fbpx

Suzuki Hayabusa kertas ini dibuat penuh teliti, kalah kit model!

suzuki hayabusa kertas 05

ORANG Jepun sememangnya terkenal dengan sifat mementingkan ketelitian dalam setiap aspek hidup mereka.

Ini termasuk pembuatan sesuatu produk atau barangan, tidak kira sama ada objek itu kenderaan, makanan, pakaian mahu pun permainan, semuanya dihasilkan sesempurna mungkin.

Model Suzuki Hayabusa ini ialah contoh yang paling tepat untuk menunjukkan ketekunan orang Jepun dalam menghasilkan sesuatu.

Keseluruhan proses pembikinannya ditunjukkan dalam sebuah video berdurasi lebih 20 minit yang dimuat naik ke saluran Youtube bernama YoshiwoModels.

Model ini diperbuat sepenuhnya dengan tangan menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti kertas, resit, kotak tisu dan juga kadbod. Untuk bahan pelekat pula, YoshiwoModels menggunakan gam berasaskan kanji yang dikatakan lebih sesuai untuk kertas dan lebih mesra alam jika dibandingkan dengan gam PVA.

Menerusi video tersebut, dapat disimpulkan yang pemilik saluran YoshiwoModels ini merupakan seorang individu yang mengambil berat tentang alam sekitar apabila sempat menyentuh mengenai topik enjin pembakaran dalaman dan juga pemanasan global.

Tidak dinafikan, penghasilan model ini pastinya rumit dek kerana saiznya yang kecil namun kepakaran yang ditunjukkan oleh YoshiwoModels membuatkan ia kelihatan begitu mudah. Beliau memulakan proses dengan membuat lakaran untuk setiap komponen dan bahagian menggunakan lukisan skematik yang diperoleh dari Internet.

Kemudian, komponen-komponen yang telah ditekap akan dipotong menggunakan pisau bedah dan penebuk lubang, sebelum disambung satu persatu sehingga menjadi objek tiga dimensi. Proses ini diulang untuk setiap komponen, dari enjin, gear, casis hinggalah panel badan, tayar, meter dan sebagainya.

Pendek kata, tidak ada satu bahagian pun yang tidak dihasilkan untuk model kertas ini. Ini termasuklah komponen-komponen dalaman enjin yang halus seperti gasket, kepala piston, rod penghubung dan aci engkol.

Ini bermakna hasil tangan YoshiwoModels ini sama atau mungkin lebih terperinci jika dibandingkan dengan kit-kit model keluaran Tamiya.

Ia mungkin diperbuat daripada bahan buangan yang tidak sekuat plastik, namun kualiti kerja dan keterperincian yang ditunjukkan sepanjang penghasilannya membuatkan Hayabusa kertas ini terasa lebih ‘mahal’ dan unik jika dibandingkan dengan mana-mana model skala siap bina yang boleh didapati di pasaran.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved