fbpx

Manual belum pupus, 95 dari 100 pembeli GMA T.33 pilih kotak gear manual!

gma t.33 thumb

DENGAN kenderaan penumpang menuju ke arah elektrifikasi hari ini, hampir semua pengeluar menawarkan model hibrid atau elektrik (EV) dalam barisan model mereka.

Begitu juga dengan pemilihan transmisi, kebanyakan kenderaan baharu hari ini ditawarkan dengan kotak gear automatik sahaja.

Proton Iriz dan Perodua Myvi sebagai contoh kini tidak lagi menawarkan pilihan kotak gear manual untuk model facelift terkini mereka disebabkan kurang permintaan.

Namun, adakah ini bermakna kotak gear manual bakal pupus dan tidak lagi relevan?

Terkini, pengeluar supercar GMA (Gordon Murray Automotive) mendedahkan bahawa 95 peratus dari pelanggan model terbaharu mereka, T.33 memilih kotak gear manual.

Perkara ini dinyatakan oleh Gordon Murray sendiri mengenai model terbaharunya, T.33 yang hanya akan dihasilkan sebanyak 100 unit.

“Kami telah pun menjual lebih dari separuh kereta-kereta ini, dan dari jumlah itu, hanya tiga dari pelanggan kami memilih paddleshift (automatik),” beliau berkata dalam satu temu ramah oleh Top Gear.

“Saya tak tahu bagaimana mahu maklumkan kepada pasukan apabila siap 100 kereta nanti, hanya lima sahaja akan menggunakan kotak gear automatik kerana transmisi ini agak mahal untuk dibangunkan,” katanya sambil tergelak kecil.

Anda boleh tonton video di bawah dan jika anda mahu terus ke bahagian Murray berkongsi tentang hal kotak gear manual ini, terus ke minit 19:25.

GMA T.33 ialah model kedua selepas T.50 yang diperkenalkan pada 2020 dengan rekaan badan yang ringkas dan kemas.

Ia menampilkan enjin 4.0-liter V12 naturally-aspirated (NA) yang menjana 607hp serta dipadankan dengan pilihan kotak gear manual 6-kelajuan atau automatik ISG dari xTrac.

Jadi, benarkah kotak gear manual tidak lagi relevan? “Lelaki moden pandu dua pedal”?

Bagi kami, kotak gear manual akan terus dihasilkan dan dibangunkan agar menjadi lebih cekap serta lebih mudah digunakan. Ia pasti akan menampilkan teknologi seperti Anti Stall dan Auto Blip atau Rev-Match.

Walaupun peratusan pembeli semakin berkurangan, kami yakin ia akan terus ditawarkan terutamanya untuk model-model sporti dan berprestasi.

Pengeluar kereta mampu milik seperti Hyundai telah membangunkan transmisi manual generasi baharu iMT, manakala untuk kategori premium, Porsche sebagai contoh masih menawarkan pilihan manual 6-kelajuan pada model seperti Cayman GT4, 911 Speedster, dan 911 GT3.

Jika anda ingin membeli kereta sports mungkin untuk kegunaan hujung minggu, pilihan kotak gear manakah yang akan anda ambil?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved