Nissan Kicks 2026 rasmi masuk pasaran Jepun, sistem e-Power dan e-4ORCE!

Nissan Kicks e-Power 2026 Jepun

Nissan Kicks telah pun rasmi memasuki pasaran Jepun, menampilkan sistem e-Power generasi ketiga dan pilihan sistem pacuan semua roda e-4ORCE.

Untuk info, Kicks pasaran Jepun ini merupakan model generasi kedua yang lebih mirip kepada Kicks yang ditawarkan di Amerika Syarikat.

Ia berbeza sama sekali dengan unit generasi pertama yang ada di Malaysia yang merupakan facelift pertama dan versi facelift kedua yang baru beberapa bulan dilancarkan di Thailand.

Di Jepun, Nissan Kicks e-Power dijual pada harga bermula dari 2,999,700 yen (RM76,774) untuk versi 2WD hingga 4,248,200 yen (RM108,728) untuk varian e-4ORCE yang paling premium.

Sistem e-Power & e-4ORCE

Nissan Kicks untuk pasaran Jepun hanya ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa e-Power yang menggandingkan lima komponen utama:

  • motor elektrik
  • unit penjana
  • unit penyongsang
  • unit pengecil
  • unit peningkat

Versi FWD dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 141 hp, sementara varian e-4ORCE pula mendapat tambahan motor elektrik pada gandar belakang (67 hp).

Enjin 1.4 liter HR14DDe (97 hp/123 Nm) pula hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk kegunaan motor eletrik dan mengecas bateri.

Nissan mendakwa tetapan baharu ini 10 peratus lebih cekap tenaga berbanding sistem terdahulu.

Kelengkapan luar & dalam

Seperti yang disebutkan tadi, penampilan Kicks pasaran Jepun ini berbeza dengan apa yang kita ada.

Ia lebih mirip kepada model pasaran Amerika dengan struktur jeriji yang lebih lebar, lampu utama lebih nipis dan lampu nyalaan siang DRL bertindih.

Bahagian belakang pula menampilkan perumah lampu berbentuk L dengan grafik bertindih yang sama seperti unit DRL.

Ruang kabin pula menempatkan skrin paparan berkembar 12.3 inci, panel kawalan iklim, butang PRND pada konsol tengah, tempat duduk Zero Gravity, serta pilihan upholsteri kulit sintetik atau fabrik.

Ciri keselamatan Pro-Pilot merangkumi beberapa fungsi penting termasuklah:

  • Paparan Keliling Pintar
  • Brek Kecemasan Pintar (IEB)
  • Sistem Sokongan Pengelakan Pelanggaran Belakang Pintar (IBSI)
  • Amaran Pengesanan  Kenderaan (BSW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Nissan Kicks Rock Creek

Ini pula varian Kicks yang lebih lasak dibangunkan oleh Nissan Motorsports & Customize (NMC).

Ia hadir dengan penampilan tersendiri, disumbangkan oleh kemasan perak pada jeriji, kemasan hitam pada bampar hadapan, aksen Lava Red, skid plate aluminium dan rim aloi lima-jejari.

Ruang kabin pula menampilkan upholsteri kalis air, serta kemasan jahitan Lava Red.

Nissan Kicks Rock Creek

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved