7 kereta rekaan Chris Bangle yang paling ikonik
Chris Bangle merupakan seorang pereka automotif yang sangat berbakat dalam memecah-belahkan peminat kereta. Dalam erti kata lain, anda sama ada suka atau pun benci hasil tangan pereka kelahiran Amerika Syarikat ini.
Bangle memulakan kariernya bersama Opel sekitar awal 80an namun nama beliau mula menjadi bualan ramai semasa beliau menggalas tugas sebagai ketua pereka Fiat Coupe.
Apa yang menarik, Bangle mengambil keputusan untuk meninggalkan Fiat untuk menyertai BMW kira-kira setahun sebelum Coupe dilancarkan ke pasaran.
Di Munich, banyak rekaan Bangle mendapat reaksi positif daripada pasaran namun tidak kurang juga yang mengundang kontroversi sehinggakan ada pihak yang mewujudkan petisyen bagi memastikan pereka itu dipecat.
Apa-apa pun, apa sahaja kereta yang diilhamkan sendiri oleh Bangle atau direka di bawah kepimpinannya pasti akan mencetuskan reaksi.
Jom kita lihat 7 kereta rekaan Bangle yang paling ikonik:
Fiat Coupe
Semasa Coupe masih dalam fasa pembangunan, Fiat memilih rekaan Bangle dan pasukannya dan mengenepikan cadangan yang dihantar oleh Pinifarina. Kereta ini menampilkan elemen reka bentuk retro seperti lampu berbentuk bulat dengan ciri kontemporari seperti garisan pepenjuru pada gerbang roda.
BMW 5 Series (E60)
Ketika Bangle mula-mula menyertai BMW, model-model popular iaitu 3 Series, 5 Series dan 7 Series menampilkan rekaan konvensional dan ketiga-tiganya mempunyai ‘wajah’ yang sama cuma saiz berbeza. Tidak mahu mengikut acuan lama, Bangle memberikan 5 Series generasi kelima lampu berbentuk mata helang yang cukup dikenali sehingga ke hari ini.
BMW Z3
Z3 sebenarnya direka oleh Joji Nagashima namun roadster ini dikatakan kereta BMW pertama yang direka di bawah kepimpinan Bangle. Rekaannya tidak seliar model terdahulu iaitu Z1 namun Z3 masih mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya dengan bonet panjang, dek belakang yang pendek serta liang udara ‘insang jerung’.
BMW Z4
Secara asasnya, bentuk roadster itu dikekalkan namun Z4 tampil lebih elegan berbanding Z3 terima kasih kepada teknik reka bentuk yang dikenali sebagai flame surfacing yang mencampurkan garisan tajam dengan permukaan cekung dan cembung yang lebih licin. Dengan pencahayaan yang betul, anda boleh melihat huruf ‘Z’ yang terbentuk daripada garisan antara tayar hadapan dan pintu.
BMW 7 Series (E65)
Seperti dengan 5 Series, Bangle membawa 7 Series generasi keempat ke arah baru dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada kereta konsep Z9 Gran Turismo yang diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 1999. Rekaan bahagian belakangnya yang berbentuk bulat mengundang pelbagai reaksi, termasuk kelahiran terma “Bangle Butt”.
MINI Hatch (R50)
Menghasilkan reka bentuk baharu bukanlah sesuatu yang sukar untuk seorang pereka seperti Bangle namun memberikan sentuhan segar kepada rekaan ikonik tanpa menjejaskan intipatinya adalah cabaran yang berbeza. Itulah yang dihadapi oleh Bangle dan pasukannya dengan Mini Hatch namun hasil tangan mereka terbukti berjaya memikat hati pembeli.
Rolls-Royce Phantom
Ketika di BMW, Bangle juga bertanggungjawab dalam operasi reka bentuk jenama lain yang bernaung di bawah kumpulan BMW iaitu Rolls-Royce. Di bawah pengawasan Bangle, pereka dari Serbia iaitu Marek Djordjevic berjaya menghasilkan Phantom ‘berjiwa’ moden tanpa menjejaskan penampilan ikonik kereta itu yang tidak lapuk dek zaman.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.