MG Motor Malaysia rai ulang tahun kedua dengan pertumbuhan positif Q1 2026
Bersempena dengan ulang tahun kedua, MG Motor Malaysia meraikan permukaan cemerlang bagi tahun 2026.
Sepanjang tempoh suku pertama tahun ini, MG Motor Malaysia berjaya menjual sebanyak 807 unit kenderaan.
Ini diterjemahkan kepada peningkatan 57 peratus berbanding suku keempat 2025, dan peningkatan 39 peratus berbanding suku pertama 2025.
Pencapaian ini mencerminkan minat pasaran yang berterusan serta keyakinan yang semakin meningkat terhadap jenama tersebut.
Selain itu, MG Cyberster turut dianugerahkan sebagai ‘Performance Car of The Year’ oleh MARii.
MGS5 EV CKD mula dijual
Pada bulan Mac, MG Motor mencatatkan satu pencapaian penting menerusi Majlis Pelancaran MGS5 EV versi pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka.
MGS5 EV versi CKD kini ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga RM116,900.
SUV elektrik ini mendapat naik taraf kuasa, di mana motor elektrik pacuan belakang mampu menjana kuasa sehingga 202 hp dan 350 Nm.
Selain itu, ciri lain termasuklah:
- pengecasan pantas DC 150 kW (10-80 peratus dalam 26 minit)
- tempat duduk hadapan kuasa elektrik dan fungsi ventilasi
- pek bateri 62 kWh
- jarak pandu sehingga 446 km (data WLTP)
- pintu tailgate berkuasa
- 7-beg udara SRS
- fungsi ADAS 2.5
Model ini sedia untuk tontonan dan pandu uji di semua bilik pameran MG, serta tampil dengan promosi khas bernilai RM9,000.
MG di KLIMS 2026
MG Motor Malaysia akan menyertai acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang bakal berlangsung tahun ini.
Naib Presiden Reka Bentuk Global SAIC Motor, Jozef Kaban juga akan turut hadir dan berkongsi pandangan tentang falsafah reka bentuk serta evolusi identiti reka bentuk global MG.
Melangkah ke depan, MG Motor Malaysia akan memperkukuh rangkaian serta keupayaan selepas jualan, seperti penambahan pusat 3S MG di Kuantan dan Pahang.
Dengan 11 pusat badan & cat di seluruh negara, MG akan memastikan pelanggan menerima sokongan selepas jualan yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi sepanjang tempoh pemilikan.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

