Nissan LEAF NISMO 2026 dilancar di Jepun – talaan khas NISMO, sehingga 215 hp, harga bermula RM165k
Nissan secara rasmi melancarkan Nissan LEAF NISMO 2026 di Jepun, sekali gus mengembangkan lagi barisan model prestasi NISMO berasaskan kenderaan elektrik (EV).
LEAF generasi ketiga diperkenalkan di Jepun pada Januari 2026 dengan platform EV baharu, jarak pemanduan lebih baik, prestasi dipertingkat dan teknologi terkini.
Sejak LEAF diperkenalkan pada 2010, model itu sudah terjual kira-kira 700,000 unit di seluruh dunia.
Berasaskan LEAF serba baharu, versi NISMO dibangunkan mengikut falsafah yang menggabungkan prestasi berinspirasikan sukan permotoran dengan keselesaan penggunaan harian.
Casis ditala semula, lebih lincah dan responsif
Nissan membangunkan LEAF NISMO berasaskan konsep Agile Intelligent Sport Crossover, dengan pelbagai talaan khas bagi memberikan pengendalian yang lebih tajam dan responsif.
Antara naik taraf utama ialah:
- Pegas NISMO khas.
- Bar penstabil khas.
- Member bush pilihan bagi meningkatkan kekakuan casis.
- Penyerap hentak jenis Swing Valve, sama seperti Nissan X-Trail NISMO.
Menurut Nissan, kombinasi itu mengurangkan olengan badan ketika memasuki selekoh, sambil memastikan suspensi masih mampu menyerap permukaan jalan yang tidak rata dengan baik.
LEAF NISMO turut menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 5 bersama rim aloi ringan 19 inci Enkei, sekali gus meningkatkan cengkaman, kestabilan dan ketepatan stereng.
Mod NISMO khas untuk prestasi maksimum
LEAF standard menawarkan empat mod pemanduan iaitu Standard, ECO, Sport dan Personal.
LEAF NISMO pula lebih istimewa dengan menerima talaan khas untuk mod Standard, ECO dan Sport.
Mod Sport kini dikenali sebagai NISMO Mode, dengan talaan yang menghasilkan pecutan lebih linear dan lebih agresif, memanfaatkan karakter motor elektrik.
Selain itu, LEAF NISMO menjadi model EV NISMO pertama yang menerima pedal kawalan brek regeneratif dengan talaan khusus.
Empat tahap brek regeneratif disediakan:
- Tahap 1 menawarkan nyahpecutan lebih rendah berbanding model biasa.
- Tahap 2 hingga Tahap 4 pula memberikan kesan brek regeneratif yang lebih kuat untuk pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan.
Rangkaian kuasa
Varian B5 NISMO dijana oleh motor elektrik yang menghasilkan kuasa sebanyak 130kW bersamaan 175hp, manakala julat tork maksimumnya mencecah 345Nm.
Bagi varian yang lebih tinggi iaitu B7 NISMO dan B7 NISMO RECARO, kedua-duanya menerima unit trenkuasa yang lebih berkuasa iaitu 160kW bersamaan 215hp dengan imbangan tork setinggi 355Nm.
Rekaan lebih agresif dengan aerodinamik dipertingkat
Dari segi luaran, LEAF NISMO menampilkan kit badan eksklusif yang bukan sekadar untuk penampilan, malah turut meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Antara perubahan utama termasuk:
- Bampar hadapan baharu dengan saluran udara (air guide).
- Kemasan bawah pintu eksklusif.
- Bampar belakang khas dengan boat hull under spoiler.
- Spoiler belakang jenis ducktail yang dipanjangkan.
Menurut Nissan, kombinasi komponen tersebut menghasilkan daya mendap (downforce) tambahan tanpa meningkatkan rintangan angin berbanding LEAF standard.
Kemasan merah Arterial Magma turut digunakan di sekeliling badan, manakala cermin sisi berwarna hitam berkilat menerima jalur merah sebagai identiti NISMO.
Enam pilihan warna
LEAF NISMO ditawarkan dengan enam warna badan:
- Empat warna daripada LEAF standard.
- Dua variasi warna eksklusif NISMO Stealth Gray yang hanya ditawarkan pada model NISMO.
Kabin lebih sporti
Bahagian dalaman menampilkan tema hitam dengan sentuhan merah bagi mewujudkan suasana pemanduan yang lebih sporti.
Elemen khas NISMO merangkumi:
- Paparan meter kuasa.
- Kemasan papan pemuka.
- Suis kuasa eksklusif.
Stereng dibalut bahan sintetik TailorFit yang menyerupai kulit Nappa, lengkap dengan penanda tengah merah serta jahitan merah.
Tempat duduk hadapan menerima kemasan berliang merah dan sulaman logo NISMO.
Varian B7 NISMO RECARO pula dilengkapi kerusi sport RECARO talaan khas NISMO dengan fungsi pelarasan elektrik bagi meningkatkan sokongan badan ketika memandu.
Dimensi Nissan LEAF NISMO 2026
- Panjang: 4,415 mm
- Lebar: 1,810 mm
- Tinggi: 1,550 mm (1,565 mm untuk varian ProPILOT 2.0)
- Jarak roda: 2,690 mm
- Kelegaan bumi: 135 mm
Spesifikasi motor elektrik
B7 NISMO / B7 NISMO RECARO
- Kuasa maksimum: 160 kW
- Tork maksimum: 355 Nm
B5 NISMO
- Kuasa maksimum: 130 kW
- Tork maksimum: 345 Nm
Berat kenderaan pula ialah:
- 1,920 kg (B7 NISMO)
- 1,900 kg (B7 NISMO RECARO)
- 1,820 kg (B5 NISMO)
Kesemua varian menggunakan tayar bersaiz 235/45 R19.
Harga Nissan LEAF NISMO di Jepun
Nissan LEAF NISMO mula dijual di pasaran Jepun bermula hari ini. Berikut varian dan harga LEAF NISMO:
- B5 NISMO: ¥6,601,100 (RM165,489)
- B7 NISMO: ¥6,952,000 (RM174,286)
- B7 NISMO RECARO: ¥7,227,000 (RM181,179)
Kredit gambar: Nissan






















