Arkib Kategori: BERITA

Jaecoo J5 EV 2026 debut di Ekspo Oh My Meow! Mid Valley

Bertempat di Ekspo Oh My Meow! yang berlangsung di Mid Valley Exhibition Centre, Omoda | Jaecoo Malaysia mengambil peluang mempamerkan SUV elektrik Jaecoo J5 EV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Ia juga merupakan kenderaan elektrik (EV) pertama jenama tersebut di Malaysia.

Jarak pandu sehingga 402 km

Jaecoo J5 EV dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang memacu roda depan, menghasilkan kuasa 208 hp dan 288 Nm.

Pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) CATL 58.9 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 402 km (data WLTP).

J5 EV turut menyokong pengecasan pantas yang membolehkan bateri dicas 30-80% SoC dalam masa 28 minit, serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Kelengkapan

Dari segi rupa, J5 EV tidak banyak beza jika dibandingkan dengan model berenjin pembakaran dalaman.

Suspensi terdiri daripada topang MacPherson di depan dibantu dengan tetapan multi-link di belakang.

Keempat-empat sudut dipadankan dengan rim bersaiz 18 inci.

SUV ini turut dilengkap dengan kaca dua lapis yang dapat membantu meminimumkan bunyi bising, serta bumbung kaca panorama 1.45 meter persegi.

Ruang kabin pula menempatkan skrin kluster LCD 8.88 inci, skrin infohibur 13.2 inci dengan resolusi 2K, upholsteri mesra haiwan peliharaan, serta fungsi kawalan iklim dua zon automatik.

Teknologi pintar

 

Jaecoo J5 EV turut dilengkapi dengan sistem Active Grille Shutter (AGS) yang dapat mengoptimumkan aliran udara untuk prestasi dan kecekapan.

Aspek keselamatan pula terdiri daripada sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2+ yang menampilkan 19 fungsi utama, dibantu dengan sistem kamera keliling 540 darjah.

Praktikaliti

Secara standard, Jaecoo J5 EV menawarkan ruang kargo sebesar 480 liter dan boleh mencecah sehingga 1,284 liter.

Terdapat juga ruang frunk sebesar 35 liter, serta 35 ruang storan pintar yang tersedia dalam ruang kabin.

Hyundai Motor Malaysia rai ulang tahun pertama, tawar pelbagai ganjaran termasuklah Stargazer!

Bersempena dengan ulang tahun pertama operasi, Hyundai Motor Malaysia (HMY) melancarkan kempen Durian Runtuh Berganda-ganda selama tiga bulan bermula 1 Julai hingga 30 September 2026.

Sepanjang tempoh tersebut, Hyundai menawarkan promosi, hadiah eksklusif serta aktiviti menarik di rangkaian pengedar di seluruh negara.

Rebat tunai & subsidi petrol

Untuk pembelian model terpilih Santa Fe, Staria dan Tucson, HMY menyediakan pakej Total Drive Reward yang merangkumi:

  • rebat tunai sehingga 16%
  • 8 kali servis berjadual percuma (termasuk kos buruh & alat ganti)
  • subsidi petrol sehingga RM5,000
Alternatifnya, pembeli boleh memilih untuk mendapatkan rebat tunai segera bernilai sehingga RM36,000.

Peluang menang Hyundai Stargazer

Sepanjang tempoh kempen, pelanggan yang membuat tempahan atau pendaftaran mana-mana model Hyundai akan menerima penyertaan untuk memenangi sebuah Hyundai Stargazer baharu.

Selain itu, mereka yang melengkapkan sesi pandu uji, tempahan dan pendaftaran juga layak untuk menyertai Monthly 7 Lucky Winners Campaign yang menawarkan hadiah RM10,000 dalam bentuk kredit eWallet Touch ‘n Go.

Program jaminan myHyundaiCare

Setiap kenderaan baharu Hyundai hadir dengan jaminan selama 8-tahun atau had perbatuan 160,000 km (yang mana tiba dahulu).

 

Ferrari 12Cilindri Manuale kembalikan semula pengalaman pemanduan ‘manual’, terhad 1,499 unit

Inilah dia jawapan Ferrari untuk para peminat yang mendambakan sebuah supercar bertransmisi manual – Ferrari 12Cilindri Manuale.

Bunyi macam Ferrari cuba untuk mengembalikan nostalgia sejak produksi model manual terakhir (599 GTB) tamat pada tahun 2012.

Resepi asas kekal, cuma kawalan berbeza

Menerusi model 12Cilindri Manuale, Ferrari mengekalkan resepi asas sebuah jentera Prancing Horse, iaitu nadi bentangan V12 aspirasi semula jadi (NA), kotak gear klac berkembar (DCT) dan pacuan roda belakang (RWD).

Enjin tersebut masih mampu menjana kuasa setinggi 819 hp dan 678 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat.

Cuma, cara pemandu mengawal jentera ini sedikit berbeza.

Tidak seperti jentera 12Cilindri sedia ada, 12Cilindri Manuale diberikan perkakasan yang diidamkan pemandu manual sejati:

  • konsol tengah gated shifter
  • tombol aluminium bulat klasik
  • tetapan tiga pedal

Susun atur kabin juga telah disemak semula (termasuk terowong tengah dan aspek ergonomik) bertujuan untuk menjadikan pemanduan lebih mengujakan.

Manuale-by-Wire

Sistem penukaran gear pada 12Cilindri dinamakan sebagai Manuale-by-Wire, dan ia tidak langsung mempunyai sambungan mekanikal antara tombol gear, pedal klac dan transmisi.

Menerusi sistem ini, input daripada pedal klac dan kedudukan tombol gear akan dihantar secara elektronik kepada unit kawalan transmisi untuk mengubah gear yang dipilih.

Bayangkan sebuah sim rig yang biasanya digunakan untuk perlumbaan maya, tapi kali ini ianya lebih realistik.

Mekanisme penukaran gear dan pedal klac direka supaya menyamai rintangan yang dirasakan oleh pemandu pada sistem manual sebenar.

Sama seperti kereta manual konvensional:

  • sekiranya klac diangkat terlalu awal enjin boleh tersentak atau mati
  • jika pemandu berjaya melakukan penukaran gear dengan tepat, pemanduan akan menjadi lebih lancar

Ia turut mempunyai mekanisme keselamatan yang menghalang pemandu daripada membuat penukaran gear yang tidak dibenarkan (dalam erti kata lain: money shift).

Mod pemanduan manual (gear 1-6) ini boleh digunakan pada kelajuan dibawah 100 km/j, dengan syarat klac perlu ditekan setiap kali gear ditukar.

Sekiranya sudah puas menikmati pemanduan manual, pemandu boleh bertukar kepada mod automatik pada bila-bila masa.

Untuk menjadikan pengalaman yang lebih asli, Ferrari 12Cilindri Manuale tidak menyertakan paddle shifter di sebalik stereng.

Unit terhad

Ferrari 12Cilindri Manuale hanya akan diproduksikan sebanyak 1,499 unit sebagai satu rujukan kepada angka sesaran enjin 12 silinder pertama Ferrari yang dihasilkan pada tahun 1947.

Setiap satu 12Cilindri Manuale akan ditawarkan menerusi program Tailor Made.

Ini bermakna, setiap satu jentera ‘manual’ ini mempunyai kelengkapan dan spesifikasi yang berbeza antara satu sama lain.

Di Eropah, 12Cilindri Manuale dijual pada harga bermula dari €590,000 (RM2.7 juta).

BMW M2 2026 dengan M Performance Track Kit catat rekod Nürburgring, atasi masa M2 CS

BMW M2 2026 yang dilengkapi M Performance Track Kit berjaya mencatat rekod baharu di litar Nürburgring Nordschleife.

Jentera itu merekodkan masa 7 minit 25.068 saat, sekali gus menjadi 0.5 saat lebih pantas berbanding BMW M2 CS.

Catatan masa tersebut dilakukan pada 22 Mei 2026 dan telah disahkan secara rasmi oleh TÜV Rheinland.

Pencapaian itu lebih mengagumkan kerana sesi catatan berlangsung dalam keadaan mencabar, termasuk suhu udara dan permukaan litar yang tinggi selain kewujudan kesan minyak di selekoh T13.

Casis dan aerodinamik baharu kunci prestasi

Rekod tersebut dicapai hasil pembangunan casis baharu yang dikhususkan untuk BMW M2, selain pakej aerodinamik menyeluruh yang dibangunkan bagi meningkatkan prestasi di litar.

Matlamat utama M Performance Track Kit ialah mengoptimumkan ketepatan pengendalian, kestabilan serta prestasi ketika dipandu di litar tertutup.

Ia ditujukan kepada pemilik BMW M yang mahukan pengalaman hari litar lebih serius tanpa mengorbankan penggunaan di jalan raya.

M Performance Track Kit untuk pemanduan litar

Antara komponen utama yang dibekalkan menerusi pakej tersebut ialah:

  • Pemisah hadapan boleh laras.
  • Sirip Aero pada bampar hadapan.
  • Sayap belakang jenis leher angsa dengan pelarasan manual serta mod Race Mode khas.
  • Suspensi dengan sistem penyerap hentak berinspirasikan sukan permotoran yang menerima kelulusan penggunaan jalan raya buat pertama kali.

Gabungan komponen itu membantu meningkatkan cengkaman, kestabilan pada kelajuan tinggi serta ketepatan ketika mengambil selekoh, sekali gus menjadikan BMW M2 lebih kompetitif di litar.

Dibangunkan bersama jurutera BMW M

Semua komponen dalam M Performance Track Kit dibangunkan bersama pasukan jurutera BMW M.

Pakej aerodinamik diuji dan dibangunkan di terowong angin BMW, manakala talaan keseluruhan casis dilakukan oleh Jörg Weidinger, pemandu pemegang rekod Nürburgring dan jurutera pembangunan casis BMW M.

Hasilnya ialah sebuah BMW M2 yang bukan sahaja lebih pantas, malah menawarkan tahap ketepatan stereng, kestabilan dan keyakinan yang lebih tinggi ketika dipandu menghampiri had maksimum di litar.

Rekod baharu membuktikan potensi M Performance Parts

Rekod 7:25.068 minit ini menunjukkan M Performance Track Kit bukan sekadar aksesori kosmetik, sebaliknya menawarkan peningkatan prestasi yang boleh diukur.

Dengan kelebihan 0.5 saat berbanding BMW M2 CS, pakej ini membuktikan keberkesanan talaan yang dibangunkan khusus untuk kegunaan di litar.

Penambahbaikan pada casis, suspensi dan aerodinamik yang tepat mampu memberikan impak besar terhadap prestasi keseluruhan tanpa mengubah asas mekanikal kenderaan.

BMW M2 dengan enjin 3.0L enam silinder sebaris

Model yang diperkenalkan pada Jun 2024 ini dikuasakan enjin 2,993 cc enam silinder sebaris dengan teknologi M TwinPower Turbo.

Enjin tersebut menggunakan dua pengecas turbo mono-scroll, sistem suntikan terus High Precision Injection bertekanan sehingga 350 bar, selain dipadankan dengan teknologi VALVETRONIC dan Double-VANOS.

Kuasa yang dihamburkan sebanyak 480 hp pada 6,250 rpm, manakala tork mencecah 600 Nm dari 2,650 hingga 6,130 rpm bagi varian M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic.

Bagi versi manual enam kelajuan, tork maksimum ialah 550 Nm pada julat rpm yang sama.

Dari segi prestasi, BMW M2 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 4.0 saat dengan transmisi automatik atau 4.2 saat bagi versi manual.

Pecutan 0-200 km/j pula mengambil masa 12.9 saat untuk automatik dan 13.7 saat bagi manual.

Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 250 km/j, namun boleh ditingkatkan kepada 285 km/j dengan pilihan M Driver’s Package.

Hyundai lancar filem kempen “Driving ASEAN as One”, MPV Stargazer sebagai model hero

Hyundai Motor Asia Pasific melancarkan kempen filem “Hyundai, Driving ASEAN as One”.

Ia merupakan satu detik penting dalam kerjasama tajaan utama Hyundai Cup™ 2026 yang bakal berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos 2026.

Keseluruhan kandungan kempen kini disiarkan di saluran media sosial rasmi Hyundai di seluruh ASEAN.

Hyundai Stargazer & ‘Aura Farming Boy’ sebagai watak utama

MPV Hyundai Stargazer dipilih sebagai model hero bagi Hyundai Cup™ 2026.

Dalam filem kempen ini, Stargazer mengangkat semangat “Driving ASEAN as One” sebagai sebuah kenderaan yang menyatukan orang ramai, memudahkan perjalanan bersama dan mencipta detik bermakna.

Kempen ini turut menampilkan Dhika, atau lebih dikenali sebagai ‘Aura Farming Boy’ yang tular ketika perlumbaan perahu Pacu Jalur.

Mewakili nilai kepercayaan, kerjasama dan pergerakan seirama, Dhika menjadi inspirasi tentang makna bergerak sebagai satu pasukan.

Hyundai percaya kemajuan bermakna dapat dicapai apabila semua bergerak dengan tujuan bersama walaupun peranan yang dimainkan adalah berbeza.

Selari visi global Hyundai

Kempen “Driving ASEAN as One” ini merupakan manifestasi langsung visi global Hyundai Motor Company “Progress for Humanity”.

Menurut Faraz Shamsi, Pengarah Eksekutif Pemasaran Hyundai Motor Asia Pasific berkata, “Hyundai Cup™ 2026 bukan sekadar kejohanan bola sepak, ia adalah simbol apa yang ASEAN perjuangkan iaitu kepelbagaian, ketahanan dan semangat kebersamaan yang tidak pernah patah.

“Menerusi kempen terbaharu ini, kami mahu setiap peminat di seluruh rantau merasakan Hyundai sentiasa bersama mereka.

“Bagi kami, Progress for Humanity bukan slogan, ia komitmen untuk membawa perubahan dan hubungan bermakna di setiap pasaran, dan Hyundai Cup™ 2026 adalah cara paling kuat untuk menghidupkan komitmen itu di Asia Tenggara,” ujarnya.

Edisi kelima Toyota SYI Outrun 2026 catat lebih 7,500 penyertaan, kutip RM200k untuk NCSM

Seramai lebih 7,500 orang peserta memeriahkan acara tahunan Toyota Start Your Impossible (SYI) Outrun 2026 yang berlangsung hujung minggu lalu di Putrajaya.

Edisi kelima acara larian amal tahunan itu berjaya mengumpulkan sumbangan dana RM200,000 untuk disalurkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Tiga kategori larian

Diadakan pada 5 Julai 2026, Outrun 2026 ini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai aktiviti komuniti yang menyatukan rakyat Malaysia.

Terdapat tiga kategori yang disediakan iaitu

  • 5KM Fun Run
  • 10KM Competitive Run
  • 21KM Half Marathon

Sambutan yang diterima juga memberangsangkan dengan 2,200 peserta dalam kategori 10KM Competitive Run dan 1,800 pelari dalam kategori 21KM Half Marathon.

UMWT turut menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM138,000 untuk diberikan kepada 10 pelari terbaik bagi setiap kategori kompetitif.

Acara tahunan yang mudah diakses

Datuk Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor berkata, “Toyota SYI Outrun ini menjadi larian pertengahan tahun yang dinantikan rakyat Malaysia kerana ia mudah diakses, membawa mesej positif dan terus menyokong perjuangan yang relevan.

“Bagi UMWT, ini menunjukkan nilai membina inisiatif komuniti secara berterusan, di mana setiap edisi meningkatkan penyertaan, kesedan dan sokongan praktikal kepada organisasi seperti NCSM.

Toyota SYI Outrun diperkenalkan pada tahun 2019 dan telah menyokong pelbagai usaha berkaitan kesihatan yang bermula dengan Majlis Paralimpik Malaysia.

Penampilan atlet paralimpik

Acara ini turut menyaksikan penampilan pertama atlet Paralimpik Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi di acara UMWT.

Beliau sebelum ini menyertai program Global Team Toyota Athlete (GTTA), sebuah platform global untuk atlet mencabar batasan dan memberi inspirasi kepada perubahan positif.

Kehadiran Ammar yang juga pemenang pingat emas Asian Para Games mencerminkan komitmen Toyota terhadap Mobiliti Untuk Semua.

Honda N-BOX kereta paling laris di Jepun H1 2026, model dipertingkat hadir Julai

Honda N-BOX berjaya mengekalkan kedudukan sebagai kereta baharu paling laris di pasaran Jepun bagi separuh pertama tahun ini.

Berdasarkan data terbaharu, kenderaan mikro kompak ini terus mendapat kepercayaan tinggi daripada pengguna di sana mengatasi model-model lain.

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Kenderaan Bermotor Ringan Jepun (JLMA), model kegemaran ramai ini mencatatkan angka pendaftaran yang sangat luar biasa.

Pencapaian cemerlang tersebut membuktikan dominasi mutlak siri ini dalam segmen pasaran domestik yang sangat sengit.

Prestasi Jualan Luar Biasa Separuh Pertama 2026

Sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2026 (H1), Honda N-BOX telah mencatatkan angka jualan sebanyak 102,419 unit.

Jumlah ini meletakkannya di kedudukan teratas dalam carta keseluruhan jualan kenderaan baharu, termasuk kenderaan standard berdaftar yang bersaiz lebih besar.

Kejayaan ini juga menyaksikan satu pencapaian besar dalam sejarah syarikat.

Pada April lalu, jualan kumulatif bagi siri ini secara rasminya telah mencecah angka 3 juta unit sejak ia mula diperkenalkan.

Sebab Utama Honda N-BOX Begitu Popular

Model ini terus diminati oleh pelbagai lapisan profil pelanggan kerana menawarkan pakej rekaan yang berkualiti tinggi.

Selain itu, ia mempunyai ruang kabin antara yang paling luas dalam kategori pasaran kereta penumpang kompak (kei-car) berdasarkan ukuran dimensi dalaman rasmi syarikat.

Ciri keselamatan juga menjadi tunjang utama model ini.

Sistem bantuan pemanduan canggih Honda SENSING ditawarkan sebagai kelengkapan standard untuk semua varian, sekali gus memberikan ketenangan minda yang maksimum serta pemanduan harian yang lebih meyakinkan dan selamat.

N-BOX 2026 Tiba Pada Julai

Honda N-BOX CUSTOM Turbo Coordinate Style 2026

Bagi mengekalkan momentum model ini, Honda merancangan untuk melancarkan varian yang dipertingkatkan pada Julai 2026.

Varian N-BOX CUSTOM menerima sentuhan rekaan jeriji depan baharu yang memberikan imej luaran yang kelihatan jauh lebih tegap, premium, dan mempunyai kehadiran estetik yang garang.

Honda N-BOX JOY Turbo Special Edition BLACK STYLE 2026

Bukan itu sahaja, Honda turut memperkenalkan edisi khas terbaharu yang dikenali sebagai N-BOX JOY BLACK STYLE.

Model ini tampil eksklusif dengan padanan kemasan hitam pekat pada bahagian dalaman dan luaran, memberikan imej yang lebih ranggi dan bergaya urban.

Peningkatan Kelengkapan Standard Sedia Ada

Honda N-BOX CUSTOM Turbo Coordinate Style 2026

Beberapa varian terpilih kini didatangkan standard dengan sistem navigasi skrin besar bersaiz 9-inci serta fungsi sistem ETC2.0.

Kelengkapan premium ini dipasang terus dari kilang bagi memudahkan navigasi perjalanan harian pemilik di lebuh raya tanpa perlu menambah aksesori luar.

Honda N-BOX JOY Turbo Special Edition BLACK STYLE 2026

Untuk keselesaan semua penumpang, semua varian N-BOX 2026 dilengkapi pengecas USB pada bahagian tengah kabin.

Di samping itu, terdapat tambahan poket simpanan pada bahagian atas belakang tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan untuk menyimpan barangan peribadi dengan lebih kemas.

Enjin Honda N-BOX

N-BOX ditawarkan dalam dua pilihan unit enjin 3-silinder 660cc yang dipadankan dengan sistem transmisi automatik jenis CVT.

Pengguna boleh memilih konfigurasi sistem pacuan roda depan (2WD FF) ataupun sistem pacuan empat roda (4WD) mengikut keperluan harian.

Enjin i-VTEC Aspirasi Natural (NA)

Enjin i-VTEC NA menghasilkan kuasa maksimum 58ps pada 7,300rpm dengan tork 65.6Nm pada 4,800rpm.

Enjin Petrol Turbo Kuasa Tinggi

Bagi mereka yang mahukan prestasi pemanduan yang lebih bertenaga, varian enjin Turbo adalah pilihan tepat.

Enjin ini mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 64ps pada 6,000rpm dan hantaran tork maksimum yang lebih padu sebanyak 104Nm seawal 2,600rpm.

Sejarah Panjang Model dan Rekod Jualan Tahunan

Siri N-BOX mula diperkenalkan ke pasaran Jepun pada Disember 2011 dan terus mencatatkan pertumbuhan yang sangat konsisten.

Berikut merupakan ringkasan kronologi penting dan data jualan tahunan siri kenderaan ini sejak mula dilancarkan sehinggalah sekarang:

  • Tahun 2011: Jualan sebanyak 2,860 unit, berada di kedudukan ke-45 segmen kei-car dan kedudukan ke-165 keseluruhan empat roda.
  • Tahun 2012: Jualan melonjak ke 211,155 unit, berada di kedudukan ke-2 segmen kei-car dan kedudukan ke-4 keseluruhan empat roda.
  • Tahun 2015: Jualan sebanyak 184,920 unit, mencatatkan kedudukan ke-1 segmen kei-car dan kedudukan ke-2 keseluruhan empat roda.
  • Tahun 2018: Jualan sebanyak 241,870 unit, meraih kedudukan ke-1 segmen kei-car dan kedudukan ke-1 keseluruhan empat roda.
  • Tahun 2022: Jualan sebanyak 202,197 unit, mengekalkan kedudukan ke-1 segmen kei-car dan kedudukan ke-1 keseluruhan empat roda.
  • Tahun 2024: Jualan sebanyak 206,272 unit, kekal di kedudukan ke-1 segmen kei-car dan kedudukan ke-1 keseluruhan empat roda.
  • Tahun 2025: Jualan sebanyak 201,354 unit, bertahan di kedudukan ke-1 segmen kei-car dan kedudukan ke-1 keseluruhan empat roda.
  • Tahun 2026 (Januari hingga Jun): Jualan sebanyak 102,419 unit, kukuh di kedudukan ke-1 segmen kei-car dan kedudukan ke-1 keseluruhan empat roda.

Gambar Honda N-BOX CUSTOM Turbo Coordinate Style 2026

Gambar Honda N-BOX JOY Turbo Special Edition BLACK STYLE 2026

Pelajar UiTM menang cabutan bertuah P-Circle, bawa pulang Myvi baru!

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nik Akmal Afifah binti Nik Mohd Fuad, 22 tahun, dipilih sebagai pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah P-Circle yang berlangsung baru-baru ini di KLIMS 2026.

Sepanjang tempoh 12-21 Jun 2026, pertandingan tersebut menyaksikan ribuan pengunjung memuat turun aplikasi super P-Circle dan mengaktifkan ciri e-wallet (P-Duit).

P-Circle merupakan aplikasi super yang menawarkan servis yang komprehensif merangkumi P-Duit, ciri kesihatan, ciri keselamatan, jual beli dalam talian serta platform penstrimannya sendiri.

Aplikasi ini kini tersedia di App Store dan Google Play Store.

Maklum balas positif

Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, “Secara keseluruhannya, penyertaan kami di KLIMS 2026 mendapat maklum balas yang amat memberangsangkan.

“Seramai 37,786 pengunjung berdaftar di reruai kami dan mencuba pelbagai tarikan yang disediakan semasa pameran itu berlangsung.

“Pertandingan Cabutan Bertuah P-Circle ini juga menarik perhatian ramai generasi muda dan Nik Akmal Afifah adalah pemenang bertuah yang terpilih,” tambahnya lagi.

Nik Akmal Afifah membawa pulang sebuah Perodua Myvi 1.3G berwarna Ivory White.

“Sudah tentu kereta ini lebih baik daripada Perodua Axia yang saya pandu pada masa ini. Terima kasih Perodua. Anda memang terbaik!,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan hadiah di ibu pejabat Perodua pada 3 Julai lalu.

Selain daripada Perodua Myvi sebagai hadiah utama, Perodua turut menyerahkan 100 unit jam pintar P-Go kepada pemenang cabutan bertuah yang lain.

Perodua turut mempamerkan kereta konsep terbaharunya yang dinamakan Chapter 2 atau C2.

Konsep tersebut mewakili gaya reka bentuk berbeza, dilengkapi dengan teknologi terbaharu serta dicipta oleh pereka muda dan berbakat yang mencerminkan visi mereka terhadap masa depan kenderaan elektrik.

Omoda | Jaecoo Malaysia rasmi buka pusat 3S baharu di Selayang

Omoda | Jaecoo Malaysia secara rasmi membuka pusat 3S baharu yang terletak di Selayang.

Pusat 3S baharu ini dikendalikan oleh Carro Digital Sdn Bhd, dan ia merupakan susulan pelantikannya sebagai pengedar sah Omoda | Jaecoo pada Mac 2026.

Kemudahan bersepadu

Pusat 3S Selayang ini menawarkan ruang pameran yang luas dan selesa, menampilkan konsep reka bentuk runcit terkini Omoda | Jaecoo Malaysia.

Di samping jualan kenderaan, pelanggan boleh menikmati perkhidmatan menyeluruh seperti:

  • sesi pandu uji
  • khidmat nasihat pembiayaan
  • penilaian tukar beli kenderaan
  • bantuan insurans
  • akses perkhidmatan selepas jualan

Selain kemudahan akses Wi-Fi percuma dan Coffee Lounge, fasiliti ini turut dilengkapi enam petak servis yang mampu menampung kapasiti penyelenggaraan sehingga 624 buah kenderaan sebulan.

Kemudahan bersepadu ini memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan yang lancar bermula daripada pembelian kenderaan sehinggalah kepada penyelenggaraan dan perkhidmatan selepas jualan.

Pusat 3S Omoda | Jaecoo Carro Selayang ini terletak di 17498, Jalan Besar, Kawasan Industri Selayang Indah, 68100 Batu Caves, Selangor.

Waktu operasi adalah seperti berikut:

  • Bilik pameran: 9.00 pagi-6.00 petang (Isnin-Jumaat), 10.00 pagi-5.00 petang (hujung minggu)
  • Pusat servis: 8.30 pagi-6.00 petang (Isnin-Jumaat), 9.00 pagi-3.00 petang (Sabtu)

Momentum pertumbuhan berterusan

Pembukaan pusat 3S ini mencerminkan momentum pertumbuhan berterusan Omoda | Jaecoo Malaysia.

Ketika ini, jenama tersebut mempunyai 53 pusat pameran di seluruh negara, disokong oleh rangkaian pengedar sah yang kukuh.

Semua ini demi memastikan pelanggan di seluruh Malaysia menikmati pengalaman pemilikan dan perkhidmatan pelanggan yang terbaik.

Honda CB650R & CBR650R E-Clutch 2026 dapat warna baharu, harga dari RM47,999

Boon Siew Honda mengumumkan kemas kini warna baharu untuk kedua-dua model Honda CBR650R 2026 dan CB650R 2026 versi E-Clutch.

Honda CBR650R E-Clutch kini ditawarkan dengan pilihan warna Matte Gun Powder Black Metallic disamping warna Grand Prix Red sedia ada.

Sementara Honda CB650R E-Clutch pula hadir dengan pilihan warna Jeans Blue Metallic dan Candy Energy Orange sementara warna Matte Gun Powder Black Metallic terus dikekalkan.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Honda CB650R E-Clutch: RM47,999
  • Honda CBR650R E-Clutch: RM49,999

Spesifikasi

Kedua-dua jentera dipacu enjin empat silinder sebaris 649 cc sejukan cecair DOHC menghasilkan kuasa 93.9 hp @ 12,000 rpm dan daya kilas 63 Nm @ 9,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear enam-kelajuan yang dipadankan dengan teknologi E-Clutch.

Teknologi ini membenarkan penunggang untuk membuat penukaran gear tanpa operasi klac tangan bagi mengurangkan kepenatan semasa tunggangan dalam kawasan trafik urban.

Namun dalam masa yang sama, klac tangan masih lagi dikekalkan supaya penunggang dapat menikmati penukaran gear secara manual.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork USD SFF-BP Showa 41 mm di depan, diikuti penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban 10 tahap di belakang.

Brek pula menggunakan tetapan rotor berkembar 310 mm berserta angkup empat omboh di depan, dibantu dengan rotor tunggal 240 mm dan angkup omboh tunggal di belakang.

Ciri lain termasuklah:

  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • skrin paparan TFT 5-inci berwarna penuh
  • tangki minyak 15.4 liter
  • pelana 810 mm

Honda CB650R E-Clutch

Honda CBR650R E-Clutch

Jualan luar negara Geely Auto Group melonjak 158% pada H1 2026!

Geely Auto Group mencatat prestasi terbaik dalam sejarah syarikat bagi separuh pertama 2026 apabila merekodkan jumlah jualan global sebanyak 1,422,958 unit kenderaan.

Prestasi itu dipacu oleh pertumbuhan kukuh di pasaran antarabangsa menerusi strategi One Geely, yang menyaksikan jenama Geely, Lynk & Co dan Zeekr terus mengembangkan operasi di lebih banyak negara.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jualan luar negara Geely Auto mencapai 474,228 unit, meningkat 158 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu turut melepasi keseluruhan jualan luar negara yang dicatatkan sepanjang 2025.

Lebih memberangsangkan, jualan kenderaan tenaga baharu (NEV) di luar negara meningkat kepada 277,189 unit, iaitu lonjakan 585 peratus tahun ke tahun.

Model NEV kini menyumbang 59 peratus daripada keseluruhan jualan luar negara syarikat.

Pada Jun 2026, Geely Auto turut mencipta rekod baharu apabila jualan luar negara melepasi 100,000 unit buat kali pertama dalam tempoh sebulan.

Beribu pejabat di Hangzhou, China, Geely Auto Group merupakan antara syarikat automotif global terkemuka yang membangunkan dan mengeluarkan kenderaan penumpang untuk pasaran antarabangsa.

Geely Auto Group adalah sebahagian daripada Zhejiang Geely Holding Group dan memiliki tiga jenama utama dalam portfolio automotif iaitu Geely, Lynk & Co serta Zeekr

Jenama Geely terus berkembang di Eropah

Geely memacu pengembangan global pada separuh pertama 2026, dengan Eropah serta kenderaan tenaga baharu menjadi dua enjin utama pertumbuhan.

Dalam tempoh hanya 45 hari, Geely memasuki tujuh pasaran Eropah, termasuk:

  • Jerman
  • Sepanyol
  • Belanda
  • Perancis

Geely E5 (Geely EX5) dan Geely STARRAY EM-i (Geely EX5 EM-i) kini telah diperkenalkan di lebih daripada 20 negara Eropah.

Di pasaran tempatan, dua model itu masing-masing dikenali sebagai Proton e.MAS 7 dan. e.MAS 7 PHEV.

Selain itu, Geely turut mengukuhkan rangkaian pengedar menerusi kerjasama bersama kumpulan pengedar utama di Portugal, Austria dan Switzerland.

Di pasaran antarabangsa lain, EX2 (Proton e.MAS 5) terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan Brazil muncul sebagai pasaran paling menyerlah.

STARRAY EM-i pula menjadi SUV PHEV paling laris di Australia pada Mei 2026.

Lynk & Co terus melebarkan sayap

Lynk & Co turut giat meluaskan pasaran global menerusi beberapa pelancaran model baharu.

Model utama Lynk & Co 900 diperkenalkan di:

  • Emiriah Arab Bersatu (UAE)
  • Mesir
  • Qatar
  • Vietnam

Sementara itu, Lynk & Co 08 dilancarkan di Kazakhstan dan penghantaran kepada pelanggan telah bermula.

Model itu turut muncul sebagai PHEV segmen D paling laris di beberapa pasaran utama seperti Vietnam dan Mexico.

Zeekr lepasi 800,000 penghantaran global

Jenama premium elektrik Zeekr pula mencatat satu lagi pencapaian penting apabila jumlah penghantaran global keseluruhan melepasi 800,000 unit.

Bagi tempoh lima bulan pertama 2026, Zeekr menguasai pasaran kenderaan mewah di Hong Kong dengan pegangan pasaran sebanyak 40.7 peratus.

Beberapa model turut mencatat prestasi cemerlang:

  • Zeekr 7X mendahului segmen SUV mewah di Hong Kong sepanjang lima bulan pertama 2026.
  • Model sama turut menduduki tempat pertama dalam segmen EV mewah di Mexico bagi April dan Mei 2026.
  • Zeekr 009 menjadi MPV elektrik paling laris di Thailand sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

Rangkaian operasi global terus diperkukuh

Seiring pertumbuhan jualan, Geely Auto turut meningkatkan keupayaan operasi global sepanjang separuh pertama 2026.

Antara langkah yang dilaksanakan ialah:

  • Mengembangkan rangkaian pusat pengedaran alat ganti global kepada 13 fasiliti.
  • Mempercepatkan pembangunan pengeluaran tempatan di pasaran utama seperti Brazil dan Indonesia.
  • Mengukuhkan rangkaian lebih 2,000 pusat jualan serta servis di lebih 100 pasaran seluruh dunia.

Menurut Geely Auto, pelaburan berterusan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk menawarkan produk, perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang disesuaikan mengikut keperluan setiap pasaran.

Yamaha Y15ZR 2026 dapat warna baharu Cyan Jade, versi SE dalam Royal Maroon, harga dari RM8,998

Hong Leong Yamaha Motor mengumumkan kemas kini warna baharu untuk model Yamaha Y15ZR.

Varian biasa kini hadir dengan pilihan warna Cyan Jade menggantikan Mecha Green, manakala warna Aqua Violet dan Blue Spark terus dikekalkan.

Harga jualan asas bermula dari RM8,998 tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans.

Sementara varian Special Edition (SE) pula didatangkan dalam warna Royal Maroon, dengan harga dari RM9,498.

Spesifikasi asas kekal

Yamaha Y15ZR kekal dengan enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair SOHC dengan kuasa 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 13.8 Nm @ 7,000 rpm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera bagi kedua-dua gandar.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 4.2 liter sementara tinggi pelana 780 mm.

Versi SE pula hadir dengan kelengkapan tambahan seperti:

  • Sports Visor
  • Yamaha Premium Basket berserta port pengecasan USB Type-C terbina

iCaur V23 menang anugerah Red Dot 2026 dalam kategori konsep rekaan

iCaur V23 dinobatkan sebagai pemenang Red Dot Award: Design Concept 2026 di Jerman, baru-baru ini.

Ia merupakan pengiktirafan berprestij di mana Red Dot Award sering digelar sebagai anugerah Oscar dalam kategori rekaan.

Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keupayaan reka bentuk iCaur, malah membuktikan estetika klasik masih mempunyai tempat dalam era elektrifikasi.

Berbeza dengan kategori produk, penilaian konsep menuntut juri menilai sesuatu produk berdasarkan kualiti reka bentuk dan tahap pemilikan kreatif.

iCaur V23 berjaya menarik tumpuan juri menerusi keupayaannya untuk mentafsirkan semula DNA klasik menerusi perspektif teknologi dan estetika tenaga baharu.

Reka bentuk ikonik

V23 sangat terkenal dengan siluet berbentuk kotak dan tetapan roda yang diposisikan hampir ke setiap bucu.

Ia menawarkan dimensi lebar 1.9 meter dan tinggi 1.84 meter, menyumbang kepada nisbah lebar-ke-tinggi hampir 1:1.

Antara perincian lain termasuklah perumah lampu bulat yang mengekalkan identiti SUV klasik, diikuti penutup radar lutsinar dan lampu brek tinggi gaya piksel memberikan sentuhan teknologi moden.

Modul ‘backpack’ di belakang pula mengekalkan fungsi sambil menambah elemen karakter unik dalam era tenaga baharu.

Ruang ketiga untuk kebebasan personaliti

Selain itu, V23 juta tidak terikat pada kerangka SUV off-road hardcore yang tradisional.

Sebaliknya, ia mewujudkan ‘ruang ketiga‘ yang membenarkan pengguna menunjukkan personaliti tersendiri menerusi lebih 20 antaramuka yang disediakan untuk tujuan pengubahsuaian.

Kempen bola sepak ‘iCaur Turun Padang’

Sempena demam bola sepak, iCaur melancarkan kempen ‘iCaur Turun Padang’ dari 18 Jun hingga 19 Julai.
Pelanggan boleh melihat model V23 dengan lebih dekat di bilik pameran iCaur, mencubanya melalui sesi pandu uji dan berpeluang memenangi hadiah menarik.

Proton S70 dipilih sebagai imej baharu teksi negara menerusi program Teksi Madani

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional bertempat di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Pelancaran tersebut menandakan permulaan insiatif nasional bagi memperbaharui dan memperkukuh industri teksi negara.

Ia merupakan susulan kepada pengumuman pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan kepada pemilik teksi serta kereta sewa persendirian bagi pembelian kereta baharu buatan nasional.

Kurangkan beban pemilik teksi

Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan beban kos pemilikan kenderaan baharu dan mempercepatkan proses pembaharuan armada teksi di seluruh negara.

Selain itu, program ini memberi peluang kepada pemandu teksi beralih kepada kenderaan yang lebih moden, selamat, selesa dan berkualiti.

Dalam masa yang sama, peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta turut diumumkan bagi program geran padanan bagi menggantikan kereta lama kepada kereta baharu.

Proton S70 wajah baru teksi negara

Proton S70 dipilih kerana ciri-cirinya yang mampu memenuhi keperluan operasi mobiliti awam, seperti ruang kabin yang luas, enjin cekap bahan api dan teknologi keterhubungan pintar.

Selain itu, pemilik tidak perlu risau kerana terdapat rangkaian pusat servis Proton yang meluas di seluruh negara.

Di bawah program ini, pengendali yang layak akan ditawarkan Proton S70 Premium warna ekslusif Ruby Red, dan tidak lagi menggunakan kemasan dua tona merah putih.

Sedan tersebut turut dilengkapi dengan perkakasan tambahan yang diperlukan seperti:

  • panel LED tulisan hijau Teksi/E-Hailing
  • paparan meter tambahan untuk urusan transaksi dan paparan iklan
  • nombor pendaftaran khas GET (tulisan merah berlatarbelakang putih)
  • kemasan decal unik pada tiang C

Selain itu, teksi S70 baharu itu tidak lagi menggunakan struktur penanda atas bumbung (taxi topper) dan pelekat label operator pada pintu seperti kebiasaan.

Hyundai Motor Malaysia rasmi buka pusat 3S Kuching

Hyundai Motor Malaysia (HMY) secara rasmi melancarkan pembukaan pusat 3S Hyundai Kuching terbaharu.

Ia merupakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi HMY untuk mencapai sehingga 25 outlet menjelang akhir 2026.

Kemudahan yang disediakan

Pusat 3S baharu ini dikendalikan oleh Heng Lian Enterprise Sdn Bhd.
Ia menawarkan keluasan binaan 7,500 kaki persegi yang mampu menempatkan barisan penuh model teras Hyundai termasuklah Santa Fe, Tucson dan Staria.
Selain itu, pelanggan di Kuching juga boleh mendapat akses terus kepada barisan model prestasi tinggi Hyundai Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N yang baharu sahaja dilancarkan.

Ditubuhkan pada 1984, Heng Lian Enterprise Berhad mempunyai 40 tahun pengalaman dalam industri automotif di Sarawak.

Pusat 3S Hyundai Kuching terletak di alamat Lot 98 & Lot 105, KTLD, Jalan Abell, Padungan, 93100 Kuching, Sarawak.

Waktu operasi:

  • Isnin-Sabtu: 8.30 pagi-5.30 petang
  • Ahad & Cuti Umum: 10.00 pagi-3.00 petang

Grand Launching Lucky Draw

Bersempena pembukaan, Heng Lian Enterprise menganjurkan kempen cabutan bertuah perdana bermula 26 Jun hingga 26 Julai 2026.
Satu sesi pandu uji melayakkan satu penyertaan, manakala pelanggan yang membuat tempahan kenderaan akan mendapat tambahan dua penyertaan.

Hadiah utama berupa Samsung Galaxy S26, manakala hadiah saguhati pula berupa pakej tint Hamel, dashcam, payung serta hadiah eksklusif lain.

myHyundaiCare – Tawaran Servis Lepas Jualan

  • Baucar minyak enjin SHELL RM100
  • Pemeriksaan kesihatan kenderaan 20 poin percuma untuk semua model Hyundai, termasuk pemeriksaan bateri 12V dan tayar
  • Kadar upah tetap RM50 untuk servis
  • Baucar kafe tempatan RM20 dengan invois servis minimum RM400
  • Kit badan percuma untuk 10 pemilik STAREX (2020 ke atas) pertama*

Komitmen kepada pelanggan di Malaysia Timur

Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia berkata, “Hyundai Kuching melambangkan komitmen kami terhadap Malaysia Timur.

“Kuching mempunyai asas pelanggan yang dinamik dan melalui peluasan ini kami memastikan produk dan servis Hyundai lebih mudah diakses oleh lebih ramai pelanggan.”

Boon Siew Honda buka HQ Jualan baharu di Kota Damansara

Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan pembukaan rasmi ibu pejabat jualan baharunya yang terletak di Kota Damansara.

Pembukaan fasiliti baharu ini menandakan kali pertama BSH menubuhkan pangkalan komersial khusus di ibu negara.

Tiga pasukan bawah satu bumbung

Fasiliti tiga tingkat berkeluasan 7,000 kaki persegi itu menempatkan pasukan jualan, pemasaran serta bahagian alat ganti dan perkhidmatan selepas jualan di bawah satu bumbung.

Penyatuan ketiga-tiga fungsi di bawah satu alamat merupakan langkah BSH dalam menyelesaikan cabaran koordinasi yang dialami sebelum ini apabila setiap satu beroperasi dari lokasi berbeza.

Selain itu, terdapat dua bilik latihan khusus serta pusat teknikal lengkap untuk melatih mengedar dalam kemahiran teknikal dan bukan teknikal.

Antara kemudahan lain termasuklah ruang kerja khusus, bilik mesyuarat dan ruang kolaborasi untuk pasukan mengurus perancangan kempen, penglibatan media, pembangunan pengedar dan sokongan selepas jualan.

Bukti komitmen BSH

Kunitomo Asano, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif BSH menjelaskan pembukaan pangkalan komersial khusus di Kuala Lumpur membuktikan tahap serius mereka terhadap kerja yang berlaku di sini.

“Tujuh ribu kaki persegi dan tiga tingkat mungkin kedengaran seperti pengumuman hartanah.

“Bangunan ini mewakili keputusan untuk menyatukan kepimpinan jualan, pemasaran dan perkhidmatan selepas jualan bawah satu tempat dengan satu pandangan pasaran yang sama.

“Tiga pasukan dalam bangunan ini berkomunikasi setiap hari, dan kini mereka boleh melakukannya di koridor yang sama, bukan melalui panggilan telefon.

“Itu bukan perkara kecil apabila kelajuan kerja kami menuntut kecekapan seperti itu,” jelasnya lagi.

Lokasi baharu ini meletakkan pasukan kepimpinan BSH lebih dekat dengan ekosistem rakan industri dan perniagaan yang tertumpu di sekitar Kuala Lumpur.

Buat masa ini, ibu pejabat utama BSH masih lagi kekal beroperasi di Pulau Pinang.

Lokasi dan waktu operasi

Boon Siew Honda Sdn Bhd
7, Jalan Teknologi 3/6F, Taman Sains Selangor,
Kota Damansara
47810 Petaling Jaya, Selangor

+603-6144 0963

Waktu operasi Isnin-Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 5 petang (Tutup hujung minggu)

 

MODENAS Brusky 125 2026 rasmi dilancarkan di Indonesia, harga RM6 ribu

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) baru-baru ini melancarkan skuter MODENAS Brusky 125 untuk pasaran Indonesia.

Skuter 125 cc itu ditawarkan sebagai unit import sepenuhnya (CBU) dari Malaysia dan diedarkan oleh PT Kawasaki Motor Indonesia (PT KMI).

MODENAS Brusky 125 dijual pada harga Rp 26,500,000 (RM6,027).

Spesifikasi

Kembar kepada Karisma 125 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 125 cc sejukan udara yang menghasilkan kuasa 9.4 hp dan 10 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi CVT dan pacuan tali sawat.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Brek pula menggunakan gandingan cakera dan gelendong di belakang.

Antara ciri lain yang ada pada skuter ini termasuklah:

  • rim 14 inci
  • lampu LED
  • panel meter semi-digital
  • tinggi pelana 770 mm
  • tangki bahan api 5.1 liter

Rim edisi terhad untuk VW Golf GTI, terhad 50 unit sahaja dan percuma!

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan rim eksklusif Huntsville Adamantium Dark sempena sambutan ulang tahun ke-50 Golf GTI.

Rim tersebut ditawarkan sebagai naik taraf percuma hanya untuk 50 unit baharu Golf GTI.

Harga jualan Golf GTI juga kekal tidak berubah, bermula dari RM255,990.

Ciri unik

Rim aloi 18 inci tersebut menampilkan rekaan lima jejari berbentuk Y yang dapat memberikan pandangan lebih jelas terhadap angkup brek merah ikonik GTI.

Kemasan gelap juga menyerlahkan lagi karakter sporti Golf GTI.

Aktiviti bertemakan GTI di Malaysia

Para peminat di Malaysia boleh menantikan pelbagai aktiviti bertemakan GTI sepanjang tahun ini.

Antaranya ialah peraduan di media sosial, serta pelbagai aktiviti menarik di pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.

Volkswagen Malaysia turut menganjurkan peraduan “Test Drive and Win” di mana pelanggan yang telah memandu uji mana-mana model Volkswagen berpeluang memenangi kad Touch ‘n Go GTI edisi terhad.

Tempahan pandu uji boleh dibuat di laman web https://testdrive.volkswagen.com.my/ dan pelanggan perlu melengkapkan sesi tersebut selewat-lewatnya 12 Julai ini.

Fungsi AutoCharge kini tersedia untuk semua pengguna aplikasi Gentari Go

Gentari mengumumkan kemas kini untuk aplikasi Gentari Go yang menawarkan beberapa ciri baharu untuk semua pengguna.

Antara kemas kini yang dibawakan termasuklah:

  • fungsi AutoCharge
  • struktur ganjaran baharu
  • ciri keselamatan lebih kukuh

AutoCharge: Plug-in, Charge & Go

Selepas tetapan sekali sahaja, pemilik boleh terus mengecas kenderaan mereka di beberapa pengecas DC terpilih tanpa perlu membuka aplikasi.

AutoCharge berfungsi dalam tiga langkah mudah:

  1. Sambungkan kabel DC ke EV
  2. Kenderaan akan disahkan secara automatik
  3. Sesi pengecasan akan bermula serta-merta

Fungsi terbaharu ini menghapuskan keperluan untuk mengaktifkan aplikasi berulang kali, penggunaan kad RFID atau imbasan kod QR, menjadikan pengecasan awam lebih mudah diakses.

500 pengguna pertama yang berjaya mendaftar dan melengkapkan sesi AutoCharge pertama akan menerima kredit Gentari Go bernilai RM10.

Fungsi AutoCharge ini akan diperluas secara berperingkat di semua rangkaian Gentari di seluruh negara.

Gentari kini mengendalikan lebih 600 titik pengecasan EV di Malaysia, manakala Gentari Go Roaming Hub pula memberikan akses kepada lebih 18,000 titik pengecasan di Malaysia, Singapura, Thailand dan India.

Menurut Fadzrul Ahmad, Ketua Mobiliti Hijau Gentari berkata, “AutoCharge mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai aplikasi dan langkah manual, menjadikan pengecasan awam lebih ringkas, pantas dan intuitif.

“Hasilnya tepat seperti yang diharapkan: Plug-in, Charge dan Go.”

Maklumat seperti lokasi pengecasan, model EV serasi dan panduan tetapan tersedia di aplikasi dan laman web Gentari.

Buat masa ini, kadar pengecasan dan pelan sedia ada masih kekal seperti biasa.

Struktur ganjaran baharu, keselamatan lebih kukuh

Selain fungsi AutoCharge, aplikasi Gentari Go turut menerima pembaharuan struktur ganjaran serta ciri keselamatan yang dipertingkat.

Bermula 1 Julai 2026, mata ganjaran baharu mempunyai tempoh sah nilai selama 180 hari.

Manakala mata ganjaran sedia ada yang dikumpul sebelum 30 Jun 2026 kekal sah sehingga 31 Disember 2026.

Dari segi keselamatan, pengguna perlu mengesahkan nombor telefon untuk mengakses kredit Gentari Go.

Ini bertujuan untuk melindungi kredit dan ganjaran pengguna serta meningkatkan ketelusan baki dan tarikh luput kredit.

Aplikasi Gentari Go yang dikemas kini tersedia mulai 1 Julai 2026.

Kia Tasman 2027 untuk Korea Selatan, varian baharu Best Selection, Open Bed

Kia telah membuka tempahan untuk pikap Kia Tasman 2027 dan Kia Tasman Open Bed bermula 1 Julai 2026.

Melalui kemas kini terbaru, Kia memperkenalkan varian kemasan baharu dan menyelaraskan semula harga varian asas bagi mengurangkan beban kewangan pelanggan.

Pikap Sejati Pertama Kia

Tasman merupakan pikap sejati pertama Kia dan tampil dengan reka bentuk utilitarian berbanding sejumlah model yang lain.

Tasman menampilkan reka bentuk sebuah trak pikap tegap dengan ukuran panjang 5,410mm, lebar 1,930mm, serta jarak roda sepanjang 3,270mm.

Ketinggian pikap ini adalah 1,870mm untuk varian standard dan meningkat kepada 1,920mm bagi varian X-Pro.

Sistem suspensi menggunakan tetapan double wishbone di depan dan rigid axle di belakang.

Gred Baharu Best Selection & Pengoptimuman Harga

Kia memperkenalkan varian kemasan baharu yang dikenali sebagai Best Selection yang dibina berasaskan gred Adventure.

Varian baharu ini menawarkan pelbagai ciri keselesaan terkini sebagai standard.

Di antaranya Monitor Pandangan Sekeliling (Surround View Monitor), Bantuan Parkir Pintar Jauh (Remote Smart Parking Assist), Digital Key 2 dan port USB Jenis-C 100W.

Bagi aspek mekanikal, gred Best Selection dilengkapi secara standard dengan sistem 4WD elektronik, kunci pembeza dan mod rupa bumi (Terrain Mode: Auto/Snow/Mud/Sand).

Pelanggan yang memilih warna luaran Clear White atau Tan Beige juga boleh memilih kemasan arca roda yang seragama dengan warna badan.

Bagi mengurangkan beban pembelian pelanggan, Kia telah mengoptimumkan spesifikasi gred asas Dynamic dan menurunkan harga sebanyak 2.5 juta (RM6,580).

Aksesori tulen Kia seperti Pemijak Sisi, Pakej Penutup Ruang Kargo (Bed Cover Package), dan Pakej Sports Bar kini turut ditawarkan ke varian Dynamic untuk disesuaikan dengan tugasan harian pembeli.

Varian Baharu Tasman Open Bed

Selain varian standard, model khas Tasman Open Bed turut diperkenalkan dalam pilihan tunggal.

Model ini menampilkan ruang kargo yang boleh dibuka dari tiga arah dengan keupayaan muatan maksimum sehingga satu tan.

Model ini disasarkan untuk usahawan kecil serta sektor komersial di kawasan pedalaman dan pergunungan kerana menawarkan nilai utiliti dan ekonomi yang tinggi.

Bagi pemanduan jarak jauh, ia turut dilengkapi dengan Kawalan Jelajah Pintar berasaskan Navigasi, Paparan Lebar Panoramik berasaskan ccNC, serta kerusi dengan fungsi pemanas dan pengudaraan.

Rangkaian Kuasa Kia Tasman

Tasman dibekalkan enjin 2.5 liter turbo petrol ( yang dipadankan bersama transmisi automatik 8-kelajuan untuk penghantaran kuasa yang lancar.

Rangkaian kuasa ini berupaya menghasilkan kuasa maksimum 281ps dan tork setinggi 422Nm.

Nadi petrol ini mencatatkan penggunaan bahan api gabungan antara 7.7km/l hingga 8.6km/l bergantung pada sistem pacuan.

Harga Kia Tasman 2027

  • Tasman Open Bed: ₩33,990,000 (RM89,462)
  • Dynamic: ₩35,000,000 (RM92,120)
  • Adventure: ₩41,200,000 (RM108,438)
  • Best Selection: ₩43,500,000 (RM114,492)
  • Extreme: ₩45,050,000 (RM118,572)
  • X-Pro: ₩52,550,000 (RM138,312)