Jaecoo J5 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM108,000

Jaecoo J5 2026

Omoda | Jaecoo Malaysia secara rasmi melancarkan model SUV baharu Jaecoo J5 2026 untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan dari RM102,000.

Harga yang disebutkan itu tadi sah bermula 5-15 Mac 2026, dan selepas itu akan dijual pada harga RM108,000.

Sebagai sebuah SUV segmen B, Jaecoo J5 bakal diposisikan sebagai alternatif yang lebih kecil kepada SUV Jaecoo J7 sedia ada.

 

Spesifikasi Jaecoo J5

Model ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menjana 147 PS dan 210 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT. Kadar bacaan penggunaan bahan api pula adalah sekitar 6.4 liter/100 km.

Dari segi dimensi, Jaecoo J5 berukuran 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm dan menawarkan jarak antara roda 2,620 mm.

Antara pesaing di dalam kategori SUV segmen B, J5 memiliki panjang yang sama dengan Proton X50, dan pendek sedikit berbanding Chery Omoda 5, Chery Tiggo Cross dan Honda HR-V.

Namun, J5 memiliki kelebihan dari segi jarak antara roda yang lebih panjang, menyumbang kepada kabin yang lebih lapang.

Selain itu, ruang kargo J5 adalah sebesar 480 liter, dan mampu mencapai kapasiti 1,284 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat dengan nisbah 60:40.

Unik di dalam segmennya, Jaecoo J5 menawarkan tetapan suspensi topang MacPherson untuk gandar depan, dan tetapan multi-link di belakang.

Sebagai perbandingan, rata-rata model pesaing SUV segmen B dilengkapi dengan tetapan torsion beam yang lebih ringkas.

 

Kelengkapan luaran dan kabin

Sama seperti model Jaecoo yang lain, J5 membawakan penampilan luar premium yang diilhamkan daripada jenama SUV Britain.

Keempat-empat sudut dilengkapi dengan rim 18 inci serta balutan tayar 235/55 R18 untuk imej yang lebih bergaya.

Ciri lain termasuklah lampu utama berserta lampu nyalaan siang dalam perumah tunggal, struktur jeriji yang agak besar, pemegang pintu konvensional, pintu tailgate berkuasa serta spoiler di bahagian belakang.

Bahagian kabin J5 didatangkan dengan kelengkapan seperti skrin kluster LCD 8 inci, skrin tengah 13.2 inci resolusi 2K dengan sokongan WiFi, Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio 8-pembesar suara.

Selain itu, J5 dilengkapi bumbung kaca panorama 1.45 meter persegi, serta slot pengecasan peranti tanpa wayar dengan pengudaraan aktif.

J5 juga menggunakan bahan kemasan mesra haiwan peliharaan yang mendapat pensijilan TUV.

 

Ciri keselamatan

Jaecoo J5 dilengkapi dengan ciri ADAS Tahap 2.5 yang turut merangkumi fungsi berikut:

  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Kekal Lorong (LKA)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Kawalan Jelajah Terintegrasi (ICC)
  • Kawalan Jelajah Adaptif Kelajuan Penuh (ACC)
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (DAI)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Brek Trafik Silang Belakang (RCTB)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Pengehad Kelajuan Aktif (ASL)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Sistem Brek Berbilang Pelanggaran (MCB)
  • Bantuan Pengekalan Lorong Kecemasan (ELK)
  • Bantuan Elak Kemudi (ESA)

 

Pakej ‘Early Bird’

Omoda | Jaecoo Malaysia turut menawarkan pakej ‘Early Bird’ bernilai RM8,000 sah dari 5-15 Mac 2026 merangkumi perkara berikut:

  • insurans tahun pertama (RM3,000)
  • rebat Duit Raya (bernilai RM3,000)
  • aksesori subwoofer, mikrofon tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi (bernilai RM2,000)

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved