Honda N-BOX 2026 facelift dengan kit badan Mugen, tampil lebih sporti!
Honda N-BOX 2026 mula dijual secara rasmi di Jepun selepas diperkenal pada 16 Julai lalu. Honda memberi tumpuan kepada penampilan dan penambahan pilihan varian baharu.
Antara perubahan utama ialah rekaan muka hadapan N-BOX Custom yang lebih garang.
Honda turut memperkenalkan varian khas BLACK STYLE untuk N-BOX JOY, selain pilihan warna bumbung dua tona baharu bagi N-BOX Fashion Style.
Kemasan cat badan juga dipertingkat menerusi penggunaan lapisan clear coat baharu yang memberikan permukaan lebih berkilat.

Bersempena pelancaran model 2026, Mugen turut memperkenalkan kit badan, aksesori dan komponen prestasi untuk N-BOX dan N-BOX Custom.
Dari segi rangkaian kuasa, Honda N-BOX 2026 menggunakan enjin petrol tiga silinder 658 cc DOHC yang dipadankan bersama transmisi CVT.
Enjin aspirasi biasa (NA) menghasilkan 58 PS dan 65 Nm manakala varian turbo menghasilkan 64 PS dan 104 Nm.
Model ini ditawarkan dengan pilihan pacuan roda depan (FF) atau pacuan empat roda (4WD).
Konsep My Special BOX
Mugen membangunkan rangkaian aksesori ini berasaskan konsep My Special BOX.
Konsep tersebut memberi lebih banyak pilihan kepada pemilik untuk mengubahsuai N-BOX mengikut gaya hidup dan citarasa masing-masing.
Tumpuan utama diberikan kepada N-BOX Custom menerusi pakej aerodinamik yang menjadikan penampilannya lebih sporty dan agresif.
Kit badan aerodinamik
Antara komponen utama yang ditawarkan ialah spoiler bawah hadapan (Front Under Spoiler) yang menampilkan rekaan lebih tajam dan agresif.
Turut ditawarkan ialah spoiler sisi yang memberikan visual lebih lebar, serta spoiler bawah belakang (Rear Under Spoiler) untuk melengkapkan penampilan sporti.
Mugen turut menawarkan kemasan gril hadapan (Front Grille Garnish) yang menghitamkan bahagian gril bagi menyerlahkan imej hadapan.
Selain itu, terdapat juga pelekat gril bawah hadapan yang memberikan sentuhan lebih sporti pada bampar hadapan.
Rim dan komponen prestasi
Selain aksesori luaran, Mugen turut menawarkan beberapa komponen prestasi.
Antaranya ialah Performance Damper yang ditala khas bagi meningkatkan kestabilan serta pengendalian.
Turut ditawarkan rim aloi MDY bersaiz 15 inci dengan rekaan tujuh jejari berkembar yang menyerlahkan imej sporti.
Aksesori praktikal
Mugen turut menyediakan pelbagai aksesori praktikal untuk kegunaan harian.
Antaranya ialah:
- Visor berventilasi (Ventilated Visor)
- Karpet sport
- Alas kargo sport
- Pelindung ambang pintu (Scuff Plate)
- Pelindung bahagian dalaman pintu (Door Inner Protector)
Harga aksesori utama Mugen
- Spoiler bawah hadapan: ¥66,000 (RM1,647)
- Spoiler bawah belakang: ¥66,000 (RM1,647)
- Kemasan gril hadapan: ¥44,000 (RM1,098)
- Pelekat gril bawah hadapan: ¥8,800 (RM220)
Semua produk aksesori akan dipasarkan secara berperingkat menerusi pengedar Honda Cars serta pengedar rasmi Mugen di seluruh Jepun.
Kredit gambar: Mugen



Harga aksesori utama Mugen




