fbpx

Hyundai Stargazer masuk pasaran Indonesia – harga dari RM72,000

Hyundai Stargazer 01

Nampaknya Hyundai akan memasuki segmen MPV kompak di Indonesia dengan model terbaharu mereka yang dikenali sebagai Hyundai Stargazer.

Menurut PT Hyundai Motors Indonesia (HMID), model itu ditawarkan dalam empat varian iaitu Active, Trend, Style dan Prime. Ia kini dibuka untuk tempahan dengan harga bermula dari 243.3 juta Rupiah (RM72,435) untuk varian Active MT hingga 307.1 juta Rupiah (RM91,430) untuk Prime.

Dari segi rekaan, jelas sekali Stargazer mendapat inspirasinya daripada Staria dengan bar lampu yang memanjang pada bahagian depan serta lampu LED utama kiub yang diintegrasikan pada gril.

Bagaimanapun, bahagian belakang agak berbeza kerana model ini menggunakan bar lampu menegak dan melintang yang membentuk huruf ‘H’ yang besar.

Jika dibandingkan dengan Staria yang mempunyai bentuk seperti van, bentuk keseluruhan Stargazer dilihat lebih mirip kepada model-model MPV kompak yang lain seperti Mitsubishi Xpander dan Honda BR-V.

Selain itu, Stargazer juga tidak mempunyai pintu gelongsor seperti Staria, sebaliknya ia menggunakan pintu tradisional pada kedua-dua sisi.

Model ini mempunyai ukuran dimensi 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,690 mm tinggi, bermakna ia sedikit lebih besar berbanding BR-V semasa. Ukuran tapak roda pula adalah 2,780 mm, lebih panjang daripada BR-V dan Xpander.

Ruang dalamannya juga boleh tahan moden, dengan adanya ciri-ciri seperti paparan TFT berwarna sebesar 4.2 inci pada kluster instrumen, skrin sentuh lapan inci dengan ciri ketersambungan telefon pintar dan juga pengecas wayarles.

Stargazer ditawarkan dengan pilihan enam atau tujuh tempat duduk. Versi enam tempat duduk mempunyai tempat duduk kapten pada barisan kedua yang mempunyai perehat tangan dan fungsi pelarasan. Kapasiti ruang kargo adalah 585 liter jika barisan tempat duduk ketiga dilipat.

Kuasa pula dibekalkan oleh enjin petrol 1.5-liter MPI empat silinder yang menghasilkan 115 PS pada 6,300 rpm dan 144 Nm tork pada 4,500 rpm. Terdapat dua pilihan kotak gear iaitu manual enam kelajuan atau IVT (Intelligent Variable Transmission).

Akhir sekali, aspek keselamatan model ini diterajui oleh sistem Hyundai SmartSense yang merangkumi Forward Collision-avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Rear Cross-traffic Collision-avoidance Assist (RCCA) dan Blind-Spot Collision Warning (BCW) dengan Blind-Spot Collision-avoidance Assist (BCA).

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved