Kelibat prototaip Toyota GR MR2 dikesan di Fuji Speedway – nampak garang!

Toyota GR MR2 2026

Ini mungkin sekali penampilan pertama model berprestasi tinggi terbaharu daripada Toyota Gazoo Racing.

Gambar yang muncul dalam akaun X @You_SuiKoyoAZ menampilkan sebuah model misteri yang dipercayai prototaip MR2 serba baharu sedang memecut di litar Fuji Speedway.

Ciri unik

Jentera tersebut membawakan bentuk coupe dua pintu, diikuti dengan rekaan fender lebar pada gandar depan dan belakang.

Unit lampu depan dan belakang pula diambil daripada Toyota GR Yaris facelift, sementara bahagian belakang pula menampilkan sayap belakang rekaan leher angsa.

Kehadiran liang penyejukan udara yang besar pada fender belakang mencadangkan jentera ini mempunyai tetapan enjin tengah.

Enjin serba baharu

Toyota MR2” baharu ini bakal dipacu enjin empat silinder sebaris G20E serba baharu.

Enjin yang lebih kompak berbanding nadi 2.4 liter turbo sedia ada itu dijangka mampu menghamburkan kuasa 300 hp dan 400 Nm, dan boleh mencecah sehingga 400 hp/550 Nm dalam versi yang lebih berkuasa.

MR2 baharu ini dijangka tidak akan mengikut resepi asal MR2 yang menggunakan tetapan enjin tengah dan pacuan roda belakang.

Sebaliknya ia bakal menggunakan sistem pacuan semua roda yang dibantu dengan pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen depan dan juga belakang.

Barisan model GR semakin berkembang

Selain MR2, Toyota sebelum ini pernah memperlihatkan sebuah lagi model prototaip yang diuji ketika perlumbaan rali awal tahun lalu.

Model ujian tersebut dipercayai merupakan Celica serba baharu dengan spesifikasi rali yang disediakan untuk musim WRC 2027.

Berdasarkan laporan terdahulu, Toyota sememangnya sedang merancang untuk menghidupkan semula nama Celica.

Persoalannya, adakah “Celica baharu” ini bakal berkongsi resepi yang sama dengan MR2 baharu atau membawakan pendekatan yang berbeza?

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved