Tiga kelemahan yang ada pada Nissan Kicks e-Power
Baru-baru ini di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menandakan kebangkitan semulanya menerusi pelancaran Nissan Kicks e-Power.
Kicks e-Power untuk pasaran Malaysia akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Ini bermakna kita akan mendapat model generasi pertama versi facelift yang sebenarnya telah dilancarkan di negara itu empat tahun lalu.
Walaupun ia bukan produk paling segar dalam pasaran, Kicks menawarkan sesuatu yang baharu iaitu trenkuasa e-Power. Trenkuasa ini mempunyai enjin pembakaran dalaman namun tidak seperti hibrid konvensional, ia bertindak sebagai penjana sahaja.
Tayar dipacu 100% oleh motor elektrik pada setiap masa, bermakna anda dapat menikmati pemanduan yang boleh dikatakan hampir sama seperti EV tanpa perlu risau tentang pengecasan.
Ini memang menarik dan sudah tentu dapat membantu meningkatkan kecekapakan bahan api namun semasa pandu uji media baru-baru ini, penulis mendapati mempunyai tiga kekurangan.
Reka bentuk luaran berusia
Seperti yang dikatakan, Kicks e-Power sebenarnya produk yang sudah agak berusia. Ini boleh dilihat menerusi reka bentuk luarannya yang sudah jelas agak berusia jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya.
Jangan salah sangka, penampilannya bukan tidak menarik tetapi ia tidak mempunyai sebarang elemen yang boleh membuatkannya kelihatan lebih menonjol di bilik pameran.
Namun seperti yang anda sedia maklum, penampilan, reka bentuk dan hal-hal yang sewaktu dengannya adalah subjektif. Tidak semua mahukan kereta yang terlampau flashy – ada yang lebih gemar tampil lebih kasual dan bersahaja.
Ruang dalaman yang kurang mengujakan
Ruang dalaman Kicks tampil kemas dan ringkas tetapi seperti bahagian luarannya, ia sudah mula menampakkan usianya.
Ini kerana susun aturnya boleh dikatakan 95% hampir sama dengan ruang kabin Almera cuma Kicks mempunyai tombol gear yang nampak lebih canggih tetapi terasa agak janggal digunakan.
Selain itu, penggunaan kemasan plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu sedikit sebanyak mencacatkan seri kereta ini. Ruang penumpang belakang juga dirasakan agak sempit, walaupun ukuran jarak rodanya 5 mm lebih panjang berbanding HR-V.
Ruang but agak besar tetapi…
Kicks e-Power mempunyai ruang but yang boleh tahan besar dengan keluasan 423 liter. Cuma sayangnya ia tidak didatangkan dengan tayar simpanan. Sebaliknya, anda akan mendapat kit pembaikan tayar.
Adakah keputusan untuk tidak menyertakan tayar simpanan dibuat atas dasar kos atau teknikal? Tidak mustahil jika ia disebabkan oleh faktor kos kerana pasaran kereta di Malaysia secara umumnya agak sensitif kepada harga.
Faktor teknikal juga masuk akal kerana trenkuasa hibrid seperti e-Power melibatkan penggunaan lebih banyak komponen dan mungkin ada di antara komponen berkenaan yang perlu diletakkan di bawah lantai but.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.