Proton e.MAS 7 vs BYD Atto 3: Yang mana satu pilihan hati?
Minggu lalu, Proton telah pun selesai melancarkan SUV elektrik pertama jenama itu, Proton e.MAS 7 2025 dengan pakej harga dan rupa paras yang cukup mencuri tumpuan.
Terdapat dua varian yang diumumkan, iaitu Prime dan juga Premium, namun dalam artikel ini kami akan memfokuskan kepada varian Premium yang mempunyai kelengkapan yang jauh lebih baik.
Sekiranya anda berdepan dengan persimpangan untuk memilih antara e.MAS 7 dan sebuah lagi SUV elektrik popular BYD Atto 3 Extended Range, boleh cuba baca perbandingan yang kami buat di bawah ini:
1. Dimensi
Dari segi saiz, Proton e.MAS 7 memiliki ukuran dimensi yang lebih besar, dengan panjang 4,615 mm kali lebar 1,901 mm kali tinggi 1,670 mm, berbanding BYD Atto 3 (4,455 x 1,875 x 1,615 mm).
Jarak antara roda e.MAS 7 juga 30 mm lebih panjang (2,750 mm) berbanding Atto 3 (2,720 mm), menyumbang kepada ruang kabin yang lebih lapang.
Selain itu, e.MAS 7 juga mempunyai kelebihan ruang kargo yang lebih besar, iaitu 461 liter sementara Atto 3 pula sekitar 440 liter sahaja.
2. Kuasa
Kedua-dua SUV ini dibekalkan dengan motor elektrik tunggal secara standard.
Namun, hamburan kuasa agak berbeza, di mana e.MAS 7 mampu menjana kuasa setinggi 215 hp dan daya kilas 320 Nm, berbanding Atto 3 berkuasa 201 hp dan 310 Nm.
Perbezaan itu menjadikan prestasi pecutan e.MAS 7 lebih pantas (6.9 saat) berbanding Atto 3 (7.3 saat).
3. Jarak pandu
BYD Atto 3 yang telah dikemaskini beberapa bulan lepas didatangkan dengan pek bateri LFP berkapasiti 60.48 kWh, menawarkan jarak gerak sejauh 420 km.
Pengecasan DC dipertingkatkan kepada 88 kW, membolehkan bateri dicas 10-80 peratus dalam tempoh 40 minit.
Bagi e.MAS 7, ia menawarkan jarak pandu 410 km, terima kasih kepada pek bateri berkapasiti 60.22 kWh.
Namun, dengan pengecasan pantas DC sehingga 100 kW, pek bateri e.MAS 7 boleh dicas 30-80 peratus dalam tempoh 20 minit sahaja.
4. Luaran
Untuk bahagian luar, kedua-dua SUV ini dilengkapi dengan unit pencahayaan projektor LED, lampu belakang LED, serta cermin sisi yang dilengkapi dengan lampu indikasi membelok.
Tatkala Atto 3 hanya datang dengan rim bersaiz 18 inci dibaluti tayar Continental EcoContact 6, e.MAS 7 pula hadir dengan rim 19 inci dibaluti getah Goodyear Efficient Grip Performance SUV.
Dari segi estetika, Proton e.MAS 7 nyata ada kelebihan yang tersendiri, dimana rekaannya lebih malar segar berbanding Atto 3 yang sudah berusia dua tahun sejak diperkenalkan di pasaran global.
Namun, kecantikan sesebuah model itu tertakluk kepada pandangan mata masing-masing.
5. Kabin
Tidak banyak perubahan dibawakan pada susun atur papan pemuka Atto 3, melainkan skrin infohibur tengah kini bersaiz 15.6 inci yang boleh diubah orientasinya, diikuti skrin kluster lima inci, sistem audio sembilan pembesar suara serta kemasan warna dua tona.
Satu kelebihan yang wujud pada Atto 3 ialah sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
Proton e.MAS 7 pula membawakan susun atur yang lebih minimalis, namun dengan skrin kluster sebesar 10.2 inci, skrin tengah 15.4 inci, sistem audio enam pembesar suara serta fungsi ventilasi pada tempat duduk hadapan.
Terdapat persamaan kelengkapan antara kedua-dua model ini, seperti contoh sistem pendingin hawa zon tunggal, bumbung kaca panorama, tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, slot pengecasan jenis USB, dan kamera keliling 360 darjah.
6. Keselamatan
Kedua-dua Proton e.MAS 7 dan BYD Atto 3 mempunyai sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi fungsi penting seperti brek kecemasan autonomi (AEB), kawalan jelajah adaptif (ACC) dengan fungsi berhenti & mula, bantuan pengekalan tengah lorong (LCA), sistem pemantauan titik buta (BSD), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran pelanggaran dan peringatan tali pinggang keledar.
Tatkala e.MAS 7 hanya dilengkapi dengan enam beg udara, BYD Atto 3 menawarkan sehingga tujuh beg udara secara standard.
7. Harga
Proton e.MAS 7 dijual pada harga bermula dari RM123,800 manakala BYD Atto 3 Extended Range pula berharga dari RM149,800.
BYD Atto 3 didatangkan dengan jaminan kenderaan selama enam tahun/150,000 km, jaminan bateri bervoltan tinggi sehingga lapan tahun/160,000 km, serta jaminan unit pacuan selama lapan tahun atau 150,000 km.
Sementara Proton e.MAS 7 pula hadir dengan jaminan pengeluar selama enam tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan untuk komponen bateri bervoltan tinggi sehingga lapan tahun atau had perbatuan 160,000 km.
Yang mana satu lebih berbaloi? Terpulang kepada tuan empunya diri untuk menilai.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.