Toyota Corolla Hatchback 2027 A.S. dengan paparan digital baharu, harga bermula RM101,400
Toyota memperkenalkan Corolla Hatchback 2027 di Amerika Syarikat (A.S.) dengan beberapa penambahbaikan supaya terus kekal relevan.
Perubahan kali melibatkan teknologi dalam kabin, sambil mengekalkan karakter pemanduan sporti yang menjadi identiti model hatchback kompak itu.
Ditawarkan dalam varian SE dan XSE, model tahun 2027 menerima paparan meter digital baharu, sistem maklumat hiburan yang dipertingkatkan, pilihan warna tambahan serta aksesori roda aloi baharu.
Corolla Hatchback 2027 dipasang di kilang Tsutsumi di Aichi, Jepun dan dijangka tiba di pengedar Toyota di Amerika Syarikat pada musim panas tahun ini.
Harga bermula dari AS$24,780 (RM101,400), tidak termasuk caj pemprosesan dan pengendalian sebanyak AS$1,295 (RM5,300).
Paparan digital lebih besar, sistem multimedia dipertingkat
Antara perubahan utama bagi model 2027 ialah peningkatan pada paparan meter digital dan sistem maklumat hibur.
Varian SE kini didatangkan secara standard dengan paparan meter digital 7 inci.
Sementara itu, varian XSE menerima paparan meter digital 12.3 inci serta sistem Toyota Audio Multimedia bersaiz 10.5 inci sebagai kelengkapan standard.
Toyota turut memperkenalkan SE Premium Package untuk varian SE.
Pakej itu menambah paparan meter digital 12.3 inci bersama sistem Toyota Audio Multimedia 10.5 inci.
Semua varian dilengkapi sistem Toyota Audio Multimedia dengan skrin sentuh standard 8 inci.
Turut disediakan ialah sokongan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto, sambungan Bluetooth untuk dua telefon serta sistem audio enam pembesar suara.
Corolla Hatchback turut menawarkan percubaan Connected Services selama lima tahun bagi Safety Connect, Service Connect dan Remote Connect.
Toyota juga menyediakan percubaan Wi-Fi Connect selama 30 hari atau 3GB, manakala Drive Connect ditawarkan mengikut varian.
Reka bentuk kekal sporti
Corolla Hatchback kekal bergaya meskipun sudah berada di pasaran sejak tahun 2018.
Bahagian hadapan menampilkan lampu LED tirus, manakala lampu belakang LED direka bagi menyerlahkan penampilan belakang yang lebih lebar.
Toyota turut menawarkan aksesori tulen baharu iaitu roda aloi 18 inci Gloss White.
Bagi varian SE, roda tersebut memerlukan pembelian berasingan tayar bersaiz 225/40R18.
Pilihan warna turut dikemas kini dengan penambahan Inked, Blueprint dan Blueprint dengan bumbung hitam.
Warna lain yang ditawarkan ialah Inferno, Classic Silver Metallic, Finish Line Red, Magnetic Gray Metallic, Wind Chill Pearl dan Ice Cap.
Turut tersedia ialah pilihan kemasan dua tona dengan bumbung hitam untuk warna Blueprint, Classic Silver Metallic, Finish Line Red, Magnetic Gray Metallic dan Wind Chill Pearl.
Kabin premium
Bahagian dalaman menawarkan susun atur yang memfokuskan keselesaan pemandu dan penumpang.
Varian SE dilengkapi kerusi pemandu fabrik dengan pelarasan enam hala serta kerusi penumpang hadapan pelarasan empat hala.
XSE pula menerima kerusi SofTex dengan pelarasan kuasa lapan hala untuk pemandu, kerusi penumpang hadapan pelarasan empat hala serta fungsi pemanas bagi kedua-dua kerusi hadapan.
Enjin 2.0 liter Dynamic Force
Corolla Hatchback 2027 digerakkan enjin 2.0 liter Dynamic Force dengan teknologi Dual Variable Valve Timing with intelligence (VVT-i) yang menghasilkan 171 PS dan tork 205 Nm.
Enjin dipadan bersama transmisi Dynamic Shift CVT yang menggunakan gear pelancaran fizikal (launch gear) bagi memberikan pecutan awal lebih responsif sebelum beralih kepada sistem CVT.
Semua varian turut dilengkapi pedal gear dengan 10 nisbah simulasi serta mod pemanduan Normal, Eco dan Sport.
Platform TNGA-C
Corolla Hatchback dibina menggunakan platform TNGA-C.
Model ini menggunakan suspensi MacPherson di hadapan dan pelbagai pautan di belakang yang ditala bagi memberikan keseimbangan antara keselesaan serta pengendalian yang lebih lincah.
Toyota Safety Sense 3.0
Dari aspek keselamatan, semua varian Corolla Hatchback 2027 didatangkan dengan Sistem Keselamatan Toyota (Toyota Safety Sense 3.0) serta Pemantau Titik Buta (Blind Spot Monitor) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (Rear Cross-Traffic Alert) sebagai kelengkapan standard.
Toyota Safety Sense 3.0 merangkumi:
- Sistem Pra-Perlanggaran dengan Pengesan Pejalan Kaki (Pre-Collision System with Pedestrian Detection)
- Kawalan Jelajah Radar Dinamik Julat Kelajuan Penuh (Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control)
- Amaran Keluar Lorong dengan Bantuan Stereng (Lane Departure Alert with Steering Assist)
- Bantuan Pengesanan Lorong (Lane Tracing Assist)
- Bantuan Isyarat Jalan (Road Sign Assist)
- Lampu Tinggi Automatik (Automatic High Beams)
- Bantuan Pemanduan Proaktif (Proactive Driving Assist)
Harga
Harga rasmi bagi pasaran Amerika Syarikat adalah seperti berikut:
- SE: AS$24,780 (RM101,400)
- XSE: AS$27,875 (RM114,000)
Semua harga tidak termasuk caj pemprosesan dan pengendalian sebanyak AS$1,295 (RM5,300).















