Arkib Kategori: BERITA

Toyota Crown facelift 2027 diperkenal dengan THS 5, Hybrid MAX 340hp dan gaya lebih premium

Toyota memperkenalkan Toyota Crown 2027 untuk pasaran Amerika Syarikat dengan pelbagai penambahbaikan membabitkan sistem hibrid, reka bentuk luaran, kemasan kabin serta teknologi bantuan pemanduan.

Menggabungkan keselesaan sebuah sedan premium dengan posisi pemanduan tinggi seperti crossover, Toyota Crown menawarkan kemewahan, prestasi dan kecekapan dalam satu pakej.

Bagi model 2027, varian XLE, Limited dan Nightshade kini menerima sistem Toyota Hybrid System generasi kelima (THS 5), manakala varian tertinggi Platinum menggunakan sistem Hybrid MAX yang lebih berkuasa.

Semua varian Toyota Crown 2027 turut dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD) sebagai kelengkapan standard.

Toyota Crown XLE, Limited dan Nightshade kini dengan THS 5

Perubahan utama Toyota Crown 2027 ialah penggunaan sistem Toyota Hybrid System generasi kelima (THS 5) pada varian XLE, Limited dan Nightshade.

Sistem ini menggabungkan enjin petrol 2.5 liter bersama dua motor elektrik melalui transmisi CVT.

Gabungan tersebut memberikan pecutan lebih lancar, respons pemanduan lebih baik serta kecekapan bahan api lebih tinggi.

Menurut Toyota, varian berkenaan mencatatkan anggaran penggunaan bahan api gabungan EPA sehingga 40 mpg ( 17.0 km/l, 5.88 l/100km)

Bagi meningkatkan pengalaman pemanduan, varian XLE, Limited dan Nightshade kini menerima pedal gear pada stereng sebagai kelengkapan standard.

Toyota Crown Platinum dengan Hybrid MAX 340hp

Bagi pelanggan yang mahukan prestasi lebih tinggi, Toyota Crown Platinum 2027 kekal menggunakan sistem Hybrid MAX.

Sistem ini menggabungkan enjin turbo 2.4 liter, motor elektrik dan transmisi automatik Direct Shift enam kelajuan.

Gabungan tersebut menghasilkan kuasa 340hp dan tork 542Nm.

Sistem Hybrid MAX dipadankan dengan sistem pacuan semua roda elektronik sepenuh masa bersama eAxle.

Sistem ini sentiasa melaras agihan kuasa antara roda hadapan dan belakang bagi meningkatkan cengkaman, kestabilan serta pengendalian.

Rekaan luaran lebih eksklusif

Toyota memberikan beberapa perubahan pada reka bentuk Crown 2027 dengan penampilan lebih premium.

Antara kemas kini termasuk:

  • Bampar belakang baharu
  • Kemasan hitam berkilat
  • Warna baharu Inked
  • Logo HEV dan AWD dengan kemasan Satin

Pilihan warna luaran Toyota Crown 2027 terdiri daripada Inked, Oxygen White, Bronze Age, Heavy Metal, Finish Line Red dan Storm Cloud.

Untuk varian Platinum, Toyota menawarkan:

  • Angkup brek merah
  • Kemasan bingkai tingkap hitam
  • Pilihan cat dua tona dengan bumbung hitam
  • Bahagian but belakang mengikut warna badan

Pilihan cat dua tona boleh dipadankan dengan warna Oxygen White, Heavy Metal, Finish Line Red atau Bronze Age.

Sementara itu, edisi Nightshade tampil dengan imej lebih gelap menerusi logo hitam baharu.

Kabin dengan kemasan premium

Bahagian dalaman Toyota Crown 2027 menerima pilihan warna baharu termasuk Saddle Tan.

Varian Limited kini menawarkan tempat duduk penuh warna Saddle Tan, manakala Platinum turut menerima pilihan warna sama.

Semua varian dilengkapi:

  • Tempat duduk kemasan kulit
  • Paparan meter digital 12.3 inci
  • Skrin Toyota Audio Multimedia 12.3 inci
  • Tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan pengudaraan
  • Tempat duduk belakang pemanas
  • Stereng pemanas
  • Penyaman udara dua zon
  • Pengecas telefon tanpa wayar Qi
  • Port USB-C

Varian Limited, Nightshade dan Platinum turut menerima bumbung panoramik tetap.

Sistem audio JBL Premium Audio 11 pembesar suara dengan subwufer belakang dan penguat lapan saluran menjadi standard untuk Limited, Nightshade dan Platinum.

Mod pemanduan

Toyota Crown 2027 menawarkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport dan Custom.

  • Mod Normal memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan bahan api.
  • Mod Eco membantu meningkatkan kecekapan sistem hibrid dengan mengawal tindak balas pedal minyak.
  • Mod Sport meningkatkan respons pendikit dan prestasi dinamik.
  • Mod Custom pula membolehkan pemandu melaras tetapan sistem kuasa, stereng dan penyaman udara.

Varian Platinum turut menerima mod Rear Comfort yang melaras tetapan suspensi untuk keselesaan penumpang belakang.

Suspensi dan sistem pengendalian

Toyota Crown 2027 menggunakan suspensi hadapan jenis MacPherson dan suspensi belakang pelbagai pautan.

Varian XLE, Limited dan Nightshade dilengkapi penyerap hentak Swing Valve Shock Absorbers.

Varian Platinum pula menggunakan sistem suspensi adaptif Adaptive Variable Suspension (AVS) yang ditala khas untuk sistem Hybrid MAX.

Teknologi Active Cornering Assist turut membantu mengurangkan gejala understeer ketika mengambil selekoh.

Dua sistem AWD mengikut varian

Toyota menyediakan dua jenis sistem pacuan semua roda untuk Crown 2027.

Varian XLE, Limited dan Nightshade menggunakan:

  • AWD Elektronik Mengikut Keperluan (Electronic On-Demand AWD)
  • Motor elektrik berasingan pada gandar belakang
  • Kuasa roda belakang diaktifkan apabila diperlukan
  • Sistem ini membantu meningkatkan cengkaman serta kestabilan ketika pemanduan.

Varian Platinum pula menggunakan:

  • AWD Elektronik Sepenuh Masa
  • eAxle
  • Agihan kuasa berterusan antara roda hadapan dan belakang

Teknologi multimedia dan sambungan

Semua Toyota Crown 2027 dilengkapi:

  • Skrin Toyota Audio Multimedia 12.3 inci
  • Kemas kini melalui udara (Over-the-Air/OTA)
  • Sambungan dua telefon Bluetooth
  • Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • Sistem audio enam pembesar suara (standard untuk XLE).

Toyota turut menawarkan perkhidmatan bersambung (Connected Services) seperti:

  • Safety Connect, Service Connect, Remote Connect dan selama lima tahun
  • Drive Connect selama tiga bulan
  • Wi-Fi Connect 30 hari atau 3GB

Dengan langganan aktif Remote Connect, pelanggan varian Limited dan Platinum boleh menggunakan fungsi Kunci Digital (Digital Key).

Ciri-ciri Crown 2027 mengikut varian

XLE

Toyota Crown XLE 2027 dilengkapi:

  • Sistem THS 5 2.5 liter
  • AWD Elektronik Mengikut Keperluan
  • Rim aloi 19 inci
  • Tempat duduk kulit
  • Tempat duduk hadapan dengan pemanas dan pengudaraan
  • Paparan meter digital 12.3 inci
  • Skrin multimedia 12.3 inci
  • Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • Pengecas tanpa wayar Qi
  • Pemantau Titik Buta (Blind Spot Monitor) dengan Amaran Trafik Lintasan Belakang
  • Pedal gear

Nightshade

Toyota Crown Nightshade menerima tambahan:

  • Rim 21 inci kemasan hitam kusam
  • Lencana gelap
  • Kemasan hitam pada tingkap, pemegang pintu, cermin sisi dan sirip jerung
  • Lampu hadapan LED Pelbagai-Jalur (Multi-Beam LED)
  • Bumbung panoramik tetap
  • Sistem audio JBL Premium Audio
  • Pengelap cermin automatik
  • Bantuan parkir hadapan dan belakang dengan brek automatik

Limited

Toyota Crown Limited menambah:

  • Rim aloi 21 inci
  • Bantuan Kesesakan Trafik
  • Kunci Digital
  • Pemantau Pandangan Panoramik (Panoramic View Monitor)
  • Bantuan Penukaran Lorong
  • Amaran Trafik Lintasan Hadapan
  • Lampu hadapan LED Pelbagai-Jalur (Multi-Beam LED)
  • Bumbung panoramik tetap
  • Sistem audio JBL Premium Audio
  • Pengelap cermin automatik
  • Bantuan parkir hadapan dan belakang dengan brek automatik

Platinum

Toyota Crown Platinum menerima:

  • Sistem Hybrid MAX
  • Kaliper brek merah
  • Kemasan bingkai tingkap hitam
  • Suspensi Boleh Laras Adaptif (Adaptive Variable Suspension / AVS)
  • Rim 21 inci dengan kemasan hitam
  • Paparan Pandu (Head-Up Display / HUD) 10 inci
  • Stereng pelarasan kuasa
  • Pintu but bebas tangan
  • Pembelokan Roda Belakang Dinamik (Dynamic Rear Steering)

Toyota Safety Sense 3.0

Semua Toyota Crown 2027 dilengkapi sistem keselamatan Toyota Safety Sense 3.0.

Sistem ini merangkumi:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (Pre-Collision System) dengan pengesanan pejalan kaki
  • Kawalan Jelajah Radar Dinamik Julat Kelajuan Penuh (Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control)
  • Amaran Penyimpangan Lorong (Lane Departure Alert) dengan bantuan stereng
  • Bantuan Jejak Lorong (Lane Tracing Assist)
  • Bantuan Isyarat Jalan
  • Lampu Tinggi Automatik
  • Bantuan Pemanduan Proaktif

Turut disediakan:

  • Pemantau Titik Buta (Blind Spot Monitor)
  • Amaran Trafik Lintasan Belakang
  • Amaran Keluar Selamat
  • Peringatan Tempat Duduk Belakang

Harga Toyota Crown 2027

Harga asas Toyota Crown 2027 di Amerika Syarikat adalah seperti berikut:

  • Toyota Crown XLE Hybrid AWD: USD41,640 (RM170,748)
  • Toyota Crown Nightshade Hybrid AWD: USD48,965 (RM200,365)
  • Toyota Crown Limited Hybrid AWD: USD49,720 (RM203,405)
  • Toyota Crown Platinum Hybrid MAX AWD: USD55,190 (RM225,832)

Harga tersebut tidak termasuk caj pengurusan dan pengendalian pengedar sebanyak USD1,295 (RM5,297).

Toyota Crown 2027 dikeluarkan di kilang Tsutsumi, Jepun dan meneruskan peranan sebagai model premium Toyota yang menggabungkan keselesaan sedan, gaya crossover serta teknologi hibrid generasi terkini.

Ekspedisi Discover Borneo Castrol rakam jiwa Malaysia Timur

Castrol Malaysia baru-baru ini menamatkan ekspedisi Discover Borneo merentas negeri Sabah dan Sarawak.

Konvoi selama 7 hari dari Kota Kinabalu ke Kuching meliputi jarak sejauh kira-kira 2,000 km melalui bandar-bandar utama seperti Sipitang, Lawas, Miri, Bintulu, dan Sibu.

Ekspedisi ini turut mendapat sokongan daripada Toyota Malaysia yang menyediakan Toyota Hilux dan Fortuner 4×4, serta King Diesel yang menyokong koordinasi perjalanan.

Rakam jiwa Malaysia Timur

Discover Borneo merupakan satu platform penceritaan untuk mengetengahkan naratif Malaysia Timur sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Sepanjang perjalanan, pasukan konvoi berjaya merakam komuniti, budaya, landskap dan cerita harian Malaysia Timur dalam bentuk dokumentari.

Selain itu, mereka juga menemukan jalan-jalan indah, pasar tempatan, interaksi komuniti, lokasi warisan dan pengalaman makanan.

Kesemua ini mencerminkan kepelbagaian Sabah dan Sarawak di luar laluan pelancongan biasa.

Demonstrasi mobiliti boleh diharap

Ekspedisi ini turut disokong oleh Castrol CRB Turbomax dengan Durashield™ Technology yang direka untuk melindungi enjin daripada haba, deposit dan kehausan.

Prestasinya terserlah sepanjang perjalanan jauh dengan keadaan cuaca panas lembap dan perlu menempuh pelbagai kondisi jalan di Malaysia Timur.

Konvoi tersebut turut singgah di bengkel Castrol Auto Service Sibu untuk pemeriksaan sebelum meneruskan perjalanan ke pedalaman Sarawak.

Bagi Castrol, ekspedisi ini menunjukkan bagaimana mobiliti yang boleh diharap membuka akses dan kesinambungan perjalanan dalam dunia mencabar.

Detik penting

Salah satu detik penting ialah kunjungan ke rumah panjang di Engkudu Atas, Sarikei.

Di situ, pasukan konvoi diperkenalkan dengan kraftangan rotan, alat muzik tradisional seperti engkromong, serta pelbagai hidangan Dayak.

Menurut Joshua Tan, Ketua Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina, “Sebagai anak Sarawak, Discover Borneo sangat dekat di hati.

“Di sini, 4×4 bukan sekadar untuk off-road, akan tetapi ia cara orang bekerja, bergerak dan berhubung.

Jelasnya lagi, pemanduan melebihi 2,000 km merentasi laluan yang paling mencabar ini memerlukan lebih daripada sekadar pelincir bagus, dan disinilah wujudnya peranan rangkaian Castrol Auto Service dan Castrol CRB Turbomax.

Discover Borneo akan diterbitkan sebagai siri dokumentari di Facebook, Instagram dan YouTube.

Kelibat prototaip Toyota GR MR2 dikesan di Fuji Speedway – nampak garang!

Ini mungkin sekali penampilan pertama model berprestasi tinggi terbaharu daripada Toyota Gazoo Racing.

Gambar yang muncul dalam akaun X @You_SuiKoyoAZ menampilkan sebuah model misteri yang dipercayai prototaip MR2 serba baharu sedang memecut di litar Fuji Speedway.

Ciri unik

Jentera tersebut membawakan bentuk coupe dua pintu, diikuti dengan rekaan fender lebar pada gandar depan dan belakang.

Unit lampu depan dan belakang pula diambil daripada Toyota GR Yaris facelift, sementara bahagian belakang pula menampilkan sayap belakang rekaan leher angsa.

Kehadiran liang penyejukan udara yang besar pada fender belakang mencadangkan jentera ini mempunyai tetapan enjin tengah.

Enjin serba baharu

“Toyota MR2” baharu ini bakal dipacu enjin empat silinder sebaris G20E serba baharu.

Enjin yang lebih kompak berbanding nadi 2.4 liter turbo sedia ada itu dijangka mampu menghamburkan kuasa 300 hp dan 400 Nm, dan boleh mencecah sehingga 400 hp/550 Nm dalam versi yang lebih berkuasa.

MR2 baharu ini dijangka tidak akan mengikut resepi asal MR2 yang menggunakan tetapan enjin tengah dan pacuan roda belakang.

Sebaliknya ia bakal menggunakan sistem pacuan semua roda yang dibantu dengan pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen depan dan juga belakang.

Barisan model GR semakin berkembang

Selain MR2, Toyota sebelum ini pernah memperlihatkan sebuah lagi model prototaip yang diuji ketika perlumbaan rali awal tahun lalu.

Model ujian tersebut dipercayai merupakan Celica serba baharu dengan spesifikasi rali yang disediakan untuk musim WRC 2027.

Berdasarkan laporan terdahulu, Toyota sememangnya sedang merancang untuk menghidupkan semula nama Celica.

Persoalannya, adakah “Celica baharu” ini bakal berkongsi resepi yang sama dengan MR2 baharu atau membawakan pendekatan yang berbeza?

Honda N-BOX 2026 facelift dengan kit badan Mugen, tampil lebih sporti!

Honda N-BOX 2026 mula dijual secara rasmi di Jepun selepas diperkenal pada 16 Julai lalu. Honda memberi tumpuan kepada penampilan dan penambahan pilihan varian baharu.

Antara perubahan utama ialah rekaan muka hadapan N-BOX Custom yang lebih garang.

Honda turut memperkenalkan varian khas BLACK STYLE untuk N-BOX JOY, selain pilihan warna bumbung dua tona baharu bagi N-BOX Fashion Style.

Kemasan cat badan juga dipertingkat menerusi penggunaan lapisan clear coat baharu yang memberikan permukaan lebih berkilat.

Honda N-BOX CUSTOM Turbo Coordinate Style 2026

Bersempena pelancaran model 2026, Mugen turut memperkenalkan kit badan, aksesori dan komponen prestasi untuk N-BOX dan N-BOX Custom.

Dari segi rangkaian kuasa, Honda N-BOX 2026 menggunakan enjin petrol tiga silinder 658 cc DOHC yang dipadankan bersama transmisi CVT.

Enjin aspirasi biasa (NA) menghasilkan 58 PS dan 65 Nm manakala varian turbo menghasilkan 64 PS dan 104 Nm.

Model ini ditawarkan dengan pilihan pacuan roda depan (FF) atau pacuan empat roda (4WD).

Konsep My Special BOX

Mugen membangunkan rangkaian aksesori ini berasaskan konsep My Special BOX.

Konsep tersebut memberi lebih banyak pilihan kepada pemilik untuk mengubahsuai N-BOX mengikut gaya hidup dan citarasa masing-masing.

Tumpuan utama diberikan kepada N-BOX Custom menerusi pakej aerodinamik yang menjadikan penampilannya lebih sporty dan agresif.

Kit badan aerodinamik

Antara komponen utama yang ditawarkan ialah spoiler bawah hadapan (Front Under Spoiler) yang menampilkan rekaan lebih tajam dan agresif.

Turut ditawarkan ialah spoiler sisi yang memberikan visual lebih lebar, serta spoiler bawah belakang (Rear Under Spoiler) untuk melengkapkan penampilan sporti.

Mugen turut menawarkan kemasan gril hadapan (Front Grille Garnish) yang menghitamkan bahagian gril bagi menyerlahkan imej hadapan.

Selain itu, terdapat juga pelekat gril bawah hadapan yang memberikan sentuhan lebih sporti pada bampar hadapan.

Rim dan komponen prestasi

Selain aksesori luaran, Mugen turut menawarkan beberapa komponen prestasi.

Antaranya ialah Performance Damper yang ditala khas bagi meningkatkan kestabilan serta pengendalian.

Turut ditawarkan rim aloi MDY bersaiz 15 inci dengan rekaan tujuh jejari berkembar yang menyerlahkan imej sporti.

Aksesori praktikal

Mugen turut menyediakan pelbagai aksesori praktikal untuk kegunaan harian.

Antaranya ialah:

  • Visor berventilasi (Ventilated Visor)
  • Karpet sport
  • Alas kargo sport
  • Pelindung ambang pintu (Scuff Plate)
  • Pelindung bahagian dalaman pintu (Door Inner Protector)

Harga aksesori utama Mugen

  • Spoiler bawah hadapan: ¥66,000 (RM1,647)
  • Spoiler bawah belakang: ¥66,000 (RM1,647)
  • Kemasan gril hadapan: ¥44,000 (RM1,098)
  • Pelekat gril bawah hadapan: ¥8,800 (RM220)

Semua produk aksesori akan dipasarkan secara berperingkat menerusi pengedar Honda Cars serta pengedar rasmi Mugen di seluruh Jepun.

Kredit gambar: Mugen

Ford Ranger 2026 varian XL, Sport & Platinum rasmi di Malaysia – harga dari RM127,888

Sime Darby Auto ConneXion-Ford hari ini secara rasmi memperkenalkan tiga lagi varian baharu trak pikap Ford Ranger 2026.

Harga jualan bagi setiap varian adalah seperti berikut:

  • Ford Ranger Platinum – RM205,888
  • Ford Ranger Sport 3.0L – RM159,888
  • Ford Ranger Sport 2.0L – RM145,888
  • Ford Ranger XL – RM127,888

Sejak dilancarkan pada tahun 2022, sudah lebih 24,000 unit Ford Ranger generasi baharu direkodkan berada di jalan raya Malaysia.

Pengenalan tiga varian baharu ini dilihat mampu memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai di Malaysia, dengan keupayaan seperti:

  • kapasiti muatan 1,000 kg
  • keupayaan tunda sehingga 3.5 tan
  • keupayaan meredah air sedalam 800 mm

Selain itu, Ford Ranger juga dilengkapi dengan skrin infohibur 12 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, kawalan iklim dua zon serta teknologi bantuan pemandu pintar.

Ford Ranger Platinum

Ini merupakan pilihan premium yang mampu menawarkan prestasi tinggi serba boleh.

Varian Platinum ini dipacu enjin diesel bentangan V6 3.0 liter menghasilkan 250 PS @ 3,250 rpm dan daya kilas 600 Nm @ 1,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan.

Antara kelengkapan yang hadir pada varian Platinum termasuklah:

  • rim aloi 20 inci
  • jeriji Platinum
  • sistem rak fleksibel
  • kemasan Platinum pada ruang kabin
  • tempat duduk kulit dengan fungsi pemanas dan pengudaraan untuk baris depan
  • sistem audio Bang & Olufsen 8 pembesar suara
  • pilihan warna Acacia Green, Meteor Grey & Absolute Black

Ford Ranger Sport

Ini pula disifatkan sebagai sebuah kenderaan serba guna yang lebih seimbang untuk prestasi dan kegunaan harian.

Ranger Sport ditawarkan dengan pilihan enjin diesel 2.0L turbo 170 PS/405 Nm dengan sistem pacuan empat roda separuh masa.

Sementara varian enjin bentangan V6 3.0 liter turbo 250 PS/600 Nm pula dipadankan dengan sistem pacuan empat roda sepenuh masa.

Ciri yang wujud pada Ranger Sport ini termasuklah:

  • kemasan badan hitam
  • roda aloi 18 inci
  • kemasan tempat duduk dwi-tona
  • pilihan warna Lightning Blue, Meteor Grey, Absolute White & Arctic White

Ford Ranger XL

Varian XL ini pula lebih sesuai dijadikan sebagai sebuah ‘kuda kerja‘ lasak untuk pengusaha perniagaan, pengendali kenderaan dan pengguna komersial.

Ia dipacu enjin diesel 2.0 liter turbo tunggal yang mampu menjana 170 PS @ 3,500 rpm dan 405 Nm @ 1,750-2,500 rpm, serta transmisi automatik 10-kelajuan.

Antara ciri yang hadir pada varian XL termasuklah:

  • rim keluli 16 inci
  • lampu utama halogen
  • pilihan warna Arctic White, Meteor Grey & Absolute Black

 

Raymond Tan dilantik sebagai Pengarah Urusan tempatan pertama BMW Group Malaysia

BMW Group Malaysia mengumumkan pelantikan Raymond Tan Chor Ann sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 1 September 2026.

Pengarah Urusan semasa, Benjamin Nagel akan menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan BMW Group Importer Markets bagi pasaran Taiwan, Hong Kong dan Macao.

Pengalaman luas

Raymond merupakan sebahagian daripada pasukan perintis BMW Group Malaysia pada tahun 2003.

Berkhidmat sebagai Pengurus Perancangan Produk dan Harga, beliau bertanggungjawab membentuk strategi produk serta kedudukan pasaran di Malaysia.

Beliau kemudian menyertai ibu pejabat BMW Group di Munich sebagai Pengurus Produk Serantau yang bertanggungjawab terhadap perancangan produk dan penyelarasan strategi pasaran di peringkat antarabangsa.

Selepas itu, Raymond kembali ke Malaysia sebagai Ketua Pemasaran sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jualan yang menyelia operasi jualan serta prestasi rangkaian pengedar di seluruh negara.

“Saya amat teruja untuk kembali ke Malaysia sebagai Pengarah Urusan tempatan pertama BMW Group Malaysia,” ujarnya.

Dalam peranan baharunya, Raymond akan memimpin operasi BMW Group Malaysia dan memperkukuh jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad.

Fokus beliau termasuk memberikan pengalaman pelanggan premium, memacu mobiliti premium, serta mengukuhkan aspirasi BMW Group Malaysia untuk menjadi pilihan utama dalam segmen premium menerusi konsep keterbukaan teknologi dan kuasa pilihan.

Xpeng G6 kini ditawarkan sebagai unit CKD, harga jualan kekal dari RM158,888

Bermaz Xpeng Sdn Bhd selaku pengedar tunggal Xpeng di Malaysia mengumumkan tempahan untuk SUV elektrik Xpeng G6 kini dibuka.

Terdapat tiga varian ditawarkan, dengan harga jualan kekal tidak berubah seperti berikut:

  • Xpeng G6 Standard Range – RM158,888
  • Xpeng G6 Long Range – RM178,888
  • Xpeng G6 AWD Performance – RM189,888

Untuk tempoh terhad, setiap pembelian didatangkan dengan pakej pengecas dinding percuma bernilai RM5,000 dan perlindungan insurans sehingga RM5,000.

Untuk info, Xpeng G6 dipasang di fasiliti EP Manufacturing Berhad yang terletak di Melaka.

Spesifikasi tidak berubah

Xpeng G6 CKD masih lagi mengekalkan spesifikasi seperti model CBU yang ditawarkan sebelum ini.

Varian Standard Range dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 248 hp dan 440 Nm.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 6.94 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 202 km/j.

Varian Long Range pula mampu menjana kuasa 292 hp dan 440 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat.

Sementara varian AWD Performance pula mendapat tetapan dua motor elektrik 480 hp dan 660 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.13 saat.

Enam mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Comfort, Sport, Individual, Launch dan Escape.

Bateri & pengecasan

G6 Standard Range dibekalkan dengan pek bateri LFP 68.5 kWh menawarkan jarak pandu WLTP 480 km.

Sementara dua varian tertinggi mendapat bateri berkapasiti 80.8 kWh dengan jarak pandu mencecah 525 km (510 km untuk versi AWD).

Secara standard, G6 menyokong pengecasan AC 11 kW.

Pengecasan pantas DC pula sehingga 451 kW (382 kW untuk varian Standard Range), membolehkan bateri dicas 10-80% SoC dalam 12 minit.

Keselamatan

Kesemua varian G6 CKD mendapat kelengkapan keselamatan standard XPILOT Assist yang merangkumi fungsi seperti:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Pemusatan Lorong (LCC)
  • Bantuan Parkir Autonomi (APA)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Jetour T1 2026 rasmi di Malaysia – 2 varian, harga dari RM129,800

Jetour Malaysia secara rasmi melancarkan SUV baharu Jetour T1 2026 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua varian ditawarkan, dengan harga jualan seperti berikut:

  • T1 1.5L TGDi 2WD – RM129,800
  • T1 2.0L TGDi XWD – RM146,800

Sempena pelancaran, 2,000 orang pelanggan pertama akan menerima rebat tunai RM2,000 serta kadar faedah serendah 1.68%.

Pilihan enjin

Varian asas dibekalkan dengan 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 184 PS dan 290 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar 7-kelajuan.

Varian paling premium pula hadir dengan nadi 2.0 liter turbo menghasilkan 254 PS dan 390 Nm.

Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi klac berkembar DCT 7-kelajuan dan sistem pacuan semua roda XWD.

Varian 2.0L XWD turut menawarkan sehingga 7 + X mod pemanduan.

Dimensi

Jetour T1 merupakan sebuah SUV kompak menampilkan casis unibodi yang dibina berdasarkan senibina Kunlun.

Lebih kecil berbanding T2, Jetour T1 membawakan ukuran sepanjang 4,706 mm, lebar 1,967 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak antara roda 2,800 mm.

Varian 1.5L mendapat rim 18 inci manakala varian 2.0L pula hadir dengan rim 19 inci.

Kelengkapan

Ciri standard yang didatangkan pada Jetour T1 termasuklah:

  • lampu LED depan dan belakang
  • pintu tailgate berkuasa
  • tempat duduk balutan leatherette
  • tempat duduk pemandu larasan kuasa
  • skrin infohibur 12.8 inci
  • sistem audio 8-pembesar suara
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
  • 7 port pengecasan USB
  • slot pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W

Varian 2.0L pula mendapat ciri yang lebih premium seperti:

  • skrin infohibur sebesar 15.6 inci
  • sistem audio Sony Premium dengan 9-pembesar suara
  • tempat duduk pemandu depan larasan kuasa dan fungsi memori
  • tempat duduk penumpang depan larasan kuasa lengkap dengan perehat kaki
  • bumbung kaca panorama
  • lampu selamat datang

Keselamatan

Kedua-dua varian dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta sistem pemantauan keliling panorama.

Sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 secara standard, merangkumi 14 fungsi termasuklah:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Jelajah Bersepadu (ICA)
  • Intervensi Bantuan Laluan (LAI)
  • Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IHB)

Warna

Jetour T1 boleh didapati dalam pilihan warna Khaki White, Aviation Silver, Sand Gold dan Carbon Black.

Jetour T1 1.5L TGDi 2WD

Jetour T1 2.0L TGDi XWD

Jetour T1 @ KLIMS 2026

Nissan LEAF NISMO 2026 dilancar di Jepun – talaan khas NISMO, sehingga 215 hp, harga bermula RM165k

Nissan secara rasmi melancarkan Nissan LEAF NISMO 2026 di Jepun, sekali gus mengembangkan lagi barisan model prestasi NISMO berasaskan kenderaan elektrik (EV).

LEAF generasi ketiga diperkenalkan di Jepun pada Januari 2026 dengan platform EV baharu, jarak pemanduan lebih baik, prestasi dipertingkat dan teknologi terkini.

Sejak LEAF diperkenalkan pada 2010, model itu sudah terjual kira-kira 700,000 unit di seluruh dunia.

Berasaskan LEAF serba baharu, versi NISMO dibangunkan mengikut falsafah yang menggabungkan prestasi berinspirasikan sukan permotoran dengan keselesaan penggunaan harian.

Casis ditala semula, lebih lincah dan responsif

Nissan membangunkan LEAF NISMO berasaskan konsep Agile Intelligent Sport Crossover, dengan pelbagai talaan khas bagi memberikan pengendalian yang lebih tajam dan responsif.

Antara naik taraf utama ialah:

  • Pegas NISMO khas.
  • Bar penstabil khas.
  • Member bush pilihan bagi meningkatkan kekakuan casis.
  • Penyerap hentak jenis Swing Valve, sama seperti Nissan X-Trail NISMO.

Menurut Nissan, kombinasi itu mengurangkan olengan badan ketika memasuki selekoh, sambil memastikan suspensi masih mampu menyerap permukaan jalan yang tidak rata dengan baik.

LEAF NISMO turut menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 5 bersama rim aloi ringan 19 inci Enkei, sekali gus meningkatkan cengkaman, kestabilan dan ketepatan stereng.

Mod NISMO khas untuk prestasi maksimum

LEAF standard menawarkan empat mod pemanduan iaitu Standard, ECO, Sport dan Personal.

LEAF NISMO pula lebih istimewa dengan menerima talaan khas untuk mod Standard, ECO dan Sport.

Mod Sport kini dikenali sebagai NISMO Mode, dengan talaan yang menghasilkan pecutan lebih linear dan lebih agresif, memanfaatkan karakter motor elektrik.

Selain itu, LEAF NISMO menjadi model EV NISMO pertama yang menerima pedal kawalan brek regeneratif dengan talaan khusus.

Empat tahap brek regeneratif disediakan:

  • Tahap 1 menawarkan nyahpecutan lebih rendah berbanding model biasa.
  • Tahap 2 hingga Tahap 4 pula memberikan kesan brek regeneratif yang lebih kuat untuk pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan.

Rangkaian kuasa

Varian B5 NISMO dijana oleh motor elektrik yang menghasilkan kuasa sebanyak 130kW bersamaan 175hp, manakala julat tork maksimumnya mencecah 345Nm.

Bagi varian yang lebih tinggi iaitu B7 NISMO dan B7 NISMO RECARO, kedua-duanya menerima unit trenkuasa yang lebih berkuasa iaitu 160kW bersamaan 215hp dengan imbangan tork setinggi 355Nm.

Rekaan lebih agresif dengan aerodinamik dipertingkat

Dari segi luaran, LEAF NISMO menampilkan kit badan eksklusif yang bukan sekadar untuk penampilan, malah turut meningkatkan kecekapan aerodinamik.

Antara perubahan utama termasuk:

  • Bampar hadapan baharu dengan saluran udara (air guide).
  • Kemasan bawah pintu eksklusif.
  • Bampar belakang khas dengan boat hull under spoiler.
  • Spoiler belakang jenis ducktail yang dipanjangkan.

Menurut Nissan, kombinasi komponen tersebut menghasilkan daya mendap (downforce) tambahan tanpa meningkatkan rintangan angin berbanding LEAF standard.

Kemasan merah Arterial Magma turut digunakan di sekeliling badan, manakala cermin sisi berwarna hitam berkilat menerima jalur merah sebagai identiti NISMO.

Enam pilihan warna

LEAF NISMO ditawarkan dengan enam warna badan:

  • Empat warna daripada LEAF standard.
  • Dua variasi warna eksklusif NISMO Stealth Gray yang hanya ditawarkan pada model NISMO.

Kabin lebih sporti

Bahagian dalaman menampilkan tema hitam dengan sentuhan merah bagi mewujudkan suasana pemanduan yang lebih sporti.

Elemen khas NISMO merangkumi:

  • Paparan meter kuasa.
  • Kemasan papan pemuka.
  • Suis kuasa eksklusif.

Stereng dibalut bahan sintetik TailorFit yang menyerupai kulit Nappa, lengkap dengan penanda tengah merah serta jahitan merah.

Tempat duduk hadapan menerima kemasan berliang merah dan sulaman logo NISMO.

Varian B7 NISMO RECARO pula dilengkapi kerusi sport RECARO talaan khas NISMO dengan fungsi pelarasan elektrik bagi meningkatkan sokongan badan ketika memandu.

Dimensi Nissan LEAF NISMO 2026

  • Panjang: 4,415 mm
  • Lebar: 1,810 mm
  • Tinggi: 1,550 mm (1,565 mm untuk varian ProPILOT 2.0)
  • Jarak roda: 2,690 mm
  • Kelegaan bumi: 135 mm

Spesifikasi motor elektrik

B7 NISMO / B7 NISMO RECARO

  • Kuasa maksimum: 160 kW
  • Tork maksimum: 355 Nm

B5 NISMO

  • Kuasa maksimum: 130 kW
  • Tork maksimum: 345 Nm

Berat kenderaan pula ialah:

  • 1,920 kg (B7 NISMO)
  • 1,900 kg (B7 NISMO RECARO)
  • 1,820 kg (B5 NISMO)

Kesemua varian menggunakan tayar bersaiz 235/45 R19.

Harga Nissan LEAF NISMO di Jepun

Nissan LEAF NISMO mula dijual di pasaran Jepun bermula hari ini. Berikut varian dan harga LEAF NISMO:

  • B5 NISMO: ¥6,601,100 (RM165,489)
  • B7 NISMO: ¥6,952,000 (RM174,286)
  • B7 NISMO RECARO: ¥7,227,000 (RM181,179)

Kredit gambar: Nissan

smart #5 Brabus kini ditawarkan dalam warna eksklusif Laser Red, unit terhad

smart Malaysia mengumumkan penawaran warna baharu Laser Red eksklusif untuk smart #5 Brabus dan tersedia dalam unit terhad.

smart #5 Brabus Laser Red Edition masih lagi mengekalkan spesifikasi asas varian Brabus, dengan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda menghasilkan 646 PS dan 710 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat.

Pek bateri NMC 100 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 540 km untuk sekali cas penuh.

Antara kelengkapan eksklusif yang hadir pada varian Brabus termasuklah:

  • Launch Mode
  • angkup brek merah
  • rim Brabus Monoblock Z 21 inci
  • suspensi sport
  • mod pemanduan Brabus
  • upholsteri Alcantara & Dinamica
  • ekosistem digital yang dipacu cip AMD V2000

Serentak dengan pengumuman Edisi Laser Red, smart Malaysia turut mengumumkan perubahan harga jualan untuk model tahun 2026:

Untuk info, harga jualan smart #5 ketika dilancarkan tahun lepas bermula dari RM199,800 untuk varian Premium dan mencecah sehingga RM249,800 untuk varian Brabus.

Castrol lancar program eHailing Heroes bantu 3,000 pemandu e-hailing di Lembah Klang

Castrol Malaysia baru-baru ini melancarkan program eHailing Heroes dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM).

Program selama 12 bulan ini bertujuan untuk mengurangkan kos penyelenggaraan yang perlu  dihadapi pemandu e-hailing.

Ia sekali gus memastikan perjalanan lebih lancar sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Majlis pelancaran berlangsung di Rom 8 Studio dan disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Mohd Akbal Setia, Pengarah Kanan Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia yang turut merangkap Ketua Sekretariat VM2026.

Fasa pertama sehingga 3,000 kenderaan e-hailing

Untuk permulaan, eHailing Heros akan menyokong sehingga 3,000 kenderaan e-hailing di sekitar Lembah Klang.

Setiap peserta akan menerima:

  • servis Castrol Magnatec bersubdisi
  • penjenamaan kenderaan
  • akses ke rangkaian Castrol Auto Servis seluruh negara

Pemandu yang melengkapkan 8,000 km jarak perjalanan yang disahkan akan menerima e-baucar RM80 untuk pakej servis Castrol Magnatec yang boleh ditebus di bengkel Castrol Auto Servis terpilih.

Pemandu e-hailing boleh membuat pendaftaran menerusi pautan https://www.castrolezrewards.com/ehailinghero/home

Kenapa Castrol Magnatec?

Setiap hari, kenderaan e-hailing beroperasi dalam keadaan ekstrem seperti kesesakan trafik, jarak perjalanan yang tinggi, serta pemanduan berhenti-mula yang kerap.

Teknologi molekul pintar Castrol Magnatec akan melekat dan membentuk lapisan perlindungan pada komponen kritikal enjin, memberikan 50% perlindungan yang lebih baik terhadap kehausan semasa enjin dipanaskan dan dihidupkan semula.

Ini adalah selari dengan janji utama Castrol Magnatec, iaitu Perlindungan Tanpa Henti Dari Setiap Permulaan.

Diskaun tambahan

Selain promosi untuk pemandu e-hailing, Castrol turut menawarkan diskaun 10% bermula Ogos untuk rangkaian minyak enjin kereta penumpang.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu lebih ramai pemilik kenderaan menjaga kondisi kereta mereka.

Sistem Titan Flow oleh Touch ‘n Go tawar kadar ketepatan sehingga 99.98 peratus

Touch ‘n Go baru-baru ini mengadakan sesi ujian lapangan teknologi Titan Flow bersama para pengamal media di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ujian tersebut dibuat di lorong RFID Dipertingkatkan yang ditandai simbol bintang emas di Plaza Tol Dato Keramat.

Demonstrasi ini bertujuan untuk membuktikan bagaimana gabungan teknologi buatan tempatan mampu menawarkan pengalaman yang lebih lancar, selamat dan dipercayai.

Gabungan pelbagai teknologi

Teknologi Titan Flow ini menggabungkan sistem identifikasi frekuensi radio (RFID) sebagai sistem pengesanan utama, dibantu dengan teknologi berikut:

  • Pengecaman Nombor Plat Kenderaan Automatik (ANPR)
  • Kecerdasan Buatan (AI)
  • Pembelajaran Mesin (ML)
  • LiDAR

Reka bentuk berlapis itu membolehkan sistem mencapai kadar ketepatan pengesanan sehingga 99.98 peratus.

Biarpun teknologi semakin berkembang, RFID kekal menjadi nadi utama dalam sistem Titan Flow atas faktor lebih stabil dan kurang terjejas oleh faktor persekitaran seperti cahaya mahupun cuaca.

Ia bukan sekadar memudahkan pengguna, tetapi turut direka untuk meningkatkan kelancaran pergerakan di plaza tol.

Gabungan teknologi pintar membolehkan setiap transaksi diproses dengan lebih tepat tanpa menjejaskan pengalaman pemanduan yang lebih intuitif.

Langkah ke arah pelaksanaan MLFF

Sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan Sistem Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF), lorong RFID Dipertingkat kini memanfaatkan teknologi teras yang ada pada Titan Flow.

Teknologi ini dibangunkan berasaskan ekosistem yang telah terbukti dengan lebih 4.7 juta pengguna RFID berdaftar, 27 juta pengguna TNG eWallet, serta berbilion transaksi diproses setiap tahun.

Dengan asas yang mantap, ia membolehkan Touch ‘n Go terus mempercepat pembangunan infrastruktur mobiliti pintar dan memperkenalkan penyelesaian kutipan tol generasi baharu yang lebih pantas dan lancar.

SOS Balance lancarkan lagi aliran trafik

Bagi memastikan pengalaman mobiliti kekal lancar, ciri SOS Balance yang diperkenalkan dalam aplikasi TNG eWallet membantu pengguna meneruskan perjalanan walaupun kekurangan baki kredit.

Hasilnya, ciri tersebut menyokong kira-kira 36 juta perjalanan bagi mengurangkan risiko terkandas, sekali gus melancarkan aliran trafik.

Teknologi dibangunkan oleh rakyat Malaysia

Menurut Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go menjelaskan teknologi tersebut dibangunkan oleh rakyat Malaysia untuk memenuhi keperluan pengguna tempatan.

“Apa yang menjadikan Titan Flow begitu bermakna ialah ia lahir dari pemahaman hampir tiga dekad terhadap cara rakyat Malaysia bergerak.

“Fokus kami adalah untuk membangunkan pengalaman yang lancar, boleh dipercayai dan selamat, sambil mengekalkan tahap ketepatan serta akauntabiliti yang diperlukan oleh pengendali lebuh raya.

Kerjasama dengan GWM Malaysia

Ujian lapangan ini turut mendapat kerjasama GWM Malaysia yang menyediakan kenderaan untuk digunakan media sepanjang sesi pandu lalu.

Cui Anqui, Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia berkata, “Di GWM, kami melihat masa depan mobiliti sebagai sesuatu yang melangkaui kenderaan semata-mata, ia melibatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan.

“Kerjasama dengan Touch ‘n Go dalam ujian lapangan Titan Flow mencerminkan komitmen bersama kami untuk menjadikan mobiliti harian rakyat Malaysia lebih pintar, saling berhubung dan lancar,” ujarnya lagi.

Toyota Corolla Hatchback 2027 A.S. dengan paparan digital baharu, harga bermula RM101,400

Toyota memperkenalkan Corolla Hatchback 2027 di Amerika Syarikat (A.S.) dengan beberapa penambahbaikan supaya terus kekal relevan.

Perubahan kali melibatkan teknologi dalam kabin, sambil mengekalkan karakter pemanduan sporti yang menjadi identiti model hatchback kompak itu.

Ditawarkan dalam varian SE dan XSE, model tahun 2027 menerima paparan meter digital baharu, sistem maklumat hiburan yang dipertingkatkan, pilihan warna tambahan serta aksesori roda aloi baharu.

Corolla Hatchback 2027 dipasang di kilang Tsutsumi di Aichi, Jepun dan dijangka tiba di pengedar Toyota di Amerika Syarikat pada musim panas tahun ini.

Harga bermula dari AS$24,780 (RM101,400), tidak termasuk caj pemprosesan dan pengendalian sebanyak AS$1,295 (RM5,300).

Paparan digital lebih besar, sistem multimedia dipertingkat

Antara perubahan utama bagi model 2027 ialah peningkatan pada paparan meter digital dan sistem maklumat hibur.

Varian SE kini didatangkan secara standard dengan paparan meter digital 7 inci.

Sementara itu, varian XSE menerima paparan meter digital 12.3 inci serta sistem Toyota Audio Multimedia bersaiz 10.5 inci sebagai kelengkapan standard.

Toyota turut memperkenalkan SE Premium Package untuk varian SE.

Pakej itu menambah paparan meter digital 12.3 inci bersama sistem Toyota Audio Multimedia 10.5 inci.

Semua varian dilengkapi sistem Toyota Audio Multimedia dengan skrin sentuh standard 8 inci.

Turut disediakan ialah sokongan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto, sambungan Bluetooth untuk dua telefon serta sistem audio enam pembesar suara.

Corolla Hatchback turut menawarkan percubaan Connected Services selama lima tahun bagi Safety Connect, Service Connect dan Remote Connect.

Toyota juga menyediakan percubaan Wi-Fi Connect selama 30 hari atau 3GB, manakala Drive Connect ditawarkan mengikut varian.

Reka bentuk kekal sporti

Corolla Hatchback kekal bergaya meskipun sudah berada di pasaran sejak tahun 2018.

Bahagian hadapan menampilkan lampu LED tirus, manakala lampu belakang LED direka bagi menyerlahkan penampilan belakang yang lebih lebar.

Toyota turut menawarkan aksesori tulen baharu iaitu roda aloi 18 inci Gloss White.

Bagi varian SE, roda tersebut memerlukan pembelian berasingan tayar bersaiz 225/40R18.

Pilihan warna turut dikemas kini dengan penambahan Inked, Blueprint dan Blueprint dengan bumbung hitam.

Warna lain yang ditawarkan ialah Inferno, Classic Silver Metallic, Finish Line Red, Magnetic Gray Metallic, Wind Chill Pearl dan Ice Cap.

Turut tersedia ialah pilihan kemasan dua tona dengan bumbung hitam untuk warna Blueprint, Classic Silver Metallic, Finish Line Red, Magnetic Gray Metallic dan Wind Chill Pearl.

Kabin premium

Bahagian dalaman menawarkan susun atur yang memfokuskan keselesaan pemandu dan penumpang.

Varian SE dilengkapi kerusi pemandu fabrik dengan pelarasan enam hala serta kerusi penumpang hadapan pelarasan empat hala.

XSE pula menerima kerusi SofTex dengan pelarasan kuasa lapan hala untuk pemandu, kerusi penumpang hadapan pelarasan empat hala serta fungsi pemanas bagi kedua-dua kerusi hadapan.

Enjin 2.0 liter Dynamic Force

Corolla Hatchback 2027 digerakkan enjin 2.0 liter Dynamic Force dengan teknologi Dual Variable Valve Timing with intelligence (VVT-i) yang menghasilkan 171 PS dan tork 205 Nm.

Enjin dipadan bersama transmisi Dynamic Shift CVT yang menggunakan gear pelancaran fizikal (launch gear) bagi memberikan pecutan awal lebih responsif sebelum beralih kepada sistem CVT.

Semua varian turut dilengkapi pedal gear dengan 10 nisbah simulasi serta mod pemanduan Normal, Eco dan Sport.

Platform TNGA-C

Corolla Hatchback dibina menggunakan platform TNGA-C.

Model ini menggunakan suspensi MacPherson di hadapan dan pelbagai pautan di belakang yang ditala bagi memberikan keseimbangan antara keselesaan serta pengendalian yang lebih lincah.

Toyota Safety Sense 3.0

Dari aspek keselamatan, semua varian Corolla Hatchback 2027 didatangkan dengan Sistem Keselamatan Toyota (Toyota Safety Sense 3.0) serta Pemantau Titik Buta (Blind Spot Monitor) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (Rear Cross-Traffic Alert) sebagai kelengkapan standard.

Toyota Safety Sense 3.0 merangkumi:

  • Sistem Pra-Perlanggaran dengan Pengesan Pejalan Kaki (Pre-Collision System with Pedestrian Detection)
  • Kawalan Jelajah Radar Dinamik Julat Kelajuan Penuh (Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control)
  • Amaran Keluar Lorong dengan Bantuan Stereng (Lane Departure Alert with Steering Assist)
  • Bantuan Pengesanan Lorong (Lane Tracing Assist)
  • Bantuan Isyarat Jalan (Road Sign Assist)
  • Lampu Tinggi Automatik (Automatic High Beams)
  • Bantuan Pemanduan Proaktif (Proactive Driving Assist)

Harga

Harga rasmi bagi pasaran Amerika Syarikat adalah seperti berikut:

  • SE: AS$24,780 (RM101,400)
  • XSE: AS$27,875 (RM114,000)

Semua harga tidak termasuk caj pemprosesan dan pengendalian sebanyak AS$1,295 (RM5,300).

iCaur V23 versi CKD kini di Malaysia, harga kekal RM132,780

iCaur Malaysia mengumumkan model iCaur V23 versi pemasangan tempatan (CKD) bakal tiba di bilik pameran menjelang akhir bulan ini.

Program CKD iCaur V23 bermula secara rasmi pada bulan Julai, sekali gus menjadi satu lagi perkembangan penting dalam perancangan jangka panjang iCaur untuk pasaran tempatan.

Varian tunggal iWD

iCaur V23 versi CKD hanya ditawarkan dalam varian pacuan semua roda pintar (iWD).

Namun, pihak iCaur Malaysia menjamin spesifikasi dan tahap kualiti yang sama seperti versi import sepenuhnya (CBU).

Harga jualan asal turut dikekalkan pada RM132,780.

Versi iWD dipacu oleh tetapan dua motor elektrik berkuasa 211 PS dan 292 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat.

Pek bateri NMC 81.76 kWh pula menawarkan jarak pandu NEDC sehingga 430 km.

Ia turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW, pengecasan pantas DC sehingga 104 kW, serta fungsi V2L sehingga 3.3 kW.

Spesifikasi penuh iCaur V23 boleh dibaca pada pautan INI.

Tempahan Jaecoo J5 EV kini dibuka, harga anggaran dari RM125,000

Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi SUV elektrik Jaecoo J5 EV 2026.

Harga jualan EV pertama jenama itu dianggarkan bermula dari RM125,000.

Spesifikasi ringkas

Jaecoo J5 EV dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang memacu roda depan, menghasilkan kuasa 208 hp dan 288 Nm.

Pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) CATL 58.9 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 402 km (data WLTP).

J5 EV turut menyokong pengecasan pantas yang membolehkan bateri dicas 30-80% SoC dalam masa 28 minit, serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Pencapaian sempena ulang tahun kedua

Selain pembukaan tempahan EV pertama, Omoda | Jaecoo Malaysia turut meraikan ulang tahun kedua serta penghantaran lebih 32,000 unit kenderaan di seluruh negara.

Sebanyak lebih 8,100 unit kenderaan telah diedarkan sehingga Julai 2026, menjadikan Omoda | Jaecoo sebagai jenama kelima terlaris di Malaysia.

Penyumbang utama bagi prestasi tersebut ialah Jaecoo J5 yang diperkenalkan pada Mac 2026.

Sejak dilancarkan, SUV ini merekodkan lebih 2,500 penghantaran dalam tempoh empat bulan.

Komitmen terhadap elektrifikasi

Komitmen jenama itu terhadap mobiliti tenaga baharu turut diterjemahkan menerusi prestasi jualannya.

Pada separuh pertama (H1 2026), penghantaran bagi kenderaan tenaga baharu (NEV) meningkat kepada 2,300 unit berbanding 244 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Dengan pengenalan Jaecoo J5 EV, ia bakal mengukuhkan lagi portfolio NEV jenama Omoda | Jaecoo di samping menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna Malaysia.

Pindaan Akta 333 – pesalah perlu bayar pampasan kepada mangsa kemalangan

Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan bahawa Jemaah Menteri pada 15 Julai 2026 telah bersetuju secara dasar dengan cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya, selain memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

Pampasan ditentukan mahkamah, bukan kerajaan

Menurut MOT, cadangan itu bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman seperti denda, penjara atau hilang kelayakan memandu, malah turut dipertanggungjawabkan terhadap kesan kemalangan yang dialami mangsa serta keluarga mereka.

Kementerian itu menjelaskan jumlah pampasan tidak akan ditetapkan secara automatik oleh kerajaan. Sebaliknya, ia akan diputuskan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes, termasuk tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang ditanggung mangsa atau waris, serta kemampuan pesalah untuk membayar.

MOT turut menegaskan mekanisme baharu itu tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil melalui saluran perundangan sedia ada.

Sistem KEJARA turut diperkukuh

Selain mekanisme pampasan, sistem KEJARA turut dicadang diperkukuh sebagai langkah mengenal pasti pemandu berisiko tinggi dan pesalah berulang. Penambahbaikan yang dicadangkan termasuk tatacara pemakluman mata demerit yang lebih jelas, mekanisme representasi dan semakan pentadbiran, serta pelarasan atau penghapusan mata demerit sekiranya sesuatu kesalahan tidak dapat dibuktikan atau tiada sabitan dikenakan.

Menurut MOT, kedua-dua cadangan ini bertujuan memperkukuh keadilan, akauntabiliti dan keselamatan jalan raya, selain memastikan mangsa serta waris mendapat pembelaan sewajarnya di samping meningkatkan tahap tanggungjawab pesalah.

Pindaan Akta 333 akan mula digubal

Susulan persetujuan dasar yang diberikan Jemaah Menteri, MOT akan memulakan proses menggubal pindaan kepada Akta 333. Perincian cadangan berkenaan akan diperhalusi bagi memastikan pindaan yang digubal jelas, adil dan berkesan sebelum dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan, seterusnya dibentangkan di Parlimen.

Nissan Elgrand 2027 dilancar di Jepun dengan e-Power & e-4orce, harga dari RM174k

Nissan Elgrand telah dilancarkan secara rasmi di Jepun, dengan jualan bermula bulan ini. Pertama kali diperkenalkan di Japan Mobility Show 2025, MPV premium ini hadir dengan badan lebih besar, selain membawakan sistem hibrid e-Power baharu, pacuan semua roda serta suspensi lebih pintar.

Rekaan lebih moden dengan sentuhan Jepun

Untuk bahagian luran, Elgrand menggunakan bahasa reka bentuk “Timeless Japanese Futurism” yang memberikan MPV itu penampilan lebih tajam dan tegap.

Gril hadapan diinspirasikan daripada corak pertukangan kayu tradisional Jepun, Kumiko, yang disepadukan dengan lampu utama, manakala lampu belakang pula menggunakan rekaan melintang penuh dengan corak rekaan sama. Lima pilihan warna ditawarkan termasuk kombinasi dwi-tona baharu Fuji Dawn/Shigoku.

Kabin seperti ruang istirahat bergerak

Di dalam, Elgrand menawarkan posisi pemanduan yang lebih tinggi, papan pemuka kemasan kayu dengan suis kapasitif terbina, paparan instrumen dan infotainmen bersaiz 14.3 inci, serta lampu ambien dengan 64 pilihan warna.

Semua tempat duduk menggunakan rekaan Zero Gravity, lengkap dengan perehat kaki ottoman untuk kerusi penumpang hadapan dan barisan kedua. Turut disediakan ialah sistem audio Bose 22 pembesar suara, dua pengecas tanpa wayar Qi2, tiga soket kuasa AC 100V, serta ruang kargo yang masih mampu memuatkan tujuh bagasi bersaiz kabin.

Sistem hibrid baharu, pemanduan lebih selesa

Elgrand baharu dikuasakan sistem e-Power generasi ketiga yang menggabungkan enjin 1.5-liter tiga silinder ZR15DDTe baharu dengan modul rangkaian kuasa elektrik 5-dalam-1. Jumlah kuasa tidak diumumkan namun menurut Nissan, ia menawarkan kecekapan bahan api yang lebih baik, operasi lebih senyap dan pemanduan lebih lancar.

Sistem e-4orce yang dipertingkat pula membantu meningkatkan kestabilan dan prestasi ketika mengambil selekoh, manakala Intelligent Dynamic Suspension melaras daya redaman setiap roda secara masa nyata untuk keselesaan lebih baik. Enam mod pemanduan turut disediakan iaitu Eco, Standard, Sport, Comfort, Snow dan Personal.

Lebih banyak teknologi untuk keselesaan dan keselamatan

Bagi meningkatkan keselesaan, Elgrand didatangkan dengan fungsi Smooth Stop yang mengurangkan hentakan ketika kenderaan berhenti, serta Advanced Active Noise Control yang dapat mengurangkan bunyi enjin dan bunyi jalan untuk kabin yang lebih senyap.

Dari aspek bantuan pemanduan pula, MPV ini ditawarkan dengan ProPilot, ProPilot with Navi-link, Traffic Jam Hands-Off Mode, Lane Change Support serta ProPilot 2.0. Turut tersedia ialah ProPilot Park dengan fungsi memori serta Intelligent Around View Monitor yang dipertingkat dengan paparan Front Wide View, Mirror Close View dan 3D View.

Harga di Jepun

Di Jepun, Nissan Elgrand ditawarkan dalam dua varian. X e-4orce dijual pada harga 6,897,000 yen (kira-kira RM174,000), manakala varian G e-4orce pula berharga 7,579,000 yen (sekitar RM191,000).

Perlumbaan maya 12 Hours of Spa berlangsung 18 Julai ini, himpun pelumba terbaik Asia

eRacing GP mengumumkan penganjuran perlumbaan endurans 12 Hours of Spa secara maya yang akan diadakan esok (18 Julai) bertempat di Litar Spa-Francorchamps.

Ia bakal menghimpunkan pasukan sim racing terbaik dari seluruh Asia.

Takluk litar ikonik dunia

Litar Spa-Francorchamps merupakan salah satu litar ikonik dalam dunia sukan permotoran.

Perlumbaan khas ini menuntut peserta untuk berdepan perlumbaan 12 jam tanpa henti menerusi strategi serta pertukaran pemandu yang lancar.

Selain itu, mereka juga perlu berdepan dengan perubahan kondisi trek dan selekoh lagenda seperti Eau Rouge, Raidillon dan Blanchimont.

Perlumbaan 12 jam ini akan bermula jam 11.00 pagi 18 Julai dan disiarkan secara langsung menerusi saluran media sosial eRacing GP.

Persaingan lima negara

Acara yang paling dinantikan dalam kalendar eRacing GP ini bakal disertai lebih 30 pasukan daripada lima negara.

Antara nama-nama yang perlu diberi perhatian termasuklah Aleef Hamilton, pelumba sim terbaik Singapura yang akan bergandingan dengan Alister Yoong (Malaysia).

Ia juga turut disertai oleh juara musim lalu, Apex Racing Brunei sementara Thailand pula diwakili OVERME.team yang diketuai pelumba terkenal Thanprasit Sartsuk.

Malaysia menerusi Pepega Racing menurunkan tiga pasukan yang turut disertai oleh bekas pelumba Toyota Gazoo Racing Rookies, iaitu Justin Rahul Dev dan Genevieve Ooi – satu-satunya pelumba wanita di grid.

Tiga kelas utama

Perlumbaan ini menampilkan tiga kelas utama, iaitu:

  • Hypercars (GTP)
  • LMP2
  • GT3

Kelas Hypercars (GTP) menyediakan pilihan jentera lumba BMW M Hybrid V8, Cadillac V-Series.R GTP, Ferrari 499P dan Porsche 963 GTP.

Kelas LMP2 pula menggunakan Dallara P217.

Sementara kategori GT3 menawarkan enam pilihan jentera lumba seperti BMW M4 GT3 EVO, Corvette Z06 GT3.R, Ferrari 296 GT3, McLaren 720S GT3 EVO, Mercedes-AMG GT3 (2020) dan Porsche 911 GT3 R (992).

Menurut Alex Yoong, pengasas eRacing GP berkata, “Perlumbaan endurans adalah cabaran tertinggi dalam sukan permotoran.

“Acara seperti ini bukan sekadar tentang kelajuan, tetapi juga kerja berpasukan, persediaan, dan ketahanan,” ujarnya lagi.

Sokongan daripada Royal Selangor

Acara perlumbaan tahun ini mendapat sokongan daripada Royal Selangor, jenama pewter terkemuka dunia.

Selain mata kejuaraan dan pengiktirafan, para peserta akan turut merebut trofi Royal Selangor edisi khas.

Menurut Hilda Razali, Ketua Pemasaran Global Royal Selangor International, “Kerjasama Royal Selangor dengan eRacing GP mencerminkan nilai yang dikongsi antara pertukangan tradisional dan sukan permotoran moden – dedikasi, ketelitian dan usaha mencapai kesempurnaan.”

Dunlop fokus kepada pasaran tayar gantian dan OEM di Malaysia

Dunlop terus memperkukuh kehadirannya di Malaysia menerusi peluasan pesat rangkaian pengedar serta penyelesaian tayar yang lebih meluas.

Dalam masa yang sama, jenama itu komited melabur untuk produk yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang.

Rangkaian pengedar semakin berkembang

Dalam tempoh beberapa bulan, Dunlop telah mengembangkan rangkaian pengedarnya sebanyak lebih 30 peratus daripada kira-kira 150 kepada lebih 200 premis sejak Mei 2026.

Ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat di kalangan pengedar serta rakan perkhidmatan automotif terhadap jenama tersebut, sekali gus membina legasi kukuh Dunlop di sini.

Pada tahun 1963, Dunlop menjadi pengeluar tayar pertama yang menubuhkan kemudahan pengeluaran tempatan di negara ini.

Di bawah pengurusan baharu, Dunlop memberi tumpuan kepada usaha menjadikan teknologi tayar premium yang lebih mudah diakses.

Fokus pada pasaran tayar gantian

Pasaran tayar gantian di Malaysia terus berkembang sejajar dengan peningkatan permintaan merentasi segmen kereta penumpang, SUV dan EV.

Untuk itu, Dunlop akan terus memperluaskan portfolio produk merangkumi:

  • Blue Response TG untuk kenderaan penumpang harian
  • SP Sport Maxx 060+ untuk pemandu yang mengutamakan prestasi dan pengendalian
  • Grandtrek R/T01 untuk SUV & trak pikap

Dunlop juga sedang bersedia untuk memperkenalkan e.Sport Maxx yang direka khusus untuk kenderaan elektrik.

Marcus Lim, Pengarah Urusan Toyotsu Binter Malaysia Sdn Bhd menjelaskan pihaknya mahu Dunlop tersedia di mana sahaja untuk pelanggan membeli dan pendapatkan perkhidmatan tayar.

“Aspirasi kami adalah untuk meletakkan Dunlop sebagai jenama premium yang sedang meningkat dengan menjadikan prestasi premium lebih mudah diakses oleh lebih ramai pengguna di Malaysia,” katanya.

Komited sokong program OEM

Selain itu, Dunlop kekal komited menyokong rakan kongsi pengeluar peralatan asal (OEM) dengan membekalkan tayar model-model terpilih daripada jenama terkemuka.

Antaranya termasuklah Toyota, Lexus, Isuzu, Mazda dan juga Leapmotor.

Menyedari keperluan kritikal dalam program OEM, Toyotsu Binter Malaysia dan Sumitomo Rubber Industries komited mengekalkan standard tertinggi dari segi kualiti produk, kebolehpercayaan rantaian bekalan serta sokongan pelanggan yang responsif.

Dunlop juga kekal komited menawarkan produk yang selamat, selesa, tahan dan meyakinkan untuk menyokong pengguna bagi kenderaan berenjin (ICE), hibrid dan elektrik.

Inovasi nadi Dunlop

Takehiko Asai, Pengarah Urusan Sumitomo Rubber Asia (Tyre) Pte. Ltd., berkata masa depan Dunlop terus dipandu oleh semangat inovasi yang telah membentuk jenama itu selama lebih 130 tahun.

Untuk tayar generasi baharu, pihaknya akan melabur dalam teknologi yang mampu meningkatkan kecekapan tenaga, kadar cengkaman, serta pengurangan bunyi bising dalam kabin.

Selain itu, Dunlop juga akan terus meneroka teknologi tayar pintar yang dapat menyokong masa depan mobiliti berhubung dan elektrik.

“Inovasi ini mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan produk yang dapat memenuhi keperluan pemandu yang sentiasa berubah tanpa menjejaskan kualiti dan kebolehpercayaan yang menjadi identiti jenama Dunlop,” jelasnya lagi.

Bugatti W16 Mistral 2026: Pengeluaran berakhir selepas 99 unit!

Bugatti secara rasmi menamatkan pengeluaran W16 Mistral apabila unit ke-99 dan terakhir selesai dibina di Atelier Bugatti di Molsheim, Perancis.

Kereta sport hiper bumbung terbuka itu menjadi model jalan raya terakhir yang menggunakan enjin ikonik W16 Bugatti.

Ia sekali gus menutup kisah enjin berkenaan yang bermula menerusi Veyron, diteruskan oleh Chiron dan diakhiri oleh W16 Mistral.

Unit terakhir tersebut menerima kemasan dua tona Pearl dan Sparkle sebagai penghormatan kepada statusnya sebagai W16 Mistral terakhir yang dihasilkan.

Model ini turut membawa slogan “The last of its kind” sejak diperkenalkan pada 2022.

Penamat era W16, permulaan era Tourbillon

Pengeluaran W16 Mistral berakhir beberapa hari selepas Bugatti merasmikan La Manufacture, fasiliti baharu yang pusat pengeluaran Tourbillon di Molsheim.

Perkembangan itu menandakan berakhirnya satu bab dalam sejarah Bugatti, manakala syarikat itu kini bersedia memasuki era baharu menerusi kereta hiper generasi terbaru.

W16 Mistral diperkenalkan sempena Monterey Car Week 2022 sebelum dibawa ke beberapa negara termasuk Jepun, Singapura, Riyadh dan Dubai.

Kereta produksi bumbung terbuka terpantas di dunia

Sebelum pengeluaran bermula, W16 Mistral terlebih dahulu mencipta sejarah automotif pada November 2024.

Ketika itu, pemandu rasmi Bugatti, Andy Wallace, memandu W16 Mistral World Record Car sehingga mencapai kelajuan 453.91 km/j di ATP Automotive Testing Papenburg.

Catatan tersebut menjadikan W16 Mistral sebagai kereta produksi bumbung terbuka terpantas di dunia dan penutup yang sempurna sebelum pengeluaran bermula pada awal 2025.

Pada Silverstone Grand Prix 2026, kereta yang sama diserahkan secara rasmi kepada pemilik dan menjadi satu lagi detik penting dalam perjalanan model berkenaan.

Setiap W16 Mistral dihasilkan mengikut cita rasa pemilik

W16 Mistral antara model yang paling menonjol dalam program Sur Mesure Bugatti.

Pasukan Sur Mesure di Molsheim dan Berlin bekerjasama rapat dengan pelanggan bagi memahami kehendak serta aspirasi mereka sebelum menghasilkan interpretasi yang benar-benar unik.

Hasilnya, tiada dua buah W16 Mistral mempunyai spesifikasi yang sama.

Pada awal Julai, Bugatti memperkenalkan W16 Mistral Blanc Éternel, sebuah model one-off yang menggabungkan ketepatan reka bentuk digital dengan hasil kerja tangan yang teliti.

Model itu turut menampilkan elemen porselin hasil kepakaran Königliche Porzellan-Manufaktur Berlin (KPM Berlin), sekali gus mencerminkan visi pelanggan menerusi setiap perincian reka bentuk.

Unit terakhir sarat dengan elemen warisan Bugatti

Inspirasi utama W16 Mistral diambil daripada Type 57 Roadster Grand Raid.

Bagi unit terakhir, Bugatti memilih untuk memberi penghormatan kepada W16 Mistral sendiri menerusi tema “The last of its kind”, yang merujuk kepada model jalan raya terakhir menggunakan enjin W16.

Di dalam kabin, sebuah plat khas memaparkan slogan tersebut bersama bayangan W16 Mistral sebagai simbol kepada pengakhiran sebuah era.

Bahagian luar dipadankan dengan warna Pearl dan Sparkle, manakala ruang dalaman menggunakan kombinasi Magnolia dan Grey Carbon Matt.

Reka bentuk keseluruhannya turut mengimbau kembali visi Ferdinand Piëch ketika menghidupkan semula Bugatti moden.

Beliau mahu menghasilkan sebuah kereta yang mampu melepasi 400 km/j, namun masih cukup tenang untuk dipandu ke opera pada malam yang sama.

Penghormatan kepada Ettore Bugatti

Pemilik turut mahu mengabadikan legasi Ettore Bugatti, pengasas Bugatti yang menjadikan Molsheim sebagai kediaman jenama itu pada 1909.

Tandatangan Ettore dijahit pada perehat kepala tempat duduk, diukir pada ambang pintu aluminium dan menggantikan tandatangan Bugatti pada bahagian dalam penutup enjin.

Hubungan antara sejarah dan era moden Bugatti diteruskan menerusi plak pada perehat tangan yang dihasilkan bersama Lalique.

Diperbuat daripada kristal beku dan dinamakan Spirit of the Wind, plak tersebut mengimbau kerjasama antara Ettore Bugatti dan René Lalique.

Ia juga menyerupai arca yang diberikan kepada pelanggan ketika mereka menempah W16 Mistral mengikut cita rasa masing-masing.

Sentuhan khas untuk pemilik dari Timur Tengah

Dengan kerjasama Pengurus Sur Mesure dan Individualization Bugatti, Jascha Straub serta Bugatti Riyadh, pemilik turut menambah satu lagi sentuhan peribadi.

Arca kepala burung helang menggantikan arca gajah ikonik Bugatti pada tuil gear sebagai penghormatan kepada haiwan yang mempunyai nilai istimewa di Timur Tengah.

Motif burung helang yang disulam menggunakan benang Anthracite turut menghiasi panel pintu, melengkapkan identiti unik kereta tersebut.

99 unit menutup legasi enjin W16

Dengan siapnya unit terakhir ini, pengeluaran W16 Mistral secara rasmi berakhir selepas hanya 99 unit dibina.

Setiap sebuah dihasilkan mengikut kehendak pemilik menerusi program Sur Mesure, sekali gus membawa falsafah enjin W16 yang telah menjadi identiti Bugatti selama hampir dua dekad.