Fungsi AutoCharge kini tersedia untuk semua pengguna aplikasi Gentari Go
Gentari mengumumkan kemas kini untuk aplikasi Gentari Go yang menawarkan beberapa ciri baharu untuk semua pengguna.
Antara kemas kini yang dibawakan termasuklah:
- fungsi AutoCharge
- struktur ganjaran baharu
- ciri keselamatan lebih kukuh
AutoCharge: Plug-in, Charge & Go
Selepas tetapan sekali sahaja, pemilik boleh terus mengecas kenderaan mereka di beberapa pengecas DC terpilih tanpa perlu membuka aplikasi.
AutoCharge berfungsi dalam tiga langkah mudah:
- Sambungkan kabel DC ke EV
- Kenderaan akan disahkan secara automatik
- Sesi pengecasan akan bermula serta-merta
Fungsi terbaharu ini menghapuskan keperluan untuk mengaktifkan aplikasi berulang kali, penggunaan kad RFID atau imbasan kod QR, menjadikan pengecasan awam lebih mudah diakses.
500 pengguna pertama yang berjaya mendaftar dan melengkapkan sesi AutoCharge pertama akan menerima kredit Gentari Go bernilai RM10.
Fungsi AutoCharge ini akan diperluas secara berperingkat di semua rangkaian Gentari di seluruh negara.
Gentari kini mengendalikan lebih 600 titik pengecasan EV di Malaysia, manakala Gentari Go Roaming Hub pula memberikan akses kepada lebih 18,000 titik pengecasan di Malaysia, Singapura, Thailand dan India.
Menurut Fadzrul Ahmad, Ketua Mobiliti Hijau Gentari berkata, “AutoCharge mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai aplikasi dan langkah manual, menjadikan pengecasan awam lebih ringkas, pantas dan intuitif.
“Hasilnya tepat seperti yang diharapkan: Plug-in, Charge dan Go.”
Maklumat seperti lokasi pengecasan, model EV serasi dan panduan tetapan tersedia di aplikasi dan laman web Gentari.
Buat masa ini, kadar pengecasan dan pelan sedia ada masih kekal seperti biasa.
Struktur ganjaran baharu, keselamatan lebih kukuh
Selain fungsi AutoCharge, aplikasi Gentari Go turut menerima pembaharuan struktur ganjaran serta ciri keselamatan yang dipertingkat.
Bermula 1 Julai 2026, mata ganjaran baharu mempunyai tempoh sah nilai selama 180 hari.
Manakala mata ganjaran sedia ada yang dikumpul sebelum 30 Jun 2026 kekal sah sehingga 31 Disember 2026.
Dari segi keselamatan, pengguna perlu mengesahkan nombor telefon untuk mengakses kredit Gentari Go.
Ini bertujuan untuk melindungi kredit dan ganjaran pengguna serta meningkatkan ketelusan baki dan tarikh luput kredit.
Aplikasi Gentari Go yang dikemas kini tersedia mulai 1 Julai 2026.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.
