Bos besar mahu Mitsubishi bangkit dan mampu hasilkan model hebat macam Lancer Evo
Bulan lalu, Mitsubishi menggemparkan dunia dengan perancangan untuk menghidupkan kembali nama ikonik Pajero.
Perkara tersebut ternyata diterima positif oleh kebanyakan pihak yang mahu melihat jenama Mitsubishi kembali bangkit.
Selepas Pajero, tiba giliran Lancer Evo?
Dalam mesyuarat agung tahunan yang ke-57 berlangsung baru-baru ini, terdapat juga pihak mengusulkan supaya Mitsubishi menghidupkan nama-nama lain seperti Lancer Evolution, Diamante dan Galant.
Menurut Keisuke Kishiura, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Mitsubishi Motors Corporation menjelaskan ketiga-tiga model tersebut merupakan kereta penting buat Mitsubishi Motors.
“Kami menganggap (Lancer Evolution, Diamante dan Galant) sebagai khazanah.”
“Pada ketika ini, kami tidak mempunyai pelan kukuh untuk kembali memperkenalkan model tersebut, namun kami mahu menjadikan syarikat kami berkeupayaan untuk menghasilkan semula kereta hebat seperti itu pada masa akan datang.
Mitsubishi sertai WRC semula?
Antara soalan panas yang turut ditanya ialah perancangan Mitsubishi untuk kembali menyertai Kejohanan Rali Sedunia (WRC) sebagai pasukan pengilang.
Untuk makluman, Mitsubishi merupakan antara nama-nama besar yang pernah menguasai pentas rali dunia sebelum menarik diri secara rasmi pada tahun 2005.
Menurut Kishiura, salah satu impiannya adalah menyertai semula WRC sebagai pasukan pengilang.
“Seperti yang saya telah sebutkan, tiada sebarang perancangan kukuh buat masa ini, namun saya mahu menjadikan Mitsubishi Motors sebuah syarikat yang dapat menyertai acara besar seperti WRC pada masa depan.
Lancer Turbo kereta kegemaran Presiden
Kishiura turut mendedahkan kereta pertama yang dipandunya ketika bergelar penuntut ialah sebuah Lancer Turbo.
“Secara peribadi, saya suka memandu. Kereta pertama yang saya pandu ketika belajar bukanlah sebuah Lancer Evolution, tetapi sebuah Lancer Turbo yang usang, sebuah kereta manual dengan stereng berat.
“Ia sebuah kereta pacuan roda belakang, tapi saya gemar memandunya ke resort ski. Saya masih lagi suka memandu kereta.”
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.


