasi Honda Korea Co., Ltd.

Honda Korea ditubuhkan pada Oktober 2001 yang pada awalnya dikenali sebagai Honda Motorcycle Korea Co., Ltd.

Jualan motosikal bermula pada Mei 2002 diikuti oleh jualan kereta pada Mei 2004.

Syarikat ini merupakan pelaburan modal 100 peratus daripada Honda Motor Co., Ltd. dengan modal sebanyak 12 bilion won.

Sehingga April 2026, syarikat diketuai oleh Presiden Jihong Lee dan menggaji seramai 84 kakitangan.

Ringkasan Maklumat Honda Korea Co., Ltd.

  • Penubuhan: Oktober 2001 (Honda Motorcycle Korea Co., Ltd.)
  • Mula Jualan Motosikal: Mei 2002
  • Mula Jualan Kereta: Mei 2004
  • Ibu Pejabat: Seoul
  • Modal: 12 bilion won
  • Pemilikan: 100 peratus Honda Motor Co., Ltd.
  • Produk Motosikal Utama: PCX125, Super Cub, FORZA350, ADV350, FORZA750, CBR600RR
  • Produk Kereta Utama: Accord, CR-V, Odyssey, Pilot
  • Jumlah Kakitangan: 84 orang (setakat April 2026)

Omoda | Jaecoo raikan ulang tahun ketiga, jualan global lebih satu juta unit

Bersempena dengan acara pameran Beijing Auto Show 2026, jenama Omoda | Jaecoo (OJ) meraikan dua pencapaian penting, iaitu:

  • sambutan ulang tahun ketiga
  • jualan global melebihi satu juta unit

Dalam tempoh masa tiga tahun selepas debut global, Omoda | Jaecoo telah bertapak di lebih 64 pasaran antarabangsa.

Pencapaian ini menjadikannya antara pemain global yang paling pesat berkembang.

SHS sebagai teras utama

Di sebalik kebangkitan global jenama OJ ini ialah Super Hybrid System (SHS) yang dibangunkan oleh Chery Group.
Lebih daripada sekadar unit rangkaian kuasa, SHS menawarkan manfaat seperti:
  • prestasi tinggi
  • kecekapan luar biasa
  • jarak pemanduan lebih jauh
  • boleh disesuaikan dengan pelbagai pasaran dunia dari Amerika Latin, Eropah hingga Asia Tenggara

Kini digunakan pada model produksi utama, SHS menegaskan komitmen OJ untuk menjadikan mobiliti elektrik lebih praktikal dan relevan dengan kehidupan harian.

Super Hybrid Marathon

Menjelang Beijing Auto Show 2026, OJ turut menganjurkan pemanduan jarak jauh Super Hybrid Marathon pada 25-26 April 2026.

Konvoi ini melibatkan wakil media daripada sembilan pasaran utama merentasi laluan sepanjang 625 km, terdiri daripada J5 HEV, Omoda 5 HEV dan Jaecoo J7 HEV.

Perjalanan bermula dari Wuhu melalui Tasik Chaohu dan Huoshan, sebelum bermalam di Doushahe Hot Spring Town dan kembali melalui lebuh raya sejauh 309 km.

Pencapaian di Malaysia & peringkat global

Di Malaysia, OJ telah menjual lebih 17,800 unit kenderaan untuk tahun 2025, dengan pertumbuhan sebanyak 153 peratus tahun ke tahun dan dijangka melepasi 25,000 unit kumulatif sejak debut pada 2024.

Di peringkat global:

  • OJ berkembang pesat di 16 pasaran Eropah dan jualan melebihi 220,000 unit dalam tempoh dua tahun
  • raih lebih 2 peratus pegangan pasaran dalam tempoh 9 bulan di UK, dan masuk kelompok 10 teratas dalam 17 bulan
  • muncul sebagai jenama paling dikenali pengedar di Sepanyol dengan skor kepuasan 9.9/10 (kajian VCON 2025)

Lebih daripada sekadar jenama automotif

OJ kini bukan sekadar sebuah pengeluar automotif.

Bertempat di Beijing Auto Show 2026, jenama itu turut mempamerkan teknologi baharu seperti:

  • robot humanoid Mornine yang dibangunkan bersama pasukan AiMOGA
  • Valet Parking Driver (VPD) membolehkan kereta mencari petak parkir sendiri

 

BYD Yuan Plus (Atto 3) 2026 tampil di China!

BYD Yuan Plus yang juga dikenali sebagai Atto 3 merupakan salah satu model global BYD yang paling popular dengan rekod jualan melebihi 1.1 juta unit di 116 pasaran seluruh dunia.

Pameran Auto Beijing menyaksikan kemunculan sulung bagi generasi ketiga Yuan Plus yang membawakan reka bentuk tajam serta teknologi pengecasan FLash.

Model ini turut dilengkapi dengan sistem pemanduan automatik bantuan LiDAR dan God’s Eye serta kabin pintar.

Reka Bentuk Luaran dan Estetika Yuan Plus

Reka bentuk Yuan Plus baharu menggunakan jarak roda yang lebih panjang berbanding model generasi kedua dengan aplikasi golden ratio antara struktur badan dan kawasan kaca.

Garisan karakter yang diinspirasikan landskap bandar menghiasi bahagian sisi manakala tiang-D mencipta kesan bumbung terapung.

Luaran model ini turut dilengkapi pemegang pintu separa tersembunyi dan lampu belakang LED reka bentuk baharu yang memberikan kesan tiga dimensi.

Logo bahagian belakang juga bercahaya bagi menyerupai lambang tenaga yang terbentuk daripada gugusan bintang yang bertumpu.

Ruang Kabin dan Kemudahan Dalaman

Bahagian dalaman membawakan gabungan elemen barangan sukan yang kuat dan perabot rumah yang lebih lembut.

Stereng dua jejari baharu menggunakan butang dengan profil cekung bagi meningkatkan mutu sentuhan serta kebolehgunaan.

Sistem ini membolehkan penukaran gear dilakukan tanpa perlu melepaskan tangan daripada stereng.

Kabin dilimpahi cahaya semula jadi melalui bumbung kaca panoramik yang luas dan terdapat  39 ruang penyimpanan di seluruh kereta termasuk but belakang berkapasiti 750 liter.

Selain itu but hadapan berkuasa elektrik berkapasiti 180 liter boleh dibuka dengan satu sentuhan mudah bagi memudahkan pengguna apabila tangan penuh dengan barang belian.

Ciri Premium dan Teknologi

Yuan Plus dilengkapi sistem audio 16 pembesar suara dan tempat duduk penumpang hadapan khas dengan fungsi baring tambahan untuk berehat semasa perjalanan jauh.

Model ini turut dilengkapi peti sejuk berkuasa penyaman udara yang boleh memanaskan dan mendinginkan barangan.

Pengecasan telefon tanpa wayar pula adalah sebesar 50W. Kemudahan lain termasuk pengecasan USB Type-C 60W dan pencahayaan ambien 256 warna.

Rangkaian Kuasa Yuan Plus

Yuan Plus dibekalkan Bateri Blade Genersi Ke-2 dengan kapasiti 57.545 kWj dan 68.547 kW dan menggunakan sistem pacuan roda belakang.

Output kuasa maksimum yang dihasilkan adalah 200 kW (272 ps) atau 240 kW (327 ps). Model ini juga boleh menggunakan teknologi baharu Pengecas Flash BYD.

Jarak gerak gabungan CLTC pula adalah sejauh 540 km atau 630 km.

Spesifikasi BYD Yuan Plus (Atto 3) Generasi Ke-3

  • Dimensi: Panjang 4,665 mm Lebar 1,895 mm Tinggi 1,675 mm
  • Jarak roda: 2,770 mm
  • Saiz roda: 18 atau 19 inci
  • Jenis pacuan: Pacuan roda belakang
  • Rangkaian kuasa: EV
  • Kuasa maksimum: 200 kW (272 ps) atau 240 kW (327 ps)
  • Jenis bateri: Bateri Blade Genersi Ke-2
  • Kapasiti bateri: 57.545 kWj atau 68.547 kWj
  • Jarak gerak gabungan CLTC: 540 km atau 630 km
  • Suspensi: MacPherson strut (depan) dan five-link (belakang) dengan DiSus-C Intelligent Damping

Auto China 2026: Chery Tiggo V buat penampilan sulung

Bertempat di Auto China 2026 di Beijing, Chery Group memperlihatkan model SUV baharu Tiggo V kepada umum.

Ia merupakan SUV keluarga pertama Chery yang boleh diubah bentuknya berdasarkan keperluan semasa.

Tiggo V turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm dan kemampuan meredah air sedalam 700 mm.

Pakej tiga-dalam-satu

Chery Tiggo V menggabungkan kestabilan SUV, keselesaan MPV dan praktikaliti trak pikap dalam satu pakej yang lengkap.

Menurut Chery, ‘V’ pada Tiggo V itu merujuk kepada tiga nilai iaitu:

Dengan jarak roda sepanjang 2,800 mm, Tiggo V menawarkan ruang kabin luas dengan konfigurasi tiga baris dan tujuh tempat duduk.

Selain boleh dilaras kedudukannya, tempat duduk baris kedua juga boleh dilipat untuk pelbagai konfigurasi, termasuklah mod katil.

Ruang kabin pula menempatkan sehingga 42 ruang storan, corong pendingin hawa untuk ketiga-tiga baris, kawalan iklim dua-zon automatik, serta sistem penapisan udara kabin N95 PM0.3.

Ubah jadi trak pikap

Tidak cukup dengan itu, Tiggo V boleh diubah menjadi sebuah trak pikap!

Dengan struktur belakang boleh ditanggalkan dengan mudah, Tiggo V boleh menyediakan ruang kargo yang lebih besar, ditambah pula dengan bukaan pintu yang lebar.

Terdapat juga sokongan untuk aksesori seperti khemah bumbung serta ruang storan tambahan untuk disesuaikan dengan pelbagai aktiviti luar.

Sistem Chery Super Hybrid

Tiggo V dipacu dengan unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) generasi ke-6 yang menawarkan pemanduan yang lancar dan prestasi responsif.

Versi plug-in hybrid (PHEV) menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 6 liter/100 km.

Versi enjin pembakaran dalaman tulen (ICE) pula menawarkan 7.84 liter/100 km.

Keselamatan

Chery Tiggo V menampilkan struktur binaan badan yang diperbuat daripada 76 peratus aluminium dan keluli berkekuatan tinggi.

Aspek keselamatan dibantu dengan sistem ADAS merangkumi:

  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Parkir Automatik (APA)
  • Bantuan Parkir Kawalan Jauh (RPA)

Ini bukan Aston Martin klasik, tetapi Mazda MX-5 NC tahun 2007

Sekilas pandang, kereta roadster ini nampak seperti ia keluar daripada kilang pengeluaran Aston Martin di Gaydon, United Kingdom. Walau bagaimanapun, tersembunyi di sebalik rekaan bergaya ini adalah sebuah Mazda MX-5/Miata Sport generasi ketiga (NC) keluaran tahun 2007.

Inspirasi daripada DB5

Seperti yang boleh dilihat, MX-5 ini direka semula sepenuhnya, dengan pengaruh yang kuat daripada Aston Martin DB5. Bahagian hadapannya menampilkan sepasang lampu bulat, skup pada bahagian bonet, serta gril signatur jenama British itu.

Di belakang pula, terdapat empat lampu berbentuk bulat serta sepasang muncung ekzos yang keluar daripada bahagian tengah bampar. Penampilan klasik MX-5 ini dilengkapkan dengan rim 16 inci dengan kemasan krom yang kelihatan tidak ubah seperti rim Borrani yang digunakan pada DB5.

Tidak cukup dengan itu, logo Mazda digantikan dengan logo Aston Martin, manakala nombor plat pula tertera ‘DB 007’, satu penghormatan kepada James Bond yang menggunakan DB5 dalam filem Goldfinger.

Ruang dalaman juga klasik

Ruang dalaman turut diberi wajah baharu, dengan kemasan kayu pada papan pemuka dan konsol tengah, serta stereng kayu klasik Nardi, lengkap dengan logo Aston Martin.

Namun begitu, di bawah bonet, enjin asal 2.0-liter empat silinder dikekalkan. Enjin tersebut menghasilkan 166 hp dan 190 Nm, disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik enam kelajuan. Setakat ini, odometer menunjukkan bacaan sekitar 26,000 batu (kira-kira 41,842 km).

Sambutan agak popular

Direka oleh Simpson Design dari Washington, MX-5 unik ini boleh menjadi milik anda memandangkan ia kini dibuka untuk bidaan menerusi laman web Bring a Trailer.

Semakan pada laman web berkenaan menunjukkan kereta ini mendapat sambutan yang agak memberangsangkan daripada peminat, dengan bidaan terkini USD20,500 (RM81,270).

Hongqi bakal masuk Malaysia menerusi Quill Group – CKD, pelancaran menjelang pertengahan 2026

Quill Group telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FAW Group, menyaksikan kumpulan itu dilantik sebagai pengimport rasmi dan pengedar kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi jenama automotif mewah China, Hongqi.

Kerjasama strategik ini membuka laluan kepada Hongqi untuk menembusi pasaran kenderaan ultra-mewah dan kenderaan elektrik (EV) premium di Malaysia.

Bakal lancar menjelang pertengahan tahun ini

Hongqi, yang bermaksud “Bendera Merah,” terkenal sebagai kenderaan rasmi pemimpin negara China dan melambangkan kebanggaan industri automotif negara itu. Jenama ini dijangka dilancarkan secara rasmi di Malaysia menjelang pertengahan tahun 2026.

Melalui MoU ini, Quill Group akan bertindak sebagai rakan strategik dan pengedar utama, di samping menerajui aspek pengimportan, operasi CKD, serta pelantikan pengedar sah di seluruh negara.

Quill Group manfaat kepakaran untuk pemasaran dan sokongan perkhidmatan

Pengarah Urusan Quill Group, Dato’ Dr. Jennifer Low berkata pelantikan ini mencerminkan keyakinan Hongqi terhadap kepakaran korporat Quill Group serta potensi pasaran Malaysia.

“Dengan memanfaatkan kepakaran korporat luas Quill Group serta komitmen terhadap kecemerlangan, kami akan memperkukuh keyakinan pengguna melalui program pemasaran yang komprehensif, sokongan perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh tanpa kompromi, serta ketersediaan alat ganti yang lancar,” katanya.

Model apa yang bakal dilancar?

FAW Group kini mengeksport kenderaan Hongqi ke lebih 87 negara dan wilayah di seluruh dunia. Pelaksanaan operasi CKD di Malaysia turut mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan industri automotif tempatan serta kedudukan strategik negara dalam rantau ASEAN.

Maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi, barisan model awal dan rangkaian pengedar akan diumumkan dalam masa terdekat.

Leapmotor T03 LCV 2026, EV kompak komersial alternatif diesel mahal!

Situasi geopolitik global dan peperangan yang berlarutan telah menyebabkan harga diesel melonjak tinggi sekali gus membuktikan betapa rapuhnya ekosistem bahan api fosil ketika ini.

Kesan rantaian ini mengakibatkan kos logistik barangan keperluan menjadi semakin mahal bagi pemain industri.

Sebagai jalan keluar, beralih kepada kenderaan elektrik (EV) dilihat sebagai langkah paling ampuh.

Di Eropah, trend ini menjadi lebih menarik apabila kereta kompak boleh diubah suai menjadi kenderaan komersial untuk kegunaan profesional.

Leapmotor T03 LCV

Leapmotor memperluaskan portfolio EV mereka melalui pelancaran Leapmotor T03 LCV.

Berbanding dengan pasaran tempatan yang diisi dengan SUV elektrik B10 dan C10, Leapmotor di Eropah mempunyai kereta kompak T03.

Menggunakan nama LCV bermakna model ini diubah suai kepada kenderaan komersial ringan elektrik yang dibangunkan khusus untuk keperluan logistik.

Keperluan Logistik Last-Mile

Dengan peraturan emisi yang semakin ketat dan peluasan zon rendah emisi, Leapmotor melihat peluang pasaran yang jelas untuk kenderaan komersial kompak yang praktikal.

Dibangunkan daripada model penumpang T03, varian LCV ini telah diubah suai sepenuhnya untuk kegunaan profesional.

Model ini mengekalkan dimensi luaran yang kecil namun memiliki ruang kargo dengan isipadu 657 liter.

Pelanggan ditawarkan dengan satu konfigurasi badan tertutup dalam tiga pilihan warna iaitu Caribbean Blue, Light White dan Canopy Grey.

Rangkaian Kuasa Leapmotor T03 LCV

  • Motor elektrik: 70 kW (95 ps)
  • Tork maksimum: 158Nm
  • Kapasiti bateri: 37.3 kWj
  • Jarak gerak WLTP: Sehingga 256 km
  • Pengecasan AC: Sehingga 6.6 kW
  • Pengecasan pantas DC: Sehingga 45 kW
  • Masa cas DC (30–80%): Kira-kira 36 minit

Ruang Kargo dan Dimensi

Rekaan T03 LCV mengimbangi saiz kompak untuk pemanduan di lorong sempit dengan kapasiti muatan yang munasabah untuk operasi harian:

  • Panjang: 3,620 mm
  • Lebar: 1,652 mm
  • Tinggi: 1,577 mm
  • Isipadu kargo: 657 liter
  • Beban maksimum: Sehingga 220 kg

Sebagai perbandingan, bayangkan Perodua Axia dijadikan kenderaan komersial begini malah T03 sebenarnya lebih pendek dan langsing berbanding model kompak tersebut.

Teknologi dan Ciri Keselamatan

Walaupun berorientasikan komersial, aspek keselesaan dan teknologi tetap diutamakan.

Kabin dilengkapi kluster instrumen digital 8 inci dan skrin sentuh pusat 10.1 inci.

Perkhidmatan digital merangkumi navigasi dalam talian, ketersambungan 4G, kawalan suara serta kemas kini over-the-air.

Pemilik juga boleh menggunakan Leapmotor App untuk pengurusan jarak jauh bagi pengecasan, kawalan suhu dan status kenderaan.

Dari segi keselamatan, T03 LCV dilengkapi beg udara hadapan, sisi dan tirai serta sensor parkir belakang dengan kamera undur.

Ia turut hadir dengan sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang lengkap.

Ini termasuk Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Detection, Intelligent Speed Assist, Driver Drowsiness Detection dan Advanced Driver Distraction Warning.

Harga dan Ketersediaan

Proses akhir pengeluaran T03 akan dijalankan di Kilang Mirafiori yang terletak di Turin, Itali.

Pesanan akan mula dibuka pada April 2026 untuk negara-negara Eropah yang terlibat dalam pelancaran awal.

Harga Leapmotor T03 LCV bermula daripada 14,590 euro atau kira-kira RM67,887 tidak termasuk cukai VAT.

Spesifikasi Leapmotor T03 LCV

  • Motor elektrik: 70 kW (95 ps)
  • Tork: 158Nm
  • Bateri: 37.3 kWj
  • Jarak gerak: 256 km
  • Masa pengecasan DC: 36 minit (30–80%)
  • Dimensi: Panjang 3,620 mm, lebar 1,652 mm dan tinggi 1,577 mm.
  • Isipadu kargo: 657 liter
  • Beban maksimum: 220 kg
  • Ciri keselamatan: Beg udara hadapan, sisi dan tirai, kamera undur, sensor parkir, ADAS
  • Teknologi kabin: Skrin sentuh 10.1 inci, instrumen digital 8 inci, ketersambungan 4G, kemas kini OTA
  • Harga: Bermula €14,590 (kira-kira RM67,887)

Yamaha TMAX Tech Max 2026 hadir dengan warna Crystal Graphite – harga RM75,888

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd mengumumkan penawaran warna baharu Crystal Graphite untuk Yamaha TMAX Tech Max 2026.

Skuter maxi dengan warna baharu ini ditawarkan pada harga RM75,888 tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans.

Spesifikasi asas tidak berubah

Yamaha TMAX Tech Max masih dipacu dengan enjin dua silinder 562 cc DOHC sejukan cecair dengan kuasa 46.9 hp @ 7,000 rpm dan 55 Nm @ 5,250 rpm.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Ia turut dilengkapi dengan beberapa ciri premium seperti:

  • kawalan jelajah
  • sistem kawalan cengkaman (TCS)
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • Unit kawalan komunikasi (CCU) yang serasi dengan aplikasi Y-Connect

Tangki bahan api berkapasiti 15 liter sementara tinggi pelana pula sekitar 800 mm.

Selain warna Crystal Graphite, pembeli masih boleh mendapatkan warna Ceramic Grey.

Pusat 3S Isuzu Autoexec Corporation Kuala Lumpur mula beroperasi

Isuzu Malaysia mengumumkan pembukaan rasmi Pusat 3S Autoexec Corporation, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Terletak berhampiran dengan Pusat Dagangan Dunia KL, lokasinya mudah diakses untuk pelanggan mencari kenderaan Isuzu yang ideal.

Pembukaan Pusat 3S Isuzu Autoexec Corporation Jalan Tun Razak yang baharu ini juga menandakan perpindahan serta pengembangan operasi dari cawangan 1S sebelum ini yang terletak di Jalan Semarak.

Ini merupakan cawangan ketiga Isuzu yang dikendalikan oleh Autoexec Corporation di Kuala Lumpur.

Sempena majlis perasmian, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, “Pembukaan Pusat 3S Isuzu ini dijangka akan meningkatkan lagi minat terhadap barisan produk kami yang mempunyai tarikan khusus bagi pengguna di kawasan bandar.

“Saya percaya bahawa kenderaan Isuzu turut mampu memenuhi keperluan pengguna urban,” kata Yamaguchi.

Pembukaan Pusat 3S baharu ini juga sangat bertepatan dengan pengenalan model Isuzu D-Max 2.2 liter turbodiesel baharu yang turut ditawarkan dalam varian Single Cab Automatic pertama di Malaysia.

Fasiliti ini menawarkan kemudahan seperti ruang pameran utama dengan teknologi digital, ruang serahan kenderaan pelanggan, ruang menunggu serta sudut cenderahati.

Ia turut menawarkan sokongan selepas jualan termasuklah servis untuk trak pikap dan trak komersial.

Pusat 3S ini beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

Zeekr 8X: SUV PHEV dengan seni bina 900V, harga bermula RM190k di China

Zeekr baru-baru ini melancarkan model baharu 8X untuk pasaran China, sebuah SUV plug-in hybrid (PHEV) saiz penuh.

Diposisikan di bawah model 9X, Zeekr 8X dijual pada harga bermula dari 329,800 yuan (RM191 ribu) sementara model paling premium pula berharga 473,800 yuan (RM275 ribu).

Spesifikasi & Teknologi

Zeekr 8X dibina berdasarkan platform super hibrid Haohan-S 900V yang turut dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo dan konfigurasi dua atau tiga motor elektrik.

Versi dwi-motor mampu menghasilkan kuasa 885 hp dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat.

Varian tiga motor elektrik pula berupaya menghamburkan kuasa setinggi 1,381 hp, membolehkannya memecut sepantas 2.96 saat dari 0-100 km/j.

Bateri 70 kWh pula membenarkan jarak pandu sifar emisi sejauh 410 km, dengan jarak keseluruhan mampu mencecah 1,416 km.

Teknologi pengecasan pantas 6C pula membolehkan bateri dicas 20-80 peratus dalam masa hanya 9 minit.

Pemanduan

Zeekr 8X menggunakan sistem casis digital terkini yang dipadankan dengan suspensi udara adaptif dan kawalan redaman aktif.

Sistem ini turut menyokong agihan daya kilas pantas dan larasan ketinggian boleh ubah.

Tidak ketinggalan, bantuan pemandu termaju yang disokong oleh unit LiDAR dan cip pemprosesan berkembar Nvidia Drive Thor-U dengan kemampuan memproses sehingga 1,400 TOPS.

Sistem ini menyokong bantuan navigasi lebuh raya dan fungsi parkir automatik.

Dimensi

Zeekr 8X membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,100 mm, lebar 1,998 mm, tinggi 1,780 mm dengan jarak antara roda 3,069 mm.

Biarpun lebih kecil berbanding model 9X, Zeekr 8X masih lagi dikategorikan sebagai SUV saiz penuh.

SUV ini turut mengekalkan bahasa rekaan terkini Zeekr, dengan ciri seperti jeriji depan besar menegak, lampu hadapan berasingan dan juga unit LiDAR pada bumbung.

Kabin

Ruang kabin Zeekr 8X didatangkan dengan ciri seperti berikut (bergantung kepada varian):

  • skrin kluster digital 13.02 inci untuk pemandu
  • skrin paparan head-up 44 inci
  • skrin infohibur 16 inci dengan resolusi 3.5K
  • skrin penumpang sebagai opsyen
  • skrin bumbung 17 inci 3K OLED
  • sistem audio Naim dengan 29 pembesar suara dan ciri Dolby Atmos
  • tempat duduk gaya aviasi

Kapasiti kargo pula mampu mencapai sehingga 2,200 liter.

Perodua, UTM jalin kerjasama laksana Program Kejuruteraan xEV

Perodua baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pelaksanaan Program Kejuruteraan xEV Perodua-UTM.

Kolaborasi strategik selama lima tahun ini memfokuskan kepada pemerkasaan modal insan dan penyelidikan teknologi kenderaan elektrik (xEV).

Program khas di bawah seliaan Perodua

Seramai 10 hingga 15 pelajar cemerlang daripada program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian akan dipilih setiap tahun untuk program khas ini.

Program selama satu tahun setengah ini akan bermula pada semester kedua tahun ketiga pengajian.

Antara manfaat yang bakal diterima oleh pelajar yang menyertai program ini ialah:

  • Peluang untuk menjalani latihan industri di Perodua selama 10 minggu
  • Peluang memperoleh pensijilan antarabangsa Tahap 3 daripada Institute of the Motor Industry (IMI)
  • Projek Sarjana Muda (FYP) akan diselia secara bersama oleh jurutera pakar Perodua

Perodua sumbang 2 QV-E untuk tujuan pembelajaran

Sebagai sokongan kepada program tersebut, Perodua akan menyumbangkan peralatan teknikal untuk digunakan di Makmal Kejuruteraan xEV Perodua-UTM.

Tidak cukup dengan itu, dua unit EV Perodua QV-E akan turut disumbangkan untuk tujuan pembelajaran praktikal.

Pelaburan jangka panjang

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Abdul Rahim menyifatkan kolaborasi ini sebagai anjakan paradigma dalam merapatkan jurang antara akademik dan keperluan industri.

“Melalui penubuhan Makmal Kejuruteraan xEV Perodua-UTM yang dilengkapi peralatan canggih, graduan kami akan memiliki kelebihan daya saing yang tinggi.

“Integrasi kursus elektif kejuruteraan kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam kurikulum dan akses kepada teknologi simulasi terkini seperti sistem Hardware in the Loop (HIL) pula akan menjadikan graduan UTM sentiasa relevan dan ‘future-ready‘,” jelas beliau.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, inisiatif itu adalah langkah proaktif syarikat dalam membina ekosistem xEV yang mampan serta kompetitif di peringkat global.

“Kerjasama ini bukan sekadar pemindahan teknologi, malah ia adalah pelaburan jangka panjang untuk melahirkan jurutera ‘masa hadapan’ yang mahir dalam kejuruteraan EV.

“Dengan bimbingan terus daripada jurutera kami, pelajar akan didedahkan kepada realiti sebenar industri automotif moden,” katanya.

Porsche Cayenne 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga dari RM609k

Porsche Malaysia mengumumkan ketibaan model SUV Porsche Cayenne versi pemasangan tempatan (CKD) yang dinaik taraf untuk tahun 2026.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Porsche Cayenne 2026: RM609,000
  • Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé 2026: RM739,000

Porsche Cayenne 2026

Porsche Cayenne 2026 kini diberikan rim RS Spyder 21 inci secara standard, diikuti dengan penawaran warna baharu Arctic Grey.

Warna tersebut pertama kali diperkenalkan pada model 718 Cayman GT4 RS dan ia ditawarkan sebagai opsyen untuk model 911.

Warna lain tersedia termasuklah:

  • Carrara White Metallic
  • Chromite Black Metallic
  • Quarzite Grey Metallic

Keupayaan digital turut diperingkatkan dengan perkhidmatan Porsche Connect yang kini menawarkan tempoh sehingga 10 tahun.

Ia membolehkan pemandu mendapat akses kepada sistem navigasi, maklumat masa nyata, serta perkhidmatan jarak jauh menerusi aplikasi tersedia.

SUV ini dipacu oleh enjin 3.0 liter turbo V6 menghasilkan 353 PS dan 500 Nm.

Antara kelengkapan lain termasuklah:

  • Porsche Active Suspension Management (PASM)
  • skrin digital 12.6 inci
  • skrin tengah Porsche Communication Management (PCM) 12.3 inci
  • ruang kargo sebesar 772 liter-1,708 liter

Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé 2026

Turut dilancarkan untuk pasaran Malaysia ialah SUV coupé hybrid dengan garis bumbung ala 911 dan rim RS Spyder 21 inci.

Tidak seperti Cayenne biasa, versi coupé ini didatangkan dengan gandingan enjin V6 dan motor elektrik 177 PS, menghasilkan kuasa keseluruhan 519 PS.

Pakej Exclusive Manufaktur

Pelanggan juga boleh mendapatkan pakej Exclusive Manufaktur untuk menyerlahkan lagi karakter dinamik kedua-dua SUV ini.

Antara ciri yang ditawarkan:

  • perumah lampu belakang LED yang lebih gelap berserta jalur cahaya
  • cermin sisi warna badan
  • pakej kit badan Sport Design
  • lampu logo Porsche pada pintu
  • ukiran Porsche Crest pada perehat tangan konsol tengah
  • kunci eksklusif

Castrol umum tajaan dalam Cub Prix, lancar minyak enjin Power1 Ultimate Scooter 10W-40

Castrol Malaysia umum perluasan penajaan dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia MAM menerusi program perlumbaan bersama Yuzy Racing.

Pada masa sama, mereka turut memperkenalkan minyak enjin baharu Castrol POWER1 ULTIMATE Scooter 10W-40.

Ia menegaskan komitmen berterusan Castrol terhadap kejuruteraan prestasi untuk perlumbaan dan mobiliti harian.

Tajaan dalam Cub Prix

Bersama Yuzy Racing, penajaan Castrol merangkumi dua kelas utama iaitu CP150 (tiga jentera) dan CP125 (satu jentera).

Joshua Tan, Ketua Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina berkata, Cub Prix merupakan platform perlumbaan dua roda paling kompetitif di negara ini.

“Dengan memperluas penajaan ke CP150 dan CP125, kami mengukuhkan kehadiran dalam persekitaran yang benar-benar menguji prestasi, sambil menyokong pasukan dan bakat baharu yang memacu kejuaraan,” katanya.

Minyak enjin skuter baharu

Pihak Castrol turut melancarkan Castrol Power1 Ultimate Scooter 10W-40, minyak enjin sintetik penuh premium untuk skuter.

Dengan teknologi Full Synthetic 5-dalam-1, ia menawarkan operasi enjin lebih lancar serta perlindungan haba dan kehausan dalam situasi sebenar seperti kesesakan trafik dan perjalanan jauh.

Selain itu, minyak enjin ini membantu mengekalkan perlindungan konsisten untuk tunggangan dalam bandar yang lebih lama.

Gan Wee Kiong, Pengarah Jualan Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina berkata, “Apa yang kami pelajari dalam sukan permotoran membantu kami membangunkan produk lebih baik untuk penunggang harian.

“Dengan segmen skuter yang terus berkembang, Power1 Ultimate Scooter hadir sebagai penyelesaian yang memenuhi keperluan prestasi dan standard kualiti pasaran Malaysia,” jelasnya.

Produk tersebut kini dalam fasa akhir kelulusan peraturan dan dijangka dipasarkan mulai Mei 2026 selepas pensijilan SIRIM.

Ia sudah pun dalam proses pengeluaran di fasiliti Castrol di Pelabuhan Klang.

Mercedes-Benz C-Class EV 2027 tawar jarak pandu 762 km tanpa imej ‘telur’ EQS & EQE

Ucapkan selamat datang kepada Mercedes-Benz C-Class Electric, jawapan dan pesaing terus kepada sedan elektrik BMW i3.

Nama EQ tidak lagi digunakan untuk merujuk kepada penawaran model EV, malah imej ‘telur’ yang wujud pada sedan EQS dan EQE juga lesap habis.

Luaran

Sekali imbas, anda boleh bayangkan sebuah GLC Electric yang tampil dalam bentuk badan sedan.

C-Class EV ini membawakan rekaan jeriji retro moden yang diinspirasikan daripada model klasik (W111 & W108) serta konsep Vision Iconic.

Untuk lebih menonjol, Mercedes memadankan 1,050 lampu piksel pada struktur tersebut.

Motif bintang juga turut dikekalkan pada bahagian depan dan belakang, diikuti 162 bintang bercahaya pada bumbung kaca panoramik.

Secara keseluruhan, C-Class EV mempunyai angka pekali seretan 0.22 Cd.

Ruang kabin

Untuk sedan elektrik ini disediakan dengan dua pilihan skrin lebar:

  • Hyperscreen bersaiz 39.1 inci
  • Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster 10.3 inci dan dua skrin 14 inci

Varian asas pula hadir dengan skrin kluster digital pemandu dan skrin infohibur tengah, manakala skrin penumpang digantikan dengan panel animasi digital (atau rangka gambar digital).

Antara ciri lain termasuklah kaca tingkap berlamina, sistem pendingin hawa yang lebih senyap dan penebat tambahan untuk ruang kabin yang lebih selesa.

Dengan platform EV baharu, C-Class EV mampu menawarkan jarak roda 97 mm lebih panjang, menjadikannya C-Class yang paling luas.

Ruang kargo belakang adalah sebesar 470 liter, diikuti dengan ruang frunk sebesar 101 liter.

Jarak pandu cecah 762 km

Untuk permulaan, C-Class EV ditawarkan dalam varian C400 4Matic yang dipacu motor elektrik berkembar 482 hp/800 Nm.

Ia dipadankan dengan pek bateri 94.5 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 762 km (data WLTP).

Sedan elektrik ini turut menyokong pengecasan pantas DC 330 kW, membolehkan jarak 325 km dicapai dalam tempoh 10 minit sahaja.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 209 km/j.

Terdapat juga perancangan untuk memperkenalkan varian RWD dengan jarak pandu sekitar 800 km.

Aspek pemanduan

C-Class Electric ini dilengkapi dengan sistem stereng gandar belakang (sehingga 4.5 darjah) bertujuan untuk mengurangkan radius putaran kepada 11.2 meter.

Ia juga turut berguna untuk kestabilan kenderaan sewaktu pemanduan berkelajuan tinggi.

Selain itu, Mercedes bakal menawarkan opsyen suspensi udara adaptif dengan ramalan redaman menggunakan data Google Maps dan maklumat masa nyata untuk mengesan permukaan jalan.

Bilik pameran Mitsubishi Motors Miri dinaik taraf jadi pusat 4S

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bilik pameran sedia ada di Miri telah berpindah dan dinaik taraf menjadi pusat 4S serba baharu.

Dengan keluasan 21,669 kaki persegi, pusat 4S ini menghimpunkan semua keperluan jualan dan selepas jualan di bawah satu bumbung.

Fasiliti yang lengkap dengan imej korporat global Mitsubishi Motors ini turut menawarkan kemudahan seperti:

  • ruang pameran kenderaan yang luas
  • ruang rehat pelanggan yang selesa, lengkap dengan hidangan ringan
  • 13 ruang servis
  • enam ruang badan & cat (B&P)

Pusat 4S ini dikendalikan oleh Auto Pacifica, rakan pengedar Mitsubishi Motors sejak tahun 2009 dan mempunyai rangkaian di Miri, Bintulu dan Kota Samarahan.

Takashi Sakamaki, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata, “pembukaan pusat 4S baharu ini bukan sekadar peluasan rangkaian, tetapi komitmen kami untuk lebih dekat dengan pelanggan dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

“Dengan adanya fasiliti ini, pelanggan boleh menikmati pengalaman pemilikan yang lebih mudah, lancar dan menyeluruh,” ujarnya lagi.

Pusat 4S Auto Pacifica Miri terletak di alamat Lot 4448, K.B.L.D. 17, Jalan Miri Bypass, Autocity Eastwood Town Centre, 9800 Miri, Sarawak.

Ia dibuka untuk pelanggan setiap Isnin-Sabtu jam 8.30 pagi-5.30 petang, dan Ahad dari jam 10.00 pagi-3.00 petang.

Hyundai Elantra N TCR Edition 2026 dan aksesori N Performance

Hyundai Motor America mengumumkan harga sedan berprestasi Hyundai Elantra N TCR Edition 2026.

Model terhad ini penghormatan kepada kejayaan Hyundai memenangi enam kejuaraan berturut-turut kategori Pengeluar TCR siri IMSA Michelin® Pilot Challenge.

Elantra N TCR Edition ditawarkan secara eksklusif dengan warna Performance Blue sebagai simbolik kepada warisan jenama Hyundai N.

Untuk rekod, generasi Elantra ini pernah memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2021 melalui Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM).

Ketika itu, ia ditawarkan dalam varian 1.6 Premium sebelum varian 1.6 Executive diperkenalkan pada harga RM139,888.

Sedan dari Korea Selatan ini digerakkan enjin 1.6 liter Smartstream yang menghasilkan 123 ps dan 154 Nm.

Ciri Eksklusif Elantra N TCR Edition

  • Sayap belakang gentian karbon swan neck rekaan TCR yang boleh dilaras
  • Rim aloi tempa 19 inci rekaan TCR warna hitam kilat
  • Angkup brek hadapan monoblok empat omboh
  • Lencana khas TCR Edition pada but belakang
  • Stereng balutan Alcantara dengan tanda tengah atas berwarna Performance Blue
  • Tombol gear, sarung gear, tuas brek tangan dan penyandar lengan konsol tengah daripada Alcantara
  • Tali pinggang keledar pemandu dan penumpang hadapan berwarna Performance Blue
  • Plat ambang pintu aluminium N Performance
  • Lampu permukan jalan khusus TCR

Perincian Harga dan Varian Elantra N TCR Edition

Hyundai Elantra N TCR Edition 2026 ditawarkan pada harga bermula USD39,250 (RM155,233) bagi model kotak gear manual.

Varian yang dilengkapi dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan bermula dari USD40,750 (RM161,166).

Komponen N Performance (IONIQ 5 N dan Elantra N)

Hyundai turut melancarkan barisan komponen N Performance baharu untuk IONIQ 5 N dan Elantra N di pasaran Amerika Syarikat.

Antara komponen yang ditawarkan termasuk:

  • Nat roda hitam N Performance
  • Alas kaki N
  • Plat ambang pintu besi
  • Penutup hab roda
  • Stereng Alcantara
  • Pelekat N Performance
  • Sayap belakang gentian karbon (khusus Elantra N)
  • Cermin sisi gentian karbon tanpa kamera (khusus Elantra N)
  • Tombol gear dan sarung gear Alcantara untuk transmisi manual atau automatik (khusus Elantra N)
  • Tuas parkir Alcantara (khusus Elantra N)
  • Penyandar lengan konsol tengah Alcantara (khusus Elantra N)
  • Rim aloi tempa 19 inci berwarna hitam pudar (khusus Elantra N)

Rangkaian Kuasa Elantra N

Hyundai Elantra N dikuasakan enjin 2.0 turbo dengan kuasa 276 ps dan meningkat sehingga 286 ps apabila fungsi N Grin Shift diaktifkan pada julat 5,500 hingga 6,000 rpm.

Tork yang dihasilkan adalah 392 Nm pada julat 2,100 hingga 4,700 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui pilihan transmisi manual enam kelajuan atau transmisi lapan kelajuan klac berkembar basah.

Spesifikasi Hyundai Elantra N 2026

  • Enjin 2.0L turbo suntikan terus Flat Power 4 silinder
  • Kuasa maksimum 276 ps atau 286 ps dengan N Grin Shift @ 5,500 hingga 6,000 rpm
  • Tork maksimum 392 Nm @ 2,100 hingga 4,700 rpm
  • Gerek dan lejang 86 x 86 mm
  • Nisbah mampatan 9.5:1
  • Sistem injap 16-valve Swing Arms MLA
  • Sistem ambilan TIS dan VIA
  • Sistem ekzos dengan outlet lubang besar
  • Sistem emisi WCC
  • Pacuan roda hadapan FWD
  • Transmisi manual 6 kelajuan atau N8 DCT
  • Mod manual SHIFTRONIC dengan pedal gear paddle shifters
  • Mod pemanduan Eco, Normal, Sport dan N Custom 1 dan 2
  • Rim aloi tempa 19 inci rekaan TCR
  • Angkup brek monoblok 4 omboh

Hyundai Elantra N TCR Edition

Komponen Hyundai N Performance